Monday, September 10, 2012

Perlukah Menambah Aksesori Kereta?


Saya terpanggil untuk menulis artikel ini kerana ramai orang bertanyakan saya mengapa saya tidak menambah body kit pada kereta saya dan hanya biarkan ‘kosong’ sahaja. Sebelum itu, perlulah kita ketahui bahawa kereta itu sendiri adalah liabiliti – harganya akan menyusut dari tahun ke tahun.Berbeza pula dengan rumah di mana harganya akan naik dari semasa ke semasa. Kita juga harus memakai barangan original pada kenderaan kita supaya ia boleh digunakan untuk tempoh yang lebih panjang sepertimana yang saya telah sebutkan sebelum ini (Klik di Sini dan Klik di Sini). 

Pesan seorang sifu kewangan kepada saya bahawa apabila kita mendapat gaji baru, kita harus membuat pelaburan dan bukannya menstruktur semula pinjaman bank kita untuk mendapatkan kenderaan baru. Dalam masa 4 tahun akan datang, siapakah yang akan menjadi kaya? Orang yang membeli kereta baru atau orang yang membuat pelaburan? Saya rasa tidak perlu saya jawab soalan ini kerana saya yakin Tuan dan Puan boleh memberi jawapannya sendiri. Sekarang ini, ramai sudah bertanya saya bilakah ingin menukar kereta baru kerana kereta saya sedia ada sekarang sudah dibeli sejak tahun 2009. Saya tidak mahu mengikuti apatah lagi ingin memenuhi kehendak orang, kerana saya yang akan menanggung hutang kereta terebut dan bukannya mereka.

Berbalik persoalan tadi, perlukah kita menambah aksesori kenderaan kita? Bagi saya, sekiranya hanya sekadar untuk bergaya baik dilupakan sahaja hasrat itu. Aksesori itu hanya penting sekiranya ia memberi kemudahan kepada kita seperti memasang tinted pada cermin untuk mengelak kereta menjadi panas di bawah panas terik matahari, memasang GPS supaya kita dapat mencari arah tempat yang ingin dituju supaya kita tidak akan sesat sekaligus akan membazirkan minyak kereta, dan memasang aksesori yang boleh menjimatkan minyak kereta. Selain daripada itu, saya merasakan TIDAK PERLU. Saya fikirkan baik kita gunakan sahaja duit kita untuk membuat pelaburan seperti pelaburan unit amanah atau pelaburan untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi. Itu sahaja yang boleh saya katakan.

Kita juga perlu sedar bahawa banya majalah kereta lambakan di pasaran boleh ‘merompak’ duit kita kerana ia banyak memperngaruhi kita terutamanya kaum Adam bagi membelanjakan duit untuk membuat ubahsuai dan juga menambah aksesori. Kebanyakan kedai-kedai aksesori kereta pula menawarkan pembelian secara hutang melalui kad kredit supaya pelanggan dapat memenuhi kehendak mereka. Dari stereng sehinggalah kepada ekzos, semua ingin kita tukar. Sebenarnya, kita perlu berjaga-jaga dengan majalah kereta atau orang sekeliling kita yang suka menambah aksesori kita kerana ia merupakan faktor utama yang memperngaruhi diri kita untuk membelanjakan duit untuk perkara-perkara ini. Perkara ini disebut oleh Shamsuddin Kadir di dalam bukunya iaitu Hidup Tenang Walaupun Berhutang.

Saya sebenarnya tertarik dengan kata-kata Azizi Ali iaitu penulis buku Jutawan dari Planet Jupiter yang mengatakan bahawa beliau banyak mengenali jutawan-jutawan yang menaiki kereta mewah. Namun, tiada pun antara mereka yang mengubahsuai kenderaan mereka. Apabila kita menambah aksesori untuk kenderaan kereta yang tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk sebenarnya kita ingin memberitahu dunia bahawa, “Sebenarnya, saya belum kaya lagi…”

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: