Friday, September 7, 2012

Tingkatkan Simpanan, Kurangkan Hutang dan Gandakan Pelaburan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam rahmat Allah s.w.t. dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang bertaqwa di dunia ini. Ingatlah kita semua bahawa yang membezakan kita di sisi Allah adalah taqwa dan bukannya harta, pangkat atau darjat bagi seseorang manusia. Semulia-mulia manusia di sisi Allah adalah manusia yang bertaqwa. Takutlah kepada Allah s.w.t. sebelum orang berasa takut terhadap dirimu kerana sesungguhnya Allah pembela bagi orang-orang yang bertaqwa.

Dalam menguruskan sumber pendapatan kita sebagai pekerja makan gaji kita perlu menjaga tiga perkara – Simpanan, Hutang dan Pelaburan. Kita perlu menjaga tiga perkara ini dari bulan ke bulan kerana ia memberi impak yang besar kepada pengurusan kewangan kita. Apa yang hendak saya katakan di sini ialah kita perlu tingkatkan simpanan, kurangkan hutang dan gandakan pelaburan kita. Perkara ini perlu bergerak seiring apabila kita menerima pendapatan kita dari bulan ke bulan.

Saya berkata ia perlu seiring untuk ketiga-tiga perkara ini kerana kita tidak boleh menumpukan satu-satu perkara sahaja. Contohnya, kita menggunakan pendapatan bulanan kita semata-mata untuk membuat simpanan. Ini mungkin tidak masuk akal sekiranya kita membuat demikian kerana bagaimana pula dengan hutang-hutang bulanan kita seperti kereta dan rumah? Silap-silap haribulan, nama anda akan disenaraihitamkan. Begitu juga sekiranya kita asyik membuat hutang dan langsung tidak mempunyai simpanan. Ini akan menjadi barah kepada kewangan anda kerana pendapatan anda hanya digunakan untuk berhutang. Sudah tentu perkara ini akan membuatkan anda ‘sesak nafas’ apabila ditimpa musibah ataupun berada di waktu kecemasan. Sekiranya anda memperuntukkan jumlah wang yang besar untuk membuat pelaburan tanpa memikirkan perkara lain, ia juga akan menyesakkan kepala anda apabila anda dikehendaki membayar perkara yang lebih penting lagi pada masa tertentu atau ditimpa waktu kecemasan. Pendek kata, kita perlu mengutamakan yang utama dan pertimbangkan sekiranya sesuatu perkara itu tidak berapa penting untuk diri anda. Saya tidak boleh menyebutnya di sini kerana setiap orang mempunyai keutamaan yang berbeza untuk membuat perkara tertentu bagi setiap bulan.

Orang miskin berfikir dari sehari ke sehari, orang pertengahan berfikir dari bulan ke bulan dan orang kaya berfikir dari tahun ke tahun. Begitu juga perbezaan antara rumah orang miskin dan juga orang kaya. Rumah orang miskin dipenuhi dengan perabot-perabot yang mahal bahkan tidak mungkin mampu dibeli secara tunai. Manakala rumah orang kaya wajib mempunyai sebuah perpustakaan di dalam rumahnya. Setidak-tidaknya ia mempunyai koleksi buku yang tersendiri jika mahu membina sebuah perpustakaan di rumah sendiri bagi seseorang. Ini adalah kerana ilmu yang menjaga kita dan bukannya harta yang menjaga kita. Bak kata Saidina Ali Abi Talib , “Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Ilmu itu adalah menjaga engkau dan engkau pula menjaga harta. Ilmu itu adalah penghukum dan harta itu terhukum. Ilmu itu akan bertambah apabila dibelanjakan dan harta itu berkurang apabila dibelanjakan.” Begitu juga dengan urusan kewangan kita, kita perlu mempertingkatkan ilmu kewangan dari semasa ke semasa untuk menjaga aliran tunai kita setiap bulan.

Allah menyukai amalan yang sedikit yang dilakukan secara berterusan berbanding dengan amalan yang dilakukan secara banyak atau sekali tetapi dilakukan hanya sekali sahaja. Jika kita hayati perkara ini, ia mempunyai kesan yang bermakna dalam kehidupan kita ini. Apa yang hendak saya kaitkan di sini ialah dengan cara kita untuk membuat simpanan. Kita harus ingat bahawa menyimpan adalah prinsip asas dalam pengurusan kewangan kita. Sekiranya kita gagal untuk menyimpan sebahagian pendapatan kita sama ada secara kecil atau besar sekalipun, itu menandakan pengurusan kewangan kita masih lemah.

Terdapat dua kaedah untuk menyimpan iaitu dengan cara cepat ataupun secara lambat. Untuk menyimpan secara cepat ialah kita buat sahaja pinjaman bank dengan sejumlah tertentu. Kemudian, buat sahaja potongan gaji setiap bulan untuk membayar ansuran bank tersebut. Cara ini digunakan oleh sesetengah orang kerana ia akan menjadikan lebih disiplin dalam menguruskan kewangan mereka. Bagi saya, ia hanya merugikan kita kerana kita terpaksa mengorbankan sebahagian pendapatan kita untuk membayar faedah kepada bank dan memberikan mereka keuntungan. Apa yang baik bagi kita ialah buat sahaja potongan gaji setiap bulan di tempat yang sukar diambil untuk menjadikan kita berdisiplin. Tempat yang sukar diambil ialah di tempat simpanan yang tidak menyediakan kemudahan kad debit seperti di pelaburan amanah saham ataupun koperasi.

Sekiranya kita menyimpan RM200 sebulan pada bulan ini, kita akan lebih kaya pada bulan hadapan berbanding bulan ini sebanyak RM200. Ini adalah contoh angka yang kecil sahaja. Kita mungkin tidak dapat nampak hasilnya dalam tempoh yang singkat sama ada dalam tempoh 6 bulan atau setahun. Kita akan nampak usaha ini dalam sekurang-kurangnya 2-3 tahun ataupun lebih daripada itu. Anda mungkin terkejut sekiranya anda menyimpan sebahagian daripada kenaikan gaji tahunan setiap tahun kerana anda akan mendapat faedah berganda melaluinya kerana simpanan anda akan bertambah melebihi jangkaan anda. Inilah kaedah menyimpan melalui momentum sendiri tanpa membuat pinjaman mana-mana bank.

Seterusnya setelah membuat simpanan yang stabil, kita perlu mengenal pasti lubang-lubang hutang kita yang merobek ketenangan hidup kita. Sekiranya kita mempunyai hutang yang banyak sekalipun, cubalah menyimpan walaupun RM10 sebulan. Dengan RM10 sekalipun, anda boleh membeli Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN). Jika anda mempunyai rezeki yang baik, anda boleh memiliki kereta idaman tersebut melalui Sijil Simpanan tersebut. Anda seharusnya mengurangkan hutang anda dari semasa ke semasa. Hanya ilmu sahaja yang dapat menyelesaikan masalah hutang sebenarnya walaupun kita mempunyai sumber pendapatan yang terhad. Bukannya membuat hutang lain yang mempunyai kadar faedah yang lebih rendah daripada hutang sekarang bagi menyelesaikan masalah hutang sedia ada sekarang. Kita perlu tentukan bilakah kita menikmati kebebasan kewangan kita iaitu bebas daripada beban hutang. Tentukan sekarang sama ada 10 tahun lagi, 20 tahun lagi ataupun mungkin lebih daripada tempoh tersebut.

Saya sebut tajuk di atas iaitu ‘Gandakan Pelaburan’ kerana pelaburan adalah bertambah secara eksponen saban tahun sekiranya kita tidak ‘mengusik’ dividen yang diperolehi setiap tahun. Contohnya simpanan pelaburan kita pada tahun pertama ialah RM10,000 dengan kadar faedah 10 peratus setahun. Pada tahun kedua, simpanan pelaburan kita akan menjadi RM11,000. Kemudian pada tahun ketiga, simpanan tahun ketiga kita akan menjadi RM12,100. Inilah yang dinamakan sebagai kuasa eksponen dalam pelaburan. Ia akan naik dari tahun ke tahun. Ini belum ditambah lagi sekiranya kita membuat caruman atau tambahan wang ke simpanan pelaburan kita setiap bulan. Gunakan duit pelaburan ini untuk perkara yang berfaedah yang boleh menambah nilai aset kita dan bukannya liabiliti kita.

Setakat ini dulu penulisan saya pada kali ini. Apa yang hendak dikatakan di sini ialah kita perlu pandai untuk mengimbangkan 3 perkara ini iaitu simpanan, hutang dan pelaburan. Ia akan memberi kesan yang baik kepada kewangan kita sekiranya kita pandai untuk merancang untuk ketiga-tiga perkara ini. Utamakan yang utama dan ketepikan perkara yang tidak utama.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: