KUALA LUMPUR 28 Sept. - Beberapa insentif berupa pemberian diskaun akan diperkenalkan bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata insentif pertama adalah diskaun 20 peratus daripada jumlah pinjaman kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Okt 2012 hingga 30 Sept 2013.
"Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri turut mengingatkan para peminjam bahawa hukum membayar hutang adalah wajib dan pinjaman PTPTN merupakan satu amanah.
"Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan," katanya.
Sehingga Februari lepas, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 1.95 juta pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, membabitkan peruntukan lebih RM44 bilion.
Daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus daripada peminjam tabung itu telah melunaskan pinjaman masing-masing berikutan pendekatan PTPTN yang memperkenal kaedah bertolak ansur dan memujuk untuk membayar hutang.
Dalam pada itu, Najib menyifatkan cadangan untuk memansuhkan keseluruhan PTPTN adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Beliau mempersoalkan cadangan itu dan bertanya siapakah yang akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN jika ia ingin dimansuhkan.
"Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah kita yang berhutang, masyarakat yang menanggung? Itulah persoalannya," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang mulai tahun taksiran 2013.
Katanya langkah itu diambil kerana kerajaan prihatin dengan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa, selain merupakan satu pelaburan untuk meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara di masa depan.
Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, Perdana Menteri berkata pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000. - BERNAMA
Sumber: Utusan Malaysia 28/9/2012
No comments:
Post a Comment