Monday, October 1, 2012

Apabila Umno lemah...


Pada mulanya saya ingin menulis artikel ini bertajuk “Dilema Melayu 13” kerana memikirkan percaturan politik Malaysia kerana Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan pada tahun 2013. Ia akan lebih berfokuskan kepada perpaduan orang Melayu. Setelah difikir balik, saya mengambil keputusan untuk menulis artikel “Lemah UMNO, Lemahlah Melayu” kerana saya berfikir adalah lebih baik orang Melayu bersatu di bawah panji UMNO daripada bergabung kekuatan dengan pembangkang yang tidak tahu hala tuju sebenar mereka. Ini dapat dilihat bahawa pemimpin PKR yang mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia, DAP yang memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia dan PAS memperjuangkan Negara Islam yang akhirnya bertukar menjadi Negara Kebajikan.

Sebenarnya DAP tidak akan memastikan PAS dan UMNO bersatu kerana DAP memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia. Caranya ialah dengan melemahkan pengaruh Sultan kerana Sultan merupakan ketua agama dan pelindung hak istimewa orang Melayu. Ketika ada ura-ura PAS dan UMNO untuk bersatu, maka DAP cepat-cepat memainkan peranan supaya mereka tidak bersatu. Sejak PRU-12 tahun 2008 lagi setelah kekuasaan UMNO-BN berkurang, hak keistimewaan melayu sering tercabar seperti kemasukan UiTM untuk bumiputera, isu biasiswa dan sebagainya. Bahkan pemimpin-pemimpin UMNO mahupun PAS akan dituduh bersifat perkauman apabila bercakap hak orang Melayu. Sebaliknya, apabila pemimpin-pemimpin Cina dan India bercakap mengenai kaum mereka, mereka mengatakan bahawa itu hak mereka. Bahkan mereka ini juga mempertikaikan Kerajaan apabila memberi peruntukan yang lebih kepada rumah ibadat orang Islam kerana mereka tidak diperuntukkan sedemikian juga. Nampak di sini bahawa apabila UMNO itu lemah secara tidak langsungnya hak orang Melayu tercabar walaupun bilangan mereka meliputi seramai 60 peratus daripada penduduk Negara ini.

Masihkah kita mengingati pada malam kemerdekaan 31 Ogos 2012 yang lalu di mana gambar Perdana Menteri dikoyak-koyak dan dipijak-pijak oleh bangsa Cina. Apa yang menyedihkan ialah orang-orang Melayu hanya memerhatikan sahaja gambar tersebut dibuat sedemikian walaupun pemimpin tersebut adalah seagama dan sebangsa dengan mereka. Bangsa Cina ini kelihatan amat biadap sekali walauun tangkapan telah dibuat oleh pihak polis dan ada yang menyerah diri di balai polis selepas insiden tersebut. Menurut Tun Dr. Mahathir, ini disebabkan oleh Barisan Nasional itu sendiri yang lemah dalam Kerajaan kerana tidak medapat kerusi majoriti 2/3 dalam Parlimen. Menurut Tun, pada zamannya selama menjadi Perdana Menteri, tiada seorang pun yang memperlakukan gambar beliau sedemikian. Saya fikir benar juga kata-kata beliau kerana tiada orang yang mengoyak-ngoyakkan gambar beliau semasa menjadi Perdana Menteri.

Sekiranya kita melihat sejarah UMNO, UMNO dibentuk untuk membantah penubuhan Malayan Union pada tahun 1946. Keadaan orang Melayu ketika itu amat daif sekali dari segi ekonomi dan sosial apatah lagi ketenteraan. Dengan perpaduan melayu, rancangan penubuhan Malayan Union berjaya digagalkan. Pada pusingan pertama ini, orang Melayu ‘menang’ pada mulanya dengan pihak British. Akan tetapi, apabila perlembagaan digubal melalui Suruhanjaya Reid, pihak British menetapkan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Pada pusingan kedua ini, orang Melayu akhirnya ‘kalah’ dengan pihak British. Untuk memastikan bahawa kerusi Perdana Menteri ini terus diduduki oleh orang Melayu, orang Melayu perlulah bersatu-padu. Ada orang mengatakan bahawa pihak pembangkang berjaya menambah kerusi parlimen yang diduduki oleh orang Melayu. Hakikatnya, orang Melayu di dalam barisan pembangkang tidak dapat membuat apa-apa terhadap terhadap sebarang permasalahan atau isu yang timbul.

Sekiranya kita melihat semasa PRU-12 pada tahun 2008, pakatan longgar pembangkang membahagikan kerusi Parlimen untuk bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dan strategi ini berjaya kerana berjaya mengelak berlawan 3 penjuru. Sekiranya kita melihat pembahagian kerusi Parlimen untuk bertanding, kita dapat melihat PKR bertanding 97 kerusi Parlimen, PAS bertanding 67 kerusi Parlimen dan DAP bertanding dengan 28 kerusi Parlimen. Akan tetapi, senario hari ini memperlihatkan DAP adalah dominan dalam Pakatan Pembangkang tetapi kerusi barisan pembangkang masih dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini mungkin kerana untuk menjaga hari orang Melayu. Kita dapat melihat taktik halus yang dimainkan oleh DAP supaya orang Melayu terus berpecah-belah di dalam negara ini.

Adakah PAS tidak mempunyai suara di dalam barisan pembangkang? Isu-isu yang terjadi memperlihatkan bahawa PAS seolah-olah tidak mempunyai kuasa dalam Pakatan Rakyat. Contohnya, apabila melihat isu hudud, Pengerusi DAP, Karpal Singh sering mengeluarkan kenyataan bahawa PAS perlu melangkah mayat dia dahulu sekiranya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Islam apabila perkara ini disebut oleh Pemimpin-pemimpin PAS. Begitu juga Pengerusi DAP ini juga membidas Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang apabila ingin menggubal perlembagaan dengan menjadikan Islam adalah sebagai cara hidup dan bukannya sebagai agama rasmi semata-mata. Selain itu juga Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Tantawi didakwa berbohong di dalam debat yang dianjurkan oleh Sinar Harian apabila mengatakan bahawa Karpal Singh sudah mula boleh berbincang semula mengenai hudud setelah bekerjasama dengan PAS dan perkara ini dinafikan oleh Karpal Singh. Begitu juga dengan isu penutupan kedai arak di Kedah pada bulan puasa tahun 2011. Pada mulanya, PAS Kedah bercadang untuk menutup kedai arak pada bulan Ramadhan, namun rancangan tersebut tidak berjaya setelah ditentang oleh DAP. Menurut Dr. Hasan Ali, PAS terpaksa mengubah istilah ‘Negara Islam’ kepada ‘Negara Kebajikan’ kerana tunduk kepada PKR dan DAP untuk menawan Putrajaya. Isu-isu ini memperlihatkan sendiri kedudukan PAS yang lemah di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Namun begitu, harus diingatkan bahawa perpaduan yang dijana ini bukanlah untuk menguatkan pemimpin-pemimpin politik atasan untuk memperkayakan golongan kelas atasan. Perpaduan adalah untuk kebaikan bersama dan bukannya sebagai modal kepada pemimpin-pemimpin UMNO untuk terus merompak hak rakyat. Usahlah kita menjadi pekerja sukarela bagi Parti DAP untuk menerangkan bahawa parti itu hendak mengenal Islam, tidak menentang Islam, tidak bersifat perkauman dan sebagainya kepada orang lain walhal orang Melayu selama ini sudah sering ditipu dalam urusan jual beli dengan orang Cina selama ini. Hakikatnya, orang Melayu pada hari ini masih terus berpecah-belah kerana ingin kuasa politik. Bak kata pepatah, “Menang sorak, kampung tergadai.”

Sekian , terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

2 comments:

MI_roslinda said...

x der sape komen pun.. ade org baca ker??

MI_roslinda said...

hit tu bole jadi buka bace tajuk jer @ tgk sekali imbas