Sunday, October 7, 2012

Amalan yang Sedikit Tetapi Beterusan Itu Lebih Disukai Allah S.W.T.


Amalan yang sedikit tetapi berterusan itu adalah disukai oleh Allah s.w.t. daripada amalan yang banyak tetapi terputus. Ini kerana amalan berkenaan menyebabkan seseorang itu melakukan ketaatan, berzikir, berwaspada dan mendampingkan diri kepada Allah secara berterusan. Kata-kata yang disebut Nabi Muhammad s.a.w. adalah amat bermakna jika kita hayati dan renungi bersama. Kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. adalah datang daripada Allah s.w.t. dan mempunyai rohnya tersendiri. Ini adalah kerana para ulama’ sama ada dari zaman silam sehingga zaman sekarang akan membahaskan kata-kata tersebut kerana ia mempunyai maksud yang mendalam dan bersesuaian dengan keadaan semasa.

Sekiranya kita hayati kata-kata ini, ia amat berkesan dalam konteks kehidupan kita pada hari ini. Saya cuma mengadaptasi hadis ini di dalam kehidupan saya dan ia amat berkesan sekali apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Antara tanda-tanda kewujudan Allah s.w.t. ialah setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Saya yakin apabila melakukan sesuatu pekerjaan sama ada pekerjaan tersebut adalah senang atau sebaliknya, ianya akan dapat disiapkan juga pada akhirnya. Ia bergantung kepada disiplin diri kita sendiri apabila melakukan sesuatu pekerjaan sama ada ingin siapkan secara cepat ataupun lambat. Akan tetapi, janganlah kita pula yang malas melakukan pekerjaan tersebut kerana sampai bila-bila pun kerja tersebut tidak akan siap jika kita bersikap sedemikian.

Contoh yang mudah yang kita boleh ambil ialah apabila kita ingin mengkhatamkan pembacaan l-Quran. Al-Quran mempunyai 30 juzu’ dan setiap juzu’ tersebut mempunyai 20 muka surat. Untuk mengenali juzu’-juzu’ yang baru ialah juzu’ yang baru mempunyai nombor dua di belakang dan didahului dengan nombor genap. Sekiranya kita ingin mengkhatamkan al-Quran dalam masa 30 hari, maka kita perlu menghabiskan satu juzu’ al-Quran itu sehari. Cara untuk menghabiskan satu juzu’ sehari pula ialah membacanya empat muka setiap kali selesai solat. Mudah sahaja bukan? Ia bergantung kepada strategi kita sebenarnya.

Dalam menghabiskan pembacaan buku-buku yang tebal pula, saya hanya membaca helai atau bab sahaja dalam masa satu hari. Contohnya, buku Doktor Umum Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad saya hanya membaca satu bab sahaja dalam masa sehari dan kadangkala tidak sempat juga untuk menghabiskan satu bab sehari kerana mengikut kelapangan masa. Buku tersebut mempunyai 963 mukasurat (tidak termasuk glosari). Akhirnya, saya dapat menghabiskan masa pembacaan buku tersebut dalam masa dua bulan setengah. Bagi saya, ia merupakan usaha yang baik kerana saya perlu pergi ke kerja dan dalam masa yang sama saya juga perlu menyiapkan tesis saya. Sekarang ini, saya sedang membaca buku agama Furu’ al-Masail wa Usul al-Wasa’il yang disusun oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz. Buku agama ini mempunyai 745 muka surat (tidak termasuk glosari) dan saya hanya membaca buku ini 10 muka surat sahaja sehari kerana perlu mengulangi pembacaan 2-3 kali bagi setiap muka surat kerana ia memerlukan pemahaman yang tinggi mengenai persoalan sesuatu hukum. Saya yakin saya dapat menghabiskannya jua pada suatu masa nanti.

Begitu juga dengan hutang-piutang kita. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk melangsaikan hutang kita dengan membayar sekali gus hutang-hutang kita sekiranya kita tidak mempunyai banyak wang untuk melangsaikannya. Apa yang penting ialah kita perlu mempunyai usaha untuk membayar hutang-hutang kita walaupun dengan sejumlah yang kecil pada setiap bulan. Ingatlah bahawa sekiranya kita buat-buat lupa untuk membayar hutang, maka rezeki juga akan buat-buat lupa untuk datang kepada kita. Hidup bertambah berkat apabila kita tahu kewajipan yang perlu kita laksanakan ke atas rezeki yang kita perolehi. Pengumuman oleh Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2013 yang lepas merupakan satu rahmat kepada saya (Saya bercakap untuk diri saya sahaja). Ini disebabkan diskaun 10 peratus akan diberikan sekiranya membayar mengikut jadual. Saya fikir bahawa saya tidak perlu bimbang kerana saya telah membuat potongan gaji bagi membayar hutang pinjaman tersebut. Apa yang lebih membuatkan saya lebih teruja ialah saya tidak perlu membayar pinjaman tersebut lebih daripada pokok kerana sekiranya saya membayar lebih daripada pokok, maka pinjaman tersebut akan dikenali sebagai riba’. Saya tidak mengharapkan janji bulan dan bintang yang dijanjikan oleh pihak pembangkang untuk menghapuskan PTPTN tetapi apa yang saya harapkan ialah keberkatan untuk mengurangkan hutang-hutang saya.

Harta yang baik itu adalah harta yang berada di hadapan mata. Ada juga orang yang mengeluh kerana tidak dapat membuat simpanan daripada gaji yang diperoleh setiap bulan. Apa yang lebih penting ialah kita perlu menyimpan duit kita walaupun sedikit. Lama-kelamaan simpanan kita akan bertambah jua. Simpan duit kita di tempat yang sukar atau langsung tidak boleh diambil. Ini akan membentuk disiplin kita. Ini adalah kerana dalam aspek pengurusan kewangan, kita perlu bersikap kasar ke atas wang kita. Dalam aspek pengurusan kewangan juga gaji yang banyak bukan menjadi penentu ukur kekayaan seseorang. Saya mempunyai kenalan seorang guru yang bertaraf gred DG48 dan isterinya tidak bekerja sahaja manakala rakannya merupakan guru bertaraf gred DG54 dan isterinya juga seorang guru yang bergred DG48. Akan tetapi, kenalan saya itu lebih ‘kaya’ kerana ia menaiki kereta Mercedes dan rumah yang besar berbanding rakannya yang hanya menaiki Proton Wira dan masih menyewa di rumah teres. Menurutnya, rakannya itu suka membazir kerana suka membeli dan menukar pakaian baru setiap bulan. Inilah dikatakan rezeki walaupun sedikit yang diberkati daripada rezeki yang banyak tetapi tidak berkat.

Saya berpendapat bahawa adalah lebih baik sahaja kita menunggu kenaikan gaji tahunan dari tahun demi tahun sekiranya kita ingin bergaji besar. Ini adalah posisi yang paling selesa walaupun lambat berbanding kita membuat perniagaan dengan pinjaman yang besar dan akhirnya perniagaan tersebut hangus terbakar. Untuk berniaga kita perlu pandai menjadikan duit RM50 menjadi RM100. Sekiranya perkara kecil ini pun kita tidak pandai untuk berniaga dengan jumlah yang kecil bagaimana pula dengan perniagaan yang bernilai puluhan ribu untuk kita gandakan?

Apa yang penting ialah kita perlu pandai berstrategi untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Setiap orang mempunyai masa 24 jam sehari tetapi kesibukan seseorang itu berbeza antara satu sama lain. Apa yang penting kita perlu mencapai semua matlamat kita tidak kira secara cepat ataupun lambat. Lama-kelamaan apa yang kita impikan atau cita-citakan akan tercapai jua.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

4 comments:

Tho Ha said...

Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk melangsaikan hutang kita dengan membayar sekali gus hutang-hutang kita sekiranya kita tidak mempunyai banyak wang untuk melangsaikannya. Apa yang penting ialah kita perlu mempunyai usaha untuk membayar hutang-hutang kita walaupun dengan sejumlah yang kecil pada setiap bulan.

Semasa saya menganggur, saya ke cybercafe dan buat surat kepada JPA dan kosongkan bahagian tajuk dan tarikh. No Rujukan : No Pinjaman Saya. Saya fotostat banyak2. Isi surat tu : Perkara di atas adalah dirujuk. (Perkara itu adalah no Wang Pos/Kiriman Wang)Sekian terima kasih. Masa itu mmg tiada fulus, tapi niat hendak byr membara. Tiga tahun selepas itu, saya mendapat kerja, saya bayar berdikit-dikit dan akhirnya langsai hutang pinjaman pelajaran saya.

Itu cerita lama, sebelum sy berjerat dgn kad kredit. Setakat hari ini saya masih tidak boleh bayar dan bayar tetapi bayar,pinjam balik (dpt panggilan bank tapi tak angkat)(tunggu gaji) bayar, pinjam balik,bayar balik, pinjam (dpt surat bank) tunggu gaji, bayar balik pi mai pi mai tang tu.

Ini adalah kerana saya tidak membayar tiga kad kredit tapi tujuh kad kredit. Tambahan tu kakak sy punya (HSBC 2 kad dan CitiBank 2 kad). Sy takper la setakat bank telefon/hantar surat tapi kakak sy lawyer dah datang rumah siap ancam nak sita rumah. Syukurnya kad kredit kakak saya tu hanya boleh bayar dan tidak boleh pinjam lagi. Lambat-laun kad kredit kakak saya selesai. Selepas itu barulah saya dpt bayar bayar bayar dan bayar tidak seperti sekarang bayar korek kambus gali balik tutup bukak balik top up sana sini.

wankamarul701 said...

Saudara Tho Ha: Marilah kita bersama-sama merenungi hadis nabi iaitu "Berhati-hatilah kamu dalam berhutang kerana hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di waktu siang." Wallahua'lam.

Tho Ha said...

Alhamdulillah, dua daripada kad kredit kakak saya telah selesai. Tinggal lagi dua kad + saya tiga kad = lima kad.

Kakak saya bercadang hendak membayarkan salah satu kad saya RM100 sebulan (tambahan). Saya kata JANGAN bayar kad kredit saya. Ini adalah kerana kakak saya ingin membayar sambil memegang kad kredit tersebut. Sy takut cerita lama berulang kembali.

Sebelum saya mempunyai kad kredit, sy mempunyai RM1,300 wang dalam Al-Mudharabah Bank Islam (skrg a/c tersebut telah tutup). Kakak sy asyik minta wang drpd sy. Sy pun beri kad bank islam kpd kakak sy. Sy ckp kalau sesak ambillah. Seminggu lepas tu kakak sy sms minta duit. Sy jawab balik "guna kad bank yg sy beri itu". Kakak sy jawab sms. Duit telah habis digunakan. Sy ingat RM1,300.00 bolehlah tahan sebulan.

Esok gaji (awal sebab Deepavali) tapi kakak sy sudah minta RM100.00. Ini menambahkan lagi ketidakyakinan sy terhadap keupayaan kakak sy membayar (tambahan) RM100.00 salah satu kad kredit sy.

wankamarul701 said...

Kata Saidina Ali ...ilmu itu menjaga engkau dan engkau pula menjaga harta. Baik Tuan potong sahaja kad kredit itu dengan gunting. Ini menjadikan kita amat disiplin daripada menggunakan kad maut terebut.