Mengapa Amerika Syarikat boleh tewas
berperang dengan Vietnam suatu ketika dahulu? Bunyinya agak ganjil apabila
Amerika Syarikat boleh tewas apabila berperang dengan negara kecil seperti
Vietnam. Tetapi tidak mustahil perkara ini boleh berlaku walaupun Amerika
Syarikat merupakan sebuah kuasa besar dunia.
Sebenarnya, Vietnam menewaskan Amerika
Syarikat adalah bukannya melalui persenjataan hebat atau angkatan tentera yang
besar. Negara ini mengalahkan Amerika dengan mengorek terowong sepanjang berates-ratus
batu di tempat-tempat strategik bagi membolehkan pasukan gerilanya muncul dan
lesap sesuka hati. Contohnya, terowong bawah tanah Chu Chi membolehkan askar
Viet Cong bergerak dan berhubung antara mereka tanpa dikesan selain untuk
menyimpan bekalan makanan dan senjata. Beberapa bahagian terowong ini juga
bertindak sebagai kuarters penginapan dan hospital.
Orang Vietnam mempunyai sumber paling
penting, iaitu pengetahuan dan risikan mengenai negara sendiri. Mereka juga
mempunyai keazaman politik yang jitu, yang lahir daripada tuntutan keadaan dan
kebanggaan diri yang sejati. Ini adalah gabungan hebat yang sukar dipatahkan.
Pada 16 Mac 1968, tentera Amerika
Syarikat telah menyerang kampung My Lai di Vietnam serta membunuh beratus
rakyat yang tidak bersenjata. Serangan ini dilaporkan telah dilakukan sebagai
balasan apabila satu pasukan askar Amerika Syarikat terkena jerat samar.
Kekejaman ini membuatkan orang Vietnam semakin marah dan berazam serta bersedia
untuk membunuh dan dibunuh. Peristiwa ini sebenarnya merosakkan integriti
tentera Amerika Syarikat. Askar Amerika Syarikat akhirnya berundur dari bum
Vietnam pada tahun 1973 dan perang tamat secara rasminya pada 30 April 1975.
Dapat kita fahami di sini bahawa
walaupun sesebuah negara itu kecil dan tidak berupaya untuk mengeluarkan
belanja yang besar bagi mempertahankan diri mereka, mereka boleh membina
kemahiran dan keupayaan yang secukupnya bagi melancarkan perang gerila yang
berpanjangan terhadap penyerang mereka. Walaupun perlu menyediakan tenaga
manusia yang banyak, mereka boleh mengekalkan pasukan bersenjata konvensional
yang kecil dengan belanja yang rendah. Ini disebabkan mereka tahu mengenai muka
bumi negara mereka sendiri, maka mudahlah bagi mereka untuk menyembunyikan
pasukan gerila mereka dan pada masa yang sama, melatih orang awam mengenai
selok-belok perang gerila.
Sumber: Tun Dr. Mahathir Mohammad, 2012, Doktor Umum: Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad.
No comments:
Post a Comment