Saya terpanggil
untuk menulis entri ini kerana apabila saya mengunjungi rumah terbuka di rumah
kenalan, bandar-bandar besar yang dilalui sepanjang perjalanan tersebut
kebanyakkannya dihuni oleh orang cina sehinggakan kita menggelar bandar-bandar
tersebut sebagai ‘bandar cina’. Sekiranya kita melihat bangsa ini secara lebih
mendalam, bangsa ini boleh dikatakan menguasai pelbagai bidang seperti
perniagaan, pelajaran, pembangunan dan sebagainya. Sehinggakan ada yang
mengatakan bahawa adakah Malaysia boleh mencapai kemajuan seperti hari ini
sekiranya bangsa cina tidak tinggal di negara ini? Saya rasa boleh kerana
Kerajaan Melayu Melaka boleh mencapai zaman kegemilangannya tanpa orang Cina
membantu Kerajaan Kesultanan Melayu dalam bidang ekonomi melainkan sebagai
pedagang asing termasuk daripada negara-negara lain ketika itu.
Adakah anda
teringat dengan Laksamana Cheong Ho yang melawat ke Melaka di era Kesultanan
Melayu Melaka? Beliau merupakan seorang Muslim. Sebenarnya, ketika itu Maharaja
China ingin juga memeluk Islam dan ingin menjadikan Islam sebagai agama rasmi
di Negara China. Jika kita melihat sesebuah negara, seseorang Maharaja atau
Sultan memainkan peranan utama sebagai ketua agama. Oleh itu, apabila Maharaja China
ingin menjadikan Islam agama rasmi di China, rakyat menggulingkan dinasti
Maharaja China tersebut kerana ingin menyekat perkembangan Islam di China. Saya
tidak akan membahaskan sejarah Islam di China secara lebih lanjut di sini.
Jika kita
melihat senario perkembangan politik semasa pada hari ini, DAP akan cuba
melemahkan pengaruh Sultan kerana Sultan merupakan ketua agama Islam dan
pelindung hak keistimewaan Bumiputera. Cara untuk melemahkan pengaruh Sultan
ini ialah memastikan orang melayu terus berpecah-belah. Formulanya mudah sahaja
iaitu dengan memastikan parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan PAS tidak bersatu.
Apabila ada ura-ura yang mengatakan bahawa UMNO dan PAS ingin bersatu, maka DAP
cepat-cepat memainkan peranan agar mereka tidak bersatu. Perkara ini disebut
oleh pembahas rakan sosial Facebook saya
suatu ketika dahulu kerana beliau sendiri bersekolah di Sekolah Aliran Cina dan
mengetahui dengan lebih lanjut sejarah China. UMNO dan PAS pernah bersatu
ketika dahulu pada tahun 1974 di dalam Barisan Nasional. Ketika itu, orang Cina
melihat perpaduan orang Melayu dalam prospek yang sebenar. Pemimpin PAS ketika
itu Dr. Asri Muda diberi jawatan menteri pusat dan bertanggungjawab menguruskan
FELDA.
Bangsa Cina ini
juga memang terkenal dalam bidang perniagaan. Sekiranya kita melihat di Shah
Alam yang dikatakan sebagai bandar elit Melayu sekalipun, 90 peratus
kedai-kedai tersebut dimiliki oleh orang Cina. Kajian ini dibuat oleh seorang
pensyarah UiTM yang bernama Ismail Salleh. Sememangnya bangsa ini sinonim
dengan bangsa yang suka menipu dalam urusan perniagaan. Tun Dr. Mahathir dalam
memoirnya pun berasa pelik dengan sikap orang Melayu kerana suka mengatakan
orang Cina suka menipu dalam perniagaan tetapi dalam masa yang sama, mereka
membeli barangan keperluan mereka dengan bangsa ini.
Saya masih ingat
sewaktu berada di pejabat lama tidak lama dahulu di Bukit Damansara ketika
minum air di waktu petang di kedai makan dan hujan turun pada petang itu. Tidak
lama selepas itu saya melihat kereta BMW berhenti di hadapan kedai. Saya
melihat seorang pemandu Melayu keluar dari kereta dan mengambil payung. Lalu
membuka pintu di tempat duduk belakang dan menyambut seorang wanita tua cina
keluar dari kereta tersebut. Pemandu itu terus memegang payung untuk wanita tua
cina tersebut dan mengiringinya sehingga masuk pejabat. Saya melihat seolah-solah
orang Melayu ini hamba kepada orang Cina. Bolehkah kita mengatakan kita Tuan di
Tanah Melayu ini sendiri sedangkan kita sebagai pemandu kepada orang Cina yang
hanya merupakan sebagai kaum pendatang asing suatu ketika dahulu? Sepatutnya,
bangsa ini merupakan pemandu kepada orang Melayu itu sendiri.
Faktor alam
persekitaran juga mempengaruhi kedua-dua bangsa ini. Jika kita melihat faktor
demografi antara Tanah Melayu dan Tanah Besar China, ianya memang terdapat
perbezaan yang ketara. Di Tanah Besar China, bencana besar seringkali berlaku
seperti gempa bumi, banjir besar dan sebagainya. Di sini, sesiapa yang berani,
cekal dan berusaha akan dapat terus dapat meneruskan kehidupan mereka manakala
bagi mereka yang malas tidak akan dapat meneruskan kehidupan mereka menghadapi
cabaran yang bencana alam yang besar sebegitu rupa. Berlainan sekali dengan
Tanah Melayu, di mana kawasan ini bebas daripada bencana alam kerana ia
terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. Di Tanah Melayu, penanaman padi
merupakan penanaman ruji bagi masyarakat di sini di mana ia akan menghasilkan
pengeluaran padi dua kali setahun. Masyarakat di sini akan dapat terus hidup
dan beranak-pinak dengan menggunakan hasil padi yang dituai sebagai bekalan apatah
lagi bebas daripada segala bencana alam. Dapat kita lihat di sini bahawa orang
Melayu yang malas berusaha sekalipun akan dapat terus hidup dan beranak-pinak.
Perkara ini yang menyebabkan perbezaan antara dua bangsa ini begitu ketara
sekali sekiranya dilihat pada hari ini. Perkara ini disebut oleh Dr. Mahathir
(Tun) dalam bukunya Dilema Melayu.
Akibat bencana
alam yang sering mengancam di Tanah Besar China, orang-orang Cina lari dari
tempat tinggal mereka dan berhijrah di Negara-negara Asia Tenggara. Mereka
tekun berusaha dan berjaya membolot dan menguasai bidang ekonomi di negara
tempat mereka menumpang termasuk Tanah Melayu. Sekiranya kita lihat di sini,
orang Cina menerapan konsep hijrah yang dianjurkan oleh agama Islam itu
sendiri. Hijrah itu penting bagi orang Islam kerana ia akan membawa perubahan
diri kepada seseorang. Bukan orang Cina sahaja yang berjaya, malah ramai juga
orang Indonesia atau dari negara-negara Asia Tenggara yang lain yang bekerja
sebagai buruh kasar pada mulanya dan akhirnya berjaya membina perniagaan mereka
sendiri. Saya fikir orang Melayu perlu keluar dari negara ini untuk berhijrah
dan berusaha untuk hidup di tempat orang lain sekiranya untuk berjaya.
Usaha-usaha
untuk membantu orang Melayu terutamanya dalam bidang ekonomi giat dilaksanakan
sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970 untuk mencapai
ekuiti bumiputera supaya pemilikan mereka adalah pada tahap 30 peratus pada
tahun 1990. Namun pada akhir tahun 1990, pencapaian pemilikan ekuiti bumiputera
adalah pada tahap 19 peratus sahaja dan tidak mencapai matlamat sebenar. Jika
kita perhalusi DEB ini, ia merupakan satu tindakan afirmatif iaitu tindakan
memperlahankan bangsa lain khususnya Cina supaya orang Melayu tidak terlalu
ketinggalan dalam bidang ekonomi dalam bidang ini.
Sekiranya kita
melihat kepada ajaran Islam, adakah terdapat tindakan-tindakan afirmatif untuk
memperlahankan kemajuan sesuatu yang lain bagi mengangkat ekonomi sesuatu
bangsa yang lain pula? Sudah tentu tiada. Saya mungkin silap. Tetapi banyak
instrumen-instrumen yang telah diperkenalkan oleh Islam itu sendiri gagal
diaplikasikan atau kita sendiri yang terlepas pandang contohnya zakat, wakaf,
dan sebagainya. Kita tidak pernah melihat orang yang tidak membayar zakat akan
dihadapkan ke mahkamah. Ini menunjukkan bahawa instrumen-instrumen yang telah
diperkenal oleh Islam itu sendiri bagi mengangkat ekonomi orang Melayu masih
gagal dikuatkuasakan atau diaplikasikan sepenuhnya di negara ini. Sekiranya
kita melihat di negara Turki, di sana terdapat Kementerian Wakaf yang bertanggungjawab
untuk membantu ekonomi orang Islam sehinggakan mereka berjaya melaksanakan
konsep wakaf itu sendiri. Contohnya, terdapat sebuah sekolah pengajian Islam di
Bangi, Selangor yang diwujudkan hasil dana wakaf dari Turki. Sebenarnya, banyak
instrumen-instrumen yang telah digariskan oleh Islam boleh membantu orang
Melayu itu sendiri. Contohnya, dengan adanya institusi Wakaf, ia boleh membantu
orang Melayu bagi memiliki lot-lot kedai yang tidak mampu dibeli oleh mereka
secara individu dan ia boleh dibeli sekiranya bergerak secara beramai-ramai
atau berjemaah. Begitu juga dengan zakat, ia boleh membantu keluarga fakir dan
miskin. Saya masih ingat dengan kata-kata pensyarah saya suatu ketika dahulu,
“Sekiranya zakat masih belum diagihkan secara adil, selagi itu akan ada
rancangan Bersamamu.”
Tun Dr. Mahathir
seringkali menyebut bahawa dia gagal dalam membantu mengangkat orang Melayu
dalam bidang ekonomi. Saya fikir sebab-sebab dia gagal adalah disebabkan dua
faktor. Faktor pertama ialah faktor beliau sendiri kerana beliau bukan
merupakan seorang peniaga yang berjaya sekiranya kita membaca kisah hidup
beliau. Kejayaan beliau dalam bidang perniagaan hanya sekadar berjaya
menguruskan klinik peribadi peribadi dan tidak lebih daripada itu. Sekiranya
ada pun, beliau pernah menjadi pemaju perumahan malangnya keuntungan tersebut
digunakan untuk melabur dalam bidang bijih besi bersama rakannnya dan akhirnya
projek bijih besi tersebut gagal. Perkara ini diceritakan sendiri oleh beliau
dalam Memoirnya. Faktor kedua ialah beliau tidak melaksanakan dasar-dasar
ekonomi yang telah digariskan oleh Islam itu sendiri. Sepatutnya Kerajaan di
bawah pimpinan beliau ketika dahulu perlu melaksanakan perkara-perkara yang
telah digariskan oleh Islam sepertimana yang saya sebutkan di atas. Ironinya,
beliau gagal memajukan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Jika kita melihat
orang Cina sekalipun, mereka mempunyai pertubuhan mereka sendiri bagi membantu
peniaga-peniaganya untuk berjaya. Konsepnya sama sahaja.
Jika kita
melihat orang-orang Cina di universiti, mereka seolah-olah mempunyai kuasa
ajaib. Ini adalah kerana kebanyakan graduan-graduan bangsa ini mendapat Kepujian
Kelas Pertama. Ada yang menceritakan kepada saya bahawa mereka kadang-kadang
curi masuk ke dalam bilik pensyarah dan mengubah markah ujian mereka. Mungkin
ini benar dan tidak hairanlah mereka mendapat Kepujian Kelas Pertama tetapi ia
mungkin kes-kes terpencil sahaja. Menurut pensyarah saya, orang Melayu dan
orang Cina itu sama sahaja. Apa yang membezakan mereka ialah orang Cina akan
menumpukan 100 peratus perhatian di dalam kelas. Kemudian, mereka akan mencari bahan-bahan tambahan sebagai rujukan pelajaran mereka. Di
sini dapat dilihat bahawa perbezaan antara kedua-dua bangsa ini ialah orang
Cina hanya memberi tumpuan kepada 2 perkara iaitu memberi perhatian 100 peratus
dalam pelajaran dan mencari rujukan lain sebagai bahan rujukan mereka.
Guru saya di
sekolah menengah suatu ketika dahulu pernah menceritakan bahawa orang Cina ini
tidak percaya kepada guru-guru Melayu. Mereka akan pelajari semua bahan
pembelajaran sebelum diajar oleh guru-guru Melayu. Mereka bukan sekadar belajar
sahaja sebelum memasuki kelas, bahkan mereka akan faham sepenuhnya terlebih
dahulu sebelum pembelajaran bermula. Jika dari segi pembelajaran sekalipun,
seseorang pelajar perlu faham terlebih dahulu apa yang akan dipelajari sebelum
memasuki kelas. Tidak ada beza antara pelajar Melayu atau Cina sekiranya mereka
berusaha lebih.
Orang Melayu
memang kurang memiliki syarikat-syarikat yang bertaraf dunia melainkan menguruskan
syarikat-syarikat Kerajaan atau Swasta. Apa yang saya tahu syarikat Melayu yang
boleh dibanggakan ialah syarikat Mustapha Kamal yang terlibat dalam bidang
hartanah selain daripada syarikat yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar
al-Bukhary. Jika adapun ia hanya dimiliki oleh kaum-kerabat yang memiliki
hubungan dengan pemimpin-pemimpin negara. Sekiranya kita melihat syarikat-syarikat GLC
seperti Proton, Perodua, MAS, Sime Darby, Guthrie, Petronas dan sebagainya ia
diuruskan oleh orang-orang Melayu. Ini menandakan bahawa orang Melayu mempunyai
kemahiran intrapreneur iaitu
kemahiran luar usahawan yang tinggi tetapi mempunyai kemahiran entrepreneur iaitu kemahiran dalam
usahawan yang rendah. Ini dapat dilihat bahawa syarikat-syarikat individu
Melayu yang terkemuka masih sedikit jika dilihat pada hari ini. Tidak hairanlah
ramai peniaga Melayu yang gulung tikar apabila baru memulakan perniagaan kerana
tidak mempunyai semangat juang yang tinggi.
Jika kita
melihat pembinaan Menara Berkembar Petronas suatu ketika dahulu, ia merupakan
projek usahawan Tan Sri Ananda Krishnan pada awalnya apabila dia ingin membina
menara berkembar tersebut. Pada mulanya, ia memiliki kedua-dua menara tersebut
atau memiliki sebuah bangunan pencakar langit tersebut. Oleh kerana beliau
ingin mengambil hati orang Melayu, dia perlu mencari seorang pemodal Melayu
yang memiliki duit yang banyak bagi membangunkan menara tersebut tetapi tiada
melainkan hanya Petronas sahaja yang memiliki modal yang banyak bagi meneruskan
projek usahasama tersebut di mana sebelah menara tersebut milik beliau manakala
sebelah lagi milik Petronas. Akhirnya, beliau menjual sebelah menara milik
beliau kepada Petronas. . Dapat kita dilihat di sini bahawa orang Melayu masih
kekurangan pemodal-pemodal yang betul-betul mempunyai banyak wang secara
individu. Saya fikir ada iaitu dan tidak lain dan tidak bukan ialah Tun Daim
Zainuddin yang memiliki International Commercial Bank (ICB) yang beroperasi di
seluruh dunia.
Tan Sri Wan Azmi
Wan Hamzah iaitu Pengerusi Land & General pernah mengungkapkan bahawa apabila
Tun Daim dilantik menjadi Menteri Kewangan pada tahun pertengahan 1980-an,
beliau yakin bahawa Tun Daim akan lebih terbukti lebih berjaya daripada Lee Loy
Seng, Lim Goh Tong (mendiang), dan Robert Kuok melalui projek pengswastaan.
Apabila ini berjaya beliau memberi penghargaan terhadap diri mereka kerana
berjaya membantu Tun Daim menjayakan projek pengswastaan. Dapat dilihat di sini
bahawa Tun Daim yang merupakan seorang Melayu Islam dapat ‘bersaing’ dengan tokoh-tokoh
perniagaan yang lain. Tidak ada apa yang membezakan seseorang sama ada warna
kulit, agama dan sebagainya.
Dapat
disimpulkan bahawa tiada yang membezakan seseorang sama ada dari segi agama dan
bangsa bagi seseorang sekiranya ingin berjaya. Semuanya boleh berjaya sekiranya
melaksanakan kaedah dengan betul dan mempunyai disiplin serta berusaha dengan
kuat untuk berjaya. Bak kata Tun Daim, “ Mengapa anda tidak boleh buat? Mengapa
anda tidak boleh jadi? Adakah cuma anda seorang Melayu?”
http://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment