Saturday, September 29, 2012

Bajet 2013: Diskaun mudahkan bayaran PTPTN

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Beberapa insentif berupa pemberian diskaun akan diperkenalkan bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata insentif pertama adalah diskaun 20 peratus daripada jumlah pinjaman kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Okt 2012 hingga 30 Sept 2013.

"Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Okt 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri turut mengingatkan para peminjam bahawa hukum membayar hutang adalah wajib dan pinjaman PTPTN merupakan satu amanah.

"Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan," katanya.

Sehingga Februari lepas, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 1.95 juta pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara, membabitkan peruntukan lebih RM44 bilion.

Daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus daripada peminjam tabung itu telah melunaskan pinjaman masing-masing berikutan pendekatan PTPTN yang memperkenal kaedah bertolak ansur dan memujuk untuk membayar hutang.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan cadangan untuk memansuhkan keseluruhan PTPTN adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau mempersoalkan cadangan itu dan bertanya siapakah yang akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN jika ia ingin dimansuhkan.

"Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah kita yang berhutang, masyarakat yang menanggung? Itulah persoalannya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai sedia ada kepada ibu bapa yang mempunyai anak di institusi pengajian tinggi daripada RM4,000 seorang kepada RM6,000 seorang mulai tahun taksiran 2013.

Katanya langkah itu diambil kerana kerajaan prihatin dengan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa, selain merupakan satu pelaburan untuk meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara di masa depan.

Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, Perdana Menteri berkata pelepasan cukai sebanyak RM3,000 bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sedia ada juga akan dinaikkan kepada RM6,000. - BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia 28/9/2012

Wednesday, September 26, 2012

Duit Pelaburan Itu Bukan Untuk Digunakan

Apakah yang dimaksudkan dengan pelaburan sebenarnya? Pelaburan merupakan meletakkan sejumlah dana tertentu dengan tempoh tertentu dan mengharapkan pulangan yang tertentu. Ia juga mengambil kira risiko-risiko yang dihadapi sama ada tiada risiko, berisiko sederhana dan berisiko tinggi.

Apabila disebut melabur, ia juga mengambil kira jumlah dana yang kita sanggup keluarkan untuk dilaburkan. Berapakah jumlah duit kita yang kita ingin laburkan sebenarnya? Berapakah jumlah pulangan dividen yang kita kehendaki pada masa akan datang? Semakin banyak melabur, maka semakin banyak pulangan dividen yang diperolehi. Begitu juga dengan tempat pelaburan yang berisiko, semakin tinggi risikonya, maka semakin tinggi pulangan dividen yang diberi.

Pelaburan juga dikenali sebagai pendapatan pasif. Ini adalah kerana wang yang bekerja untuk anda. Sekiranya anda tidak bekerja sekalipun, wang ini akan datang kepada anda pada tempoh tertentu. Ini adalah hasil usaha anda sendiri yang sanggup berkorban pada hari ini untuk mendapatkan pulangan pada hari esok.

Seringkali yang menjadi kesilapan kepada yang ingin melabur ialah mereka beranggapan bahawa mereka tidak boleh mengambil wang pelaburan tersebut sekiranya untuk digunakan. Memang benar, wang pelaburan tidak boleh untuk digunakan. Anda perlu menyimpannya untuk tempoh tertentu untuk mendapatkan dividennya. Sekiranya wang tersebut anda ingin gunakan, jangan sesekali menggunakannya untuk melabur. Mungkin ada komitmen lain yang perlu diutamakan.

Apabila anda mengatakan bahawa anda tidak mahu melabur kerana wang tersebut tidak boleh diambil. Anda perlu membuat kiraan perbelanjaan anda sebulan. Ini adalah penting untuk mengetahui lebihan atau surplus duit anda yang boleh digunakan untuk melabur. Kemudian, tingkatkan jumlah pelaburan anda dari tahun ke tahun menggunakan sebahagian kenaikan gaji tahunan anda. Nilai pelaburan anda akan naik berkali-ganda dengan membuat cara sebegini.

Anda perlu mengetahui instrumen-instrumen pelaburan yang menawarkan pulangan dividen yang lumayan. Tempat-tempat pelaburan yang memberi pulangan dividen yang paling tinggi perlu diberi keutamaan sekiranya anda ingin melabur. Buat potongan gaji semaksimum mungkin di tempat pelaburan ini. Ini akan memberi faedah berganda kepada anda.

Seterusnya, setelah mendapat dividen anda mungkin terfikir apakah hasil pulangan dividen ini hendak dibuat. Sudah tentu anda akan fikir untuk membeli gadget-gadget atau barang-barang idaman anda. Tetapi saya tidak berbuat demikian, saya menggunakan duit dividen tersebut dengan melaburkannya semula ke dalam akaun saham amanah. Saya pasti saya akan menlipat-gandakan duit saya sendiri melalui usaha sendiri tanpa mana-mana pinjaman bank. Inilah kuasa strategi pelaburan.

Sebenarnya, apa yang anda impikan hari esok adalah apa yang anda usahakan hari ini. Sekiranya besar pengorbanan anda dengan menangguhkan kepuasan anda terlebih dahulu pada hari ini, maka makin banyak hasil tuainnya pada hari esok. Keputusan terletak pada tangan anda. Mulakan pelaburan pada hari ini!

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, September 19, 2012

Dilema Politik dan Ekonomi Orang Melayu


Saya terpanggil untuk menulis entri ini kerana apabila saya mengunjungi rumah terbuka di rumah kenalan, bandar-bandar besar yang dilalui sepanjang perjalanan tersebut kebanyakkannya dihuni oleh orang cina sehinggakan kita menggelar bandar-bandar tersebut sebagai ‘bandar cina’. Sekiranya kita melihat bangsa ini secara lebih mendalam, bangsa ini boleh dikatakan menguasai pelbagai bidang seperti perniagaan, pelajaran, pembangunan dan sebagainya. Sehinggakan ada yang mengatakan bahawa adakah Malaysia boleh mencapai kemajuan seperti hari ini sekiranya bangsa cina tidak tinggal di negara ini? Saya rasa boleh kerana Kerajaan Melayu Melaka boleh mencapai zaman kegemilangannya tanpa orang Cina membantu Kerajaan Kesultanan Melayu dalam bidang ekonomi melainkan sebagai pedagang asing termasuk daripada negara-negara lain ketika itu.

Adakah anda teringat dengan Laksamana Cheong Ho yang melawat ke Melaka di era Kesultanan Melayu Melaka? Beliau merupakan seorang Muslim. Sebenarnya, ketika itu Maharaja China ingin juga memeluk Islam dan ingin menjadikan Islam sebagai agama rasmi di Negara China. Jika kita melihat sesebuah negara, seseorang Maharaja atau Sultan memainkan peranan utama sebagai ketua agama. Oleh itu, apabila Maharaja China ingin menjadikan Islam agama rasmi di China, rakyat menggulingkan dinasti Maharaja China tersebut kerana ingin menyekat perkembangan Islam di China. Saya tidak akan membahaskan sejarah Islam di China secara lebih lanjut di sini.

Jika kita melihat senario perkembangan politik semasa pada hari ini, DAP akan cuba melemahkan pengaruh Sultan kerana Sultan merupakan ketua agama Islam dan pelindung hak keistimewaan Bumiputera. Cara untuk melemahkan pengaruh Sultan ini ialah memastikan orang melayu terus berpecah-belah. Formulanya mudah sahaja iaitu dengan memastikan parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan PAS tidak bersatu. Apabila ada ura-ura yang mengatakan bahawa UMNO dan PAS ingin bersatu, maka DAP cepat-cepat memainkan peranan agar mereka tidak bersatu. Perkara ini disebut oleh pembahas rakan sosial Facebook saya suatu ketika dahulu kerana beliau sendiri bersekolah di Sekolah Aliran Cina dan mengetahui dengan lebih lanjut sejarah China. UMNO dan PAS pernah bersatu ketika dahulu pada tahun 1974 di dalam Barisan Nasional. Ketika itu, orang Cina melihat perpaduan orang Melayu dalam prospek yang sebenar. Pemimpin PAS ketika itu Dr. Asri Muda diberi jawatan menteri pusat dan bertanggungjawab menguruskan FELDA.

Bangsa Cina ini juga memang terkenal dalam bidang perniagaan. Sekiranya kita melihat di Shah Alam yang dikatakan sebagai bandar elit Melayu sekalipun, 90 peratus kedai-kedai tersebut dimiliki oleh orang Cina. Kajian ini dibuat oleh seorang pensyarah UiTM yang bernama Ismail Salleh. Sememangnya bangsa ini sinonim dengan bangsa yang suka menipu dalam urusan perniagaan. Tun Dr. Mahathir dalam memoirnya pun berasa pelik dengan sikap orang Melayu kerana suka mengatakan orang Cina suka menipu dalam perniagaan tetapi dalam masa yang sama, mereka membeli barangan keperluan mereka dengan bangsa ini.

Saya masih ingat sewaktu berada di pejabat lama tidak lama dahulu di Bukit Damansara ketika minum air di waktu petang di kedai makan dan hujan turun pada petang itu. Tidak lama selepas itu saya melihat kereta BMW berhenti di hadapan kedai. Saya melihat seorang pemandu Melayu keluar dari kereta dan mengambil payung. Lalu membuka pintu di tempat duduk belakang dan menyambut seorang wanita tua cina keluar dari kereta tersebut. Pemandu itu terus memegang payung untuk wanita tua cina tersebut dan mengiringinya sehingga masuk pejabat. Saya melihat seolah-solah orang Melayu ini hamba kepada orang Cina. Bolehkah kita mengatakan kita Tuan di Tanah Melayu ini sendiri sedangkan kita sebagai pemandu kepada orang Cina yang hanya merupakan sebagai kaum pendatang asing suatu ketika dahulu? Sepatutnya, bangsa ini merupakan pemandu kepada orang Melayu itu sendiri.

Faktor alam persekitaran juga mempengaruhi kedua-dua bangsa ini. Jika kita melihat faktor demografi antara Tanah Melayu dan Tanah Besar China, ianya memang terdapat perbezaan yang ketara. Di Tanah Besar China, bencana besar seringkali berlaku seperti gempa bumi, banjir besar dan sebagainya. Di sini, sesiapa yang berani, cekal dan berusaha akan dapat terus dapat meneruskan kehidupan mereka manakala bagi mereka yang malas tidak akan dapat meneruskan kehidupan mereka menghadapi cabaran yang bencana alam yang besar sebegitu rupa. Berlainan sekali dengan Tanah Melayu, di mana kawasan ini bebas daripada bencana alam kerana ia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. Di Tanah Melayu, penanaman padi merupakan penanaman ruji bagi masyarakat di sini di mana ia akan menghasilkan pengeluaran padi dua kali setahun. Masyarakat di sini akan dapat terus hidup dan beranak-pinak dengan menggunakan hasil padi yang dituai sebagai bekalan apatah lagi bebas daripada segala bencana alam. Dapat kita lihat di sini bahawa orang Melayu yang malas berusaha sekalipun akan dapat terus hidup dan beranak-pinak. Perkara ini yang menyebabkan perbezaan antara dua bangsa ini begitu ketara sekali sekiranya dilihat pada hari ini. Perkara ini disebut oleh Dr. Mahathir (Tun) dalam bukunya Dilema Melayu.

Akibat bencana alam yang sering mengancam di Tanah Besar China, orang-orang Cina lari dari tempat tinggal mereka dan berhijrah di Negara-negara Asia Tenggara. Mereka tekun berusaha dan berjaya membolot dan menguasai bidang ekonomi di negara tempat mereka menumpang termasuk Tanah Melayu. Sekiranya kita lihat di sini, orang Cina menerapan konsep hijrah yang dianjurkan oleh agama Islam itu sendiri. Hijrah itu penting bagi orang Islam kerana ia akan membawa perubahan diri kepada seseorang. Bukan orang Cina sahaja yang berjaya, malah ramai juga orang Indonesia atau dari negara-negara Asia Tenggara yang lain yang bekerja sebagai buruh kasar pada mulanya dan akhirnya berjaya membina perniagaan mereka sendiri. Saya fikir orang Melayu perlu keluar dari negara ini untuk berhijrah dan berusaha untuk hidup di tempat orang lain sekiranya untuk berjaya.

Usaha-usaha untuk membantu orang Melayu terutamanya dalam bidang ekonomi giat dilaksanakan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970 untuk mencapai ekuiti bumiputera supaya pemilikan mereka adalah pada tahap 30 peratus pada tahun 1990. Namun pada akhir tahun 1990, pencapaian pemilikan ekuiti bumiputera adalah pada tahap 19 peratus sahaja dan tidak mencapai matlamat sebenar. Jika kita perhalusi DEB ini, ia merupakan satu tindakan afirmatif iaitu tindakan memperlahankan bangsa lain khususnya Cina supaya orang Melayu tidak terlalu ketinggalan dalam bidang ekonomi dalam bidang ini.

Sekiranya kita melihat kepada ajaran Islam, adakah terdapat tindakan-tindakan afirmatif untuk memperlahankan kemajuan sesuatu yang lain bagi mengangkat ekonomi sesuatu bangsa yang lain pula? Sudah tentu tiada. Saya mungkin silap. Tetapi banyak instrumen-instrumen yang telah diperkenalkan oleh Islam itu sendiri gagal diaplikasikan atau kita sendiri yang terlepas pandang contohnya zakat, wakaf, dan sebagainya. Kita tidak pernah melihat orang yang tidak membayar zakat akan dihadapkan ke mahkamah. Ini menunjukkan bahawa instrumen-instrumen yang telah diperkenal oleh Islam itu sendiri bagi mengangkat ekonomi orang Melayu masih gagal dikuatkuasakan atau diaplikasikan sepenuhnya di negara ini. Sekiranya kita melihat di negara Turki, di sana terdapat Kementerian Wakaf yang bertanggungjawab untuk membantu ekonomi orang Islam sehinggakan mereka berjaya melaksanakan konsep wakaf itu sendiri. Contohnya, terdapat sebuah sekolah pengajian Islam di Bangi, Selangor yang diwujudkan hasil dana wakaf dari Turki. Sebenarnya, banyak instrumen-instrumen yang telah digariskan oleh Islam boleh membantu orang Melayu itu sendiri. Contohnya, dengan adanya institusi Wakaf, ia boleh membantu orang Melayu bagi memiliki lot-lot kedai yang tidak mampu dibeli oleh mereka secara individu dan ia boleh dibeli sekiranya bergerak secara beramai-ramai atau berjemaah. Begitu juga dengan zakat, ia boleh membantu keluarga fakir dan miskin. Saya masih ingat dengan kata-kata pensyarah saya suatu ketika dahulu, “Sekiranya zakat masih belum diagihkan secara adil, selagi itu akan ada rancangan Bersamamu.”

Tun Dr. Mahathir seringkali menyebut bahawa dia gagal dalam membantu mengangkat orang Melayu dalam bidang ekonomi. Saya fikir sebab-sebab dia gagal adalah disebabkan dua faktor. Faktor pertama ialah faktor beliau sendiri kerana beliau bukan merupakan seorang peniaga yang berjaya sekiranya kita membaca kisah hidup beliau. Kejayaan beliau dalam bidang perniagaan hanya sekadar berjaya menguruskan klinik peribadi peribadi dan tidak lebih daripada itu. Sekiranya ada pun, beliau pernah menjadi pemaju perumahan malangnya keuntungan tersebut digunakan untuk melabur dalam bidang bijih besi bersama rakannnya dan akhirnya projek bijih besi tersebut gagal. Perkara ini diceritakan sendiri oleh beliau dalam Memoirnya. Faktor kedua ialah beliau tidak melaksanakan dasar-dasar ekonomi yang telah digariskan oleh Islam itu sendiri. Sepatutnya Kerajaan di bawah pimpinan beliau ketika dahulu perlu melaksanakan perkara-perkara yang telah digariskan oleh Islam sepertimana yang saya sebutkan di atas. Ironinya, beliau gagal memajukan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Jika kita melihat orang Cina sekalipun, mereka mempunyai pertubuhan mereka sendiri bagi membantu peniaga-peniaganya untuk berjaya. Konsepnya sama sahaja.

Jika kita melihat orang-orang Cina di universiti, mereka seolah-olah mempunyai kuasa ajaib. Ini adalah kerana kebanyakan graduan-graduan bangsa ini mendapat Kepujian Kelas Pertama. Ada yang menceritakan kepada saya bahawa mereka kadang-kadang curi masuk ke dalam bilik pensyarah dan mengubah markah ujian mereka. Mungkin ini benar dan tidak hairanlah mereka mendapat Kepujian Kelas Pertama tetapi ia mungkin kes-kes terpencil sahaja. Menurut pensyarah saya, orang Melayu dan orang Cina itu sama sahaja. Apa yang membezakan mereka ialah orang Cina akan menumpukan 100 peratus perhatian di dalam kelas. Kemudian, mereka akan mencari bahan-bahan tambahan sebagai rujukan pelajaran mereka. Di sini dapat dilihat bahawa perbezaan antara kedua-dua bangsa ini ialah orang Cina hanya memberi tumpuan kepada 2 perkara iaitu memberi perhatian 100 peratus dalam pelajaran dan mencari rujukan lain sebagai bahan rujukan mereka.

Guru saya di sekolah menengah suatu ketika dahulu pernah menceritakan bahawa orang Cina ini tidak percaya kepada guru-guru Melayu. Mereka akan pelajari semua bahan pembelajaran sebelum diajar oleh guru-guru Melayu. Mereka bukan sekadar belajar sahaja sebelum memasuki kelas, bahkan mereka akan faham sepenuhnya terlebih dahulu sebelum pembelajaran bermula. Jika dari segi pembelajaran sekalipun, seseorang pelajar perlu faham terlebih dahulu apa yang akan dipelajari sebelum memasuki kelas. Tidak ada beza antara pelajar Melayu atau Cina sekiranya mereka berusaha lebih.

Orang Melayu memang kurang memiliki syarikat-syarikat yang bertaraf dunia melainkan menguruskan syarikat-syarikat Kerajaan atau Swasta. Apa yang saya tahu syarikat Melayu yang boleh dibanggakan ialah syarikat Mustapha Kamal yang terlibat dalam bidang hartanah selain daripada syarikat yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary. Jika adapun ia hanya dimiliki oleh kaum-kerabat yang memiliki hubungan dengan pemimpin-pemimpin negara.  Sekiranya kita melihat syarikat-syarikat GLC seperti Proton, Perodua, MAS, Sime Darby, Guthrie, Petronas dan sebagainya ia diuruskan oleh orang-orang Melayu. Ini menandakan bahawa orang Melayu mempunyai kemahiran intrapreneur iaitu kemahiran luar usahawan yang tinggi tetapi mempunyai kemahiran entrepreneur iaitu kemahiran dalam usahawan yang rendah. Ini dapat dilihat bahawa syarikat-syarikat individu Melayu yang terkemuka masih sedikit jika dilihat pada hari ini. Tidak hairanlah ramai peniaga Melayu yang gulung tikar apabila baru memulakan perniagaan kerana tidak mempunyai semangat juang yang tinggi.

Jika kita melihat pembinaan Menara Berkembar Petronas suatu ketika dahulu, ia merupakan projek usahawan Tan Sri Ananda Krishnan pada awalnya apabila dia ingin membina menara berkembar tersebut. Pada mulanya, ia memiliki kedua-dua menara tersebut atau memiliki sebuah bangunan pencakar langit tersebut. Oleh kerana beliau ingin mengambil hati orang Melayu, dia perlu mencari seorang pemodal Melayu yang memiliki duit yang banyak bagi membangunkan menara tersebut tetapi tiada melainkan hanya Petronas sahaja yang memiliki modal yang banyak bagi meneruskan projek usahasama tersebut di mana sebelah menara tersebut milik beliau manakala sebelah lagi milik Petronas. Akhirnya, beliau menjual sebelah menara milik beliau kepada Petronas. . Dapat kita dilihat di sini bahawa orang Melayu masih kekurangan pemodal-pemodal yang betul-betul mempunyai banyak wang secara individu. Saya fikir ada iaitu dan tidak lain dan tidak bukan ialah Tun Daim Zainuddin yang memiliki International Commercial Bank (ICB) yang beroperasi di seluruh dunia.

Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah iaitu Pengerusi Land & General pernah mengungkapkan bahawa apabila Tun Daim dilantik menjadi Menteri Kewangan pada tahun pertengahan 1980-an, beliau yakin bahawa Tun Daim akan lebih terbukti lebih berjaya daripada Lee Loy Seng, Lim Goh Tong (mendiang), dan Robert Kuok melalui projek pengswastaan. Apabila ini berjaya beliau memberi penghargaan terhadap diri mereka kerana berjaya membantu Tun Daim menjayakan projek pengswastaan. Dapat dilihat di sini bahawa Tun Daim yang merupakan seorang Melayu Islam dapat ‘bersaing’ dengan tokoh-tokoh perniagaan yang lain. Tidak ada apa yang membezakan seseorang sama ada warna kulit, agama dan sebagainya.

Dapat disimpulkan bahawa tiada yang membezakan seseorang sama ada dari segi agama dan bangsa bagi seseorang sekiranya ingin berjaya. Semuanya boleh berjaya sekiranya melaksanakan kaedah dengan betul dan mempunyai disiplin serta berusaha dengan kuat untuk berjaya. Bak kata Tun Daim, “ Mengapa anda tidak boleh buat? Mengapa anda tidak boleh jadi? Adakah cuma anda seorang Melayu?”


http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, September 10, 2012

Perlukah Menambah Aksesori Kereta?


Saya terpanggil untuk menulis artikel ini kerana ramai orang bertanyakan saya mengapa saya tidak menambah body kit pada kereta saya dan hanya biarkan ‘kosong’ sahaja. Sebelum itu, perlulah kita ketahui bahawa kereta itu sendiri adalah liabiliti – harganya akan menyusut dari tahun ke tahun.Berbeza pula dengan rumah di mana harganya akan naik dari semasa ke semasa. Kita juga harus memakai barangan original pada kenderaan kita supaya ia boleh digunakan untuk tempoh yang lebih panjang sepertimana yang saya telah sebutkan sebelum ini (Klik di Sini dan Klik di Sini). 

Pesan seorang sifu kewangan kepada saya bahawa apabila kita mendapat gaji baru, kita harus membuat pelaburan dan bukannya menstruktur semula pinjaman bank kita untuk mendapatkan kenderaan baru. Dalam masa 4 tahun akan datang, siapakah yang akan menjadi kaya? Orang yang membeli kereta baru atau orang yang membuat pelaburan? Saya rasa tidak perlu saya jawab soalan ini kerana saya yakin Tuan dan Puan boleh memberi jawapannya sendiri. Sekarang ini, ramai sudah bertanya saya bilakah ingin menukar kereta baru kerana kereta saya sedia ada sekarang sudah dibeli sejak tahun 2009. Saya tidak mahu mengikuti apatah lagi ingin memenuhi kehendak orang, kerana saya yang akan menanggung hutang kereta terebut dan bukannya mereka.

Berbalik persoalan tadi, perlukah kita menambah aksesori kenderaan kita? Bagi saya, sekiranya hanya sekadar untuk bergaya baik dilupakan sahaja hasrat itu. Aksesori itu hanya penting sekiranya ia memberi kemudahan kepada kita seperti memasang tinted pada cermin untuk mengelak kereta menjadi panas di bawah panas terik matahari, memasang GPS supaya kita dapat mencari arah tempat yang ingin dituju supaya kita tidak akan sesat sekaligus akan membazirkan minyak kereta, dan memasang aksesori yang boleh menjimatkan minyak kereta. Selain daripada itu, saya merasakan TIDAK PERLU. Saya fikirkan baik kita gunakan sahaja duit kita untuk membuat pelaburan seperti pelaburan unit amanah atau pelaburan untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi. Itu sahaja yang boleh saya katakan.

Kita juga perlu sedar bahawa banya majalah kereta lambakan di pasaran boleh ‘merompak’ duit kita kerana ia banyak memperngaruhi kita terutamanya kaum Adam bagi membelanjakan duit untuk membuat ubahsuai dan juga menambah aksesori. Kebanyakan kedai-kedai aksesori kereta pula menawarkan pembelian secara hutang melalui kad kredit supaya pelanggan dapat memenuhi kehendak mereka. Dari stereng sehinggalah kepada ekzos, semua ingin kita tukar. Sebenarnya, kita perlu berjaga-jaga dengan majalah kereta atau orang sekeliling kita yang suka menambah aksesori kita kerana ia merupakan faktor utama yang memperngaruhi diri kita untuk membelanjakan duit untuk perkara-perkara ini. Perkara ini disebut oleh Shamsuddin Kadir di dalam bukunya iaitu Hidup Tenang Walaupun Berhutang.

Saya sebenarnya tertarik dengan kata-kata Azizi Ali iaitu penulis buku Jutawan dari Planet Jupiter yang mengatakan bahawa beliau banyak mengenali jutawan-jutawan yang menaiki kereta mewah. Namun, tiada pun antara mereka yang mengubahsuai kenderaan mereka. Apabila kita menambah aksesori untuk kenderaan kereta yang tidak perlu untuk menunjuk-nunjuk sebenarnya kita ingin memberitahu dunia bahawa, “Sebenarnya, saya belum kaya lagi…”

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, September 8, 2012

Umpan Kad Kredit

Sekiranya seseorang ingin memancing ikan, sudah tentu dia meletakkan umpan pada rod pancingnya seperti cacing dan sebagainya supaya dapat memperolehi ikan apabila mengail. Begitu juga dengan kad kredit, pihak-pihak institusi kewangan menawarkan pelbagai faedah kepada pelanggan-pelanggannya supaya mereka terus menggunakan perkhidmatan mereka yang ditawarkan. Banyak juga perkara yang boleh kita kongsikan bersama mengenai umpan kad kredit ini. Saya petik mengenai perkara ini daripada majalah Readers Digest Edisi Bulan September 2012.

Antara ‘senjata’ paling utama untuk memastikan pelanggan terus menggunakan kad kredit ini ialah menawarkan pulangan wang tunai dengan peratus tertentu apabila berbelanja pada jumlah tertentu. Selain menawarkan bayaran balik tunai, kad kredit juga menawarkan mata atau point tertentu apabila berbelanja. Walaubagaimanapun, pulangan dalam bentuk wang tunai paling banyak menarik pengguna kad kredit. Semakin banyak berbelanja, maka semakin tinggi peratus pulangan balik wang tunai tersebut.

Sekiranya kita melihat kad kredit yang ditawarkan oleh Maybank iaitu Maybankard 2 Card American Express, ia memberikan 5 peratus pulangan balik bagi pembelian barangan runcit pada hari minggu dengan pembelian maksimum RM50 sebulan dan 5 kali mata TreatsPoints untuk setiap RM1 apabila ia digunakan. Sehingga akhir September 2012, 100 pemegang kad ahli American Express yang menggunakan kad ini RM2,000 seminggu akan menerima 20 peratus pulangan balik wang tunai iaitu sehingga RM400 sebulan. Selain itu, sesiapa merupakan pelanggan pertama kali yang mendaftarkan kad kredit Maybank  dan memilih Maybankard 2 Card American Express boleh mendapat bayaran balik tunai sebanyak RM100 apabila berbelanja RM800 atau lebih dalam tempoh 60 hari.

Ada juga tawaran kad kredit yang khusus untuk pembelian petrol. Contohnya, kad kredit Public Bank - Esso Mobil menawarkan rebat 5 peratus bagi pembelian petrol dan juga barangan bukan petrol di Stesen Minyak Esso dan Mobil di seluruh negara dengan pembelian maksimum RM50 sebulan.

Begitu juga dengan kad kredit yang ditawarkan oleh RHB Bank. Bank ini menawarkan 3 jenis kad iaitu RHB Travel Money Card yang menawarkan rebat untuk pembelian petrol, RHB Platinum Card yang menawarkan pulangan balik wang tunai untuk makan malam di hujung minggu termasuk rebat istimewa sekiranya jatuh pada hari jadi pemegang kad dan Tesco-RHB Credit Card yang menawarkan  rebat untuk pembelian barangan runcit di pasar raya Tesco.

Dapat kita perhatikan bahawa banyak tawaran-tawaran istimewa yang  ditawarkan oleh pihak bank bagi menarik perhatian orang ramai bagi menggunakan kad kredit. Kita mungkin terpedaya dengan umpan pulangan wang tunai, mata, atau rebat tertentu. Natijahnya, kita akan menggunakan kad kredit tersebut sehingga tahap maksimum. Kita harus ingat bahawa kad kredit merupakan caj tertinggi yang dikenakan berbanding dengan produk-produk bank yang lain iaitu 1.5 peratus sebulan atau 18 peratus setahun. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, September 7, 2012

Tingkatkan Simpanan, Kurangkan Hutang dan Gandakan Pelaburan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam rahmat Allah s.w.t. dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang bertaqwa di dunia ini. Ingatlah kita semua bahawa yang membezakan kita di sisi Allah adalah taqwa dan bukannya harta, pangkat atau darjat bagi seseorang manusia. Semulia-mulia manusia di sisi Allah adalah manusia yang bertaqwa. Takutlah kepada Allah s.w.t. sebelum orang berasa takut terhadap dirimu kerana sesungguhnya Allah pembela bagi orang-orang yang bertaqwa.

Dalam menguruskan sumber pendapatan kita sebagai pekerja makan gaji kita perlu menjaga tiga perkara – Simpanan, Hutang dan Pelaburan. Kita perlu menjaga tiga perkara ini dari bulan ke bulan kerana ia memberi impak yang besar kepada pengurusan kewangan kita. Apa yang hendak saya katakan di sini ialah kita perlu tingkatkan simpanan, kurangkan hutang dan gandakan pelaburan kita. Perkara ini perlu bergerak seiring apabila kita menerima pendapatan kita dari bulan ke bulan.

Saya berkata ia perlu seiring untuk ketiga-tiga perkara ini kerana kita tidak boleh menumpukan satu-satu perkara sahaja. Contohnya, kita menggunakan pendapatan bulanan kita semata-mata untuk membuat simpanan. Ini mungkin tidak masuk akal sekiranya kita membuat demikian kerana bagaimana pula dengan hutang-hutang bulanan kita seperti kereta dan rumah? Silap-silap haribulan, nama anda akan disenaraihitamkan. Begitu juga sekiranya kita asyik membuat hutang dan langsung tidak mempunyai simpanan. Ini akan menjadi barah kepada kewangan anda kerana pendapatan anda hanya digunakan untuk berhutang. Sudah tentu perkara ini akan membuatkan anda ‘sesak nafas’ apabila ditimpa musibah ataupun berada di waktu kecemasan. Sekiranya anda memperuntukkan jumlah wang yang besar untuk membuat pelaburan tanpa memikirkan perkara lain, ia juga akan menyesakkan kepala anda apabila anda dikehendaki membayar perkara yang lebih penting lagi pada masa tertentu atau ditimpa waktu kecemasan. Pendek kata, kita perlu mengutamakan yang utama dan pertimbangkan sekiranya sesuatu perkara itu tidak berapa penting untuk diri anda. Saya tidak boleh menyebutnya di sini kerana setiap orang mempunyai keutamaan yang berbeza untuk membuat perkara tertentu bagi setiap bulan.

Orang miskin berfikir dari sehari ke sehari, orang pertengahan berfikir dari bulan ke bulan dan orang kaya berfikir dari tahun ke tahun. Begitu juga perbezaan antara rumah orang miskin dan juga orang kaya. Rumah orang miskin dipenuhi dengan perabot-perabot yang mahal bahkan tidak mungkin mampu dibeli secara tunai. Manakala rumah orang kaya wajib mempunyai sebuah perpustakaan di dalam rumahnya. Setidak-tidaknya ia mempunyai koleksi buku yang tersendiri jika mahu membina sebuah perpustakaan di rumah sendiri bagi seseorang. Ini adalah kerana ilmu yang menjaga kita dan bukannya harta yang menjaga kita. Bak kata Saidina Ali Abi Talib , “Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Ilmu itu adalah menjaga engkau dan engkau pula menjaga harta. Ilmu itu adalah penghukum dan harta itu terhukum. Ilmu itu akan bertambah apabila dibelanjakan dan harta itu berkurang apabila dibelanjakan.” Begitu juga dengan urusan kewangan kita, kita perlu mempertingkatkan ilmu kewangan dari semasa ke semasa untuk menjaga aliran tunai kita setiap bulan.

Allah menyukai amalan yang sedikit yang dilakukan secara berterusan berbanding dengan amalan yang dilakukan secara banyak atau sekali tetapi dilakukan hanya sekali sahaja. Jika kita hayati perkara ini, ia mempunyai kesan yang bermakna dalam kehidupan kita ini. Apa yang hendak saya kaitkan di sini ialah dengan cara kita untuk membuat simpanan. Kita harus ingat bahawa menyimpan adalah prinsip asas dalam pengurusan kewangan kita. Sekiranya kita gagal untuk menyimpan sebahagian pendapatan kita sama ada secara kecil atau besar sekalipun, itu menandakan pengurusan kewangan kita masih lemah.

Terdapat dua kaedah untuk menyimpan iaitu dengan cara cepat ataupun secara lambat. Untuk menyimpan secara cepat ialah kita buat sahaja pinjaman bank dengan sejumlah tertentu. Kemudian, buat sahaja potongan gaji setiap bulan untuk membayar ansuran bank tersebut. Cara ini digunakan oleh sesetengah orang kerana ia akan menjadikan lebih disiplin dalam menguruskan kewangan mereka. Bagi saya, ia hanya merugikan kita kerana kita terpaksa mengorbankan sebahagian pendapatan kita untuk membayar faedah kepada bank dan memberikan mereka keuntungan. Apa yang baik bagi kita ialah buat sahaja potongan gaji setiap bulan di tempat yang sukar diambil untuk menjadikan kita berdisiplin. Tempat yang sukar diambil ialah di tempat simpanan yang tidak menyediakan kemudahan kad debit seperti di pelaburan amanah saham ataupun koperasi.

Sekiranya kita menyimpan RM200 sebulan pada bulan ini, kita akan lebih kaya pada bulan hadapan berbanding bulan ini sebanyak RM200. Ini adalah contoh angka yang kecil sahaja. Kita mungkin tidak dapat nampak hasilnya dalam tempoh yang singkat sama ada dalam tempoh 6 bulan atau setahun. Kita akan nampak usaha ini dalam sekurang-kurangnya 2-3 tahun ataupun lebih daripada itu. Anda mungkin terkejut sekiranya anda menyimpan sebahagian daripada kenaikan gaji tahunan setiap tahun kerana anda akan mendapat faedah berganda melaluinya kerana simpanan anda akan bertambah melebihi jangkaan anda. Inilah kaedah menyimpan melalui momentum sendiri tanpa membuat pinjaman mana-mana bank.

Seterusnya setelah membuat simpanan yang stabil, kita perlu mengenal pasti lubang-lubang hutang kita yang merobek ketenangan hidup kita. Sekiranya kita mempunyai hutang yang banyak sekalipun, cubalah menyimpan walaupun RM10 sebulan. Dengan RM10 sekalipun, anda boleh membeli Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN). Jika anda mempunyai rezeki yang baik, anda boleh memiliki kereta idaman tersebut melalui Sijil Simpanan tersebut. Anda seharusnya mengurangkan hutang anda dari semasa ke semasa. Hanya ilmu sahaja yang dapat menyelesaikan masalah hutang sebenarnya walaupun kita mempunyai sumber pendapatan yang terhad. Bukannya membuat hutang lain yang mempunyai kadar faedah yang lebih rendah daripada hutang sekarang bagi menyelesaikan masalah hutang sedia ada sekarang. Kita perlu tentukan bilakah kita menikmati kebebasan kewangan kita iaitu bebas daripada beban hutang. Tentukan sekarang sama ada 10 tahun lagi, 20 tahun lagi ataupun mungkin lebih daripada tempoh tersebut.

Saya sebut tajuk di atas iaitu ‘Gandakan Pelaburan’ kerana pelaburan adalah bertambah secara eksponen saban tahun sekiranya kita tidak ‘mengusik’ dividen yang diperolehi setiap tahun. Contohnya simpanan pelaburan kita pada tahun pertama ialah RM10,000 dengan kadar faedah 10 peratus setahun. Pada tahun kedua, simpanan pelaburan kita akan menjadi RM11,000. Kemudian pada tahun ketiga, simpanan tahun ketiga kita akan menjadi RM12,100. Inilah yang dinamakan sebagai kuasa eksponen dalam pelaburan. Ia akan naik dari tahun ke tahun. Ini belum ditambah lagi sekiranya kita membuat caruman atau tambahan wang ke simpanan pelaburan kita setiap bulan. Gunakan duit pelaburan ini untuk perkara yang berfaedah yang boleh menambah nilai aset kita dan bukannya liabiliti kita.

Setakat ini dulu penulisan saya pada kali ini. Apa yang hendak dikatakan di sini ialah kita perlu pandai untuk mengimbangkan 3 perkara ini iaitu simpanan, hutang dan pelaburan. Ia akan memberi kesan yang baik kepada kewangan kita sekiranya kita pandai untuk merancang untuk ketiga-tiga perkara ini. Utamakan yang utama dan ketepikan perkara yang tidak utama.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, September 2, 2012

PRU 12 : Kuat Sama Kuat, BN yang Lemah atau PR yang Kuat?


PRU-12 pada tahun 2008 baru sahaja berlalu 4 tahun lepas dan seolah-olah ianya berlaku baru semalam sahaja. PRU-12 menyaksikan pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga dominasi BN dalam parlimen di Malaysia sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 1957 melainkan tahun 1969. Sudah menjadi tradisi dalam sesuatu pilihanraya umum bahawa parti lawan akan mengharapkan agar kelemahan parti lawannya dibelengu dengan sesuatu isu agar dapat menawan ke atas DUN, parlimen atau negeri.

Ini dapat dilihat pada tahun 1999 di mana PAS dapat menawan Terengganu kerana faktor Anwar Ibrahim. Namun begitu, PAS hanya dapat memerintah Terengganu hanya sepenggal sahaja. Menurut Lim Kit Siang, faktor utama kegagalan PAS mempertahankan Terengganu adalah disebabkan kerana merasa selesa setelah menawan negeri warisan Sultan Zainal Abidin III tersebut selepas PRU-10 (1999).

Manakala Kelantan pula dapat ditawan oleh PAS kerana isu pertelingkahan UMNO pada tahun 1987 yang menyebabkan Parti Semangat 46 dibawah pimpinan Ku Li bergabung dengan PAS bagi menawan Kelantan daripada BN pada pilihanraya pada tahun 1990. Namun, PAS terus dapat mempertahankan negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut sehingga ke hari ini kerana faktor Nik Aziz walaupun terus dihimpit untuk menerima dana daripada persekutuan bagi memajukan negeri tersebut. Ini dapat dilihat sendiri melalui pada PRU-11 di mana PAS dapat mempertahankan negeri tersebut walaupun BN memperolehi mandat yang besar selepas peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir (Tun) kepada Abdullah Ahmad Badawi (Tun). Ini adalah disebabkan faktor kesederhaan Nik aziz dalam memimpin Kelantan yang terus mendapat sokongan rakyat Kelantan sehingga Utusan Malaysia melaporkan “Ketokohan Nik Aziz Terus Sukar Digugat” selepas pasca PRU-11.

Melainkan PRU-9 di mana BN berada dalam kuat dan pembangkang berada dalam keadaan lemah menurut Zaid Ibrahim. Pada era pertengahan 1990-an ini, BN sedang mencapai zaman kegemilangannya ketika ini.

Namun, hidup adalah ibarat roda. Zaman kegemilangan BN mula menyusut sejak Abdullah mengambil kepimpinan negara dari Tun Dr. Mahathir pada tahun 2003. Rakyat memperlihatkan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Abdullah pada tahun 2008 melalui peti undi apabila apabila Kerajaan Barisan Nasional menerima ‘renjatan elektrik’ pada malam 8 Mac 2008 selepas pengiraan undi dibuat. Angin bertukar menjadi badai dan badai bertukar menjadi tsunami. Akhirnya, BN kehilangan 5 buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, dan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini adalah penentangan terhadap kepimpinan Abdullah Badawi yang melepasi sempadan agama dan kaum di mana corak pilihanraya pada kali ini adalah lebih Malaysian.

Saya tertarik dengan tulisan A Kadir Jasin dalam bukunya ‘Pilihan raya 2008 : Rakyat Sahut Cabaran’. Untuk pengetahuan anda, A Kadir Jasin baru-baru ini menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara 20011. Berikut adalah analisis beliau mengenai punca-punca kegagalan BN dalam Pilihan Raya 2008 :

1. Keadaan Ekonomi yang Tidak Terkawal

Bermula awal tahun 2006, kenaikan besar harga bahan petroleum dan diikuti oleh kenaikan cukai taksiran, cukai rokok dan minuman keras, tarif elektrik dan air serta tol lebuh raya dan hasil menjejaskan kos sara hidup dan inflasi menyebabkan rakyat marah dan kewibawaan pemerintah dipertikaikan. Malangnya, Kerajaan ketika itu semakin hari semakin percaya kepada suara sendiri walaupun mereka tahu keadaan sebenar bukanlah seperti yang digambarkan.

2. Kadar Jenayah yang Semakin Meningkat

Peningkatan kadar jenayah juga meningkat di bawah kepimpinan Abdullah. Rakyat tersentak dan marah dengan peningkatan besar kadar jenayah dan kejadian tragik seperti pembunuhan Mongolia, Altantuya Shaariibu, penculikan dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin serta kehilangan Sharlinie Mohd Nashar.

Rakyat juga marah terhadap Abdullah di mana beliau sendiri merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri sehingga beliau berkata “Apa dah Jadi?” selepas dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam satu taklimat pada akhir tahun 2007 mengenai kadar jenayah yang meningkat.

3. Bersih 1.0

Keadaan semakin bercelaru apabila rakyat dari pelbagai kaum bersatu di bawah panji-panji Bersih 1.0 (Semasa artikel ini ditulis perhimpunan Bersih 4.0 bertemakan Janji Demokrasi semasa sambutan kemerdekaan dibuat pada malam semalam tetapi gagal seperti dilaporkan) berhimpun di ibu negara dan mencatat sejarah dengan menyembahkan pertisyen kepada Yang di Pertuan Agong. Pada hari sama, Utusan Malaysia menyiarkan tajuk berita yang memetik Perdana Menteri sebagai berkata : “Saya Pantang Dicabar”. Cabaran Abdullah ini disambut dengan puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri Abdullah bafi menuntut pilihan raya bersih. Kemudian, ia diikuti dengan perhimpunan orang India yang bergabung di bawah Badan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara pada 25 November 2007.

4. Tindak-tanduk Kabinet Dapur

Dengan mempamerkan gaya hidup elit yang keterlaluan dan keakraban dengan Perdana Menteri Abdullah oleh watak-watak yang didakwa berpengaruh ke atas beliau memburukkan lagi persepsi ke atas Abdullah.

5. Kesan Pakatan Pembangkang

Kesan pakatan longgar pihak pembangkang – Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan Parti Islam Se Malaysia (Pas) – berjaya mengelak pertandingan sesama sendiri dan mencabar BN satu lawan satu. Malang bagi Abdullah, beliau hanya menyifatkan pakatan tersebut sebagai “Syok-syok sahaja”. Beliau tidak sedar bahawa pakatan ini berjaya mengurangkan tanpa bertanding BN daripada 17 kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri pada tahun 2004 kepada 7 kerusi Parlimen dan 2 Dun. Selain itu, pertukaran kerusi pada saat-saat akhir bagi memenuhi tuntutan  parti-parti komponen atau untuk meletakkan calon-calon terpilih menimbulkan kemarahan kepimpinan dan ahli UMNO tempatan. Kesannya, ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang tewas kepada calon pembangkang.

6. Sikap Cakap Lepas Pemimpin BN

Selain sikap Perdana Menteri yang sering mencabar rakyat, pemimpin-pemimpin utama BN seperti Presiden MIC merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Sammy Vellu dan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin turut melakukan kesilapan serupa. Natijahnya, kedua-kedua pemimpin ini kalah dalam pilihan raya.

7. Faktor Anwar Ibrahim

Keputusan PRU 2008 jelas menunjukkan faktor keberkesanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pengantara di PKR, PAS dan DAP. Anwar menggunakan kaedah rundingan dua peringkat yang ternyata berkesan. Pada peringkat pertama, beliau berunding dengan DAP kerana DAP dan PAS tidak boleh duduk bersama. Dalam rundingan itu, PKR dan DAP membahagikan kerusi Parlimen dan DUN kepada dua. Sebahagian kepada DAP dan sebahagian lagi kepada PKR. Pada pusingan kedua, Anwar berunding pula dengan PAS bagi membahagikan baki kerusi Parlimen dan DUN antara PKR dan PAS.

Hasil rundingan itu, PKR bertanding 97 kerusi Parlimen & 171 DUN, PAS 67 Parlimen & 232 DUN, dan DAP 47 Parlimen & 104 DUN. Kemantapan barisan pembangkang ini terbukti berkesan apabila PKR memnangi 31 Parlimen & 40 DUN, PAS memenangi 32 Parlimen & 83 DUN dan DAP 28 Parlimen dan 73 DUN.

Kesannya, Barisan Alternatif (dikenali sebagai Pakatan Rakyat pada hari ini) berjaya menghapuskan kelebihan dua pertiga BN di Dewan Rakyat di samping menawan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor serta Kedah dan 10 daripada 11 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kesan Pilihan Raya Umum 2008

Nampak jelas dalam pilihan raya umum pada kali ini berbanding pilihan raya sebelum ini iaitu perbezaan yang ketara di mana corak pengundian yang lebih “Malaysian” dalam erti kata semua kaum menolak BN dan memihak kepada pembangkang.  Mungkin inilah kali pertama dalam sejarah pilihan raya umum apabila pengundi Melayu mengundi calon-calon bukan Melayu yang mewakili DAP dan PKR. Sebelum ini, pengundi Melayu hanya mengundi calon PAS dan calon bukan Melayu daripada parti-parti komponen BN. Ini memberi gambaran bahawa penentangan terhadap BN di kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi adalah menyeluruh dan melepasi garisan kaum dan agama.

Daripada analisa di atas, segala kelemahan BN memberi laba modal yang besar kepada barisan pembangkang untuk memenangi kerusi parlimen dan menguasai lima buah negeri dan satu Wilayah Persekutuan. Kita harus ingat walaupun pilihan raya ini lebih bersifat “Malaysian”, ia sebenarnya adalah disebabkan oleh kelemahan BN dan bukannya disebabkan oleh barisan pembangkang yang kuat.

 Menurut Tun Dr. Mahathir (TDM) dalam blog beliau, terdapat 300,000 undi rosak, satu angka yang mungkin terbesar dalam pilihan raya. Tidak mungkin setelah 50 tahun dan 11 Pilihan Raya Umum (PRU) pengundi masih lagi tidak tahu bagaimana hendak mengundi. Ini disebabkan sesetengah ahli UMNO masih tidak sanggup mengundi pembangkang. Oleh itu, mereka sengaja merosakkan undi mereka.Menurut beliau lagi dalam memoirnya, beliau menyifatkan PRU ke-12 tersebut sebagai undi protes. Beliau menyatakan demikian kerana Malaysia masih lagi sebuah sebuah negara yang bersifat perkauman. Hanya apabila orang Melayu cukup yakin yang mereka yang boleh bersaing dengan orang Cina dalam bidang ekonomi dan orang Cina pula bersedia menghentikan penekanan terhadap asal-usul mereka keturunan serta perbezaan mereka dengan kaum lain maka barulah politik berbilang kaum yang tulen akan lahir.

Pada Mac 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan Presiden UMNO dan menjadi Perdana Menteri yang keenam dari Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tun Daim Zainuddin yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi pilihan raya yang sukar pada tahun 2008 ditanya pula mengenai ramalan beliau mengenai PRU-13, beliau menjawab , “Mood raya sudah berubah. Terdapat tanda-tanda keyakinan pemulihan ekonomi dibawah kepimpinan Najib.”

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com