Sunday, May 31, 2020

Ulasan Buku: Anak Malaya di Republik Turki


Buku ‘Anak Malaya di Republik Turki’ adalah berkisar kisah mengenai pelajar yang bernama Thaqib Shaker yang menuntut di Izmir. Apabila dilihar dari cover buku ini saya fikir ianya sebuah buku travelog seperti buku ‘Jangan Berhenti Berlari’ tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman ataupun buku ‘Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu’ tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Malangnya, buku ini adalah menceritakan mengenai perlarian Syria di Izmir, Turki. Tajuk buku ini sepatutnya ‘Pelarian Syria di Izmir’. Penulisan buku ini agak mendatar dan tiada turun naik.

Penulis menceritakan bahawa orang-orang Turki sebenarnya menerima pelarian Syria di bumi Turki. Apabila saya bertanya kepada rakan saya yang menuntut satu kelas di Universiti Malaya, sebenarnya rakyat Turki tidak menerima kehadiran para pelarian Syria ini. Kadang-kadang pelarian ini membawa masalah di tempat mereka seperti masalah sosial dan sebagainya. Selain itu, Erdorgan pula sebenarnya mempunyai niat politik terhadap pelarian-pelarian ini dan membenarkan mereka tinggal di Turki. Apabila Eropah mencari masalah dengan Turki, Erdorgan akan mengugut untuk membuka sempadan negaranya supaya para pelarian Syria ini boleh memasuki mana-mana negara Eropah.

Buku ini berkisar mengenai bantuan penulis kepada para pelarian Syria sewaktu belajar di Izmir. Penulis suka memberi bantuan keperluan harian seperti minyak, garam, beras, dan patung kertas kepada para pelarian Syria ini. Penulis juga menceritakan mengenai sikap wanita Turki yang kurang menghormati suami mereka dan atas faktor ini lelaki Turki sudi memperisterikan gadis dari Malaysia kerana budaya wanita timur lebih menghormati suami mereka.

Pelarian-pelarian Syria yang melarikan diri dari negara mereka menggunakan khidmat penyeludup untuk memasuki Turki atau negara Eropah yang lain. Bayarannya ialah antara USD700-1,200 seorang. Pelarian-pelarian Syria yang berada di Turki amatlah ramai. Di Turki, terdapat 10 buah kota utama yang menjadi tumpuan para pelarian ini. Antaranya ialah Sanliurfa seramai 400,000 orang, Istanbul (395,000 orang), Hatay (387,000 orang), Gaziantep (326,000 orang), Adana (150,000 orang), Mersin (138,000 orang), Kilis (129,000 orang), Mardin (98,000 orang), Bursa (97,000 orang), dan Izmir (90,000 orang).

Banyak kisah suka-duka para pelarian di Syria di Izmir yang penulis ceritakan di dalam buku ini. Penulis juga menubuhkan pertubuhan sukarelawan bagi membantu para pelarian ini. Semoga konflik di Syria akan berakhir suatu hari nanti dan para pelarian ini boleh kembali semula ke tanah air mereka.

Wallhua’lam.

Wednesday, May 20, 2020

Di Celah-Celah Sifat Berjimat-Cermat Itu Mungkin Ada Barakahnya

Sabda Nabi Muhammad s.a.w., “Janganlah kamu membazir walaupun mengambil wuduk di sungai yang sedang mengalir.” Nah, dalam berwuduk sekalipun Nabi Muhammad s.a.w. melarang kita daripada membazir walaupun di sungai yang mengalir! Ini bermakna Islam juga menitikberatkan juga hal mengenai pembaziran.

Buku-buku kewangan yang ditulis oleh orang-orang Barat ataupun lebih tepat lagi ditulis oleh orang-orang kafir, ianya tidak akan menyebut soal keberkatan kerana ianya mengabaikan konsep ketuhanan. Apa maknanya jika bercakap mengenai kekayaan yang bertimbun tetapi tidak menyebut soal keberkatan? Inilah yang membezakan pengurusan kewangan antara orang-orang Islam dan orang-orang kafir. Apabila kita menyebut mengenai keberkatan, kita sebenarnya menyebut hal-hal yang berkaitan dengan ketuhanan ataupun dengan pemberi rezeki kepada kita. Dalam Islam, keberkatan itu adalah kebaikan yang bertambah.

Cuba kita kaitkan pula dengan wang gaji yang kita terima pada setiap bulan. Apakah dengan wang gaji yang kita terima itu pada setiap bulan mempunyai keberkatan? Apakah wang gaji kita itu dibelanjakan pada hal-hal yang membawa kebaikan kepada kita atau lebih penting lagi dibelanjakan untuk kehidupan kita di kampung abadi kelak? Jika wang gaji kita tiada keberkatan, kita membelanjakannya di tempat-tempat yang tidak halal. Sila tepuk dada tanya iman.

Apabila kita menyebut soal keberkatan, kita sebenarnya tidak boleh lari daripada konsep berjimat-cermat. Hatta dalam soal makanan pun kita tidak boleh membazir walaupun sisa-sisa makanan yang masih melekat di jari kita. Pada yang halus itu, mungkin ada barakahnya yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Sepertimana kisah tuan rumah saya dahulu yang menceritakan kepada saya, walaupun dia bekerja sebagai guru dengan gred DG48 dan isterinya tidak bekerja manakala rakannya bekerja sebagai guru dengan gred DG54 dan isterinya juga bekerja sebagai guru dengan gred DG48 tetapi tuan rumah saya itu menaiki kereta Mercedes Benz dengan tinggal di rumah landed sendiri. Manakala rakannya pula hanya menaiki Proton Wira dengan tinggal di rumah teres satu tingkat. Di mana silapnya? Silapnya ialah rakannya itu suka membazir dengan suka membeli pakaian-pakaian baharu walaupun pakaian-pakaian lama masih boleh dipakai dan digunakan.

Inilah kehebatan mencari keberkatan dalam pengurusan kewangan kita dalam kehidupan. Kebaikan yang bertambah walaupun dengan gaji yang tidak seberapa dan kadang-kadang boleh mengalahkan gaji-gaji pegawai kerajaan gred Jusa A!

Apabila menyebut mengenai pengurusan kewangan, ianya adalah konsep untuk menumpukan penambahan ekuiti ataupun harta. Harta ini terpulang kepada anda sama ada hartanah ataupun emas ataupun duit berkepuk dalam ASB ataupun Tabung Haji. Apabila kita cuba mengaitkannya dengan konsep berjimat-cermat, lebihan daripada wang pendapatan kita dapat digunakan untuk penambahan ekuiti ataupun aset kita.

Kesilapan kita dalam pengurusan kewangan kita ialah kita gagal memberi nilai yang tinggi terhadap wang 1 sen. Apabila kita cuba mengaitkannya dengan soal keberkatan, kadang-kadang Allah s.w.t. memberi keberkatan kepada nilai 1 sen ini kepada kita. Kadang-kadang kita tidak sedar dengan duit kita dan hanya sedar apabila ianya telah tiada dalam dompet kita kerana dibelanjakan pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

Pokoknya di sini ialah kita menitikberatkan aspek keberkatan dalam hidup ini dengan mengamalkan gaya hidup dengan sifat jimat-cermat. Inilah yang membezakan kita sebagai orang Islam dengan orang-orang kafir. Sesungguhnya pada celah-celah yang halus itu ada barakahnya.

Wallahua’lam.

Wednesday, May 13, 2020

Memiliki Perniagaan tetapi Tidak Menjadi Peniaga, Memiliki Pelaburan tetapi Tidak Menjadi Pelabur

Agak menarik juga jika kita berfikir bait-bait ini, “Memiliki perniagaan tetapi tidak menjadi peniaga, memiliki pelaburan tetapi tidak menjadi pelabur.” Saya mula terfikir mengenai perkara ini apabila terbaca sebuah buku kewangan. Jika difikirkan semula, ada benarnya perkara ini jika kita membuat secara ‘joint venture atau jv bersama dengan orang lain. Dengan kata lain, kita menjadi ‘sleeping partner’ ataupun ‘rakan kongsi tidur’ sahaja.

Akan tetapi, kita sebenarnya tidaklah mendapat 100 peratus hasil daripada perniagaan ataupun pelaburan apabila menjalankan usaha-usaha ini bersama dengan orang lain. Ini bermakna orang yang menjalankan pelaburan ataupun bisnes yang mendapat bahagian yang lebih hasil keuntungan yang diperolehi. Mereka ini sebenarnya bertindak sebagai pengusaha sebenar yang berani menghadapi risiko untuk menjana pendapatan ataupun keuntungan daripada wang kita.

Sebagai pekerja makan gaji, kita sudah tentu terikat dengan waktu kerja dengan majikan. Adalah amat mustahil jika ingin menjadi peniaga sepenuh masa ketika ini dengan membuat dua kerja dalam satu masa. Oleh itu, jalan mudah jika ingin menjalankan perniagaan ialah membuat secara ‘partnership’ dengan orang lain. Modal yang digunakan adalah milik kita dan kita boleh mengupah orang untuk menjalankan bisnes kita.

Saya ada seorang rakan yang menjalankan bisnes pokok getah. Walaupun dia bekerja di Kuala Lumpur tetapi dia mempunyai ladang getah di kampungnya, Kelantan. Apa yang dilakukan oleh beliau untuk menjalankan bisnes getahnya? Caranya ialah beliau mengupah orang bagi menjaga ladang getah beliau. Hasil getah yang dijual dibahagi sama rata antara beliau dengan orang yang menjaga ladang getah beliau tersebut.

Sebenarnya, banyak lagi peluang pelaburan di luar sana selain daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB) ataupun Tabung Haji (TH). Sebagai orang Melayu ataupun Bumiputera, kita tidak lari daripada membuat pelaburan bagi kedua-dua tabung ini. Namun begitu, kita boleh membuat lagi pelbagai pelaburan lain yang masih banyak lagi di luar sana. Tidak kira sama ada hartanah, emas, dan sebagainya.

Memiliki perniagaan dan pelaburan adalah penting sebagai sumber pendapatan pasif kita. Kita tidak perlu bekerja tetapi wang datang kepada kita. Kita hanya perlu mempunyai modal untuk menjalankan bisnes. Apa yang lebih penting lagi kita sudah membuat persediaan di hari tua nanti apabila telah pencen kelak.

Wallhua’lam.

Monday, May 4, 2020

‘Great Game’ di Iran



Objektif utama perjanjian Anglo-Rusia pada tahun 1907 adalah untuk menyelesaikan persaingan antara Britain dan Rusia bagi kepentingan mereka di Asia Tengah. Persaingan kuasa politik ini dikenali sebagai ‘Great Game’ dan Iran menjadi wilayah sasaran bagi kedua-dua kuasa besar ini. Sejak kurun ke-19M. Ketika ini, Iran dipimpin oleh Dinasti Qajar (1794-1925M). Dinasti Qajar ini mewarisi wilayah Iran yang lemah akibat persaingan kuasa-kuasa besar dunia dan perang saudara yang meletus di wilayah sendiri. Britain meluaskan empayarnya di India sehingga ke bahagian sempadan timur di Iran manakala Rusia pula meluaskan pengaruhnya di Laut Kaspian di bahagian selatan Iran. Dengan kata lain, Iran tidak dapat mengelak daripada menjadi mangsa ‘Great Game’ yang dicetuskan oleh kuasa-kuasa besar ini.

Sumber: Eric Hooglund, “Iran and World War I” dlm. M. Hakan Yavuz dan Feroz Ahmad, War and Collapse: World War I and The Ottoman State, (Salt Lake City: The University of Utah Press).

Sunday, May 3, 2020

Bagaimana Orang-Orang Melayu Menunaikan Haji pada Tahun 1924?

Makkah Ketika Era Pemerintahan Uthmaniyah.


Haji Abdul Majid bin Zainuddin, Pegawai Haji Tanah Melayu yang pertama telah mencatatkan pengalamannya menunaikan haji pada tahun 1924. Antara catatan beliau yang menarik adalah seperti berikut:

• Kos menunaikan haji sekitar 500 hingga 600 Ringgit Malaya.

• Jemaah haji akan bertolak / mula belayar pada bulan Rejab iaitu lima bulan sebelum bulan Haji (Zulhijjah).

• Sebelum berangkat menunaikan haji, kenduri doa selamat akan diadakan oleh orang yang ingin menunaikan haji.

• Ada dua pelabuhan untuk berangkat ke Mekah iaitu Singapura dan Pulau Pinang.

• Pelayaran dari Tanah Melayu ke Mekah mengambil masa antara 13 hingga 17 hari.

• Sebelum kapal sampai ke pelabuhan Jeddah, kapal akan singgah di Pulau Camaran yang terletak sekitar 500 batu dari pelabuhan Jeddah terlebih dahulu untuk dikuarantinkan. Semua jemaah mesti mandi dengan air garam dan mereka mesti mencuci pakaian mereka dengan wap pembasmi kuman.

• Kapal laut hanya akan berlabuh sekitar 5 batu dari pelabuhan kerana pelabuhan Jeddah banyak batu karang.

• Dari kapal laut, jemaah haji akan menaiki perahu Arab yang dinamakan sebagai Dhow bersama semua barangan mereka menuju ke pelantar pelabuhan Jeddah.

• Jemaah haji akan dipimpin oleh seseorang yang dinamakan sebagai Syeikh Haji yang mana bertindak sebagai mutawif dan pembimbing.

• Sampai di pelabuhan, barangan mereka akan diperiksa oleh kastam dan seterusnya mereka akan membawa barang mereka ke atas kereta keldai lalu di bawa ke rumah tumpangan yang telah disediakan.

• Kota Jeddah kotor, berdebu dan sempit serta banyak nyamuk dan lalat.

• Di situ ada telaga besar sebagai sumber air dan air di Jeddah tidak sebaik air di kampung-kampung Melayu.

• Jemaah haji tidak boleh tinggal di Jeddah lebih dari dua hari.

• Sebelum bertolak ke Mekah, jemah haji telah siap memakai ihram. Perjalanan dari Jeddah ke Mekah mengambil masa dua hari dengan menaiki unta. Seekor unta dinaiki oleh dua orang Jemaah.

• Jemaah haji Tanah Melayu akan singgah bermalam di sebuah tempat yang bernama Bahra. Di sini terdapat orang-orang Arab Badwi yang menjual kayu api. Setiap jemaah akan memasak sendiri nasi dan lauk yang mereka bawa dari tanah air.

• Masalah besar yang dihadapi oleh jemaah haji Tanah Melayu ialah bekalan air mereka sering dicuri oleh orang Arab ketika mereka bermalam. Ini menyebabkan mereka kehausan dalam perjalanan ke Mekah.

• Apabila sampai di Mekah, mereka akan menunaikan umrah terlebih dahulu yang dinamakan di kalangan orang Melayu sebagai ‘haji kecil’.

• Sumber air di Mekah jauh lebih bersih dari Jeddah kerana terdapat air yang dialirkan dari pergunungan Taif ke Mekah melalui terusan Zubaidah.

• Di sekeliling Kaabah, terdapat empat buah pondok iaitu tempat imam-imam bagi keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

• Pada satu dan dua Ramadan, jemaah haji Tanah Melayu akan berangkat ke Madinah bagi menziarahi masjid dan makam Nabi sallallaahu alaihi wasallam .

• Selepas menunaikan tawaf wida’, jemaah haji Tanah Melayu akan menaiki unta untuk menuju ke Madinah. Perjalanan ke Madinah mengambil masa 13 malam.

• Jalan dari Mekah ke Madinah ada dua yang pertama dinamakan sebagai Jalan Sultan dan yang kedua dinamakan sebagai Jalan Ghir.

• Jika jemaah haji melalui Jalan Sultan, maka mereka akan singgah di 11 buah perhentian untuk berehat iaitu Wadi Fatimah, Asfan, Dof, Qadimah, Rabigh, Mastura, Bir Syaikh, Bir Hassan, Bir Khalas, Bir Abbas dan Bir Darwish.

• Jemaah haji hanya akan melakukan perjalanan pada waktu malam kerana mengelak cuaca yang panas. Perjalanan setiap hari bermula sekitar pukul 4 petang dan singgah berhenti pada pukul 4 pagi.

• Sepanjang dalam perjalanan, jemaah haji tidak dibenarkan mengambil air telaga kerana telaga-telaga adalah milik puak-puak Arab Badwi. Maka mereka terpaksa membeli air-air yang dijual oleh Arab Badwi yang mana air-air itu dibawa dengan bekas kulit kambing.

• Walau bagaimanapun, di Wadi Fatimah terdapat saluran air semulajadi. Maka di sinilah rombongan jemaah haji berpeluang untuk mandi dan membasuh baju dengan percuma.

• Disebabkan perjalanan dilakukan pada waktu malam, rombongan jemaah haji terdedah dengan bahaya rompakan dan peras ugut dari puak-puak Badwi. Ramai jemah haji yang dirompak dan diperas ugut. Ada yang ditahan selama beberapa hari yang menyebabkan mereka tiba di Madinah lebih dari 13 malam. Malah ada yang dibunuh.

• Jemaah haji penulis sendiri ditahan di Bir Abbas selama 9 hari.

• Semasa zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyah, perkara ini tidak berlaku kerana setiap rombongan jemaah haji akan diiringi oleh tentera-tentera Uthmaniyah.

# Ada banyak lagi catatan yang menarik yang dikongsikan oleh Haji Abdul Majid terutamanya tentang peristiwa haji. Setakat ini dulu perkongsian saya buat kali ini. Jika ada waktu, saya akan kongsikan lanjutan catatan kisah mengerjakan haji oleh Haji Abdul Majid ini. Betapa mujahadahnya nenek moyang kita dulu mengerjakan haji. Itu belum lagi diceritakan tentang kesusahan semasa dalam pelayaran sehingga menyebabkan ramai yang meninggal dunia.

Tulisan asal,
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Thursday, April 30, 2020

Examo Penawar Otak Melayu yang Lembap


Examo - Penawar Otak Melayu yang Lembap.



Agak kasar juga bunyi tajuk tulisan saya kali ini – ‘Examo Penawar Otak Melayu yang Lembap’. Akan tetapi itulah hakikat yang kita perlu terima untuk melangkah jauh ke hadapan. Ini bukan rasis. Jika anda masih belum tahu, Examo sebenarnya adalah ubat minda ataupun bahasa mudahnya ianya adalah ‘ubat otak’.

Jika kita sedar, sudah tentu kita akan tahu bahawa pelajar-pelajar bangsa Melayu agak ketinggalan dalam pelajaran tidak kita sama ada di peringkat rendah, menengah, mahupun pengajian tinggi. Inilah perlu kita sedari bahawa otak orang Melayu sebenarnya agak lembap berbanding dengan kaum lain kerana bangsa Melayu ini tinggal di dalam iklim khatulistiwa. 

Kalau anda perasan bahawa pelajar-pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan sebenarnya bukanlah rata-rata mereka tidak belajar atau malas baca buku. Tetapi, otak mereka sebenarnya lembap dalam menelaah pelajaran walaupun mereka ini study sehingga ke larut malam. Akhirnya, keputusan yang diharap cemerlang dalam peperiksaan berkecai begitu sahaja kerana tidak membuat persiapan untuk otak mereka. 

Anda jangan fikir bahawa otak kita tidak perlu diberi makanan apatah lagi anak-anak kita yang setiap hari ulang-alik belajar di sekolah pada setiap hari. Walaupun, kita memberi anak kita minum Milo ataupun sarapan pagi sebelum ke sekolah, kita sebenarnya membekalkan tenaga sahaja untuk mereka tetapi sayang sekali kita tidak memberi makanan minda kepada mereka sebelum belajar di sekolah. Sebab itu, kadang-kadang apabila anak-anak kita balik dari sekolah, mereka akan blur dan kadang-kadang tidak tahu apa yang mereka belajar di sekolah. Inilah juga boleh dikatakan kelemahan sikap orang Melayu. 

Baiklah, kita berbalik semula kepada Examo ini walaupun saya tidak mendapat komisen mempromosikan ubat minda ini. Examo sebenarnya telah diasaskan oleh Prof. Dr. Azizan yang menurut pengalaman beliau yang membuat soalan, pemeriksa skrip jawapan sehinggalah kepada pemarkahan, beliau menyedari bahawa pencapaian anak bangsa Melayu agak jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar bukan Melayu. 

Bermula dari sinilah beliau bermula untuk mengkaji bidang ingatan dan lupa serta kecerdasan. Sekiranya pokok boleh tumbuh subur jika diberi baja yang sesusai, otak manusia begitu juga. Belliau ‘menjumpai’ kejayaan mencungkil rahsia kelemahan bangsa Melayu apabila mempelajari ilmu perubatan Biokimia Schuessler pada tahun 1978. Kebodohan, lupa, putus, asa, hilang semangat, malas, takut gagal, lemah daya saing, misalnya adalah simpton, kesihatan mental terganggu adalah disebabkan oleh ketidak seimbangan garam mineral (garam tisu). Sejak itu, beliau telah memperkenalkan Examo bagi mengubati masalah ini. 

Adakah makanan sunnah seperti kismis dan kacang badam itu tidak bagus untuk minda?

Persoalan ini perlu kita halusi keberkesanan antara Examo dan makanan sunnah. Saya tidak mengatakan makanan sunnah ini adalah tidak bagus. Kismis sebenarnya adalah baik untuk minda tetapi tidak baik untuk penghidap kencing manis. Masalah kacang badam pula ialah ia memberikan kesan jerawat dan sudah tentu pelajar-pelajar sekolah tidak mahu masalah ini berlaku pada mereka.

Sebenarnya, makanan kismis dan kekacang badam ini perlu melalui proses penghadaman perut dan khasiatnya adalah sukar untuk sampai ke otak. Berbanding dengan Examo di mana ubat minda ini hanya perlu dikemam sahaja di lidah ataupun bawah lidah. Kesannya ialah khasiat Examo ini mampu diserap terus masuk ke saluran darah melalui lidah dan sampai ke otak. Hebat bukan? 

Pengalaman saya sendiri ialah saya telah mengambil ubat minda Examo ini sejak saya menduduki SPM lagi yakni pada tahun 2002 dan sehinggalah saat ini saya masih bekerja masih mengambil Examo kerana manfaatnya kepada saya dan bukannya isu untuk menolong bisnes orang Melayu. Ia sebenarnya memberi kecerdasan kepada otak kita. Anda boleh rasakan perbezaan otak anda sebelum dan selepas anda mengambil Examo. Cubalah!

Wallhua’lam. 

Monday, April 27, 2020

Riba’, Hutang, dan Emas

Realiti kehidupan hari ini, kita berlumba-lumba mengejar untuk membina harta yang mampu beli dunia dan seisinya. Dalam kita mengejar untuk membina harta, kita sebenarnya sibuk membuat hutang dengan bank. Apabila disebut pinjaman bank, maka ianya tidak boleh lari daripada riba’. Dosa riba’ adalah ibarat mengisytiharkan perang terhadap Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Sanggupkah kita ini ingin membeli dunia ini dengan mengisytiharkan perang terhadap Allah s.w.t. dan Rasul-Nya? 

Saya tertarik dengan orang-orang yang melabur dengan bidang hartanah. Ada yang berpuluh-puluh bahkan ratusan aset hartanah yang dimilikinya. Dalam tidak sedar, mereka sebenarnya membuat pinjaman bank sehingga ratusan juta untuk membina aset hartanah ini. Apakah kita perlu menjalankan urusan riba’ ini semata-mata untuk memiliki aset hartanah ini? 

Akan tetapi, al-Quran tidak melarang kita untuk berhutang untuk mendapatkan sesuatu. Akan tetapi, dalam hal berhutang al-Quran juga menetapkan tatacara kita untuk berhutang seperti perlu ada saksi dan sebagainya. 

Tetapi dalam al-Quran juga ada menyebut mengenai emas. Emosi manusia ini adalah terikat dengan emas. Firman Allah s.w.t. dalam Surah at-Taubah ayat 34, “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya di jalan Allah, maka huruf kabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Di sini, Allah s.w.t. memberi amaran kepada sesiapa yang liat untuk membayar zakat emas mahupun perak. Akan tetapi, menyimpan emas itu tidak salah selagi mana kita membayar zakat sekiranya cukup haul dan nisab.

Dalam kehidupan ini, kita mempunyai dua cara untuk membina harta iaitu cara yang dimurkai Allah s.w.t. atau yang diredhai oleh-Nya. Pilihan terletak di tangan kita bagaimana kita untuk membina harta.

Wallahua’lam.