Wednesday, May 20, 2020

Di Celah-Celah Sifat Berjimat-Cermat Itu Mungkin Ada Barakahnya

Sabda Nabi Muhammad s.a.w., “Janganlah kamu membazir walaupun mengambil wuduk di sungai yang sedang mengalir.” Nah, dalam berwuduk sekalipun Nabi Muhammad s.a.w. melarang kita daripada membazir walaupun di sungai yang mengalir! Ini bermakna Islam juga menitikberatkan juga hal mengenai pembaziran.

Buku-buku kewangan yang ditulis oleh orang-orang Barat ataupun lebih tepat lagi ditulis oleh orang-orang kafir, ianya tidak akan menyebut soal keberkatan kerana ianya mengabaikan konsep ketuhanan. Apa maknanya jika bercakap mengenai kekayaan yang bertimbun tetapi tidak menyebut soal keberkatan? Inilah yang membezakan pengurusan kewangan antara orang-orang Islam dan orang-orang kafir. Apabila kita menyebut mengenai keberkatan, kita sebenarnya menyebut hal-hal yang berkaitan dengan ketuhanan ataupun dengan pemberi rezeki kepada kita. Dalam Islam, keberkatan itu adalah kebaikan yang bertambah.

Cuba kita kaitkan pula dengan wang gaji yang kita terima pada setiap bulan. Apakah dengan wang gaji yang kita terima itu pada setiap bulan mempunyai keberkatan? Apakah wang gaji kita itu dibelanjakan pada hal-hal yang membawa kebaikan kepada kita atau lebih penting lagi dibelanjakan untuk kehidupan kita di kampung abadi kelak? Jika wang gaji kita tiada keberkatan, kita membelanjakannya di tempat-tempat yang tidak halal. Sila tepuk dada tanya iman.

Apabila kita menyebut soal keberkatan, kita sebenarnya tidak boleh lari daripada konsep berjimat-cermat. Hatta dalam soal makanan pun kita tidak boleh membazir walaupun sisa-sisa makanan yang masih melekat di jari kita. Pada yang halus itu, mungkin ada barakahnya yang Allah s.w.t. berikan kepada kita. Sepertimana kisah tuan rumah saya dahulu yang menceritakan kepada saya, walaupun dia bekerja sebagai guru dengan gred DG48 dan isterinya tidak bekerja manakala rakannya bekerja sebagai guru dengan gred DG54 dan isterinya juga bekerja sebagai guru dengan gred DG48 tetapi tuan rumah saya itu menaiki kereta Mercedes Benz dengan tinggal di rumah landed sendiri. Manakala rakannya pula hanya menaiki Proton Wira dengan tinggal di rumah teres satu tingkat. Di mana silapnya? Silapnya ialah rakannya itu suka membazir dengan suka membeli pakaian-pakaian baharu walaupun pakaian-pakaian lama masih boleh dipakai dan digunakan.

Inilah kehebatan mencari keberkatan dalam pengurusan kewangan kita dalam kehidupan. Kebaikan yang bertambah walaupun dengan gaji yang tidak seberapa dan kadang-kadang boleh mengalahkan gaji-gaji pegawai kerajaan gred Jusa A!

Apabila menyebut mengenai pengurusan kewangan, ianya adalah konsep untuk menumpukan penambahan ekuiti ataupun harta. Harta ini terpulang kepada anda sama ada hartanah ataupun emas ataupun duit berkepuk dalam ASB ataupun Tabung Haji. Apabila kita cuba mengaitkannya dengan konsep berjimat-cermat, lebihan daripada wang pendapatan kita dapat digunakan untuk penambahan ekuiti ataupun aset kita.

Kesilapan kita dalam pengurusan kewangan kita ialah kita gagal memberi nilai yang tinggi terhadap wang 1 sen. Apabila kita cuba mengaitkannya dengan soal keberkatan, kadang-kadang Allah s.w.t. memberi keberkatan kepada nilai 1 sen ini kepada kita. Kadang-kadang kita tidak sedar dengan duit kita dan hanya sedar apabila ianya telah tiada dalam dompet kita kerana dibelanjakan pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya.

Pokoknya di sini ialah kita menitikberatkan aspek keberkatan dalam hidup ini dengan mengamalkan gaya hidup dengan sifat jimat-cermat. Inilah yang membezakan kita sebagai orang Islam dengan orang-orang kafir. Sesungguhnya pada celah-celah yang halus itu ada barakahnya.

Wallahua’lam.

1 comment:

ewanthology said...

kalau selalu mengular semasa kerja juga ditakuti gaji tidak berkat.