Buku ‘Anak Malaya di Republik Turki’ adalah berkisar kisah mengenai pelajar yang bernama Thaqib Shaker yang menuntut di Izmir. Apabila dilihar dari cover buku ini saya fikir ianya sebuah buku travelog seperti buku ‘Jangan Berhenti Berlari’ tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman ataupun buku ‘Di Hamparan Shamrock Ku Seru NamaMu’ tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Malangnya, buku ini adalah menceritakan mengenai perlarian Syria di Izmir, Turki. Tajuk buku ini sepatutnya ‘Pelarian Syria di Izmir’. Penulisan buku ini agak mendatar dan tiada turun naik.
Penulis menceritakan bahawa orang-orang Turki sebenarnya menerima pelarian Syria di bumi Turki. Apabila saya bertanya kepada rakan saya yang menuntut satu kelas di Universiti Malaya, sebenarnya rakyat Turki tidak menerima kehadiran para pelarian Syria ini. Kadang-kadang pelarian ini membawa masalah di tempat mereka seperti masalah sosial dan sebagainya. Selain itu, Erdorgan pula sebenarnya mempunyai niat politik terhadap pelarian-pelarian ini dan membenarkan mereka tinggal di Turki. Apabila Eropah mencari masalah dengan Turki, Erdorgan akan mengugut untuk membuka sempadan negaranya supaya para pelarian Syria ini boleh memasuki mana-mana negara Eropah.
Buku ini berkisar mengenai bantuan penulis kepada para pelarian Syria sewaktu belajar di Izmir. Penulis suka memberi bantuan keperluan harian seperti minyak, garam, beras, dan patung kertas kepada para pelarian Syria ini. Penulis juga menceritakan mengenai sikap wanita Turki yang kurang menghormati suami mereka dan atas faktor ini lelaki Turki sudi memperisterikan gadis dari Malaysia kerana budaya wanita timur lebih menghormati suami mereka.
Pelarian-pelarian Syria yang melarikan diri dari negara mereka menggunakan khidmat penyeludup untuk memasuki Turki atau negara Eropah yang lain. Bayarannya ialah antara USD700-1,200 seorang. Pelarian-pelarian Syria yang berada di Turki amatlah ramai. Di Turki, terdapat 10 buah kota utama yang menjadi tumpuan para pelarian ini. Antaranya ialah Sanliurfa seramai 400,000 orang, Istanbul (395,000 orang), Hatay (387,000 orang), Gaziantep (326,000 orang), Adana (150,000 orang), Mersin (138,000 orang), Kilis (129,000 orang), Mardin (98,000 orang), Bursa (97,000 orang), dan Izmir (90,000 orang).
Banyak kisah suka-duka para pelarian di Syria di Izmir yang penulis ceritakan di dalam buku ini. Penulis juga menubuhkan pertubuhan sukarelawan bagi membantu para pelarian ini. Semoga konflik di Syria akan berakhir suatu hari nanti dan para pelarian ini boleh kembali semula ke tanah air mereka.
Wallhua’lam.
No comments:
Post a Comment