Tuesday, December 31, 2013

Kisah Ini Sesuai Buat Renungan Pemimpin Negara

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Malaysia hari ini semakin huru-hara. Barang-barang perkhidmatan mahupun keperluan semakin naik. Rakyat semakin tertekan akibat barang-barang keperluan asas naik. Jika silap sedikit melanggar kereta orang alamatnya badan dibelasah dengan kerambit. Apa sudah jadi dengan Malaysia pada hari ini. Mari kita renungi kata-kata Imam al-Ghazali :
“Rosak rakyat kerana rosak pemimpin. Rosak pemimpin kerana rosak ulama’. Rosak ulama’ kerana cintakan dunia.”
Dengan kata-kata tersebut marilah kita merenungi kisah yang berlaku pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz di mana serigala pun tidak berani makan kambing disebabkan oleh kesolehan sikap Umar Abdul Aziz. Apa yang menarik daripada kisah ini ialah “Apabila kepala (pemimpin) berfikiran waras maka tubuh badan (rakyat) tidak akan menghadapi sebarang masalah.” Begitulah dengan situasi Malaysia pada hari ini, sekiranya pemimpin berfikiran waras maka rakyat tidak akan menghadapi sebarang masalah.
Kisah Asal
Malik bin Dinar berkata : “Setelah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menjadi khalifah, sesetengah daripada Gabenor telah menulis surat kepada beliau yang berbunyi: Sesungguhnya orang ramai apabila terdengar perlantikan tuan sebagai khalifah, mereka berlumba-lumba mengeluarkan zakat dan zakat fitrah. Oleh itu, harta kerajaan telah bertambah dengan banyaknya. Disini saya tidak mahu untuk bercerita panjang mengenainya sehinggalah tuan terlebih dahulu membalas surat saya ini dengan menyatakan pandangan tuan mengenai perkara ini.”

Umar lalu membalas surat tersebut dengan katanya: “Demi umur ku! Mereka berbuat demikian kerana mereka tahu apakah sikap ku dan juga engkau terhadap harta zakat tersebut mengikut sebagaimana yang mereka yakini. Oleh itu, mana-mana timbunan harta Baitulmal yang masih kau simpan sehingga ke hari ini, aku perintahkan agar semuanya engkau bahagikan kepada mereka yang berhak menerimanya setelah engkau menatap surat ku ini.”

Malik bin Dinar berkata lagi: “Setelah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz memerintah: Berkatalah pengembala-pengembala kambing yang berada di puncak bukit: “Siapakah khalifah soleh yang sedang memerintah sekarang?” Lalu ada orang yang bertanya kepada mereka: “Bagaimanakah engkau boleh mengetahui bahawa khalifah sekarang seorang yang soleh?” Jawab mereka: “Kebiasaanya apabila seorang khalifah yang soleh memerintah sesebuah kerajaan, nescaya serigala dan singa akan menjauhkan diri dari mengganggu ternakan kami.”

Hassan Al-Qassar meriwayatkan: “Suatu ketika semasa pemerintahan Umar Bin Abdul Aziz, setelah selesai memerah susu kambing, aku telah lalu di hadapan seorang penggembala. Kebetulan pada masa itu terdapat lebih kurang 30 ekor serigala sedang bercampur gaul dengan kambing-kambingnya sedangkan aku menyangka kesemuanya itu anjing kerana sebelum ini aku tidak pernah melihat serigala, oleh itu aku tidak mengenalinya,”

“Lalu aku bertanya kepada penggembala tersebut: “Apakah yang kau kau harapkan dengan anjing yang sebegini banyak?” Jawabnya: “Wahai anakku! Kesemuanya yang kau nampak itu bukannya anjing tetapi sebenarnya serigala.” Aku lantas berkata kepadanya sambil terkejut kehairanan: “Subhanallah! Bagaimana serigala yang sebegini banyak tidak mengganggu langsung kambing-kambing tersebut?” Jawabnya: ”Wahai anakku, apabila kepala (pemimpin) berfikiran waras maka tubuh badan (rakyat) tidak akan menghadapi sebarang masalah. Peristiwa tersebut berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.”

Musa Bin A’yan meriwayatkan: “Suatu ketika di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, kami telah memelihara kambing di suatu tempat bernama Kirman. Demi Allah, di saat itu serigala tidak mengkhianati kambing walaupun bercampur gaul di dalam satu kawasan.”

“Tiba-tiba suatu malam, kami dapati serigala telah mengganggu kambing-kambing tersebut. Lalu aku pun berkata; “Peristiwa ini berlaku mungkin kerana Khalifah Umar Bin Abdul Aziz telah wafat.” Berkata Hammad: “Ada perawi yang telah meriwayatkan kepadaku cerita ini dan lainnya memberitahu bahawa mereka yang mengembala kambing beranggapan sesungguhnya kejadian serigala kembali mengganggu kambing mereka adalah ekoran kematian Khalifah Umar Bin Abdul Aziz dan apabila disiasat, mereka dapati bahawa pada malam tersebut Khalifah Umar memang benar-benar telah wafat.”


Sumber : http://pondokhabib.wordpress.com

Friday, December 27, 2013

Tea'o RM1.00, Tea'o Ais RM1.50

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
Tea'o biasa berharga RM1.00 dan tea'o ais berharga RM1.50. Saya pernah bertanyakan penjual makanan di pasar raya. Berapakah harga satu bag ais? Dia menjawab RM3.00 bagi satu bag. Bayangkan keuntungan yang diperolehi kedai-kedai makan melalui air sahaja.
 
Terima kasih. 

Wednesday, December 25, 2013

Ketibaan Tahun 2014 : Apakah yang Telah Kita Capai pada Tahun 2013?

Assalamualakum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Tok Guru Haji Hadi apabila ditanya oleh wartawan apakah azam untuk tahun baru ketika masyarakat ingin menyambut tahun baru beberapa tahun dahulu. Beliau menjawab azamnya ialah bukannya mengikut tahun masihi tetapi mengikut tahun hijrah. Subhanallah.

Akan tetapi sebagai orang awam saya hanya mengikut tahun masihi sahaja dan saya yakin tuan-tuan dan puan-puan semua mengikut tahun masihi. Apa yang penting ialah kita perlu mempertingkatkan prestasi, amalan, dan pencapaian kita. Bak kata Saidina Ali r.a. sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam maka berbahagialah orang itu. Sekiranya hari ini sama dengan hari semalam maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam maka celakalah orang itu.

Bagaimana pula dengan prestasi pengurusan kewangan kita sepanjang tahun 2013? Adakah semakin  baik ataupun buruk? Atau sama sahaja dengan tahun-tahun sebelum ini?

2 indeks prestasi petunjuk utama (KPI) yang boleh dijadikan panduan dalam pengurusan kewangan kita iaitu hutang dan simpanan. Apakah hutang kita semakin bertambah atau berkurang? Adakah simpanan kita semakin bertambah atau berkurang? Sekiranya hutang semakin berkurang maka prestasi kewangan kewangan kita adalah semakin baik. Begitu juga dengan simpanan kita. Sekiranya simpanan kita semakin bertambah maka pengurusan kewangan kita semakin baik.

Ketika ini rakyat dihimpit oleh kenaikan kos sara hidup - gula naik, minyak naik, tarif elektrik naik, tol naik, dan beberapa lagi barangan lain mungkin menyusul akan naik selepas ini. Duit not RM50 pada sekarang sudah seolah-olah hanya mempunyai nilai yang sangat kecil di mana ia tidak akan tahan untuk 3 hari untuk orang bujang seperti saya. Bagaimana anda yang telah mendirikan rumah tangga? Sudah tentu kos sara hidup semakin meningkat berbanding dengan kos sara hidup orang yang belum mendirikan rumah tangga. Untuk berbelanja di pasar malam sahaja pun boleh mencecah RM100.  

Hidup semakin tertekan. Mahu tidak mahu kita boleh bertindak balas dengan alam sekeliling. Subsidi makin lama makin dikurangkan kerana sumber semakin berkurang dan rakyat semakin bertambah. Bagaimana kita bertindakbalas dengan alam sekeliling? Adakah mencipta pendapatan baru? Mengurangkan perbelanjaan harian? Atau kekalkan sahaja gaya hidup lama dengan simpanan makin mengecil? Terpulang kepada masing-masing. 

Saya akan terus menulis mengenai pengurusan kewangan kerana ia akan mengingatkan saya supaya berhati-hati menguruskan kewangan kita. Apabila kita menasihati orang lain kita juga akan menasihati diri sendiri. Semoga penulisan di blog ini akan menjadi panduan yang berguna kepada saya dan anda semua.

Pendek kata, kita perlu membuat introspeksi (muhasabah) kewangan kita. Membuat pemeriksaan dan analisa di mana dan apa yang telah kita bazirkan. Seterusnya kita boleh mengelakkan pembaziran kita sebagai simpanan dan sekaligus sebagai pendapatan pasif kita. Akhir kata dari saya, wassalam. 

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, December 21, 2013

ASB Umum Agihan Pendapatan 7.70 Sen Seunit dan Bonus 1.00 Sen Seunit


KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.70sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahunkewangan berakhir 31 Disember 2013.

Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM9.38 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 17.4% berbanding dengan RM7.99 bilion yang dibayar pada tahun 2012.

Peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM706.88 juta, iaitu peningkatan sebanyak 3.84% berbanding dengan RM680.73 juta yang dibayar pada tahun 2012 oleh PNB.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 8.26 juta pemegang unit yang melanggan 127.2 bilion unit ASB.

Jumlah pendapatan kasar ASB pada 31 Disember 2013 dijangkakan sebanyak RM9.92 bilion. Pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM4.41 bilion atau 44.5% daripada keseluruhan pendapatan kasar, manakala pendapatan daripada keuntungan jualan saham menyumbang sebanyak RM4 bilion atau 40.3%. Selebihnya, iaitu RM1.51 bilion atau 15.2% adalah daripada lain-lain pendapatan.

Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2013. Pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh 10 tahun dari tahun 2004 sehingga tahun 2013.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus bagi tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun para pemegang unit. Para pemegang unit boleh mengemaskinikan buku pelaburan ASB masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2014.

Semua urus niaga bagi ASB di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 22 Disember 2013 sehingga 1 Januari 2014 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.

ASB adalah sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap yang disasarkan kepada Bumiputera berumur 6 bulan ke atas. Sasaran tabung ASB ialah menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit dan pada masa yang sama, memastikan pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.

Sumber : www.asnb.gov.my

Friday, December 20, 2013

Bukan Semua Orang Boleh Berniaga.

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Bukan semua orang boleh berniaga kerana untuk menjalankan perniagaan bakat seseorang adalah menjadi point penting bagi menentukan seseorang boleh berniaga. Apa gunanya mempunyai modal yang besar, cable atau networking yang besar sekalipun sekiranya tiada bakat untuk berniaga. Sememangnya perniagaan mempunyai daya tarikan yang cukup hebat, namun tidak semua orang boleh berniaga.

Ia melibatkan risiko yang tinggi dan tidak semua orang akan berjaya. Lapan puluh peratus perniagaan lingkup dalam tahun pertama. Selepas lima tahun, hanya lima peratus yang masih bertahan. Peratusan kegagalan ini cukup tinggi. Oleh itu, anda dinasihatkan agar berhati-hati jika mahu berniaga. Cerminlah diri anda dan tanyakan pada diri sama ada anda sudah bersedia untuk menghadapinya. Sudahkah anda membuat persiapan mengenai produk yang hendak diniagakan, mengkaji saingan serta keadaan pasaran? Sudahkah anda berbincang dengan anggota keluarga? Bolehkah anda bertahan selama setahun tanpa mendapat satu sen pun? Jika soalan ini mempunyai jawapan-jawapan negatif, maka ada baiknya anda mengasah kemahiran dahulu. Jika tidak, peluang untuk gagal agak besar. Wang lesap, pening kepala, sakit badan dan sakit hati. Semua ini bukan idaman mana-mana individu. 

Malah, sesetengah orang sewajarnya tidak menceburi bidang perniagaan kerana mereka sememangnya tidak layak berbuat demikian. Mereka yang tidak seharusnya terlibat dalam perniagaan ialah orang yang tidak ingin menjadi kaya, hendak menjadi kaya secepak mungkin, tidak bersedia untuk berkorban, dan tidak mempunyai pengalaman yang berkaitan.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com


Diadaptasi dari : Azizi Ali, 2010, Jutawan Dari Planet Jupiter!

Thursday, December 19, 2013

PTPTN : Jangan Membayar Sekali-Sekala

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
 
Semoga Tuan-tuan dan Puan-puan yang sentiasa mengunjungi blog ini untuk mendapatkan tips-tips kewangan dari semasa ke semasa sentiasa berada dalam keadaan sihat walaifiat dan dianugerahkan keberkatan rezeki setiap masa. Tidak kira sama ada kita ini hidup senang ataupun susah tetapi pastikan bahawa rezeki yang kita perolehi itu adalah berkat. Berkat itu adalah bermaksud ‘zidatul khoir’ dalam bahasa arabnya atau keberkatan yang bertambah. Ke manakah rezeki kita yang diperolehi itu setiap bulan dibelanjakan? Adakah ia dibelanjakan ke arah kebaikan atau sebaliknya? Jika kita membelanjakannya ke arah kebaikan, ini bermakna kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat berkat Allah s.w.t. Jika sebaliknya, kita perlu muhasabah diri kita ke manakah kesilapan kita dalam memperolehi rezeki kita.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :
“Barangsiapa yang inginkan dunia maka wajib ke atasnya ilmu. Barangsiapa yang inginkan akhirat maka wajib ke atasnya ilmu. Barangsiapa yang ingin kedua-duanya maka wajib ke atasnya ilmu.”
Hadis ini menjadi panduan kepada kita supaya mendapatkan ilmu terlebih dahulu tidak kira untuk mencapai kejayaan dunia mahupun akhirat atau kedua-duanya sekali. Begitu juga dalam menguruskan wang kita, kita perlulah ilmu untuk mengurusnya. Sekiranya kita tidak pandai mengurusnya, alamatnya duit yang diterima pada setiap bulan sering dikatakan tidak mencukupi.

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah mengenai PTPTN. Saya mudahkan sahaja penulisan saya. Sebenarnya, terdapat 4 jenis kategori peminjam PTPTN setelah habis belajar :
1. Membayar lump – sum : Anda peminjam bertaraf lima bintang.

2. Membayar mengikut jadual : Anda peminjam berdisiplin.

3. Membayar sekali-sekala : Anda dalam bahaya.

4. Langsung tidak Bayar : Anda peminjam spesies mangkuk-hayun.

Saya lebih suka ingin menyebut mengenai jenis peminjam yang ke-4 iaitu peminjam jenis mangkuk-hayun iaitu langsung tidak membayar pinjaman PTPTN. Biasanya golongan ini terdiri daripada penyokong-penyokong pembangkang yang mengharapkan agar pihak pembangkang memenangi pilihanraya dan seterusnya akan menghapus-kira pinjaman PTPTN. Saya ia tidak mungkin dapat dibuat kerana bagaimana pinjaman RM30 bilion boleh dihapus-kira begitu sahaja. Apa yang lebih mencuit hati lagi ialah pihak pembangkang tidak dapat menunaikan pendidikan percuma. Inikan pula memberi pendidikan universiti percuma. Bagi saya pembangkang hanya tahu ingin nak mengarut.
Apa yang saya ingin tekankan pada penulisan kali ini ialah sikap peminjam yang membayar pinjaman sekali-sekala. Anda mungkin ingat bahawa anda sudah terlepas daripada disenaraihitamkan walaupun anda sudah membayar PTPTN secara sekali-sekala. Anda memang benar.

Akan tetapi, anda harus ingat bahawa caj pinjaman PTPTN adalah berdasarkan kepada baki kini dan bukannya caj secara tetap. Ini bermakna sekiranya anda masih ada baki kini, selagi itu caj akan dikenakan.
Contoh mudah ialah anda mengambil pinjaman berjumlah RM21,000. Ini bermakna caj yang dikenakan 3% setahun atau RM630 setahun dengan kadar RM52.50 sebulan. Bayangkan anda hanya membayar RM300 pada tahun pertama sekali itu sahaja. Maka caj RM630 atau RM52.50 sebulan akan dikenakan pula pada tahun kedua. Ini bermakna caj ini akan terus naik sekiranya masih ada baki kini pinjaman. Oleh itu, anda haruslah konsisten membayar setiap bulan untuk 2 tujuan iaitu tujuan yang pertama ialah untuk ‘menahan’ caj dari terus naik dan tujuan yang kedua ialah membayar pokok agar baki pinjaman semakin berkurang dari semasa ke semasa. Caj ini juga akan terkena kepada peminjam kategori ke-4 iaitu peminjam jenis ‘mangkuk-hayun’ seperti kategori yang ke-3 yang disebut di atas.

Langkah yang paling selamat ialah membuat sahaja pembayaran secara ujrah untuk menyelamatkan wang anda daripada membayar caj PTPTN dari semasa ke semasa. Apa yang menarik ialah caj untuk pembayaran secara ujrah adalah secara tetap iaitu 1% setahun dan tidak berdasarkan kepada baki kini. Contohnya, sekiranya pinjaman adalah RM21,000 maka caj yang dikenakan ialah RM210 sahaja setahun atau RM17.50 sebulan. Cuma cara membayar kaedah ini ialah kita perlu membayar secara potongan gaji.
 
Ada sesetengah orang menganggap kaedah ujrah ini menyusahkan kononnya akan menyukarkan untuk mendapatkan pinjaman bank kerana slip gaji sudah ‘dicemari’ dengan pembayaran PTPTN. Akan tetapi, saya sebagai penulis kewangan yang profesional (kata orang) menganggap ia tidak membawa masalah kepada kita bahkan ia sebenarnya menolong kita supaya tidak perlu pening kepada untuk membayar pinjaman PTPTN sehingga habis apatah lagi caj yang dikenakan adalah kurang dari pembayaran biasa iaitu kita boleh menjimatkan sehingga 2%. Selain itu, kita boleh mengelak membayar caj bank apabila membayar di kaunter-kaunter bank.
Pendek kata, hutang perlu dibayar sehingga habis. Sekiranya kita tidak membayarnya, hidup tidak tenang dan rezeki pun susah ingin masuk. Usahakan sahaja walaupun dalam kesempitan. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa diberkati oleh-Nya. Amin.
 
Sekian, terima kasih.
 

Menunaikan Zakat : Benchmark Tanda Solat Kita Diterima

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Salah satu tanda solat kita diterima ialah diri kita akan sentiasa melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan kerana solat itu mencegah daripada melakukan amalan keji dan mungkar. Selain itu, cara kita untuk melihat solat kita diterima atau tidak ialah kita melihat sama ada kita menunaikan zakat ataupun tidak. Inilah yang dikatakan oleh Dr. Zaharuddin Abdul Rahman.

Banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menggabungkan perintah solat dan zakat dalam satu ayat. Ini diibaratkan perintah solat dan zakat ini adalah adik-beradik kembar yang melengkapkan antara satu sama lain. Contohnya surah-surah berikut yang berbunyi :

“Dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat.”al-Baqarah : 43

“Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang dikatakan kepada mereka, "Tahanlah tanganmu (dari berperang), dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat!" ...” an-Nisa’ : 77

“Jika mereka bertaubat, mendirikan sholat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengetahui.” at-Taubah : 11

“Dan Kami menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka agar berbuat kebaikan, melaksanakan shalat, menunaikan zakat, dan hanya kepada Kami mereka menyembah.” al-Anbiya : 73

Dapat dilihat daripada contoh-contoh ayat di atas bahawa perintah menunaikan solat diiringi dengan perintah menunaikan zakat. Oleh itu, untuk melihat sama ada solat kita diterima ataupun tidak kita perlu melihat sama ada kita menunaikan zakat ataupun tidak. Sekiranya kita berasa selalu ingin menunaikan zakat, mudah-mudahan itu petandanya solat kita sempurna dan diterima oleh Allah s.w.t. Jika sebaliknya, maka kita perlu memeriksa solat kita balik dimanakah perkara-perkara yang tidak disempurnakan seperti wuduk, suci dari najis,  atau hadas dan sebagainya.

Wallhua’lam.