Thursday, December 10, 2015

Cuit-cuit : Apakah Hukum Lagu ‘Assalamulaikum Dunia’?


Apakah hukum lagu ‘Assalamualaikum Dunia’ nyanyian Faizal Tahir?

Apabila memberi salam, ia hanya dibenarkan untuk orang-orang Islam sahaja.

Adakah lagu ‘Assalamualaikum Dunia’ ditujukan kepada semua umat manusia termasuk orang-orang bukan Islam?

Jika lagu ini untuk semua orang termasuk bukan Islam, sudah tentu ia tidak dibenarkan.

Wallhua’lam.

  http://wankamarul701.blogspot.my 

Monday, December 7, 2015

Baiklah Hati, Baiklah Penulisannya (Bahagian 2)

Menulis merupakan aktiviti utama di kalangan ulama’ terdahulu. Imam Nawawi apabila ditanya mengapa beliau tidak berkahwin menjawab, “Aku bukanlah menentang perkahwinan bahkan aku meriwayatkan hadis mengenai perkahwinan. Akan tetapi kesibukan aku dengan mengarang ilmu menyebabkan aku tidak dapat menyelesaikan masalah kehidupan aku.” Memang tidak dinafikan hadis 40 riwayat Imam Nawawi ada menyebut mengenai perkahwinan walhal beliau sendiri tidak pernah berkahwin sepanjang hidupnya.

Realiti dunia pendidikan hari ini cuba memisahkan aliran antara agama dan sains. Sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini cuba memisahkan antara agama dan sains. Ini dapat dilihat apabila pelajar-pelajar memasuki alam sekolah menengah atas di mana terdapat 2 aliran iaitu aliran agama atau aliran sains. Memang tidak dinafikan dalam aliran sains peringkat menengah atas, memang terdapat pembelajaran subjek agama tetapi ia hanya terbatas atau mungkin hanya untuk menjawab kertas peperiksaan sahaja.

Apabila memasuki alam universiti, pembelajaran ilmu agama semakin jauh lagi untuk dipelajari apabila pelajar mengambil jurusan aliran sains. Ketika pada zaman saya, pelajar hanya diwajibkan mempelajari subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sahaja. Roh keagamaan di peringkat universiti boleh dikatakan tiada bagi pelajar yang sudah mengambil jurusan sains. Subjek TITAS diperkenalkan sebenarnya adalah untuk memupuk perpaduan di Malaysia supaya pelajar bukan Islam dapat mengenai Islam dengan lebih dekat lagi.

Keilmuan ulama’-ulama’ terdahulu bukan hanya terbatas kepada ilmu-ilmu agama sahaja bahkan lebih jauh daripada itu. Mereka juga terlibat dalam bidang ilmu sains. Lihat sahaja ulama’ melayu Nusantara iaitu Sheikh Daud al-Fattani. Beliau bukan sahaja mahir dalam bidang agama tetapi juga dalam ilmu falak dan ilmu matematik. Siapa kata orang yang belajar ilmu agama sebenarnya tidak mahir dalam ilmu sains?

Sepatutnya sistem pendidikan IPTA pada hari ini perlu dikaji semula. Ada baiknya pelajar-pelajar jurusan sains diwajibkan mengambil subjek agama pada setiap semester sebagai mata pelajaran teras. Ini memastikan pelajar-pelajar sentiasa kembali kepada nilai-nilai Islam dan menjadikannya sebagai penghayatan dalam kehidupan. Dengan ini, ia dapat membina sahsiah, akhlak, dan keperibadian tinggi mulia pekerti dalam melahirkan insan yang kamil.

Jika tidak, tidak hairanlah penuntut-penuntut universiti hari ini terjebak dalam masalah sosial dan kita sudah tentu biasa mendengar perkara bukan-bukan yang biasa dilakukan oleh pelajar universiti ketika masih menuntut. Apabila ilmu agama dalam hati penuntut, maka roh-roh ini menjaga dirinya daripada kelalaian melakukan perkara-perkara maksiat.

Apabila menyebut maksiat, ia bukannya hanya terbatas atau terhad kepada minum arak dan berzina sahaja. Pemikiran kita hanya meletakkan maksiat itu hanya terbatas kepada dosa-dosa besar. Tetapi, maksiat sebenarnya adalah melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Pendek kata, ilmu agama dan sains sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam penulisan kita. Lebih daripada itu. Dalam aspek kehidupan dalam membina keperibadian seseorang muslim, ilmu agama juga perlu seiring dengan ilmu sains dalam konteks sistem pendidikan kita. Lebih jauh lagi, ia sebenarnya adalah penting dalam membina masyarakat yang boleh menghayati nilai-nilai Islam.

Wallhua’lam.

Friday, December 4, 2015

Baiklah Hati, Baiklah Penulisannya

Sesungguhnya kata-kata Nabi adalah kata-kata daripada Allah s.w.t. yang sememangnya dibahaskan oleh ulama-ulama sepanjang zaman.

"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.”

Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir
Baiklah hati, baiklah penulisannya. Itulah generalisasi dan konklusi yang saya dapat buat jika saya hayati semula sabda nabi di atas. Penulisan adalah datang daripada tangan dan pemikiran penulisnya. Jika penulis itu baik, maka baiklah penulisannya. Jika buruk, buruklah penulisannya.
Sememangnya ulama’-ulama’ dahulu menjadikan menulis menjadi sebahagian daripada aktiviti utama kehidupan mereka. Lihat sahaja karya-karya ulama’ dahulu seperti Imam al-Ghazali, Imam Shafie, dan sebagainya. Karya-karya mereka menjadi tatapan, bacaan, kajian, perbahasan di kalangan umat Islam sejak zaman-berzaman  khususnya dalam mengeluarkan ijtihad baru berhubung sesuatu isu yang baru. Mujurlah karya-karya para ulama’ ini tiada hak cipta. Jika tidak, letihlah syarikat-syarikat penerbitan membayar royalti kepada keturunan mereka.
Diri kita ini tidak dapat lekang daripada membuat dosa-dosa kecil atau besar. Sekiranya kita membuat satu dosa, maka satu titik hitam akan hinggap ke hati kita. Cara untuk menyucikan semula hati kita ialah dengan memperbanyakkan istighfar kerana istighfar merupakan penawar yang paling mujarab dalam menghapuskan dosa-dosa kita. Dengan ini, dapatlah kita membaiki semula diri kita.
Fitnah, momokan buruk, dan maki-hamun dalam penulisan pada hari ini sudah menjadi mainan dan makanan bagi sesiapa inginkan kuasa politik. Adalah mustahil tulisan-tulisan atau blogger-blogger upahan pihak tertentu ini datang daripada orang-orang yang menjaga hatinya.
Di manakah class tulisan kita? Adakah sama taraf dengan barang-barang yang dijual di pasar malam ataupun setaraf dengan barang-barang yang dijual di pasar raya? Jika di pasar malam, minyak wangi yang dijual pada harga RM100 pun sudah dikatakan mahal manakala minyak wangi yang dijual pada harga yang sama di Pasar raya  Sogo masih dikatakan terlalu murah.
Apa yang penting ialah kita perlu menjaga kualiti tulisan kita. Tulisan yang hebat dan berkesan ialah tulisan yang mampu mempengaruhi dogma atau pemikiran masyarakat. Bak kata Syed Qutb, “Satu peluru boleh menembusi satu kepala manakala satu tulisan boleh menembusi pemikiran jutaan manusia.”
Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Sunday, November 22, 2015

Ilmu Sejarah adalah Ilmu yang Berkembang.


Dogma masyarakat hari ini ialah hanya sains dan matematik sahaja adalah ilmu yang berkembang. Manakala ilmu sejarah adalah ilmu statik aka ilmu yang tidak berkembang. Sebenarnya, ilmu sejarah adalah ilmu yang berkembang. Perbezaannya ialah ilmu sains dan matematik adalah bersifat mutlak manakala ilmu sejarah adalah bersifat relatif atau subjektif bergantung kepada sejarawan atau penyelidiknya sendiri.

Ilmu sejarah adalah ilmu yang tiada sempadan tempat dan waktu. Ruang kajiannya adalah mencakupi dunia Barat dan Timur. Ruang waktunya ialah dari zaman awal tamadun dunia sehingga zaman moden dunia hari ini. Adalah tidak bijak jika ada dakwaan yang menyatakan bahawa ilmu sejarah itu statik dan apa lebih teruk lagi ialah sejarah itu adalah sesuatu yang membosankan dan pembacaannya cukup sekadar menjadi ubat tidur.

Contohnya satu campur satu adalah dua. Manakala penafsiran sesuatu ilmu sejarah adalah bergantung kepada budaya, sosial, ataupun agama penyelidiknya. Contohnya ialah dalam kejadian pembukaan Kota Konstantinople. Jika kita lihat seseorang sejarawan yang berada di atas pentas Islam, maka beliau akan menganggap pembukaan Kota Konstantinople adalah dibuat secara seadil-adilnya menurut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Islam sehinggalah jihad merupakan jalan sebenar untuk membuka kota tersebut.

Berlainan pula dengan sejarawan Barat yang melihat pembukaan Kota Konstantinople itu daripada sudut negatif. Lebih buruk daripada itu, ilmu yang ditulis oleh pihak mereka menjauhi daripada hakikat sebenar yang dibajai dengan sentimen kebencian terhadap Islam itu sendiri.

Pembuktian ini dapat dilihat menerusi tulisan sejarawan Barat iaitu Steven Runciman melalui bukunya iaitu The Fall of Constantinople yang melihat pembukaan kota ini melalui sudut negatif. Beliau tidak memanggil Kota Istanbul dalam penulisannya tetapi terus mengekalkan nama kota tersebut dengan nama Kota Konstantinople. Begitu juga dengan orientalis Barat iaitu John Frely dalam bukunya iaitu The Grand Turk yang mendakwa Sultan Muhammad al-Fatih membunuh adiknya sendiri demi kelangsungan politiknya.

Ini menyebabkan ilmu sejarah itu adalah ilmu yang menarik untuk dikaji. Walaupun sesuatu penemuan sejarah itu adalah objek yang perlu dikaji. Namun tafsiran yang dibuat oleh pengkajinya dalam penghasilan itu menjadi subjektif dan ini menyebabkan ilmu sejarah itu adalah menarik untuk dikaji dan sentiasa berkembang. Ia akan membentuk perspektif pro dan kontra bergantung kepada pengkajinya.

Sememangnya sejarah agung Uthmaniyah ini masih banyak tersimpan dan masih belum diterokai. Di Republic of Turkey Prime Ministry General Directorate of State Archives menjelaskan bahawa masih terdapat 150 juta keping dokumen berupa manuskrip dan surat-surat rasmi sepanjang pemerintahan kerajaan Uthmaniyah yang masih belum disentuh untuk dikaji.

Sesungguhnya ilmu sejarah itu membentuk fikrah individu dan secara tidak langsung membentuk akhlaknya. Apabila masyarat mempunyai fikrah yang tinggi, maka ia juga sekaligus akan membentuk suatu tamadun yang agung di mana kajian ilmu-ilmu lain seperti sains dan matematik dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dari itu, ia akan melahirkan suatu tamadun yang agung sepanjang zaman yang kemudiannya pula akan menjadi sejarah untuk ditatapi oleh generasi akan datang.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Friday, November 13, 2015

Apabila Badan Agama Menjadi Lubuk Duit, Tunggulah Saat Kehancuran

Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dilantik Perdana Menteri atas nasihat Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengarah Pusat Pemantauan dan pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir berkata, ia berdasarkan surat yang dihantar Jamil kepada Pengerusi dan Presiden Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Abd Malek Awang Kechil. Surat itu memaklumkan persetujuan Perdana Menteri melantik Abd Malek ke jawatan itu bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2016.

Jamil turut melampirkan suratnya kepada Perdana Menteri mengenai senarai penuh cadangannya bagi jawatan Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM termasuk timbalan pengerusinya, Datuk Hajah Siti Zaleha Hussin.

Semalam, Akmal mendedahkan Abd Malek bersama Siti Zaleha dan keluarganya memperolehi pendapatan RM2 juta setahun menerusi 26 jawatan yang disandang mereka dalam YaPEIM. Justeru, Akmal mempersoalkan sama ada Jamil selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyedari kemungkinan pecah amanah dan salahgunakuasa dalam yayasan itu.

 “Adakah Datuk Seri Jamil Khir Baharom sedia mengaku kemungkinan berlakunya pecah amanah, ketirisan dan salah guna kedudukan di agensi YaPEIM sedangkan beliau merupakan Menteri yang bertanggungjawab dan keseluruhan Lembaga Pemegang Amanah dilantik atas nasihat beliau?

 “Adakah beliau berani mendesak Datuk Seri Najib Razak memecat kedua-kedua individu tersebut dan ahli keluarga mereka daripada semua jawatan di YaPEIM termasuk kedudukan mereka dalam Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM untuk menghentikan ketirisan yang berlaku di agensi berkenaan?

 “Atau adakah beliau turut menerima manfaat daripada YaPEIM sedangkan sepatutnya sumbangan derma orang ramai kepada YaPEIM melalui potongan gaji bulanan diuruskan untuk tujuan amal jariah dan membantu orang yang dalam kesusahan?,” soalnya dalam kenyataan media.

Akmal dalam sidang media semalam mendakwa Abd Malek meraih pendapatan sehingga RM73,000 sebulan dengan memegang 11 jawatan. Manakala timbalannya, Siti Zaleha pula meraih RM45,000 sebulan dan mendapat 7 elaun dari jawatan yang disandangnya. Jawatan-jawatan itu disandang menerusi 6 institusi milik penuh YaPEIM beserta 2 anak syarikat dan 6 institusi di bawah kawalannya beserta 3 anak syarikat.

Akmal juga mendedahkan keluarga Zaleha mendapat manfaat paling besar apabila suami dan anaknya turut mendapat gaji dan elaun dari 26 jawatan yang disandang mereka lapor Keadilan Daily
.

Tuesday, November 3, 2015

Al-Quran pun Menganjurkan Kita Menggembara


“Barangsiapa yang Allah s.w.t. inginkan kebaikan ke atas dirinya, maka Allah s.w.t. akan limpahkan ilmu agama ke atas dirinya.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sejauh manakah diri kita ini dipenuhi dengan ilmu-ilmu agama? Adakah sekadar mengucap 2 kalimah syahadah atau hanya tahu menunaikan solat 5 waktu sehari semalam? Memang Allah s.w.t. melimpahkan ilmu agama ke atas diri seseorang yang dikehendakiNya, tetapi adakah diri kita ini hanya berserah kepada takdir semata-mata supaya ilmu itu akan datang sendiri kepada kita?

Al-quran dan hadis itu adalah cahaya, dan ia tidak akan berada dalam hati-hati yang dicemari maksiat. Apabila merujuk kepada maksiat, ia bukanlah hanya tertakluk kepada dosa-dosa besar seperti minum arak, membunuh orang, dan sebagainya. Membuat maksiat adalah melakukan larangan-larangan Allah s.w.t. Akibatnya, titik-titik hitam akan datang kepada hati kita setiap kali maksiat dilakukan. Oleh itu, marilah kita sentiasa beristighfar supaya hati-hati kita menjadi laksana piala yang terang-menderang yang selalu terbuka untuk menerima ilmu-ilmu agama supaya kita termasuk orang-orang yang mendapat kurniaan daripada Allah s.w.t.

Baiklah, hari ini saya sebenarnya terpandang dan mula terfikir mengenai ayat Surah al-Mulk yang berbunyi :

“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” Surah al-Mulk : 15

Melalui ayat ini, al-Quran juga sebenarnya menganjurkan kepada kita untuk menggembara atau dengan kata lain-lain melancong ke tempat-tempat lain ke seluruh dunia. Mengapa? Tidak lain dan tidak bukan adalah hanya untuk menambahkan lagi rasa kehambaan kita kepadaNya dengan melihat ciptaan-ciptaanNya di seluruh dunia.

Apabila kita menggembara, sudah tentu kita akan melihat betapa takjubnya alam ini dengan melihat ciptaan-ciptaan serta kehidupan-kehidupan bangsa lain di tempat lain. Mungkin ianya amat berlainan dengan diri kita. Sudah tentu ia merupakan pengalaman yang baik sepanjang hayat kita. Bayangkan jika kita sudah berumur 60 tahun, namun tidak pernah ke mana-mana. Apakah pengalaman yang ingin kita ceritakan kepada anak-cucu kita nanti?

Sememangnya, menggembara itu memerlukan modal yang besar. Tetapi, jangan hanya menulis dan menyimpan pengalaman anda dalam diari sahaja. Komersialkan pengalaman-pengalaman dan catatan perjalanan anda dalam bentuk buku. Nescaya buku anda akan menjadi harta intelek yang tinggi yang boleh menggamit ramai pembaca untuk membeli buku hasil kembara anda. Sudah tentu pengalaman penggembaraan anda menjadi pelaburan anda juga.

Saya juga ada terbaca buku-buku pengurusan kewangan yang tidak menganjurkan kita melancong ke luar negara. Sudah semestinya, idea ini kolot dan kita tidak perlu mengikut idea ini yang sudah tentu bertentangan dengan ayat al-Quran di atas. Apa yang penting ialah carilah kepuasan untuk diri kita sendiri dan jangan mengikut idea yang kosong semata-mata.

Wallua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com