Menulis merupakan aktiviti utama di
kalangan ulama’ terdahulu. Imam Nawawi apabila ditanya mengapa beliau tidak
berkahwin menjawab, “Aku bukanlah menentang perkahwinan bahkan aku meriwayatkan
hadis mengenai perkahwinan. Akan tetapi kesibukan aku dengan mengarang ilmu
menyebabkan aku tidak dapat menyelesaikan masalah kehidupan aku.” Memang tidak
dinafikan hadis 40 riwayat Imam Nawawi ada menyebut mengenai perkahwinan walhal
beliau sendiri tidak pernah berkahwin sepanjang hidupnya.
Realiti dunia pendidikan hari ini
cuba memisahkan aliran antara agama dan sains. Sistem pendidikan di Malaysia
pada hari ini cuba memisahkan antara agama dan sains. Ini dapat dilihat apabila
pelajar-pelajar memasuki alam sekolah menengah atas di mana terdapat 2 aliran
iaitu aliran agama atau aliran sains. Memang tidak dinafikan dalam aliran sains
peringkat menengah atas, memang terdapat pembelajaran subjek agama tetapi ia
hanya terbatas atau mungkin hanya untuk menjawab kertas peperiksaan sahaja.
Apabila memasuki alam universiti,
pembelajaran ilmu agama semakin jauh lagi untuk dipelajari apabila pelajar
mengambil jurusan aliran sains. Ketika pada zaman saya, pelajar hanya
diwajibkan mempelajari subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sahaja.
Roh keagamaan di peringkat universiti boleh dikatakan tiada bagi pelajar yang
sudah mengambil jurusan sains. Subjek TITAS diperkenalkan sebenarnya adalah
untuk memupuk perpaduan di Malaysia supaya pelajar bukan Islam dapat mengenai
Islam dengan lebih dekat lagi.
Keilmuan ulama’-ulama’ terdahulu
bukan hanya terbatas kepada ilmu-ilmu agama sahaja bahkan lebih jauh daripada
itu. Mereka juga terlibat dalam bidang ilmu sains. Lihat sahaja ulama’ melayu Nusantara
iaitu Sheikh Daud al-Fattani. Beliau bukan sahaja mahir dalam bidang agama
tetapi juga dalam ilmu falak dan ilmu matematik. Siapa kata orang yang belajar
ilmu agama sebenarnya tidak mahir dalam ilmu sains?
Sepatutnya sistem pendidikan IPTA
pada hari ini perlu dikaji semula. Ada baiknya pelajar-pelajar jurusan sains
diwajibkan mengambil subjek agama pada setiap semester sebagai mata pelajaran teras.
Ini memastikan pelajar-pelajar sentiasa kembali kepada nilai-nilai Islam dan
menjadikannya sebagai penghayatan dalam kehidupan. Dengan ini, ia dapat membina
sahsiah, akhlak, dan keperibadian tinggi mulia pekerti dalam melahirkan insan
yang kamil.
Jika tidak, tidak hairanlah
penuntut-penuntut universiti hari ini terjebak dalam masalah sosial dan kita
sudah tentu biasa mendengar perkara bukan-bukan yang biasa dilakukan oleh
pelajar universiti ketika masih menuntut. Apabila ilmu agama dalam hati
penuntut, maka roh-roh ini menjaga dirinya daripada kelalaian melakukan
perkara-perkara maksiat.
Apabila menyebut maksiat, ia
bukannya hanya terbatas atau terhad kepada minum arak dan berzina sahaja.
Pemikiran kita hanya meletakkan maksiat itu hanya terbatas kepada dosa-dosa
besar. Tetapi, maksiat sebenarnya adalah melakukan perkara-perkara yang
dilarang oleh Allah s.w.t.
Pendek kata, ilmu agama dan sains
sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam penulisan kita. Lebih daripada itu.
Dalam aspek kehidupan dalam membina keperibadian seseorang muslim, ilmu agama
juga perlu seiring dengan ilmu sains dalam konteks sistem pendidikan kita.
Lebih jauh lagi, ia sebenarnya adalah penting dalam membina masyarakat yang
boleh menghayati nilai-nilai Islam.
Wallhua’lam.
No comments:
Post a Comment