Sesungguhnya kata-kata Nabi adalah
kata-kata daripada Allah s.w.t. yang sememangnya dibahaskan oleh ulama-ulama
sepanjang zaman.
"Sesungguhnya
dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah
seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka
kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah
hati.”
Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir
Baiklah hati, baiklah penulisannya. Itulah generalisasi dan konklusi yang
saya dapat buat jika saya hayati semula sabda nabi di atas. Penulisan adalah
datang daripada tangan dan pemikiran penulisnya. Jika penulis itu baik, maka
baiklah penulisannya. Jika buruk, buruklah penulisannya.
Sememangnya ulama’-ulama’ dahulu menjadikan menulis menjadi sebahagian
daripada aktiviti utama kehidupan mereka. Lihat sahaja karya-karya ulama’
dahulu seperti Imam al-Ghazali, Imam Shafie, dan sebagainya. Karya-karya mereka
menjadi tatapan, bacaan, kajian, perbahasan di kalangan umat Islam sejak
zaman-berzaman khususnya dalam
mengeluarkan ijtihad baru berhubung sesuatu isu yang baru. Mujurlah karya-karya
para ulama’ ini tiada hak cipta. Jika tidak, letihlah syarikat-syarikat
penerbitan membayar royalti kepada keturunan mereka.
Diri kita ini tidak dapat lekang daripada membuat dosa-dosa kecil atau
besar. Sekiranya kita membuat satu dosa, maka satu titik hitam akan hinggap ke
hati kita. Cara untuk menyucikan semula hati kita ialah dengan memperbanyakkan istighfar
kerana istighfar merupakan penawar yang paling mujarab dalam menghapuskan
dosa-dosa kita. Dengan ini, dapatlah kita membaiki semula diri kita.
Fitnah, momokan buruk, dan maki-hamun dalam penulisan pada hari ini sudah
menjadi mainan dan makanan bagi sesiapa inginkan kuasa politik. Adalah mustahil
tulisan-tulisan atau blogger-blogger upahan pihak tertentu ini datang daripada
orang-orang yang menjaga hatinya.
Di manakah class tulisan kita? Adakah sama taraf dengan barang-barang yang
dijual di pasar malam ataupun setaraf dengan barang-barang yang dijual di pasar
raya? Jika di pasar malam, minyak wangi yang dijual pada harga RM100 pun sudah
dikatakan mahal manakala minyak wangi yang dijual pada harga yang sama di Pasar
raya Sogo masih dikatakan terlalu murah.
Apa yang penting ialah kita perlu menjaga kualiti tulisan kita. Tulisan
yang hebat dan berkesan ialah tulisan yang mampu mempengaruhi dogma atau
pemikiran masyarakat. Bak kata Syed Qutb, “Satu peluru boleh menembusi satu
kepala manakala satu tulisan boleh menembusi pemikiran jutaan manusia.”
Wallhua’lam.
http://wankamarul701.blogspot.my
No comments:
Post a Comment