Sunday, November 22, 2015

Ilmu Sejarah adalah Ilmu yang Berkembang.


Dogma masyarakat hari ini ialah hanya sains dan matematik sahaja adalah ilmu yang berkembang. Manakala ilmu sejarah adalah ilmu statik aka ilmu yang tidak berkembang. Sebenarnya, ilmu sejarah adalah ilmu yang berkembang. Perbezaannya ialah ilmu sains dan matematik adalah bersifat mutlak manakala ilmu sejarah adalah bersifat relatif atau subjektif bergantung kepada sejarawan atau penyelidiknya sendiri.

Ilmu sejarah adalah ilmu yang tiada sempadan tempat dan waktu. Ruang kajiannya adalah mencakupi dunia Barat dan Timur. Ruang waktunya ialah dari zaman awal tamadun dunia sehingga zaman moden dunia hari ini. Adalah tidak bijak jika ada dakwaan yang menyatakan bahawa ilmu sejarah itu statik dan apa lebih teruk lagi ialah sejarah itu adalah sesuatu yang membosankan dan pembacaannya cukup sekadar menjadi ubat tidur.

Contohnya satu campur satu adalah dua. Manakala penafsiran sesuatu ilmu sejarah adalah bergantung kepada budaya, sosial, ataupun agama penyelidiknya. Contohnya ialah dalam kejadian pembukaan Kota Konstantinople. Jika kita lihat seseorang sejarawan yang berada di atas pentas Islam, maka beliau akan menganggap pembukaan Kota Konstantinople adalah dibuat secara seadil-adilnya menurut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Islam sehinggalah jihad merupakan jalan sebenar untuk membuka kota tersebut.

Berlainan pula dengan sejarawan Barat yang melihat pembukaan Kota Konstantinople itu daripada sudut negatif. Lebih buruk daripada itu, ilmu yang ditulis oleh pihak mereka menjauhi daripada hakikat sebenar yang dibajai dengan sentimen kebencian terhadap Islam itu sendiri.

Pembuktian ini dapat dilihat menerusi tulisan sejarawan Barat iaitu Steven Runciman melalui bukunya iaitu The Fall of Constantinople yang melihat pembukaan kota ini melalui sudut negatif. Beliau tidak memanggil Kota Istanbul dalam penulisannya tetapi terus mengekalkan nama kota tersebut dengan nama Kota Konstantinople. Begitu juga dengan orientalis Barat iaitu John Frely dalam bukunya iaitu The Grand Turk yang mendakwa Sultan Muhammad al-Fatih membunuh adiknya sendiri demi kelangsungan politiknya.

Ini menyebabkan ilmu sejarah itu adalah ilmu yang menarik untuk dikaji. Walaupun sesuatu penemuan sejarah itu adalah objek yang perlu dikaji. Namun tafsiran yang dibuat oleh pengkajinya dalam penghasilan itu menjadi subjektif dan ini menyebabkan ilmu sejarah itu adalah menarik untuk dikaji dan sentiasa berkembang. Ia akan membentuk perspektif pro dan kontra bergantung kepada pengkajinya.

Sememangnya sejarah agung Uthmaniyah ini masih banyak tersimpan dan masih belum diterokai. Di Republic of Turkey Prime Ministry General Directorate of State Archives menjelaskan bahawa masih terdapat 150 juta keping dokumen berupa manuskrip dan surat-surat rasmi sepanjang pemerintahan kerajaan Uthmaniyah yang masih belum disentuh untuk dikaji.

Sesungguhnya ilmu sejarah itu membentuk fikrah individu dan secara tidak langsung membentuk akhlaknya. Apabila masyarat mempunyai fikrah yang tinggi, maka ia juga sekaligus akan membentuk suatu tamadun yang agung di mana kajian ilmu-ilmu lain seperti sains dan matematik dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dari itu, ia akan melahirkan suatu tamadun yang agung sepanjang zaman yang kemudiannya pula akan menjadi sejarah untuk ditatapi oleh generasi akan datang.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

No comments: