Monday, January 17, 2011

Corat-coret

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Alhamdullilah, penulis telah mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Sains Matematik (M.Sc.) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam pada 16 Januari 2011 dengan nombor pelajar GSK1168.Saya teringat rakan saya mengatakan bahawa nombor 168 ini bermakna selalu kaya bagi masyarakat cina. Sekadar kepercayaan sahaja...

Semoga pengajian ini amat bermakna untuk mengisi ruang-ruang kehidupan bagi tahun 2011/12 dengan ilmu pengetahuan walaupun dibuat secara separuh masa. Apa yang penting sekarang sekarang ialah keazaman dan ketekunan saya untuk mencapai cita-cita saya sekarang. Semoga pelaburan ini bermakna untuk saya untuk masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Thursday, January 13, 2011

Kaedah Sampul Surat

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini, saya akan membincangkan mengenai kaedah sampul surat. Kaedah ini sebenarnya adalah bermaksud kita mengasingkan pendapatan mengikut perbelanjaan bulanan kita setiap bulan mengikut sampul surat. Contohnya, pendapatan untuk perbelanjaan sewa rumah, bil-bil elektrik, hutang-piutang, dapur, persekolahan anak dan sebagainya diasingkan mengikut sampul surat. Sememangnya, perkara ini kecil sekiranya kita lihat dan ianya amat bermakna sekiranya kita amalkan.

2. Caranya mudah sahaja. Anda sediakan sahaja beberapa keping sampul surat. Anda tandakan sampul itu dengan perkara tertentu seperti sewa rumah, perbelanjaan dapur, belanja persekolahan anak dan sebagainya. Anda ambil wang anda di bank, dan masukkan ia ke dalam sampul tersebut mengikut peruntukan anda. Kaedah ini sebenarnya dapat mengelak diri anda daripada 'terbabas' daripada berbelanja lebih setiap bulan.




3. Akan tetapi, untuk simpanan anda tidak digalakkan untuk menggunakan kaedah sampul ini. Azizi Ali dalam bukunya 'Jutawan daripada Planet Jupiter' menyarankan kita membuat potongan gaji dalam membuat simpanan. Contohnya membuat potongan terus ke akaun ASB ataupun Tabung Haji. Kaedah ini sebenarnya baik untuk kita bagi mengelak diri kita daripada menggunakan duit simpanan kita untuk berbelanja.

4. Chef Li di dalam bukunya Biar Kecil Asalkan Berhasil' menyatakan bahawa sesetengah penjaja melayu gagal mengembangkan perniagaan mereka kerana mereka tidak membuat simpanan kira-kira untuk mengawal aliran keluar masuk tunai. Kebanyakan mereka melonggok wang pendapatan mereka. Tiada pemecahan dan pengasingan pendapatan. Semuanya terlonggok menjadi satu. Akhirnya, mereka gagal memperuntukan modal untuk digunakan bagi mengembangkan perniagaan mereka. Hal ini sudah tentu merugikan walaupun mereka telah bertahun lamanya berniaga.

5. Semoga kita dapat mengamalkan tips yang disampaikan pada kali ini. Saya telah mengamalkan kaedah ini semenjak tahun lepas (2010) dan ia memberi kesan yang baik kepada pengurusan kewangan saya kerana ia membantu mengurangkan hutang-hutang saya dan saya tidak berhutang lagi selepas itu. Alhamdullilah...

Sekian, terima kasih.

"Ilmu itu lebih berharga daripada harta. Ilmu itu menjaga engkau dan engkau pula menjaga harta. Ilmu itu penghukum, harta itu terhukum. Ilmu bertambah apabila diamalkan dan harta itu berkurang apabila digunakan..." Saidina Ali.

Wednesday, January 12, 2011

Pertanyaan ASB 2

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin bertanyakan mengenai Amanah Saham Bumiputera. Bagaimana pembahagian dividen sekiranya kita mempunyai simpanan ASB sebanyak RM10,000 dan membuat pinjaman ASB sebanyak RM30,000. Adakah dia dikira secara sekali gus atau secara berasingan?
.
Arif

__________________________________________________________
.
Wsalam w.b.t.

1. Terima kasih di atas pertanyaan saudara. Semoga saudara dilimpahi kebaikan oleh Allah s.w.t. selalu.
.
2. Mengenai pertanyaan saudara, dividen ASB akan dikira secara sekali gus. Jika simpanan saudara adalah RM10,000 dan pinjaman ASB adalah RM30,000 , ini bermakna simpanan saudara adalah berjumlah RM40,000. Sekiranya pulangan tahunan adalah 8.00%, ini bermakna pulangan yang diterima saudara ialah RM3,200 setahun.
.
3. Saudara boleh mengambil wang saudara yang berjumlah RM10,000 bila-bila masa sahaja dan wang RM30,000 boleh diambil setelah pinjaman habis dibayar.
.
4. Saudara tidak digalakkan untuk mengambil dividen yang diterima setiap tahun di dalam akaun saudara. Ini adalah kerana wang pelaburan kita akan bertambah secara eksponen setiap tahun apabila dividen tahunan dibiarkan terus di dalam akaun kita. Contohnya, tahun pertama wang pelaburan saudara adalah RM40,000. Maka tahun kedua, wang pelaburan saudara adalah RM43,200 (dividen 8.00%). Seterusnya, tahun ketiga jumlah pulangan tahunan ialah RM3,456 (dividen 8.00% di atas pelaburan RM43,200) dan begitulah seterusnya. Hebat bukan 'kuasa eksponen' di dalam pelaburan?
.
5. Itu sahaja jawapan saya untuk pertanyaan saya pada kali ini. Semoga ini dapat menambah pengetahuan saudara di dalam ilmu pelaburan.
.
Sekian, terima kasih.

Tuesday, January 11, 2011

Di manakah taraf kewangan anda?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam kebaikan selalu dan sentiasa dikurniakan keberkatan rezeki selalu. Pada kali ini, saya akan membincangkan mengenai taraf pendapatan kita.

2. Tahun 2011 menandakan bermulanya tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) iaitu dari tahun 2011-2015. Kerajaan telah menetapkan taraf pendapatan bagi penduduk Malaysia untuk tempoh RMK-10 adalah seperti berikut:
.
Luar Bandar
Termiskin: Kurang RM430
Miskin: RM720
Mudah Miskin: Kurang RM1000
Pendapatan rendah: Kurang RM2000
.
Bandar
Pendapatan rendah : Kurang RM2500
.
3. Jika kita lihat gaji eksekutif muda pada hari ini adalah berada di dalam kategori berdapatan rendah di bandar. Ini keadaan yang menyedihkan macamana seorang pemegang ijazah yang baru memulakan kerja dikategorikan sebagai golongan yang berpendapatan rendah di kawasan bandar. Ini belum mengambil kira penduduk yang bertaraf lebih rendah dari seorang eksekutif yang bekerja di bandar.
.
4. Oleh itu, kita perlu mencari alternatif dalam usaha menambah pendapatan kita. Usahlah kita mengharapkan keadaan berubah seperti kenaikan gaji tahunan yang tinggi dan sebagainya. Ubah diri anda dan anda anda mengubah persekitaran anda.
.
Sekian, terima kasih.

Saturday, January 8, 2011

Overdraf

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

1. Adakah anda pernah mendengar istilah 'overdraf'? Sekiranya, anda tidak pernah membuat transaksi menggunakan cek, sudah tentu anda mungkin jarang mendengar istilah ini.



2. Apabila anda melakukan transaksi menggunakan cek untuk kegunaan diri sendiri atau untuk mambayar kepada orang lain. Anda juga perlu mempunyai akaun semasa apabila ingin menjalankan urusan menggunakan cek ini. Apabila cek dikeluarkan melebihi baki akaun semasa, keadaan ini dipanggil overdraf. Oleh itu, anda perlu sentiasa peka aliran keluar masuk duit di dalam akaun semasa anda.

3. Kemudahan ini diberikan kepada anda sekiranya anda membuat cagaran dengan pihak bank seperti dengan simpanan tetap atau dengan aset tetap seperti rumah dan sebagainya. Keadaan overdraf ini boleh terjadi sekiranya anda tidak mengetahui jumlah wang yang berada dalam akaun anda apabila anda terlebih menulis cek.

4. Berbanding dengan pinjaman tetap, overdraf ini mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
a. Mempunyai had pengeluaran tertentu.
b. Boleh dikeluarkan mengikut keperluan.
c. Tiada ansuran bulanan seperti pinjaman tetap.
d. Hanya dikenakan caj servis kadar faedah dan bayar sepenuhnya apabila tempoh habis.

5. Di dalam menggunakan kemudahan overdraf ini, anda perlu memastikan bayaran ansuran bulanan perlu melebihi kadar faedah. Anda juga perlu memastikan supaya bayaran balik anda lancar supaya cagaran anda tidak tergadai suatu masa nanti.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, January 5, 2011

Pertanyaan ASB

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin bertanyakan Tuan mengenai Amanah Nasional Berhad (ASB). Bagaimanakah ingin melabur dalam ASB dan bolehkan Tuan memberi sedikit pandangan.

Hatmi (bukan nama sebenar)

Jawapan:

Waalaikumusalam w.b.t. Terima kasih di atas pertanyaan saudara.



1. Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan pelaburan yang disediakan oleh pihak kerajaan khas untuk golongan bumiputera . Peratus dividen dan bonus tahunan ASB ini ialah antara 7-10% setahun. Untuk tahun 2010 yang terbaru dividen dan bonus ialah 8.75%.

2. Untuk membuat pelaburan ini, anda boleh melabur sehingga RM200,000 (RM1 seunit). Terdapat sebahagian ramai orang yang membuat pinjaman peribadi atau pinjaman ASB yang disediakan oleh pihak bank bagi membuat pelaburan ini. Contohnya, apabila anda melabur dengan pinjaman RM100,000 , anda boleh mendapat pulangan RM8,750 setahun ( dividen + bonus tahunan 8.75%).

3. Anda boleh membuat pinjaman peribadi atau potongan gaji untuk membuat pelaburan ini. Sekiranya anda ingin membuat potongan gaji, sila berurusan dengan jabatan sumber manusia jabatan anda. Sekiranya anda ingin membuat pinjaman peribadi, anda boleh membuatnya sekarang. Sebaik-baik hutang adalah mempunyai tempoh 1 hari sahaja. Tetapi anda boleh membuat pinjaman dalam tempoh 4-5 tahun. Jangan terlalu lama sehingga 20 tahun kerana anda sudah tentu mempunyai komitmen lain pada masa akan datang.

4. Semoga info ini dapat menambah pengetahuan saudara dalam pelaburan untuk masa hadapan. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.


Tuesday, January 4, 2011

Hakikat Kedai Cina dan Pembeli Melayu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

1. Saya terpanggil untuk menulis artikel bertajuk tajuk 'Hakikat Kedai Cina dan Pembeli Melayu'  kerana saya berasa sinis dengan kata-kata di dalam buku Rahsia Bisnes Orang Cina 'The Bamboo Network' yang ditulis oleh Ann Wan Seng. Kata-kata tersebut ialah 'Orang Cina boleh berniaga di kampung Melayu tetapi orang Melayu belum tentu boleh berniaga di kawasan orang Cina.'



2. Rakan saya pernah berjumpa dengan seorang peniaga cina kedai buku di Kepong. Peniaga cina tersebut menyatakan bahawa perniagaan beliau sekarang iaitu di kawasan orang cina kurang maju jika dibandingkan dengan perniagaan beliau di kawasan orang melayu ( beliau ada 2 kedai). Ini adalah kerana beliau menyatakan pembeli cina dan melayu mempunyai karakter yang berbeza.

3. Pembeli cina apabila memasuki kedai, dia hanya akan membeli 1 barang sahaja dan apabila ingin menawarkan harga barang, pembeli ingin harga barang tersebut ditawarkan dengan harga terlalu rendah mengikut kehendak mereka dan tidak akan membeli barang tersebut sekiranya harga tidak ditawarkan dengan apa yang diingini. Berbanding dengan pembeli melayu, mereka akan membeli beberapa apabila memasuki sesuatu kedai dan membeli sesuatu barang sekiranya hanya ditawarkan dengan sedikit sahaja. Faktor inilah yang menguntungkan perniagaan orang cina.

4. Penulis tersebut tersebut perlu sedar mengenai perkara ini. Usah mendabik dada kerana terlalu memuji kaum cina berjaya di dalam buku beliau kerana disebabkan oleh mereka sendiri. Masakan ada peniaga yang berjaya kalau tiada pembeli. Bahkan Tun Daim Zainuddin menyatakan orang melayu dan orang cina saling memerlukan antara satu sama lain untuk berjaya dalam perniagaan.

5. Ayat sebetulnya ialah 'Orang Cina boleh berniaga di kampung Melayu dan Orang Cina belum tentu boleh berniaga di kawasan Cina sendiri'.

Sekian, terima kasih.