Wednesday, March 30, 2016

Dr. Mahathir Nyanyuk, Najibnya Sewel


Adakalanya melihat tingkah laku Dr. Mahathir kadang-kadang boleh dikatakan nyanyuk kerana apabila orang yang pernah berkuasa bersara, sindrom untuk berkuasa lagi dalam dirinya akan terus kekal sehingga ke akhir hayatnya.

Mendiang Lee Kuan Yew yang berjaya membangunkan bangsa cina di tengah-tengah alam di Nusantara mencadangkan supaya Dr. Mahathir untuk terus kekal dalam kabinet sebagai menteri mentor selepas meletak jawatan. Saranan ini sebenarnya dibuat sendiri Lee Kuan Yew setelah bersara menjadi Perdana Menteri Singapura. Walaubagaimanapun, cadangan ini ditolak oleh Dr. Mahathir atas alasan dia ingin berehat.

Namun, tempoh bulan madu Dr. Mahathir hanya seketika apabila melihat Abdullah yang menggantikannya sebagai Perdana Menteri dilihat lembik dan tidak berkemampuan untuk mentadbir negara. Buat pertama kalinya, Barisan Nasional hilang majoriti 2/3 parlimen ketika Abdullah mentadbir. Pemimpin-pemimpin BN dan pembangkang terkejut bukan kepalang kerana tidak menyangka bahawa BN buat pertama kalinya dalam sejarah PRU (kecuali 1969) hilang 2/3 parlimen.

Keadaan ini terus menyebabkan Dr. Mahathir mencampuri urusan kerajaan untuk terus mengasak Abdullah supaya berundur diri daripada menjadi Perdana Menteri. Usaha kali pertama Dr. Mahathir ini berjaya untuk meruntuhkan kepala keras Abdullah untuk menjadi Perdana Menteri walaupun majoriti usaha ini hanya datang daripada penulisan-penulisannya dalam blog untuk menghentam, mengkritik, dan menegur Abdullah.

Dengan berundurnya Abdullah, maka naiklah Najib sebagai memanda Perdana Menteri Malaysia yang baru walaupun dihimpit dengan skandal pembunuhan Altantuya. Sampai sekarang, isu Altantuya diam begitu sahaja. Tetapi, apa yang signifikan dalam perubahan tradisi orang melayu setelah Najib menjadi Perdana Menteri ialah kita buat pertama kalinya melihat orang lelaki memakai baju berwarna pink. Sejak daripada itu, ramai isteri-isteri di Malaysia menyuruh suaminya memakai baju berwarna pink.

Jika Abdullah kaki tidur, maka Najib pula ialah kaki rembat duit sehinggakan beliau menyatakan ‘cash is king’ sebagai talian hayat politik beliau. Duit ditabur ke sana ke mari semata-mata untuk meraih simpati undi politik. Bagus juga perkara ini kerana wang-wang cukai yang dibayar oleh peniaga-peniaga bukan melayu diberi semula kepada orang-orang yang layak yang majoritinya orang-orang melayu.

Isu 1MDB terus membebalkan Najib kerana beliau terhimpit dengan isu ini. Apabila sudah terhimpit, maka keluarlah kenyataan yang bukan-bukan sehinggakan menunjukkan Najib ini sewel orangnya. Duit dalam akaun peribadinya sebanyak RM2.6 bilion dikatakan sebagai wang derma orang arab.

Kadang-kadang isu ini membosankan dan lama-kelamaan saya percaya isu RM2.6 bilion senyap begitu sahaja.

Manakala atas alasan isu 1MDB, Dr. Mahathir sekali lagi menyerang Najib. Tetapi, Najib bukannya Abdullah yang mudah mengalah. Dibuang orang-orang yang tidak sebulu dengannya sama ada dalam kerajaan ataupun parti. Ada baiknya Parti Umno ini dijadikan sebagai Parti Najib.

Pilihanraya Presiden Umno tahun 1987 terus dimainkan oleh Dr. Mahathir khususnya dalam blognya untuk menunjukkan beliau mengamalkan demokrasi terpimpin. Adakah ini demokrasi terpimpin kerana sepanjang 22 tahun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia, hanya satu kali sahaja pertandingan jawatan Presiden di dalam Umno?

Tetapi, kemenangan Dr. Mahathir ini boleh dipertikaikan apabila berlakunya kejadian ‘lampu padam’ ketika pengiraan undi sedang dibuat. Setelah lampu menyala semula, Dr. Mahathir diisytiharkan menang dengan majoriti tipis sebanyak 43 undi sahaja menewaskan Ku Li.

Jika Mohd. Najib memecat Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail ketika menjalankan siasatan 1MDB ke atasnya, Dr. Mahathir juga memecat Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara apabila mengharamkan parti Umno pada tahun 1987 yang menyebabkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri terjejas. Dengan melihat perkara ini, apakah yang dilakukan oleh Najib tidak dilakukan oleh Dr. Mahathir?

Dr. Mahathir harus ingat apa yang dilakukan oleh beliau dengan menghumban Anwar Ibrahim ke dalam penjara selama 7 tahun. Mohd. Najib dikira masih baik apabila membiarkan beliau boleh duduk semeja dengan Lim Kit Siang untuk membuat deklarasi yang bukan-bukan untuk mendesak Mohd. Najib berundur.

Ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pun, banyak isu-isu dan skandal-skandal kehilangan wang terjadi seperti Bank Bumiputera, Perwaja, dan sebagainya. Timbal-terbalik dengan isu 1MDB ia boleh dilihat sama sahaja walaupun Dr. Mahathir mempertahankan bahawa duit-duit yang hilang sebenarnya ada transaksi manakala 1MDB tiada transaksi.

Kepada Dr. Mahathir, lihatlah hasil ciptaan sistem ciptaan anda sendiri untuk terus berkuasa. Kepada Najib, cerminlah diri anda untuk terus menjadi Perdana Menteri kerana anda sedang diaibkan di seluruh dunia.

Sebab itu bagi saya, Dr. Mahathir dan Mohd. Najib ini sama sahaja orangnya. Cuma bezanya Dr. Mahathir sudah nyanyuk, Najibnya sudah sewel.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

No comments: