Iman adalah bertambah
dan berkurang. Di dalam diri kita terdapat dua unsur iaitu roh yang menyeru dan
mengajak kita melakukan kebaikan dan nafsu yang menjuruskan kita membuat
maksiat dan kejahatan.
Cara untuk
meningkatkan iman kita ialah memberi makanan kepada roh kita iaitu dengan
melakukan amalan-amalan ibadat supaya iman kita sentiasa bertambah dari semasa
ke semasa.
Saidina Umar
al-Khattab sentiasa memuhasabah dirinya pada setiap malam sebelum tidur.
Apabila ada kesalahan yang beliau lakukan pada hari tersebut, maka beliau akan
merotan kakinya sendiri bagi setiap kesalahan yang dilakukan.
Baiklah, cuba kita
memuhasabah diri kita pada setiap hari, adakah masa kita berlalu tanpa kita
melakukan amalan berikut :
a. Mendirikan solat
berjemaah di masjid.
Sebenarnya, ini
adalah tulang belakang amalan kita setiap hari untuk murah rezeki iaitu solat
di awal waktu secara berjemaah di masjid. Di masjid itu tempat berkumpulnya
rahmat Allah s.w.t. dan kita perlu membawa pulang rahmat ini ke rumah kita dengan
selalu mengunjungi rumah Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. :
“Dan
perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam
mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki
kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa.” Surah
Thaha : 132
Mungkin kita berasa
sukar untuk mendirikan solat sehari semalam lima waktu di masjid pada setiap
hari. Sebab itu dalam meningkatkan taqwa kita, kita perlu bermujahadah melawan
perasaan malas kita sepertimana kata-kata Imam al-Ghazali iaitu amalan yang
dipaksa yang dilakukan secara berterusan akan menimbulkan keikhlasan di hati.
b. Menunaikan Solat
Dhuha.
Ramai berfikirkan
jika membuat sesuatu amalan sunat, maka mereka mengharapkan fadilat atau
balasan amalan sunat yang dilakukan itu ‘dibayar’ cepat sepantas kita oleh
Allah s.w.t. Sebab itu, jika amalan-amalan sunat yang baru dilakukan kemudian
ditinggalkan kerana tidak mendapat balasan setimpal dengan amalan sunat yang
baru dilakukan. Mungkin Allah s.w.t. ingin memberi balasan tersebut pada masa
akan datang. Percayalah, pembalasan Allah s.w.t. adalah amat cepat.
Begitu juga dengan
solat dhuha, kita perlulah amalan pembuka pintu rezeki ini pada setiap hari dan
sepanjang masa. Bukannya dengan melakukan sekali pada hari ini, kemudian
mengharapkan mendapat tunai RM1,000 pada esok hari ataupun pada setiap hari. Sepertimana
hadis nabi berbunyi :
“Wahai
anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat
rakaat pada permulaa siang (waktu dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan
kepadamu sampai akhir siang.” Riwayat Abu Daud.
c. Beristighfar.
Rezeki seseorang hamba
itu adalah tertahan kerana dosa-dosanya. Tidak dinafikan bahawa adalah amat
mustahil apabila hari-hari yang berlalu yang kita lalui langsung kita tidak
membuat dosa sama ada secara sedar ataupun tidak sedar. Dosa-dosa yang telah
dilakukan ini perlulah dihapuskan dengan beristighfar pada setiap hari. Maksud
hadis Nabi Muhammad s.a.w. :
“Sesiapa
yang membiasakan dirinya beristighfar, nescaya Allah s.w.t. akan melapangkan
dirinya daripada segala kesusahan, dan akan melepaskannya daripada segala
kesukaran, dan akan memberinya rezeki tanpa biasa dikira.”
d. Bertasbih
Amalan yang mudah
yang sering dilupakan oleh orang ramai ialah bertasbih ataupun berzikir.
Bertasbihlah kepada Allah s.w.t. pada setiap hari dengan sebanyak-banyaknya.
Sepertimana firman Allah s.w.t. :
“Wahai
orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang
sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang.” Surah
al-Ahzab : 41-42
Memadailah dengan
saya menyebut empat perkara ini dalam penulisan pada kali ini untuk renungan bersama.
Mungkin ada lagi amalan-amalan lain yang lebih utama yang saya tidak sebutkan
di sini.
Wallhua’lam.
http://wankamarul701.blogspot.my
No comments:
Post a Comment