Bak kata pepatah arab,
“Seseorang pemuda
tidak akan mengatakan sejarah itu sejarah ayahnya tetapi seseorang pemuda akan
mengatakan sejarah aku adalah permata hatiku.”
Generalisasi daripada kata-kata ini
ialah seseorang itu tidak perlulah berbangga atau mendabik dada dengan sejarah
ayahnya ataupun dengan sejarah keturunannya. Tetapi, seseorang itu perlulah
berbangga dengan sejarah dengan kejayaan yang dilakarnya sendiri.
Kata-kata ini saya ingin kaitkan dengan
realiti semasa yang berlaku di negeri Kedah mengenai isu pertukaran Menteri
Besar Kedah yang melibatkan Mukhriz Mohammad yang merupakan anak kepada mantan
Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. Daripada isu ini dapat kita
lihat bahawa seseorang bapa tidak mampu untuk mempertahankan jawatan anaknya
walaupun seseorang bapa itu merupakan seorang negarawan.
Daripada satu sudut yang lain, kita
dapat melihat sesebuah yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen boleh juga
menjadi sesebuah negara monarki iaitu mewariskan jawatan yang disandangnya
kepada keturunannya.
Apabila seseorang itu sudah mencapai
hierarki tertinggi dalam sistem demokrasi secara tidak langsung dia akan
memberi peluang kepada keluarganya ataupun anaknya untuk meningkat naik dalam
politik dengan menggunakan peluang, pengaruh, atau kuasa yang ada padanya. Oleh
itu, tidak hairanlah kita melihat pada hari ini bahawa Perdana Menteri yang
keenam pun merupakan anak kepada Perdana Menteri yang kedua.
Saya mungkin silap. Kesilapan Dr.
Mahathir ialah tidak membenarkan anaknya untuk terlibat dalam politik ketika
dirinya masih menjadi Perdana Menteri. Malangnya, beliau menjadi Perdana
Menteri adalah terlalu lama iaitu melangkaui dua dekad. Ini menyebabkan
anak-anaknya tidak dapat melibatkan diri dalam politik sepanjang tempoh ini.
Daripada sudut positifnya, Dr. Mahatir
mungkin tidak mahu anak-anaknya untuk menggunakan pengaruhnya untuk meningkat
naik dalam politik atau menggangu tugas-tugasnya sepanjang menjadi Perdana
Menteri. Tetapi, tempoh ini menyebabkan anak-anaknya tidak tahu mengenai politik
kerana tidak dilatih daripada awal.
Usia melebihi 40 tahun seperti Mukhriz
Mahathir untuk melibatkan diri dalam politik adalah terlalu lewat. Mohd. Najib
pun sudah menjadi ahli parlimen ketika berusia 22 tahun walaupun menggantikan
tempat yang disandang oleh bapanya. Khairy Jamaluddin pun bercita-cita untuk
menjadi Perdana Menteri ketika berusia 40 tahun walaupun kata-kata ini hanya
menjadi omong-omong kosong sahaja.
Dalam dunia ini, benda yang mudah
dapat juga mudah untuk hilang. Begitu juga dengan kuasa ataupun jawatan. Penglibatan
politik Mukhriz adalah ketika PRU-12 pada tahun 2008 dan memenangi kerusi parlimen
Jerlun dan seterusnya dilantik menjadi Timbalan Menteri walaupun PAS merampas
negeri Kedah ketika itu. Seterusnya, faktor Mukhriz sebagai calon Menteri Besar pada
PRU-13 menyebabkan BN berjaya merampas semula negeri Kedah pada tahun 2013.
Bagaimana Mukhriz boleh menjadi Menteri
Besar dalam sekelip mata sahaja? Bagaimana pula dengan ahli-ahli politik UMNO
yang lain yang merupakan ahli UMNO yang lebih senior di negeri Kedah?
Seseorang yang ingin melibatkan diri
dalam politik perlulah sanggup menghadapi dan mengatasi cabaran. Dalam isu
Menteri Besar Kedah, nampaknya Mukhriz gagal untuk menghadapi dan mengatasi
cabaran untuk mempertahankan jawatannya walaupun beliau sebenarnya menjadi
mangsa kepada pergeseran antara ayahnya dan Mohd. Najib mengenai isu 1MDB.
Sultan Muhammad al-Fateh yang menakluk
Kota Konstantinople pun diberikan peluang ayahandanya iaitu Sultan Murah untuk
menduduki takhta Kerajaan Uthmaniyah ketika berusia belasan tahun. Tujuannya
adalah untuk melatih Sultan Muhammad al-Fateh memimpin Kerajaan.
Ada kata-kata masyhur Sultan Muhammad
al-Fateh kepada ayahandanya yang menyuruhnya memimpin pasukan tentera untuk
menghadapi tentera musuh walaupun ayahandanya menolak arahan daripadanya
sendiri pada awalnya.
Kata-kata tersebut berbunyi :
“Sekiranya ayahanda adalah Sultan,
sudah pasti ayahanda memimpin tenteramu. Tetapi kini saya adalah Sultan. Maka
saya titahkan ayah memimpin bala tenteraku.”
Sultan Murad kemudiannya tiada pilihan
lain melainkan kembali menduduki takhta.
Pendek kata, politik itu mempunyai seni
yang tersendiri ataupun seseorang itu perlu mempunyai bakat tersendiri jika dia
ingin menjadi seorang pemimpin politik. Bukannya seperti Mukhriz yang menumpang imej bapanya ataupun
menjadi ahli DUN yang kurang daripada satu penggal untuk menjadi Menteri Besar.
Wallhua’lam.
http://wankamarul701.blogspot.my
No comments:
Post a Comment