Jika kita mempunyai sesuatu
hajat, kepada siapakah kita akan berjumpa supaya mereka boleh memohon untuk
kita supaya hajat kita dimakbulkan oleh Allah s.w.t?
Sudah tentu kita akan berjumpa
dengan tok-tok imam ataupun kenalan-kenalan kita yang mahir dalam ilmu agama
supaya mereka boleh memohon untuk kita seperti membuat solat hajat dan
sebagainya supaya doa mereka dimakbulkan untuk kita. Ini kerana doa orang-orang
soleh ini kebiasaannya akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
Bagaimana pula jika diberi
peluang supaya malaikat boleh mendoakan untuk kita jika kita mempunyai hajat
tertentu?
Tentu sahaja kita ingin meminta
malaikat untuk berdoa untuk kita sekiranya kita mempunyai hajat tertentu kerana
malaikat ini adalah bebas daripada dosa. Tetapi, kita tidak boleh meminta
bantuan mereka ini untuk mendoakan untuk kita setiap masa.
Tetapi, kita hanya ada salah
satu peluang untuk mengharapkan doa malaikat setiap hari. Tidak lain dan tidak
bukan ialah mengharapkan doa malaikat setiap pagi.
Dari Abu Hurairah r.a. Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda:
“Tidak ada satu subuh pun yang
dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu
di antara keduanya berdoa: “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”,
sedangkan yang satu lagi berdo’a “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang
menahan (hartanya)” Riwayat Bukhari
Daripada hadis ini, kita dapati
bahawa ada malaikat yang mendoakan setiap pagi untuk orang yang mendermakan
hartanya. Salah satu daripada mereka memohon supaya Allah s.w.t. menggantikan
harta sesiapa yang bersedekah manakala salah satu lagi mendoakan kerosakan ke
atas orang bakhil.
Ada suatu kisah di mana Nabi
Muhammad s.a.w. mengaminkan doa yang dibacakan oleh malaikat bahawa celakalah
sesiapa yang telah melalui bulan Ramadhan tetapi dosa-dosanya tidak diampunkan
oleh Allah s.w.t. Sahabat-sahabat menangis apabila Nabi mengaminkan doa
tersebut.
Bagaimana jika malaikat
mendoakan kerosakan ke atas orang yang bakhil iaitu tidak bersedekah di pagi
hari? Pastinya kita tidak ingin berlakunya ke atas diri kita.
Daripada hadis yang telah
disebutkan boleh kita fahami bahawa kita dikehendaki untuk bersedekah pada
setiap pagi kerana ada malaikat yang berdoa untuk kita. Cara kita untuk
bersedekah terpulanglah pada kita semua. Wallhua’lam.
No comments:
Post a Comment