Thursday, November 13, 2014

Fixed Deposit 24,000 Pahala Kebajikan Setiap Pagi




Jika kita meninggalkan al-Quran itu sehari, maka Ia akan meninggalkan kita seminggu. Jika kita meninggalkan al-Quran seminggu, maka Ia akan meninggalkan kita sebulan. Jika kita meninggalkan Ia sebulan, maka Ia akan meninggalkan kita setahun. Jika kita meninggalkan al-Quran setahun, maka Ia akan meninggalkan kita selama-lamanya.”

Kata-kata pesanan oleh guru al-Quran saya masih saya ingat sehingga hari ini sejak tahun 2000 ketika belajar di sekolah menengah.

Berapa kalikah kita mengaji al-Quran? Setiap hari atau setiap minggu? Saya harap anda semua tidak meninggalkan bacaan al-Quran lebih daripada tempoh seminggu.

Cuba kita renungi dan mengira balik huruf-huruf di dalam al-Quran.        

Jika kita mengira huruf-huruf setiap baris dalam al-Quran bilangannya adalah 35-40 huruf bagi satu baris.

Manakala bilangan baris al-Quran ialah 15 baris setiap muka surat.

Andaikan kita membaca 4 muka surat al-Quran setiap pagi, maka kita telah membaca dan menyebut huruf sebanyak 40 huruf x 15 baris x 4 muka surat = 2,400 huruf.
Cuba kita renungi hadis daripada Ibnu Masud r.a. bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda :

"Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Daripada hadis ini, dapat kita fahami bahawa setiap satu huruf al-Quran yang kita baca akan digandakan sebanyak 10 pahala kebajikan.

Jika kita membaca al-Quran 4 muka surat sahaja setiap pagi dan setiap hari maka fixed deposit  pahala kebajikan kita ialah 2,400 huruf x 10 pahala kebajikan = 24,000 pahala kebajikan dengan rahmat Allah s.w.t.

Alangkah mudahnya mendapat pahala dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

No comments: