Friday, October 3, 2014

Harga Minyak Terus Naik tetapi Rahmat Allah s.w.t. Tidak Pernah Berkurang


Semalam, kita dikejutkan lagi dengan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter. Kali terakhir minyak dinaikkan ialah selepas PRU-13 iaitu pada pertengahan tahun lepas (2013). Saya menjangkakan minyak akan naik selepas PRU-14 nanti yakni pada tahun 2018. Namun begitu, telahan saya meleset sama sekali ternyata minyak naik dalam masa kurang daripada tempoh 2 tahun. Kenaikan harga minyak pada kali ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak dunia.

Harga minyak RON95 naik daripada RM2.10 seliter kepada RM2.30 seliter. Ini bermakna kadar inflasi pula makin meningkat sebanyak 9.5 peratus. Justeru itu, kita perlu mencari balik wang 20 sen yang hilang bagi setiap liter harga minyak ini jika kita ingin mengekalkan gaya hidup kita yang sedia ada. Jika kita tidak mahu mencari atau menggantikan balik setiap 20 sen yang hilang ini, maka simpanan kita akan semakin berkurang. Ataupun dengan cara yang lain ialah memotong perbelanjaan yang tidak penting atau bahasa lebih mudah kita mengubah gaya hidup kita.
Inilah hakikat ekonomi di Malaysia hatta dunia sekalipun. Sumber bahan api semakin lama semakin menyusut manakala jumlah rakyat semakin bertambah berkadar terus dengan pergerakan masa ke hadapan. Mungkinkah sumber bahan api ini akan dapat menampung jumlah rakyat Malaysia yang semakin bertambah ini? Apabila sumber (minyak) terhad dan penawaran (rakyat) adalah semakin bertambah, maka harga sumber (minyak) tersebut akan semakin naik.
Rakyat Malaysia pada Februari 2014 adalah berjumlah 30 juta orang. Akan tetapi, mengikut Kajian Separuh Penggal Malaysia Keempat (KSPRM4) menunjukkan bahawa rancangan ini menerima matlamat untuk mencapai 70 juta orang penduduk pada tahun 2100 di mana setiap keluarga mempunyai lima orang anak untuk mencapai hasrat ini. Ini bermakna peningkatan sebanyak 40 juta penduduk atau 133 peratus dalam tempoh 86 tahun akan datang dengan puratanya ialah 465,116 orang atau 1.55 peratus setahun.
Bagaimanakah keadaannya Malaysia pada tahun 2100 nanti dengan sumber bahan api adalah kekal dengan yang sedia ada seperti hari ini? Jika purata kenaikan harga minyak adalah sebanyak 20 sen seliter setiap tahun seperti yang berlaku pada tahun 2013 dan 2014, maka ini bermakna harga minyak akan naik sebanyak RM17.20 seliter pada tahun 2100 nanti. Ditambah pula dengan harga minyak seliter hari ini ialah RM2.30 seliter, ini bermakna harga minyak akan menjadi RM19.50 seliter pada tahun 2100! Jika isian penuh kereta saya pada hari ini ialah sebanyak 38 liter, maka saya perlu membayar RM741 untuk mengisi full tank pada tahun 2100 nanti!
Anda mungkin mengatakan saya mengatakan sesuatu yang tidak masuk akal. Akan tetapi, apa yang terjadi pada hari ini boleh dijadikan sebagai ukuran asas pada masa hadapan.
Adakah ini bermakna Tuhan itu tidak adil jika kita memikirkan keadaan ini terus terjadi? Sebenarnya, inilah hakikat ekonomi kapitalis dan inflasi. Harga barang akan terus naik dari semasa ke semasa dan tidak akan turun. Pendek kata, mahu tidak mahu kos hidup tetap juga akan naik. Tuhan itu sebenarnya adil tetapi sistem manusia yakni sistem kapitalis ini sebenarnya yang silap. Yang menenggelamkan manusia dalam 1,001 keresahan dari semasa ke semasa.
Kita sudah tentu tidak dapat mengubah ekonomi dunia pada hari ini. Walaupun harga barang semakin naik tetapi anda jangan lupa bahawa peluang untuk membuat duit pada hari ini adalah sangat mudah. Pada hari ini, duduk di rumah sahaja sekali pun boleh menjadi jutawan. Saya ambil sebuah laman web pengiklanan tuisyen yang mengenakan caj sebanyak RM30 bagi sesiapa yang ingin mengiklankan khidmat tuisyen kepada pelajar-pelajar di laman webnya. Saya melihat sudah ada seramai 40,000 orang yang mendaftar dengan laman web tersebut. Bayangkan jumlah bayaran dikutip oleh pemilik laman web tersebut. Secara mudahnya dia sudah mendapat RM1.2 juta! Alangkah mudahnya membuat duit pada hari ini. Jika harga minyak naik 3 kali setahun sekalipun, saya percaya tuan punya laman web ini tidak akan mengalami apa-apa masalah kewangan.
Dunia pada hari ini adalah semakin kompleks dan canggih. Untuk membuat wang adalah amat mudah sekali. Tidak seperti era 1970-an mahupun 1990-an, Facebook, Blog, dan WhatsApp belum ada seperti hari ini untuk seseorang itu membuat duit dari rumah. Di negara-negara Barat sekalipun, untuk membeli kereta pun boleh dibuat secara online cuma di Malaysia pembelian secara online cara sebegini hanya terbatas untuk pakaian sahaja. Untuk membeli polisi insurans ataupun pinjaman bank sahaja sekalipun boleh dibuat melalui telefon.

Pendek kata, untuk membuat wang pada hari ini adalah amat mudah sekali walaupun harga-harga barang terus naik. Jika dahulu walapun harga barang-barang adalah murah, peluang membuat wang adalah terhad. Timbal terbaliknya adalah sama sahaja. Hakikatnya ialah walaupun harga minyak terus naik, tetapi rahmat Allah s.w.t. tidak pernah berkurang.
Wallhua’lam.

No comments: