Di dalam falsafah ekonomi
Islam, wang itu perlu berputar dalam negara dan ia tidak boleh disimpan.
Analoginya mudah sahaja. Kerajaan mewujudkan skim-skim perumahan untuk rakyat.
Maka wujudnya permintaan terhadap bahan-bahan untuk membuat rumah seperti
simen, batu-bata, kayu, dan sebagainya untuk membina rumah. Kemudian, rakyat
pula akan membuat pembiayaan perumahan daripada pihak bank untuk membeli rumah.
Ini secara tidak langsung akan merancakkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Jika kerajaan tidak membuat apa-apa, maka pergerakan wang ini tidak berlaku
dalam sesebuah negara dan ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara akan
terbantut.
Ini adalah falsafah yang
dipegang oleh Dr. Mahathir dalam memacu ekonomi negara untuk meletakkan ianya
kedudukan yang lebih tinggi. Falsafah beliau ialah apabila wang berada dalam suatu
pihak sahaja dan tidak bergerak maka ia tidak akan menjana kekayaan. Oleh itu,
apabila kerajaan berbelanja bermakna kerajaan sebenarnya membuat pelaburan
untuk rakyat dengan mewujudkan permintaan dan penawaran dalam negara. Si A
membeli daripada Si B. Kemudian, Si B membeli daripada Si C. Akhirnya,
ketiga-tiga pihak ini akan dapat membuat keuntungan daripada pembelian ini dan
cukai akan dikenakan untuk dibayar kepada Kerajaan. Kerajaan yang mendapat
hasil cukai ini akan mengembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk
pembangunan infrastruktur, kenaikan gaji atau pencen, dan sebagainya. Dengan
ini, wujudnya pertumbuhan ekonomi dalam negara.
Saya ingin cuma membawa anda
semua mengenai perkara ini dalam konteks pengurusan kewangan peribadi kita.
Mungkin anda berkata bahawa kita perlu berbelanja untuk meningkatkan kekayaan
kita dan bukannya menyimpan wang simpanan kita apatah lagi kadar inflasi akan
menghakis nilai wang simpanan kita dengan berbelanja memiliki pakaian mewah, kenderaan
mewah, dan sebagainya untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara kita.
Sudah tentu tindakan kita ini akan memufliskan wang kita apatah lagi sanggup
berhutang setinggi gunung untuk memiliki barangan yang luar batas kemampuan
sendiri. Ini akan memusnahkan kewangan kita secara total.
Apa yang saya ingin nyatakan di
sini ialah kita jangan lupa mengenai tuntutan agama dengan apa yang kita
perolehi hasil daripada bekerja ataupun berniaga. Islam mewajibkan kita untuk
membayar zakat dan menggalakkan kita untuk bersedekah. Daripada pendapatan kita
yang diterima pada setiap bulan, jangan lupa ada bahagian untuk orang yang
wajib menerima sebahagian daripada pendapatan kita sebanyak 2.5 peratus. Ini
termasuk juga wang simpanan sama ada dalam ASNB, Tabung Haji ataupun
simpanan-simpanan lain yang wajib dikeluarkan zakat apabila cukup haul dan
nisabnya. Ini menunjukkan bahawa wang simpanan kita pun perlu berputar! Pun
begitu, kita juga dianjurkan bersedekah.
Ini bermakna kita perlu
memastikan bahawa wang kita berputar secara ‘ghaib’ untuk mendapatkan manfaat
kekayaan yang lebih besar untuk diri kita sendiri. Suka saya menyatakan perkara
ini bahawa saya akan terbaca catatan sebuah blog mengenai seorang hamba Allah
s.w.t. yang banyak bersedekah sehinggakan pendapatannya mencecah RM600 ribu
sebulan! Alangkah hebatnya kuasa sedekah ini.
Jika dalam prinsip menambah
wang simpanan, Brian Tracy memperkenalkan Prinsip Sendal Baji iaitu menyimpan
50 peratus kenaikan gaji tahunan ke dalam tabung simpanan. Jika kenaikan gaji
tahunan kita ialah sebanyak RM200 setahun, maka kita perlu menyimpan RM100
setiap bulan. Ini dilakukan tahun demi tahun. Akhirnya, simpanan kita akan
mencecah 6 angka!
Bagaimana sekiranya aplikasi
prinsip dalam bersedekah? Jika wang simpanan, kita perlu mempertingkatkan tahun
demi tahun mengikut kenaikan gaji tahunan kita. Jika bersedekah, kita perlu
mempertingkatkan dari ke bulan demi bulan ataupun hari demi hari mengikut
keupayaan anda. Jangan bimbang sekiranya berasa wang tidak cukup. Cubalah. Anda
berasa duit anda pasti akan cukup jika berniat untuk mempertingkatkan jumlah
sedekah hari demi hari ataupun bulan demi bulan. Nescaya niat atau matlamat
anda pasti tercapai untuk mempertingkatkan jumlah sedekah dari semasa ke
semasa.
Ini adalah strategi untuk
mempertingkatkan kekayaan melalui strategi wang berputar secara ghaib kerana
balasannya adalah 700 peratus daripada hasil kita laburkan. Tidak percaya?
Cubalah!
http://wankamarul701.blogspot.com
3 comments:
terbaik...
terbaik boh...
Insya-Allah
Post a Comment