Sunday, February 13, 2011

Jenis-jenis Pelaburan



" Jangan berfikir bahawa anda menjadi seorang kaya sebelum menjadi seorang pelabur."
Warren Buffet, Pelabur Terkaya di Dunia.

Itulah kata-kata Warren Buffet, pelabur terkaya di dunia yang menasihatkan orang ramai supaya melabur untuk menjadi kaya. Saya percaya ramai di luar sana yang bercita-cita ingin menjadi pelabur jutawan. Bahkan ramai di luar sana yang telah mengalami kerugian berpuluh-puluh ribu ringgit semata-mata terlibat permainan saham ini. Walaupun ilmu cetek di dada, tetapi ingin meredah lautan yang luas. Yang penuh liku-liku yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran. Tetapi tidak mengapa selagi mana ia tidak menyusahkan orang ramai walaupun telah rugi puluhan ribu ringgit. Saya masih belum berjumpa dengan pelabur jutawan dan saya hanya berjumpa dengan pelabur fakir. Jika saya jumpa pun, saya hanya berjumpa melalui buku iaitu Adam Khoo iaitu pelabur jutawan dari Singapura. Semoga saya dapat berjumpa dengan pelabur jutawan suatu hari nanti. Mudah-mudahan. Pada kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai jenis-jenis pelaburan.

Baiklah, sebelum kita pergi lebih jauh, adakah anda mengetahui definisi pelaburan itu sendiri? Definisi 'pelaburan' mengikut Milan Doshi ialah:

" Penukaran wang sedikit pada masa sekarang untuk wang yang lebih banyak pada masa hadapan sambil mengurangkan risiko dengan mengambil kira peruntukan aset, kepelbagaian dan lain-lain. "

Oleh itu, dapat kita fahami bahawa pelaburan merupakan suatu proses yang menjana pulangan yang lebih besar pada masa hadapan dengan menggunakan wang yang sedikit pada masa sekarang. Pelaburan juga merupakan salah satu cara untuk kita menjana pendapatan pasif iaitu wang bekerja untuk kita dengan memberi pulangan tertentu mengikut tempoh tertentu. Namun begitu, kita perlu ingat bahawa semua pelaburan di dunia ini mempunyai risikonya tersendiri. Semakin tinggi risiko pelaburan, semakin tinggi pulangannya. Semakin cepat kita hendak kaya, semakin tinggi risiko yang perlu kita hadapi dan begitulah sebaliknya. Pendek kata, tiada jalan pintas untuk berjaya.

Di sini, saya mengelaskan terdapat 4 jenis pelaburan iaitu:

1. Pelaburan yang tiada risiko.
Pelaburan jenis ialah pelaburan yang memberi pulangan tetap pada setiap tahun. Contohnya, ASB ( 7-8 % setahun), Simpanan tetap (3-5% setahun), dan polisi insurans endowmen ( 2-4% setahun). Melalui pelaburan ini, anda akan tetap menerima pulangannya setiap tahun dan tidak perlu bimbang dengan perubahan ekonomi semasa.

2. Pelaburan berisiko sederhana.
Melalui pelaburan ini, peluang anda untuk menerima pulangan adalah masih cerah dan pulangannya adalah sehingga 10% setahun ataupun lebih. Contoh pelaburan ini ialah bidang hartanah.

3. Pelaburan berisiko tinggi.
Pelaburan jenis ini memberi pulangan 20-30% setahun dan ianya terdedah kepada risiko yang tinggi. Peluang anda untuk membuat untung adalah tipis sekiranya anda merupakan pemain baru dalam pasaran saham. Antara risiko yang perlu anda hadapi ialah naik-turun harga saham, risiko matawang, kurang pengetahuan dan kemahiran, dan tiada masa untuk penyelidikan dan pengawasan pasaran saham.

4. Pelaburan berisiko sangat tinggi.
Pelaburan ini adalah memberi pulangan lebih 30% setahun. Antara pelaburan jenis ini ialah Dana Lindung Nilai (hedge fund), FOREX (pertukaran matawang asing), opsyen, komoditi , niaga hadapan. Dalam pelaburan ini, anda perlulah bersedia mengahadapi kerugian modal antara 30-50%. Akan tetapi, saya percaya ramai yang mengalami kerugian 100% kerana cetek pengetahuan dalam bidang pelaburan profesional ini.


Suka saya ingin menyebut di sini mengenai pelaburan berisiko tinggi iaitu FOREX yang menjadi kegilaan sesetengah kakitangan awam. Harus kita ingat bahawa pelaburan ini memerlukan tahap kepakaran dan komitmen yang tinggi disebabkan harga yang sering berubah-rubah. Perlu diingatkan bahawa apabilan anda terlibat dalam FOREX, anda sebenarnya berhadapan dengan Pelabur Sepenuh Masa Profesional di mana mereka dibantu oleh perisian terbaik dan tercanggih. Kemungkinan untuk berjaya adalah tipis atau jauh sekali untuk meraih keuntungan bagi orang-orang biasa yang sekadar menggunakan perisian Marketiva atau Plus500. Adalah amat malang bagi sesetengah orang awam yang hanya sekadar mengetahui 'Buy dan Sell' sahaja dalam perdagangan FOREX ini tanpa mempunyai asas yang kukuh untuk mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi naik-turun nilai sesuatu matawang. Oleh itu, saya fikir bahawa pelaburan FOREX ini adalah tidak sesuai untuk kakitangan awam.

Oleh itu, dapat kita fahami jenis-jenis pelaburan mengikut risiko tertentu. Pelaburan-pelaburan ini penting untuk menjana untuk kita pada masa hadapan. Sekiranya, anda merupakan kakitangan awam ada baiknya anda hanya sekadar melabur di tempat-tempat yang tiada risiko ataupun mempunyai risiko sederhana sahaja. Ini adalah bagi mengelak wang anda daripada rugi dimakan oleh jerung-jerung besar iaitu pelabur profesional yang amat pakar dalam pelaburan berisiko tinggi di luar sana. Pelabur-pelabur ini sentiasa menanti orang-orang biasa untuk bermain dalam pasaran saham untuk mengaut keuntungan daripada mereka secara luar biasa. Oleh itu, kita sentiasa perlu bijak untuk melabur wang pendapatan kita di tempat-tempat yang sesuai. Usahlah memperjudikan wang kita dengan melabur di tempat pelaburan yang berisiko tinggi. Kelak, kita yang akan menyesal.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Bagaimana Anda Boleh Menjadi Jutawan melalui Pasaran Hartanah dan Pasaran Saham, Milan Doshi.

No comments: