Sunday, February 20, 2011

Cukai Kereta yang Amat Tinggi

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Terima kasih kepada pengunjung blogpsot saya ini yang sentiasa melawat blospot ini untuk mendapat informasi terbaru dari semasa ke semasa untuk mengurus kewangan dengan lebih baik. Mudah-mudahan pendapatan dan perbelanjaan kita sentiasa diberkati oleh Maha Pemberi Rezeki setiap waktu tidak kira kita ini bekerja makan gaji ataupun bekerja sendiri.

2. Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden Keadilan, dalam Suara Keadilan menyatakan bahawa hutang rakyat Malaysia sudah mencecah RM577 billion akibat daripada harga rumah dan kereta yang mahal. Ia meliputi RM118 billion pinjaman kereta, RM225 billion perumahan, dan RM22 billion adalah pinjaman peribadi di mana ia menyamai 74% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).




3. Beliau menyatakan bahawa kereta kecil di bawah 1,500 cc dikenakan sekurang-kurangnya 70% cukai jika dipasang di Malaysia iaitu 60% peratus cukai eksais dan 10% adalah cukai jalan. Ini bermakna jika harga kereta Perodua adalah RM40,000, maka sebanyak RM28,000 adalah cukai yang perlu dibayar oleh pembeli. Ini menjadikan jika pendapatan seseorang ialah RM3,000 maka 2/3 pendapatannya hanya digunakan bagi membayar kereta serta rumah dan perbelanjaan lain seperti makan, pendidikan, dan pakaian terpaksa dikecilkan. Perkara ini sekarang sudah tentu menjadi dilema bagi seorang pekerja makan gaji iaitu kais bulan makan bulan.

4. Saya tidak ingin mengulas dari sudut politik sama ada ingin menyokong kerajaan ataupun membuat demonstrasi sepertimana di Mesir supaya kerajaan menurunkan cukai kereta. Alangkah ruginya sekiranya kita membeli kereta baru kerana terpaksa membayar 70% cukai kepada kerajaan. Ini belum mengambil kira cukai kereta import yang sudah tentu cukainya lebih tinggi daripada kereta nasional. Malang bagi kita semua, ramai antara kita semua sanggup membayar wang yang mahal semata-mata untuk sebuah kereta demi untuk bergaya di hadapan emak mentua. Akhirnya, kereta ditarik kerana 3 bulan kereta tidak berbayar. Mak mentua pun berasa malu nak mengaku menantu.



5. Cuba kita mengira cukai kereta terbaru Proton pula iaitu Proton Inspira yang berharga RM80,000. Jika secara kasarnya cukai 70%, ini bermakna seorang pembeli perlu membayar RM56,000 hanya untuk cukai sahaja walhal harga kereta ini adalah sebenarnya RM24,000 sahaja. Jika RM56,000, adalah lebih anda semua melabur di dalam ASB yang membawa pulangan dividen RM4,480 setahun berbanding membeli kereta baru. Hutang yang baik adalah hutang yang membawa pulangan yang lebih banyak berbanding kos pinjaman yang dibuat. Adalah lebih baik sekiranya anda membuat pinjaman ASB berbanding membuat pinjaman untuk memiliki kereta Proton Inspira idaman anda semata-mata untuk mempromosikan kepada pengguna jalan raya bahawa anda adalah orang pertama menaiki kereta terbaru Proton.

6. Bagaimana sekiranya anda sudah membeli kereta? Baiklah, teruskan sahaja menggunakan sedia ada. Sekiranya anda menjualnya, anda sudah tentu rugi kerana harga kereta anda sudah susut nilanya di pasaran. Anda perlu mengenalpasti pelaburan-pelaburan yang membawa keuntungan kepada anda setiap tahun bagi membayar kereta anda setiap bulan. Koperasi sesuatu syarikat selalunya menyediakan pulangan dividen yang lebih tinggi iaitu sehingga 20% untuk para pekerjanya yang menjadi pencarum. Sekiranya anda membayar kereta RM600 sebulan, anda perlu mempunyai RM7,200 setiap tahun bagi membayar kereta anda. Sekiranya dividen ialah 20% setahun, maka anda perlu memiliki saham koperasi anda sebanyak RM36,000 untuk mendapat pulangan RM7,200 setahun untuk membayar kereta anda. Ini adalah satu cara membayar kereta secara 'atas angin' daripada membayar ansuran kereta dengan menggunakan duit pokok pendapatan yang diperolehi setiap bulan walhal harga kereta sebenarnya sudah jatuh menjunam dan perkara ini sudah tentu merugikan anda. Oleh itu, gunakan wang anda secara bijaksana. Carilah pelaburan-pelaburan yang sesuai untuk diri anda.

7. Setakat ini sahaja dulu penulisan saya pada kali ini. Semoga informasi mengenai cukai kereta ini dapat kita berkongsi bersama dan dapat disebarkan kepada rakan-taulan tentang ruginya sekiranya kita membeli kereta baru walaupun kereta tempatan sendiri. Semoga kita berjumpa lagi untuk berkongsi informasi ataupun tips-tips kewangan pada masa hadapan.

"Jangan mengharapkan keputusan yang berlainan sekiranya anda melakukan perkara yang sama berulang kali"

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Suara Keadilan, 15 Februari 2011, Terbitan Tidak Berkala.


No comments: