Saturday, February 26, 2011

Berkualitikah kerja anda?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Semoga Tuan dan Puan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu dan dilimpahi kebaikan yang mendadak pada setiap masa serta keberkatan rezeki yang diredhaiNya selalu. Semoga hari yang dilalui pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Sepertimana kata-kata Saidina Ali Abi Talib, sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam, maka berbahagialah orang tersebut. Semoga kita ini termasuk daripada golongan yang berbahagia ini. InsyaAllah.



Tidak dinafikan kualiti memainkan peranan penting dalam sesebuah organisasi syarikat. Syarikat yang tidak mementingkan kualitinya dalam gerak kerjanya adalah syarikat yang tidak menjaga imejnya dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan begitulah sebaliknya. Penjagaan kualiti sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pelanggan adalah penting supaya pelanggan terus menggunakan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah syarikat. Sekiranya anda ingin tahu, bank terbaik dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan di Malaysia ialah bank yahudi iaitu Citibank di mana ia adalah lebih baik berbanding dengan bank terbesar di Malaysia iaitu Maybank. Ia amat memberatkan aspek kualiti dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggannnya.

Baiklah, cuba perhatikan aspek kualiti dalam kerja seharian kita:

Anda menghantar laporan kepada boss anda, malangnya bos anda menegur atau memarahi anda kerana banyak kesilapan dalam laporan anda. Sesetengah boss akan mencampak laporan di atas lantai sekiranya laporan itu terdapat kesilapan walaupun 1 kesilapan. Bahkan ada pekerja pernah menceritakan kepada saya bahawa bossnya pernah mengoyak-ngoyakkan laporannya dan mencampakkannya ke arah dirinya kerana banyak kesilapan yang dibuatnya. Bagaimana pula dengan anda?


Itulah dinamakan dengan kualiti kerja. Tidak kira kerja apa pun kerja anda lakukan, pastikan kita melakukannya dengan berhati-hati tanpa kecuaian. Adakah anda teringat suatu ketika dahulu pada tahun 2005 negara kita gempar dengan kerugian yang dialami oleh Bank Islam sebanyak RM700 juta kerana kecuaian pegawai-pegawainya dalam meluluskan pinjaman? Kesannya, ialah imej Bank Islam tercemar dan ia menjejaskan keyakinan oleh orang ramai terhadap bank tersebut. Ini menunjukkan betapa pentingnya kepada kita dalam menjalankan urusan kerja dengan berkualiti.

Di dalam dunia keusahawanan, usahawan perlu menjaga kualiti ataupun perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Tidak kira sama ada usahawan yang menjalankan perniagaan jahitan, kedai makan dan sebagainya. Apa terjadi sekiranya baju yang ditempah pelanggan silap diukur? Ini akan menyebabkan kerugian kepada kos kain membuat baju tersebut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada pelanggan. Oleh itu, usahawan perlu teliti bagi semua produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan pada kali pertama tanpa kesilapan. Tiada istilah kedua bagi usahawan dalam menjalankan urusan perniagaan.

Oleh yang demikian, kita perlu menyemak semua kerja kita dalam menjalankan tugas-tugas seharian kita. Ini adalah penting kerana kerja kita sebenarnya adalah melambangkan peribadi diri kita. Usahlah kita membuat kerja berulang kali kerana disebabkan yang dibuat oleh diri kita sendiri. Apa yang kita perlu pastikan ialah buat kerja biar sekali, asal berkualiti.

Sekian, terima kasih.

No comments: