Friday, December 31, 2010

Kepentingan Ilmu Kewangan

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

1. Hanya tinggal kurang 3 jam lagi tahun 2010 akan meninggalkan kita. Bagaimana persiapan dengan Tuan dan Puan untuk mengharungi tahun 2011? Bagaimana dengan azam Tuan dan Puan untuk tahun baru ini? Saya berharap agar tahun 2011 adalah bagi baik bagi diri kita semua berbanding tahun ini.

2. "Ilmu lebih berharga daripada harta. Ilmu itu penghukum dan harta itu terhukum. Ilmu bertambah apabila dibelanjakan dan harta itu berkurang apabila dibelanjakan."Saidina Ali.

Begitulah kata-kata Saidina Ali mengenai kepentingan ilmu. Adakah Tuan dan Puan mempunyai ilmu kewangan yang mantap sekarang? Adakah Tuan dan Puan sentiasa mempertingkatkan ilmu pengetahuan daripada semasa ke semasa? Cubalah lontarkan persoalan itu kepada diri kita sendiri.

3. Kita perlu mempelajari ilmu kewangan kerana 3 sebab:

a. Kadar inflasi

Kadar inflasi merupakan suatu perkara yang sentiasa menjadi igauan rakyat Malaysia kerana inflasi akan menghakis nilai wang kita. Cuba kita simpan duit kita RM1,000 di rumah pada hari ini, adakah nilai RM1,000 tersebut akan sama dengan nilai RM1,000 pada 5 tahun akan datang? Sudah tentu tidak. Kita perlu mempertingkatkan ilmu pengetahuan kewangan kita untuk menyerap kadar inflasi ini sama ada melalui pelaburan, perniagaan dan sebagainya.

b. Iklan Jualan

Iklan jualan semestinya mempengaruhi pemikiran kita untuk membeli sesuatu barang untuk memenuhi nafsu atau kemahuan kita terutamanya iklan jualan murah. Iklan ini kebiasaannya akan dilancarkan secara agresif oleh pihak pasaraya semasa musim perayaan ataupun akhir tahun. Jika tiada ilmu kewangan, sudah tentu kita membeli semua barang untuk memenuhi nafsu serakah kita. Kita perlu membezakan antara kemahuan dan kehendak dalam merancang kewangan kita.

c. Iklan Hutang


Pinjaman mudah.Tiada duit muka. Faedah yang rendah...

Begitulah iklan yang dibuat oleh pihak bank bagi menggalak orang ramai terus meminjam dengan mereka dengan cara yang mudah iaitu tandatangan sahaja kontrak pinjaman. Pinjaman peribadi, kad kredit dan skim ansuran mudah (pasaraya) merupakan senjata utama pihak bank/ pasaraya bagi menggalakkan orang ramai meminjam dengan mereka. Hutang itu adakalanya menjadi penawar sekiranya kita pandai menggunakannya dan menjadi racun sekiranya kita tidak pandai mengawalnya. Perlengkapkan diri kita dengan ilmu kewangan setiap masa bagi menghalang iklan-iklan ini merosakkan pemikiran kita bagi mengambil pinjaman yang tidak perlu. Kelak kita yang merana.

Semoga kita tingkatkan ilmu kewangan kita dari semasa ke semasa. InsyaAllah, kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Jangan jadikan wang matlamat hidup kita tetapi jadikan wang untuk memenuhi matlamat hidup kita.

Sekian, terima kasih.

No comments: