Sunday, March 31, 2013

Masalah Kedai-kedai Melayu : Kekurangan Duit Syiling


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Sudah semestinya masalah yang biasa dihadapi oleh mana-mana kedai makan orang melayu adalah masalah kekurangan duit syiling. Masalah ini memang menyukarkan apabila pelanggan ingin membuat pembayaran duit di kaunter dan tiada ‘wang balik’ kerana kekurangan duit syiling. Masalah ini juga berlaku di kedai yang saya biasa makan. Kadang-kadang saya juga menolong kedai tersebut untuk menukar wang syiling kerana ingin membantu kedai tersebut sekiranya terdapat lebihan wang syiling.

Duit-duit syiling sekarang sukar untuk didapati kerana duit ini kebanyakannya dipegang oleh kedai-kedai yang menjual rokok sejak harga rokok dinaikkan contohnya rokok yang berharga RM10.00 dinaikkan kepada RM10.20. Ini menyebabkan kedai-kedai rokok memerlukan duit syiling yang banyak untuk memberi baki wang kepada pelanggan.

Kadang-kadang kerana 10-20 sen juga menyebabkan penjual melayu boleh jatuh bangkrap. Teringat saya ada 2 orang penjual sayur-sayuran di pasar iaitu penjual melayu dan penjual cina. Penjual cina tersebut mengurangkan harga barangan dia hanya 10-20 sen. Ini menyebabkan pembeli-pembeli yang terdiri daripada orang melayu membeli dengan penjual cina tersebut. Kesannya, tiada orang yang ingin membantu membeli barangan basah daripada penjual melayu tersebut dan menyebabkan beliau tutup tempat berniaga beliau. Selepas itu, peniaga cina tersebut menaikkan harga barang basah sebanyak 10-20 sen dan menyebabkan semua orang marah kepada orang cina tersebut. Inilah sikap kita yang suka berkira dengan bangsa sendiri sedangkan dengan orang lain kita boleh berlembut.

Sebenarnya, cara menabung yang sesuai adalah dengan menyimpan lebihan duit syiling setiap hari dan jangan kita menggunakan duit syiling tersebut. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Apabila duit syiling tersebut bertambah, gunakan dia untuk ditukarkan di kedai-kedai orang melayu yang sentiasa menghadapi masalah kekurangan wang syiling. Sebenarnya inilah cara kita untuk membantu kedai-kedai melayu selain ‘komplen’ mereka sering tiada duit syiling. Bukannya dengan mencemuh dan menghentam mereka. Ini mengingatkan dengan seekor burung yang ingin memadam api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. dengan mengangkut air menggunakan paruhnya. Apabila ditanya mengapa ia cuba memadamkan api tersebut sedangkan ia tidak akan padam. Burung tersebut menjawab, “Sebenarnya Allah s.w.t. akan melihat usaha kita dan bukannya hasil kita.” Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, March 29, 2013

Bumiputera Warga Ekonomi Kelas Tiga



KALAU kita dengar dan percaya kepada perangkaan, sama ada awam atau swasta, ekonomi kita tidaklah seteruk Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) kita tahun ini dianggarkan 5% berbanding AS sebanyak 1.5% dan Zon Euro dalam 0.3%. Tapi pertumbuhan ekonomi kita lebih rendah daripada China, India, Indonesia dan banyak lagi negara di rantau ini.


Bukan sahaja pertumbuhan ekonomi kita tidak lagi sepesat sebelum Krisis Kewangan Asia 1997/98, malah telah mengalami beberapa krisis kecil selepas itu. Sejak krisis 1997/98, KDNK kita berkembang di bawah paras 5% sedangkan kita memerlukan pertumbuhan purata 7% setahun dari awal 1990-an hingga tahun 2020 untuk mencapai taraf negara maju.


Jurang Ekonomi Melebar Semula


Seperti saya nyatakan dalam ruangan Kunta Kinte Original, Berita Harian 28 Disember bahawa perangkaan menunjukkan pada 2009, jurang pendapatan antara kaum sudah berbalik kepada yang asal yakni pada permulaan Dasar Ekonomi Baru atau lebih teruk. Jurang pendapatan bandar dan luar bandar sudah kembali kepada waktu kita mencapai kemerdekaan pada 1957.


Walaupun jurang pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera dan Cina misalnya, telah menguncup pada1990, tapi ia melebar semula pada 2009.


Pada 1990, bagi setiap RM1 pendapatan Bumiputera, Cina memperoleh RM1.70. Menjelang 2009, jurang ini meluas menjadi dua kali ganda.


Ambil contoh simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) pula. Orang Cina menyimpan 2.4 kali lebih banyak daripada Bumiputera. Orang Cina miliki 5.6 kali lebih banyak bangunan. Pada 2005, hanya 7.4 peratus syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia milik Bumiputera berbanding 58.6 peratus oleh orang Cina. Jumlah ekuiti Bumiputera hanya 18 peratus berbanding 35.8 peratus oleh orang Cina.


Dalam pasaran buruh pula, pekerja Cina peroleh gaji purata 1.77 kali lebih tinggi daripada Bumiputera. Ini tidak menghairankan kerana majoriti Bumiputera bekerja dengan Kerajaan yang lebih rendah gajinya manakala majoriti Cina bekerja dalam sektor swasta yang dikuasai oleh bukan Bumiputera.


Bumiputera Warga Ekonomi Kelas Tiga


Kalau diukur mengikut pekali Gini (Gini coefficient), orang Cina dan India secara purata makin jauh meninggalkan Bumiputera dari segi pendapatan.


Saya tidak menolak ada orang Cina dan India miskin, tetapi bilangan mereka jauh lebih kecil daripada Bumiputera. Dalam konteks ekonomi, Bumiputera sudah menjadi rakyat kelas ketiga selepas orang Cina dan India.


Kerana ekonomi negara kini tidak berkembang sepesat tempoh DEB Baru dan dasar pembahagian kekayaan melalui pembasmian kemiskinan serta penyusunan semula masyarakat tidak lagi diamalkan dengan serius malah sudah diganti dengan keterangkuman dan meritokrasi, maka kesan lelehan (trickle-down effect) semakin perlahan.


Manifestasi kemunduran ekonomi Bumiputera ini boleh dilihat di mana-mana saja. Beberapa hari lalu, ketika bersarapan di sebuah kedai India bukan Islam, saya ternampak sekeluarga India (yang tentunya kaya) masuk dengan diiringi seorang pengawal keselamatan Melayu berpakaian seragam biru.


Kasihan pula melihat dia berdiri terpacak di belakang majikannya sepanjang mereka bersarapan. Tetapi apa nak buat, itu cara dia mencari rezeki halal dan itulah agaknya yang diperintahkan oleh majikannya.


Boleh kata semua orang India dan Cina kaya yang ada pesaing perniagaan dan takut diculik, apatah lagi yang ada musuh akan mengambil orang Melayu, khususnya bekas anggota Unit Tindakan Khas polis sebagai pengawal peribadi.


Ada sesetengahnya sampai berbelas-belas orang. Apabila mereka ke mana-mana, mereka akan bergerak dalam konvoi tiga atau empat buah kereta. Cermin kereta mereka tentulah gelap gelemat. Kadang-kadang mereka tidak pun ada di dalam kenderaan. Sekadar helah mengelak daripada ancaman.

 

Kerana Melayu Taat


Alhamdulillah, kerana ramai orang Cina dan India kaya di negara kita ini dan kerap berlaku keganasan yang melibatkan mereka maka ramailah bekas anggota polis dan tentera Melayu dapat kerja jadi pengawal keselamatan.

Lagi-lagilah sekarang apabila jenayah bunuh, culik, peras ugut dan rompakan makin menjadi-jadi. Bukan tauke saja yang ketakutan, sengkeh pun ketakutan juga.

Saya perhatikan tauke Cina dan India yang saya kenali jarang sekali mengambil orang Cina atau orang India jadi pengawal peribadi mereka. Ramai orang India jadi pemandu. Lagipun tidak ramai orang Cina yang mahu jadi pengawal keselamatan – berbahaya dan gaji tidaklah besar mana. Lebih baik buat kerja lain.

Tetapi orang Melayu dan India yang rendah pelajaran dan tidak pandai berniaga terpaksalah buat apa saja yang mereka layak untuk mencari rezeki halal. Itu pun sudah ramai orang Melayu dan India yang menjadi penjenayah, khasnya bekas tahanan Ordinan Darurat yang dimansuhkan. Dalam hal ini, saya salahkan Kerajaan dan Parlimen yang memansuhkannya.

Tapi dalam jenayah pun, Melayu kalah kepada kaum-kaum lain. Ramai Melayu diambil menjadi pegawai keselamatan dan pengawal peribadi tauke Cina dan India kerana orang Melayu taat serta setia hasil pembabitan mereka dalam pasukan bersenjata. Lagipun, jarang sekali Melayu terbabit dengan jenayah seperti culik dan peras ugut. Kalau terbabit pun cepat kena tangkap.


Wallahualam, saya pun tidak tahu sama ada orang Melayu dan Bumiputera seronok atau tidak menjadi warga ekonomi kelas tiga serta mempertaruhkan nyawa sendiri untuk melindungi nyawa dan kekayaan orang lain.

Sumber : A Kadir Jasin

Mengapa Parlimen Masih Belum Bubar? - Analisa Tajam dan Bernas Khir Toyo

1. Hari ini merupakan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sembilan berfungsi. Mungkin pada hari ini, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Hasan akan mengumumkan pembubaran DUN. DUN juga boleh terbubar sendiri selepas 12 tengah malam ini. Namun saya berharapkan Menteri Besar akan mendapat perkenan DYMM Yang Di Pertuan Negeri untuk membubarkan DUN. Adalah tugas Menteri Besar untuk memohon perkenan membubarkan DUN. Jika tidak, Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama dalam sejarah pilihan raya negara yang terbubar secara sendiri.


2. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai tempoh sehingga 28 April ini untuk membubarkan Parlimen. Namun sebelum tarikh tersebut akan terdapat beberapa negeri akan terbubar dahulu seperti Melaka dan Johor pada 22 April (tarikh sidang DUN pertama ialah pada 21 April 2008). Ini diikuti oleh Selangor pada 23 April (22 April) dan Perak 26 April (25 April). Selain itu, terdapat beberapa negeri yang boleh meneruskan kerajaan sehingga selepas Parlimen dibubarkan. Antaranya ialah Kedah, Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang memulakan sidang DUN mereka pada bulan Mei 2008.


3. Kemungkinan besar Perdana Menteri tidak akan membubarkan Parlimen dalam minggu ini. Ini menjadikan kerajaan Negeri Sembilan akan berada di bawah kerajaan sementara untuk tempoh yang agak panjang.


4. Saya dimaklumkan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Kerajaan Negeri Selangor akan membubarkan Dewan Negeri Selangor pada 22 April 2013 sekiranya Parlimen masih belum dibubarkan pada masa tersebut. Tarikh ini tidak menghairankan kerana ia merupakan hari terakhir penggal Dewan Negeri Selangor.


5. Hakikatnya, hak untuk membubarkan DUN Selangor terletak kepada Menteri Besar dan DYMM Tuanku Sultan Selangor. Ia tidak ada kena mengena dengan Penasihat Ekonomi Negeri mahu pun Ketua Umum PKR.


6. Anwar juga mendakwa Najib takut untuk membubarkan Parlimen kerana tidak yakin boleh memenangi pilihan raya umum kali ini.


7. Saya tidak fikir Najib masih belum membubarkan Parlimen kerana takut kalah. Ini kerana kajian dan pemerhatian pelbagai pihak sama oleh jentera Barisan Nasional, badan-badan pemerhati bebas, mahu pun penganalisis politik dan ekonomi antarabangsa meramalkan Barisan Nasional akan kembali memenangi pilihan raya kali ini dengan pencapain yang lebih baik dari tahun 2008.


8. Misalnya, The Economist Intelligence Unit (EIU), sebuah unit penyelidikan majalah terkemuka The Economist, meramalkan Barisan Nasional akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Malahan The Economist menyatakan bahawa pada pandangan pemerhati antarabangsa, keputusan pilihan raya jelas akan memihak kepadaBarisan Nasional.


9. Kaji selidik oleh Merdeka Centre dan Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) juga mendapati Barisan Nasional akan kembali memerintah kerajaan Persekutuan.


10. Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menyatakan kajian pasukannya mendapati Barisan Nasional akan memenangi 160 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang. Sungguhpun saya agak skeptikal dengan kajian ini, namun ia bukanlah mustahil.


11. Malahan Tun Daim Zainuddin sendiri yang terkenal dengan bacaan politik beliau yang sangat ampuh juga meramalkan BN akan menang dalam pilihan raya kali ini.


12. Berdasarkan pandangan pelbagai pihak dalam dan luar Negara, kajian bebas atau dilakukan oleh parti, BN akan kembali memerintah Malaysia untuk lima tahun akan datang. Justeru tidak timbul andaian dan tuduhan Anwar Ibrahim bahawa Najib tidak membubarkan Parlimen kerana takut kalah.


13. Soalan ini agak sukar untuk dijawab. Hanya Allah dan Perdana Menteri sahaja yang mengetahui sebab sebenar. Namun berdasarkan kenyataan-kenyataan beliau sejak beberapa bulan lalu, nyata beliau mahu menggunakan masa yang ada untuk memastikan idea, falsafah dan pelan transformasinya dirasai oleh majoriti rakyat.


14. Saya fikir apa yang Najib mahukan sekarang ialah kemenangan 2/3. Untuk mendapat kemenangan 2/3 agak sukar berbanding sekadar untuk menang. Sebab itu beliau mengambil masa yang lebih sedikit untuk membuktikan kebolehan beliau dan meyakinkan sebahagian rakyat yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat.


15. Beliau dilihat seolah-olah tidak cukup masa untuk meyakinkan majoriti rakyat agar memberi kemenangan 2/3 kepada Barisan Nasional. Ini tidak menghairankan kerana hanya pada 3 April tahun ini genap empat tahun pentadbiran beliau. Ini bermakna beliau kekurangan setahun untuk penggal pentadbiran penuh.


16. Oleh kerana beliau mengambil alih pentadbiran dalam keadaan parti yang lemah dan berantakan, pentadbiran yang dikritik hebat dan hampir dinyahkan oleh rakyat dalam pilihan raya 2008, tugas Najib tidak semudah disangka.


17. Selain itu, keengganan Najib membubarkan Parlimen lebih awal mungkin beliau bimbang Pakatan akan cuba membuat tindakan tidak beretika seperti melewatkan pembubaran DUN Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.


18. Jika ini berlaku dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu mengadakan pilihan raya serentak maka masa kerajaan Persekutuan sementara boleh mencecah sehingga dua bulan. Ini boleh memberi kesan serius kepada ekonomi dan pentadbiran Negara. Malahan masa yang sedemikian panjang boleh mengancam keselamatan sekiranya kempen politik menjadi kian panas.


19. Justeru saya fikir Najib akan hanya membubarkan Parlimen seawalnya selepas ulang tahun keempat pentadbirannya pada awal April ini atau menunggu sehingga saat akhir, sekaligus mengelakkan Pakatan melakukan taktik memanjangkan masa pilihan raya untuk menimbulkan ketegangan kepada rakyat.


20. Tindakan Najib untuk memenuhi penggal yang ada harus dipuji bukannya dikritik. Ini merupakan catatan demokrasi yang penting kepada Negara ini. Perdana Menteri memilih untuk mengabaikan keistimewaannya untuk mengadakan pilihan raya secara mengejut.


21. Bukankah selalunya pembangkang menuduh tidak mempunyai cukup masa berkempen dan menuduh Barisan Nasional tidak professional kerana mengumumkan pilihan raya mengejut? Sekarang apabila semua orang sudah mengetahui bila pilihan raya akan diadakan, tiada unsur kejutan lagi, Pakatan masih tidak berpuas hati. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?


22. Ramai juga yang bertanya kepada saya, mengapa Anwar begitu beria-ia mahukan pilihan raya segera sedangkan masanya memang telah pun hampir tiba. Apakah kerana beliau yakin akan menang atau takut banyak lagi isu terbongkar dan makin ramai yang meninggalkan Pakatan nanti?


21. Wallahhualam! Hanya Allah yang maha mengetahui. —  www.drkhir.com

Wednesday, March 13, 2013

Tips-tips dalam Perkhidmatan Pelanggan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Selesai Kursus Perkhidmatan Pelanggan 20-21 Februari 2013 yang lalu. Banyak perkara yang boleh dipelajari dari tempoh 2 hari tersebut. Antara tips-tips yang menarik ialah :

1. Dalam perniagaan, ia mempunyai cara bersalamnya yang tersendiri. Jangan bersalam secara 'kampung'. Jarak kita dengan pelanggan perlu bersamaan dengan hasta kita. Bersalam dengan sebelah tangan sambil menunduk sedikit tanda hormat. Jangan bengkokkan tangan ke sebelah kiri apabila bersalam yang menunjukkan kita lebih dominan daripada pelanggan dan jangan menggoncangkan tangan apabila bersalam.

2. Jangan menceritakan masalah organisasi kepada pelanggan apa yang kita alami sekiranya ia membuat aduan yang berkaitan kepada kita.

3. Saya tidak berapa setuju apabila mengatakan bahawa kita tidak boleh memakai pakaian gelap di siang hari dan ia sesuai digunakan pada waktu malam. Sekiranya begitu, apa gunanya pasar raya menjual baju-baju pejabat berwarna gelap. Lebih setuju dengan kursus dahulu yang mengatakan kita perlu memakai warna baju baju dan seluar secara bersilang di mana terdapat kombinasi cerah dan gelap salah satunya.

4. Di dalam menyelesaikan masalah klien/staf. Jangan cuba memberikan idea kepada mereka. Wujudkan keadaan di mana mereka memikirkan sendiri cara idea untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Ini sahaja tips-tips yang menarik yang boleh dikongsikan bersama anda. Semoga anda dapat memanfaatkannya!

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, March 9, 2013

Isu Lahad Datu Mungkin Hanya Peringatan Kecil Daripada Allah s.w.t

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semalam – 8 Mac 2013 genaplah umur Parlimen ke-12 apabila tempohnya tamat selepas genap 5 tahun. Namun begitu, parlimen tersebut masih belum dibubarkan lagi kerana negara sekarang menghadapi serangan penceroboh dari tentera Sulu di Lahad Datu, Sabah. Ada yang mengatakan peristiwa tersebut hanya merupakan sandiwara UMNO untuk mengalih perhatian PRU dan ada yang mengatakan bahawa pencerobohan tersebut berpunca daripada pemimpin pembangkang yang berjanji dengan pihak Sulu. Pendek kata, sukar untuk dipercayai mana satukah sumber berita yang boleh dipercayai. Apa yang pasti peperangan terus berlaku yang melibatkan kematian tentera atau polis Malaysia dan penceroboh dari Sulu. Takziah diucapkan kepada keluarga-keluarga pewira negara.

Peristiwa ini juga menunjukkan bahawa sistem pertahanan negara kita masih lemah. Bagaimana tentera-tentera Sulu tersebut boleh terlepas dan menyelinap masuk ke dalam negara ini serta dalam masa yang sama boleh melakukan serangan hendap ke atas tentera kita. Mungkin kita lagi boleh bersyukur kerana tiada penduduk tempatan terbunuh dalam serangan tersebut. Walaubagaimanapun, peperangan masih belum reda sehingga saat artikel ini ditulis.

Sekiranya perhalusi balik peristiwa ini, adakah peristiwa ini merupakan satu amaran kecil daripada Allah s.w.t.? Kita perlu faham bahawa salah satu wujudnya Tuhan ialah setiap sesuatu peristiwa yang berlaku mempunyai sebab dan akibat. Mungkinkah peristiwa yang berlaku ini disebabkan kita semakin menjauhi larangan Allah s.w.t.? Sekiranya bala diturunkan kepada kita semua, ia akan menimpa kepada kita semua tanpa mengira seseorang itu baik ataupun jahat. Ini disebabkan kita lupa akan tanggungjawab kita untuk menyeru orang melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Seperti biasa, saya akan menggunakan blog saya untuk menyeru pembaca-pembaca saya untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini sahaja usaha yang saya mampu lakukan kerana saya bukannya imam untuk menyampaikan ceramah di masjid dan saya bukannya ahli politik untuk memperkenalkan akta undang-undang maksiat di parlimen untuk mencegahnya daripada terus berleluasa berlaku dalam masyarakat kita.

Kita perlu ingat bahawa terdapat 15 sebab yang menyebabkan turunnya bala daripada Allah s.w.t. Perkara-perkara yang berlaku di Bosnia, Chehcnya dan sebagainya tidak mustahil berlaku di Malaysia ini sekiranya perkara-perkara maksiat ini berlaku secara terang-terangan dalam masyarakat kita. Ada yang mengatakan bahawa punca Malaysia selamat pada hari ini adalah disebabkan oleh adanya wali-wali yang masih berzikir selama 24 jam sehinggakan tiada masa untuk mencukur misai dan janggut mereka.

Salah satu punca turunnya bala ialah apabila harta negara hanya beredar dalam kalangan yang tertentu sahaja. Ini sudah pun berlaku di dalam negara kita apabila amalan kronisme menjadi suatu amalan wajib yang berlaku kepada pemerintah Malaysia pada hari ini. Saudara-mara dan kenalan-kenalan terdekat memperoleh kontrak-kontrak Kerajaan tanpa tender terbuka. Kesannya wang hanya berputar di sekeliling orang-orang kelas atasan sahaja. Ini yang dikatakan rasuah yang menjadi amalan turun-temurun pemimpin kita pada hari ini. Kita tidak mahu isteri pemimpin Malaysia menjadi seperti isteri Ben Ali, bekas Presiden Tunisia iaitu Leila Ben Ali yang membawa emas dari Tunisia ke Dubai 1.5 tan (1 tan bersamaan 1,000 kilogram!). Beliau juga bermewahan dengan harta negara sewaktu suaminya berkuasa.

Selain daripada itu, punca turunnya bala ialah amanah dijadikan habuan diri (ghanimah). Ini pun sudah pun terjadi apabila ramai yang ingin bertanding pilihanraya semata-mata ingin menjadi ahli parlimen (MP) atau ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerana ingin menjadi kaya. Contoh mudah sahaja, apabila anda menjadi ahli parlimen bagi sesebuah kawasan dan terdapat pembangunan seperti jalan raya dan sebagainya yang dibangunkan di kawasan anda, anda akan mendapat beberapa peratus komisen daripada nilai projek tersebut. Alangkah mudahnya menjadi kaya!

Kemudian, sebab turunnya bala ialah zakat dianggap sebagai beban hutang. Jika melihat pada hari ini, masih ramai yang masih tidak membayar zakat walaupun ia merupakan salah satu rukun Islam yang wajib untuk ditunaikan. Di Malaysia, tiada lagi akta undang-undang yang diperkenalkan untuk mengambil tindakan ke atas orang Islam yang tidak membayar zakat. Akan tetapi, akta undang-undang untuk orang yang enggan membayar cukai pula diperkenalkan kepada orang awam. Oleh itu, tidak hairanlah hasil cukai yang dikutip oleh Kerajaan berjumlah RM100 bilion pada tahun lepas. Namun begitu, unsur-unsur dakwah diperkenalkan oleh Kerajaan apabila orang yang membayar zakat akan boleh menikmati potongan cukai. Ini boleh menggalakkan orang ramai untuk menunaikan zakat.

Orang yang fasiq iaitu orang yang jahat dan derhaka kepada Allah s.w.t. menjadi pemimpin kepada sesuatu kaum juga boleh mengundang bala Allah s.w.t. Ini dapat dilihat pada hari ini di mana terdapat pemimpin-pemimpin negara yang secara terus-terang mengatakan bahawa hudud adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan kerana Malaysia bahkan terdapat akhbar secara terang-terangan menulis tajuk besar yang berbunyi “Say No To Hudud”. Apakah yang terjadi kepada pemimpin-pemimpin kita pada hari ini?

Selain itu juga salah satu sebab yang mengundang bala Allah s.w.t. ialah arak menjadi minuman lumrah. Ya, arak sudah pun dijual secara berleluasa di kedai-kedai 24 jam pada hari ini. Ia diletakkan sekali bersama minuman-minuman halal yang lain. Kilang-kilang arak juga secara terang-terangan dibina di tepi lebuh raya. Tidak kira sama ada orang-orang dari parti kerajaan atau pembangkang. Mereka masih lagi gagal untuk mengekang kehadiran minuman haram ini.

Kemudian golongan artis disanjung-sanjung dan muzik menjadi budaya pujaan boleh menyebabkan turunnya bala Allah s.w.t. Pada hari ini juga berpuluh-puluh rancangan realiti televisyen yang dihidangkan kepada masyarakat. Masyarakat hari ini seolah-olah redha dengan kewujudan aktiviti maksiat ini. Perempuan-perempuan bertelanjang tidak menutup aurat manakala masyarakat yang menonton rancangan maksiat tersebut bersorak-sorak. Janganlah sampai kita bergembira kita mengundang kemurkaan daripada langit.

Ini sebahagian sahaja saya menulis punca-punca turunnya bala yang utama kerana ia berlaku secara terang-terangan dalam masyarakat pada hari ini. Saya bimbang sekiranya kita tidak lagi mengecapi keamanan seperti hari ini, kita terpaksa beribadat secara sorok-sorok kerana diancam oleh pihak musuh. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, March 3, 2013

Album Sempena Kejatuhan Khilafah Uthmaniah Tahun ke-89

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.


Hari ini 3 Mac 2013, genaplah kejatuhan Khilafah Uthmaniah tahun ke-89 sejak sistem tersebut dimansuhkan pada 3 Mac 1924. Saya ingin melampirkan gambar-gambar yang saya petik dari akaun laman sosial Facebook iaitu 'Ottoman History Picture Archives'. Tempoh ini amat bermakna kepada kita semua kerana berakhirnya kepimpinan para Sahabat sejak kewafatan Rasullullah s.a.w. sehingga 1924. Berikut adalah gambar-gambar yang dipetik : 


Sistem pemerintahan Khalifah yang dimansuhkan pada 3 Mac 1924. Khalifah Islam yang terakhir iaitu Sultan Abdul Majid Effendi yang diumumkan pemecatan baginda oleh Gabenor Istanbul dan Ketua Polis. Seramai 155 orang ahli-ahli keluarga Uthmaniah diusir daripada bumi Turki dengan Akta No. 431 iaitu Pemansuhan Sistem Pemerintahan Berkhalifah. Baginda diberi tempoh selama 24 jam untuk meninggalkan bumi Turki dan kerabat-kerabat Sultan yang lain diberi tempoh 10 hari. Kerabat diraja ini diusir ke negara lain seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis, Britain, Austria, Mesir dan Lebanon. Undang-undang pengusiran ini ditarik semula pada 1952 untuk ahli kerabat wanita dan 1974 untuk ahli kerabat lelaki.



Segak dan Bergaya : Anak-anak lelaki dan anak saudara Sultan Abdul Hameed Khan II


Meriam-meriam Kerajaan Uthmaniah dan Aceh Selepas Menentang Belanda yang Mengepung Aceh, Indonesia  Pada 1874


Gambar yang Diambil pada November 1839 iaitu Kapal Perang Mecidiye


Murid-murid Sekolah Tentera Uthmaniah di Skopje, Macedonia



Peta Amerika dan Lautan Pasifik yang Dilakarkan oleh Kerajaan Uthmaniah pada 1650



Perarakan Penghormatan Kepada Sultan Abdul Hameed II Selepas Solat Jumaat



Sultan Mahmud Wahiduddin



Stesen Kereta Api Kerajaan Uthmaniah di Ankara pada tahun 1913


Tentera Uthmaniah Semasa Perang Gallipoli



Sultan Abdul Hameed Khan II (1876-1909) : Sultan Uthmaniah yang Terakhir yang Mempunyai Kuasa dan Merupakan Khalifah Islam ke-99.



Balai Polis di Istanbul pada Tahun 1890




Gagah Perkasa : Tentera Uthmaniah dari Puak Kurdish Semasa Perang Gallipoli




Kapal Selam Khilafah Uthmaniah jenis Nordenfelt iaitu Kapal Selam Pertama di dunia yang Boleh Melancarkan Peluru Berpandu di bawa Aras Laut





Meriam Sultan Muhammad al-Fateh yang digunakan untuk Menakluk Constantinople pada Tahun 1453




Gagah Perkasa : Sultan Abdul Hameed II di Usia Muda

Kita sekarang berada di zaman Islam mengalami kemerosotan. Mudah-mudahan kita sempat berada di zaman kegemilangan Islam yang akan muncul suatu hari nanti. Insya-Allah. 

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Ramai yang Memakai Tudung Tetapi Masih Bertelanjang

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Pada hari ini, dapat dilihat bahawa ramai wanita di luar sana yang bertudung tetapi masih lagi bertelanjang. Pendek kata mereka ini masih lagi tidak menutup aurat sepenuhnya walaupun masih memakai tudung. Trend yang biasa dilihat pada hari ialah :

1. Memakai tudung tetapi masih lagi tidak menutup sepenuhnya lengan dari pergelangan tangan sehingga ke bahu dan juga masih menunjukkan ekor rambut kepada orang ramai. Firman Allah s.w.t. :

“Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah al-Ahzab : 59

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa cara untuk mengenal perempuan yang baik-baik adalah yang menutup aurat mereka dan mereka tergolong dalam golongan yang beriman.

2.      Memakai tudung tetapi masih menampakkan dada. Firman Allah s.w.t. :

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan padangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung hingga ke dadanya.” al-Nur : 31

Semoga kita dapat menasihati dan menegur antara satu sama lain. Adalah amat besar kemungkaran Allah s.w.t. sekiranya kita menyeru kebaikan tetapi kita masih tidak membuat kebaikan tersebut. Akan tetapi, kemungkaran Allah s.w.t. adalah lebih besar sekiranya kita melakukan kebaikan tetapi tidak mengajak orang lain membuat kebaikan. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, March 2, 2013

Pertolongan Allah s.w.t. Akan Datang Sekiranya Kita Bertaqwa Kepada-Nya

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Kita semua sama di sisi Allah s.w.t. tidak kita sama ada kita ini kaya atau miskin. Apa yang membezakan kita di sisi Allah s.w.t. adalah taqwa iaitu perasan takut kita kepada Allah s.w.t. Kita sebenarnya perlu bertaqwa kepada Allah s.w.t. sebelum orang-orang lain atau musuh kita takut kepada kita. Sesungguhnya Allah s.w.t. adalah pembela bagi orang-orang yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Allah menjadi pembela (pemimpin) bagi orang-orang yang bertaqwa” al-Jasiyah : 19


Sultan Muhammad al-Fateh (1451-1481) Sang Penakluk Constantinople yang Memakai Serban

Begitu juga sekiranya kita apabila kita membantu agama-Nya, Allah s.w.t. akan membantu kita serta mengukuhkan kedudukan kita. Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud :

“Wahai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah s.w.t., nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukan kamu.” Muhammad : 47

Sultan Abdul Aziz (1861-1876) di Era Kemerosotan Uthmaniah yang Tidak Memakai Serban

Apa yang saya ingin sebutkan di sini ialah Khalifah-khalifah Islam zaman Khilafah Uthmaniah di mana Kerajaan ini berkuasa di dunia selama lebih 600 tahun. Terdapat perbezaan ketara di antara Khalifah-khalifah Islam yang terawal dan terakhir Kerajaan Uthmaniah tersebut. Khalifah-khalifah Islam yang terawal menjalankan perluasan kawasan mereka atas dasar iman dan taqwa untuk menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia.



Kawasan Pemerintahan Uthmaniah di Era Kegemilangannya 1500

Berlainan sekali dengan Khalifah-khalifah atau Sultan-sultan terakhir Kerajaan tersebut yang menggunakan kekuasaan yang ada bagi memenuhi nafsu sendiri dan mencari harta dunia. Sultan-sultan yang terakhir juga berfoya-foya dengan gundik-gundik istana yang diperolehi daripada negeri-negeri Uthmaniah yang luas itu. Gundik-gundik istana ini pula dijaga oleh sida-sidai yang dipotong kemaluannya untuk menjaga gundik tersebut. Selain itu, Sultan-sultan juga minum arak di dalam istana tetapi tidak minumnya secara terbuka. Ulama’-ulama’ juga menjadi pengampu-pengampu Sultan dan tidak menegur Sultan dalam hal pentadbiran negara untuk menjaga kebajikan rakyat. Bak kata imam al-Ghazali, “Rosak rakyat kerana rosak pemimpin. Rosak pemimpin kerana rosak ulama’. Rosak ulama’ kerana cintakan dunia.” (Rujuk Pelita Yang Hilang dan Sejarah Umat Islam).


Kawasan Pemerintahan Uthmaniah yang Tinggal Era kemerosotan Pada 1914

Pendek kata, kejatuhan Khilafah Uthmaniah bukannya berlaku dalam sekelip mata sahaja tetapi ia mula mengalami kemerosotan bermula tahun 1600. Kita juga sekarang melalui kehidupan zaman vakum di mana kita sebagai umat Islam hidup tanpa Khalifah yang memayungi umat Islam ini sejak sistem pemerintahan tersebut dihapuskan pada tahun 1924. Begitulah juga dengan kehidupan kita pada hari ini supaya kita sentiasa hidup berpaksikan al-Quran dan sunnah supaya hidup kita sentiasa diredhai-Nya selalu. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogpsot.com