Saturday, March 9, 2013

Isu Lahad Datu Mungkin Hanya Peringatan Kecil Daripada Allah s.w.t

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semalam – 8 Mac 2013 genaplah umur Parlimen ke-12 apabila tempohnya tamat selepas genap 5 tahun. Namun begitu, parlimen tersebut masih belum dibubarkan lagi kerana negara sekarang menghadapi serangan penceroboh dari tentera Sulu di Lahad Datu, Sabah. Ada yang mengatakan peristiwa tersebut hanya merupakan sandiwara UMNO untuk mengalih perhatian PRU dan ada yang mengatakan bahawa pencerobohan tersebut berpunca daripada pemimpin pembangkang yang berjanji dengan pihak Sulu. Pendek kata, sukar untuk dipercayai mana satukah sumber berita yang boleh dipercayai. Apa yang pasti peperangan terus berlaku yang melibatkan kematian tentera atau polis Malaysia dan penceroboh dari Sulu. Takziah diucapkan kepada keluarga-keluarga pewira negara.

Peristiwa ini juga menunjukkan bahawa sistem pertahanan negara kita masih lemah. Bagaimana tentera-tentera Sulu tersebut boleh terlepas dan menyelinap masuk ke dalam negara ini serta dalam masa yang sama boleh melakukan serangan hendap ke atas tentera kita. Mungkin kita lagi boleh bersyukur kerana tiada penduduk tempatan terbunuh dalam serangan tersebut. Walaubagaimanapun, peperangan masih belum reda sehingga saat artikel ini ditulis.

Sekiranya perhalusi balik peristiwa ini, adakah peristiwa ini merupakan satu amaran kecil daripada Allah s.w.t.? Kita perlu faham bahawa salah satu wujudnya Tuhan ialah setiap sesuatu peristiwa yang berlaku mempunyai sebab dan akibat. Mungkinkah peristiwa yang berlaku ini disebabkan kita semakin menjauhi larangan Allah s.w.t.? Sekiranya bala diturunkan kepada kita semua, ia akan menimpa kepada kita semua tanpa mengira seseorang itu baik ataupun jahat. Ini disebabkan kita lupa akan tanggungjawab kita untuk menyeru orang melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Seperti biasa, saya akan menggunakan blog saya untuk menyeru pembaca-pembaca saya untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ini sahaja usaha yang saya mampu lakukan kerana saya bukannya imam untuk menyampaikan ceramah di masjid dan saya bukannya ahli politik untuk memperkenalkan akta undang-undang maksiat di parlimen untuk mencegahnya daripada terus berleluasa berlaku dalam masyarakat kita.

Kita perlu ingat bahawa terdapat 15 sebab yang menyebabkan turunnya bala daripada Allah s.w.t. Perkara-perkara yang berlaku di Bosnia, Chehcnya dan sebagainya tidak mustahil berlaku di Malaysia ini sekiranya perkara-perkara maksiat ini berlaku secara terang-terangan dalam masyarakat kita. Ada yang mengatakan bahawa punca Malaysia selamat pada hari ini adalah disebabkan oleh adanya wali-wali yang masih berzikir selama 24 jam sehinggakan tiada masa untuk mencukur misai dan janggut mereka.

Salah satu punca turunnya bala ialah apabila harta negara hanya beredar dalam kalangan yang tertentu sahaja. Ini sudah pun berlaku di dalam negara kita apabila amalan kronisme menjadi suatu amalan wajib yang berlaku kepada pemerintah Malaysia pada hari ini. Saudara-mara dan kenalan-kenalan terdekat memperoleh kontrak-kontrak Kerajaan tanpa tender terbuka. Kesannya wang hanya berputar di sekeliling orang-orang kelas atasan sahaja. Ini yang dikatakan rasuah yang menjadi amalan turun-temurun pemimpin kita pada hari ini. Kita tidak mahu isteri pemimpin Malaysia menjadi seperti isteri Ben Ali, bekas Presiden Tunisia iaitu Leila Ben Ali yang membawa emas dari Tunisia ke Dubai 1.5 tan (1 tan bersamaan 1,000 kilogram!). Beliau juga bermewahan dengan harta negara sewaktu suaminya berkuasa.

Selain daripada itu, punca turunnya bala ialah amanah dijadikan habuan diri (ghanimah). Ini pun sudah pun terjadi apabila ramai yang ingin bertanding pilihanraya semata-mata ingin menjadi ahli parlimen (MP) atau ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerana ingin menjadi kaya. Contoh mudah sahaja, apabila anda menjadi ahli parlimen bagi sesebuah kawasan dan terdapat pembangunan seperti jalan raya dan sebagainya yang dibangunkan di kawasan anda, anda akan mendapat beberapa peratus komisen daripada nilai projek tersebut. Alangkah mudahnya menjadi kaya!

Kemudian, sebab turunnya bala ialah zakat dianggap sebagai beban hutang. Jika melihat pada hari ini, masih ramai yang masih tidak membayar zakat walaupun ia merupakan salah satu rukun Islam yang wajib untuk ditunaikan. Di Malaysia, tiada lagi akta undang-undang yang diperkenalkan untuk mengambil tindakan ke atas orang Islam yang tidak membayar zakat. Akan tetapi, akta undang-undang untuk orang yang enggan membayar cukai pula diperkenalkan kepada orang awam. Oleh itu, tidak hairanlah hasil cukai yang dikutip oleh Kerajaan berjumlah RM100 bilion pada tahun lepas. Namun begitu, unsur-unsur dakwah diperkenalkan oleh Kerajaan apabila orang yang membayar zakat akan boleh menikmati potongan cukai. Ini boleh menggalakkan orang ramai untuk menunaikan zakat.

Orang yang fasiq iaitu orang yang jahat dan derhaka kepada Allah s.w.t. menjadi pemimpin kepada sesuatu kaum juga boleh mengundang bala Allah s.w.t. Ini dapat dilihat pada hari ini di mana terdapat pemimpin-pemimpin negara yang secara terus-terang mengatakan bahawa hudud adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan kerana Malaysia bahkan terdapat akhbar secara terang-terangan menulis tajuk besar yang berbunyi “Say No To Hudud”. Apakah yang terjadi kepada pemimpin-pemimpin kita pada hari ini?

Selain itu juga salah satu sebab yang mengundang bala Allah s.w.t. ialah arak menjadi minuman lumrah. Ya, arak sudah pun dijual secara berleluasa di kedai-kedai 24 jam pada hari ini. Ia diletakkan sekali bersama minuman-minuman halal yang lain. Kilang-kilang arak juga secara terang-terangan dibina di tepi lebuh raya. Tidak kira sama ada orang-orang dari parti kerajaan atau pembangkang. Mereka masih lagi gagal untuk mengekang kehadiran minuman haram ini.

Kemudian golongan artis disanjung-sanjung dan muzik menjadi budaya pujaan boleh menyebabkan turunnya bala Allah s.w.t. Pada hari ini juga berpuluh-puluh rancangan realiti televisyen yang dihidangkan kepada masyarakat. Masyarakat hari ini seolah-olah redha dengan kewujudan aktiviti maksiat ini. Perempuan-perempuan bertelanjang tidak menutup aurat manakala masyarakat yang menonton rancangan maksiat tersebut bersorak-sorak. Janganlah sampai kita bergembira kita mengundang kemurkaan daripada langit.

Ini sebahagian sahaja saya menulis punca-punca turunnya bala yang utama kerana ia berlaku secara terang-terangan dalam masyarakat pada hari ini. Saya bimbang sekiranya kita tidak lagi mengecapi keamanan seperti hari ini, kita terpaksa beribadat secara sorok-sorok kerana diancam oleh pihak musuh. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: