Sunday, March 31, 2013

Masalah Kedai-kedai Melayu : Kekurangan Duit Syiling


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Sudah semestinya masalah yang biasa dihadapi oleh mana-mana kedai makan orang melayu adalah masalah kekurangan duit syiling. Masalah ini memang menyukarkan apabila pelanggan ingin membuat pembayaran duit di kaunter dan tiada ‘wang balik’ kerana kekurangan duit syiling. Masalah ini juga berlaku di kedai yang saya biasa makan. Kadang-kadang saya juga menolong kedai tersebut untuk menukar wang syiling kerana ingin membantu kedai tersebut sekiranya terdapat lebihan wang syiling.

Duit-duit syiling sekarang sukar untuk didapati kerana duit ini kebanyakannya dipegang oleh kedai-kedai yang menjual rokok sejak harga rokok dinaikkan contohnya rokok yang berharga RM10.00 dinaikkan kepada RM10.20. Ini menyebabkan kedai-kedai rokok memerlukan duit syiling yang banyak untuk memberi baki wang kepada pelanggan.

Kadang-kadang kerana 10-20 sen juga menyebabkan penjual melayu boleh jatuh bangkrap. Teringat saya ada 2 orang penjual sayur-sayuran di pasar iaitu penjual melayu dan penjual cina. Penjual cina tersebut mengurangkan harga barangan dia hanya 10-20 sen. Ini menyebabkan pembeli-pembeli yang terdiri daripada orang melayu membeli dengan penjual cina tersebut. Kesannya, tiada orang yang ingin membantu membeli barangan basah daripada penjual melayu tersebut dan menyebabkan beliau tutup tempat berniaga beliau. Selepas itu, peniaga cina tersebut menaikkan harga barang basah sebanyak 10-20 sen dan menyebabkan semua orang marah kepada orang cina tersebut. Inilah sikap kita yang suka berkira dengan bangsa sendiri sedangkan dengan orang lain kita boleh berlembut.

Sebenarnya, cara menabung yang sesuai adalah dengan menyimpan lebihan duit syiling setiap hari dan jangan kita menggunakan duit syiling tersebut. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Apabila duit syiling tersebut bertambah, gunakan dia untuk ditukarkan di kedai-kedai orang melayu yang sentiasa menghadapi masalah kekurangan wang syiling. Sebenarnya inilah cara kita untuk membantu kedai-kedai melayu selain ‘komplen’ mereka sering tiada duit syiling. Bukannya dengan mencemuh dan menghentam mereka. Ini mengingatkan dengan seekor burung yang ingin memadam api yang membakar Nabi Ibrahim a.s. dengan mengangkut air menggunakan paruhnya. Apabila ditanya mengapa ia cuba memadamkan api tersebut sedangkan ia tidak akan padam. Burung tersebut menjawab, “Sebenarnya Allah s.w.t. akan melihat usaha kita dan bukannya hasil kita.” Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: