KALAU kita dengar dan percaya kepada perangkaan, sama ada awam
atau swasta, ekonomi kita tidaklah seteruk Amerika Syarikat dan negara-negara
Eropah.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) kita tahun ini dianggarkan 5%
berbanding AS sebanyak 1.5% dan Zon Euro dalam 0.3%. Tapi pertumbuhan ekonomi
kita lebih rendah daripada China, India, Indonesia dan banyak lagi negara di
rantau ini.
Bukan sahaja pertumbuhan ekonomi kita tidak lagi sepesat sebelum Krisis
Kewangan Asia 1997/98, malah telah mengalami beberapa krisis kecil selepas itu.
Sejak krisis 1997/98, KDNK kita berkembang di bawah paras 5% sedangkan kita
memerlukan pertumbuhan purata 7% setahun dari awal 1990-an hingga tahun 2020
untuk mencapai taraf negara maju.
Jurang Ekonomi Melebar Semula
Seperti saya nyatakan dalam ruangan Kunta Kinte Original, Berita Harian 28 Disember bahawa
perangkaan menunjukkan pada 2009, jurang pendapatan antara kaum sudah berbalik
kepada yang asal yakni pada permulaan Dasar Ekonomi Baru atau lebih teruk.
Jurang pendapatan bandar dan luar bandar sudah kembali kepada waktu kita
mencapai kemerdekaan pada 1957.
Walaupun jurang pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera dan Cina
misalnya, telah menguncup pada1990, tapi ia melebar semula pada
2009.
Pada 1990, bagi setiap RM1 pendapatan Bumiputera, Cina memperoleh RM1.70. Menjelang 2009, jurang ini meluas menjadi dua kali ganda.
Ambil contoh simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) pula.
Orang Cina menyimpan 2.4 kali lebih banyak daripada Bumiputera. Orang Cina
miliki 5.6 kali lebih banyak bangunan. Pada 2005, hanya 7.4 peratus syarikat
yang disenaraikan di Bursa Malaysia milik Bumiputera berbanding 58.6 peratus
oleh orang Cina. Jumlah ekuiti Bumiputera hanya 18 peratus berbanding 35.8
peratus oleh orang Cina.
Dalam pasaran buruh pula, pekerja Cina peroleh gaji purata 1.77 kali
lebih tinggi daripada Bumiputera. Ini tidak menghairankan kerana majoriti
Bumiputera bekerja dengan Kerajaan yang lebih rendah gajinya manakala majoriti
Cina bekerja dalam sektor swasta yang dikuasai oleh bukan
Bumiputera.
Bumiputera Warga Ekonomi Kelas Tiga
Kalau diukur mengikut pekali Gini (Gini coefficient), orang Cina dan
India secara purata makin jauh meninggalkan Bumiputera dari segi
pendapatan.
Saya tidak menolak ada orang Cina dan India miskin, tetapi bilangan
mereka jauh lebih kecil daripada Bumiputera. Dalam konteks ekonomi, Bumiputera
sudah menjadi rakyat kelas ketiga selepas orang Cina dan India.
Kerana ekonomi negara kini tidak berkembang sepesat tempoh DEB Baru dan
dasar pembahagian kekayaan melalui pembasmian kemiskinan serta penyusunan semula
masyarakat tidak lagi diamalkan dengan serius malah sudah diganti dengan
keterangkuman dan meritokrasi, maka kesan lelehan (trickle-down effect)
semakin perlahan.
Manifestasi kemunduran ekonomi Bumiputera ini boleh dilihat di mana-mana
saja. Beberapa hari lalu, ketika bersarapan di sebuah kedai India bukan Islam,
saya ternampak sekeluarga India (yang tentunya kaya) masuk dengan diiringi
seorang pengawal keselamatan Melayu berpakaian seragam biru.
Kasihan pula melihat dia berdiri terpacak di belakang majikannya
sepanjang mereka bersarapan. Tetapi apa nak buat, itu cara dia mencari rezeki
halal dan itulah agaknya yang diperintahkan oleh majikannya.
Boleh kata semua orang India dan Cina kaya yang ada pesaing perniagaan
dan takut diculik, apatah lagi yang ada musuh akan mengambil orang Melayu,
khususnya bekas anggota Unit Tindakan Khas polis sebagai pengawal
peribadi.
Ada sesetengahnya sampai berbelas-belas orang. Apabila mereka ke
mana-mana, mereka akan bergerak dalam konvoi tiga atau empat buah kereta. Cermin
kereta mereka tentulah gelap gelemat. Kadang-kadang mereka tidak pun ada di
dalam kenderaan. Sekadar helah mengelak daripada ancaman.
Kerana Melayu Taat
Alhamdulillah, kerana ramai orang Cina dan India kaya di negara kita ini dan kerap berlaku keganasan yang melibatkan mereka maka ramailah bekas anggota polis dan tentera Melayu dapat kerja jadi pengawal keselamatan.
Lagi-lagilah sekarang apabila jenayah bunuh, culik, peras ugut dan
rompakan makin menjadi-jadi. Bukan tauke saja yang ketakutan, sengkeh pun
ketakutan juga.
Saya perhatikan tauke Cina dan India yang saya kenali jarang sekali
mengambil orang Cina atau orang India jadi pengawal peribadi mereka. Ramai orang
India jadi pemandu. Lagipun tidak ramai orang Cina yang mahu jadi pengawal
keselamatan – berbahaya dan gaji tidaklah besar mana. Lebih baik buat kerja
lain.
Tetapi orang Melayu dan India yang rendah pelajaran dan tidak pandai
berniaga terpaksalah buat apa saja yang mereka layak untuk mencari rezeki halal.
Itu pun sudah ramai orang Melayu dan India yang menjadi penjenayah, khasnya
bekas tahanan Ordinan Darurat yang dimansuhkan. Dalam hal ini, saya salahkan
Kerajaan dan Parlimen yang memansuhkannya.
Tapi dalam jenayah pun, Melayu kalah kepada kaum-kaum lain. Ramai Melayu
diambil menjadi pegawai keselamatan dan pengawal peribadi tauke Cina dan India
kerana orang Melayu taat serta setia hasil pembabitan mereka dalam pasukan
bersenjata. Lagipun, jarang sekali Melayu terbabit dengan jenayah seperti culik
dan peras ugut. Kalau terbabit pun cepat kena tangkap.
Wallahualam, saya pun tidak tahu sama ada orang Melayu dan Bumiputera seronok atau tidak menjadi warga ekonomi kelas tiga serta mempertaruhkan nyawa sendiri untuk melindungi nyawa dan kekayaan orang lain.
Sumber : A Kadir Jasin
No comments:
Post a Comment