Tuesday, February 25, 2020

Lumpuhnya Kerajaan Pakatan Harapan Menandakan Berakhirnya Kerakusan Pemimpin DAP

Alhamdulillah, perkembangan suasana politik yang genting ini dengan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr. Mahathir merupakan berita baik buat orang-orang Melayu sejak kerajaan Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP lumpur dengan serta-merta. Ini menandakan perlantikan semua menteri kabinet termasuk timbalan menteri dan setiausaha politik kabinet sebelum ini secara automatik terbatal dengan sendirinya apabila YDPA memperkenankan perletakan jawatan Perdana Menteri.

Menurut Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, perkara ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan yang seiring perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Sehingga kini, Dr. Mahathir dilantik oleh YDPA sebagai Perdana Menteri interim mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Keadaan sementara ini membolehkan Dr. Mahathir menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan anggota kabinet baharu dilantik.

Apa yang harus kita syukuri ialah dengan ini jawatan-jawatan menteri yang memegang portfolio utama khususnya menteri kewangan oleh pemimpin utama DAP iaitu Lim Guan Eng telah terlucut dengan sendirinya. Kita sebagai umat Melayu sudah lama menangis dalam diam apabila melihat satu persatu aset milik Tabung Haji dijual saban hari. Ditambah pula dengan sikap dan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin DAP yang bersikap kurang ajar setelah mereka menguasai pentadbiran persekutuan. Ini belum mengambil kira lagi masyarakat Cina yang berjuang untuk peperiksaan dari tanah asal mereka iaitu UEC supaya diiktiraf dalam sistem pendidikan negara ini. 

Saya fikir para pemimpin DAP boleh dinyahkan dari kabinet selepas PRU-15 nanti. Rupa-rupanya saya silap kerana tindakan Tun Dr. Mahathir yang meletak jawatan secara tiba-tiba pada semalam (Isnin). Ini bukan langkah pintu belakang kerana langkah ini sebenarnya dibenarkan dan mengikut perlembagaan. Dan satu lagi jika tidak mengikut perlembagaan sekalipun, ini adalah Tanah Melayu dan milik orang Melayu. Tragedi yang berlaku di negeri Perak pada tahun 2009 tidak mustahil berlaku di peringkat Persekutuan pada hari ini. 

Apa yang saya kasihankan ialah bakal Perdana Menteri dalam menunggu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim unuk menjadi Perdana Menteri. Impian tinggal impian. Janji tinggal janji oleh Tun Dr. Mahathir. Mungkin agak sukar percubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri dengan menggunakan platform kerjasama PKR-DAP-AMANAH kerana orang-orang Melayu tidak lagi percaya kepada Parti DAP. 

Sudah tentu kita tidak akan menjadi bodoh lagi untuk memilih atau mengundi calon-calon parti daripada Parti DAP ini yang dahulunya dimomok sebagai tidak anti-Islam, amanah, integriti, dan penuh dengan sakra (suci) dalam pilihan raya akan datang. Berpesan-pesanlah kepada anak-cucu kita supaya tidak mengundi mana-mana calon DAP ini kerana mengundi mereka sama seperti menggadai tanah air dan masa depan generasi kita kepada orang bukan Melayu. 

Saya yakin apabila kerajaan baharu yang akan dibentuk yang mungkin dalam tempoh 10 hari nanti tidak mempunyai calon-calon menteri kabinet dari Parti DAP kerana kita sudah tahu akibatnya apabila mempunyai pemimpin yang bukan Islam. Cukuplah sekali kita dilanyak oleh orang bukan Melayu kerana mengundi mereka.

Wallhua’lam.

Sunday, February 23, 2020

Datuk Rahim Abu Bakar: Wira Politik yang Tercedera

Datuk Abdul Rahim Abu Bakar.

Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Bakar (19 Julai 1978 hingga 7 November 1981) adalah antara wira politik tanah air yang “tercedera’ dalam perjuangan untuk membuat perubahan secara radikal. Beliau terpaksa meletakkan jawatan lebih awal sebelum cukup tempoh kerana melanggar tradisi dan berkrisis dengan istana.

Mungkin tindakannya untuk membetulkan pentadbiran negeri Pahang terutama sekali mengenai sistem pembalakan terlalu drastik dan tidak kena pada masanya kerana ketika itu Dr. Mahathir pun baru sahaja menjadi Perdana Menteri yang memerlukan sokongan semua pihak termasuk istana untuk kestabilan politik bagi pengukuhan kedudukannya.

Rahim telah berundur daripada jawatannya enam bulan sebelum pilihan raya umum 1982 dan jawatannya itu dipangku oleh Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman sehinggalah Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengambil alih secara rasmi jawatan Menteri Besar Pahang menerusi pilihan raya umum 1982.

Dalam bukunya Krisis Sultan-MB: Apa Sebenarnya Terjadi, Chamil Wariya mencatatkan, sekalipun sebagai Menteri Besar, Rahim hadir pada upacara keputeraan Sultan Pahang pada 1980 tetapi beliau tidak dibenarkan berucap dan pada hari keputeraan 1981, beliau langsung tidak dijemput ke upacara itu.

Tindakannya yang paling ketara ialah memperkenalkan sistem tender terbuka bagi syarikat-syarikat mendapatkan kawasan pembalakan di Pahang dengan memberikannya kepada syarikat yang menawarkan harga paling tinggi.

Ini mencetuskan kontroversi antaranya dengan beberapa orang pemimpin politik negeri dan pihak lain yang berkepentingan. Jalan keluar baginya untuk meredakan ketegangan politik di Pahang ialah meninggalkan negeri itu dan pemergiannya mencatatkan sejarah sebagai seorang pemimpin revolusiner yang “tercedera” dalam perjuangannya, sebagai seorang Menteri Besar yang kontroversi tetapi berkredibiliti.

Bagaimanapun, dalam masa yang singkat beliau telah meninggalkan jasa yang besar terutama sekali dari segi membangunkan bandar-bandar kecil untuk penempatan peniaga-peniaga Melayu sekalipun tidak terlaksana sepenuhnya tetapi menampakkan visinya yang jelas. 

Beliau berpandangan orang Melayu tidak mampu bersaing dengan peniaga bukan Melayu yang telah lama bertapak di sesuatu kawasan kecuali dibangunkan bandar baharu berserta pembangunan kawasan perumahan bagi mereka yang sanggup berpindah.

Dalam kebanyakan tindakannya yang radikal, beliau lebih dahulu merujuk kepada Perdana merujuk kepada Perdana Menteri, Hussein Onn yang merestui dan menjadikan beliau berani dan bertegas.

Pemikiran dan tindakannya untuk transformasi sosial dan politik di Pahang amat jelas dalam suatu interviu dengan Rosnah Majid hampir 30 tahun lalu yang tidak dapat disiarkan kerana tidak sesuai dengan suasana politik pada masa itu.

Saya menemui skrip interviu itu di dalam sebuah fail simpanan saya yang tercatat cadangan siarannya pada Utusan Melayu dan Utusan Malaysia keluaran 27 dan 28 April 1981 tetapi keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti “tidak perlu disiarkan.” Nota mengenainya tertulis di atas skrip berita itu bertarikh 13 Julai 1981.

Dalam pendahuluan rencana wawancara itu, Rosnah menulis pegangan hidup Rahim ialah “Jika takut dipukul ombak, jangan berumah di tepi pantai.”

“Bagi anak nelayan Beserah ini, ombak adalah hidupnya. Lantaran itulah beliau menerima tanggungjawab sebagai Menteri Besar Pahang kira-kira tiga tahun lalu, meskipun gelombang terpaksa diharunginya.”

Kata Rosnah yang kemudiannya juga menyertai politik di Kedah dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Dawai, “Pelantikan Haji Abdul Rahim Bakar mengetuai pentadbiran negeri yang kaya dengan balak itu telah merancakkan lagi politik Pahang malah ributnya menjalar hingga ke peringkat pusat.”

Salah satu gelombang besar yang timbul di sepanjang hampir tiga tahun beliau memerintah ialah percubaan mengadakan undi tidak percaya kepadanya hingga Hussein Onn terpaksa campur tangan secara langsung dan mengambil tanggungjawab menjadi Ketua Perhubungan UMNO Pahang.

Ditanya oleh Rosnah mengapa beliau menjadi seorang Menteri Besar yang paling banyak diperkatakan dan paling kontroversi, Rahim menjawab: “Saya adalah menteri besar dan wakil rakyat yang termuda di Pahang. Faktor umur ini telah mengakibatkan pelbagai persoalan lain termasuk kurang keyakinan, pemimpin yang mempunyai corak pemikiran baru yang tidak mengikuti cara pemikiran lama dan pelbagai lagi.”

Sebab kedua yang menimbulkan kontroversi ialah barangkali kerana beliau datang bukan daripada keluarga bangsawan dan kenamaan, sebaliknya daripada keluarga miskin, nelayan Berserah.

Hal ini berbeza berbanding tiga Menteri Besar terdahulu. Jadi kehadirannya menduduki tempat terpenting di Pahang itu telah menyalahi kebiasaan sebelum ini.

Satu lagi perbezaan beliau dengan menteri-menteri besar Pahang sebelum ini ialah semua mereka mendapat gelaran “Datuk” sebelum mereka menjadi menteri besar.

Menerusi pemberian gelaran itu, saty hakikat yang nyata ialah segala kerja seseorang itu telah dicatatkan dan diakui tetapi berlainan dengan beliau yang kini hanya mempunyak gelaran “Haji”.

Selain itu, Rahim merupakan Menteri Besar Pahang yang pertama mempunyai kelulusan universiti – Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Universiti Malaya, berbanding dengan menteri-menteri besar sebelum nya.

Katanya, “Saya tidak berkata bahawa mereka yang berkelulusan universiti lebih baik daripada mereka yang tidak berkelulusan tetapi saya hanya menyatakan perbezaan antara saya dengan menteri besar terdahulu.”

Oleh kerana Rahim sebelumnya memegang jawatan kerajaan dan tidak dapat aktif secara terang-terangan dalam politik maka beliau telah dianggap tidak menghayati aspirasi UMNO kerana tidak datang dari akar umbi.

Kepada pemerhati politik di luar Pahang, satu perubahan yang dilakukan oleh Rahim ialah mematikan “Politik Balak” di negeri itu. “Apakah ini merupakan punca utama mencetuskan kontroversi?” tanya Rosnah.

Rahim menjawab, “Saya tidak menganggap soal balak menjadi punca utama. Bagaimanapun, cara saya menguruskan perusahaan pembalakan di Pahang sekarang ternyata menimbulkan sedikit tidak senang dalam kalangan beberapa pihak.”

Menurutnya, sejak beliau menjadi menteri besar yang juga ketua eksekutif, beliau telah mengadakan tender secara terbuka dalam menjual kawasan pembalakan kepada syarikat-syarikat pembalakan.

Caranya ialah mana-mana syarikat yang menawarkan harga paling tinggi, syarikat itulah yang memperoleh kawasan balak. Beliau tidak lagi memberikan kawasan balak dengan harga yang murah kepada mana-mana juga pihak.

“Antara 50 hingga 60 peratus daripada hasil Pahang datangnya dari balak. Jadi jika soal balak tidak diuruskan dengan baik sedangkan ia adalah harta rakyat yang diamanahkan oleh Tuhan, maka negeri Pahang akan kekurangan modal untuk pembangunan,” katanya.

Bagi tuduhan bahawa cara ini akan mematikan usahawan bumiputera, Rahim menjawab, “Kalau saya memberi kawasan balak dengan kadar yang rendah, ini tidak bermakna saya melahirkan usahawan bumiputera kerana kawasan itu akan terserah juga kepada bukan bumiputera.”

Sekalipun Rahin dilantik oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO untuk mengetuai Pahang dan bukannya dari bawah, tetapi prinsipnya ialah pergi kepada rakyat bawahan kerana katanya, “Apabila saya melihat pemimpin, saya melihat rakyat di belakang beliau. Jadi apabila saya bekerja untuk kepentingan rakyat, saya percaya itulah juga yang dikehendaki oleh semua pemimpin UMNO.”

Beliau mengakui bahawa beliau bukanlah ahli politik seperti yang diharapkan oleh sesetengah pihak tetapi, “Saya percaya bahawa cara saya adalah cara yang sepatutnya dilakukan oleh seorang ahli politik.”

Bagi Rahim, politik adalah satu aktiviti ntuk mendapatkan kuasa bagi membela nasib kaumnya.

Daripada pengalamannya, Rahim berpendapat perubahan yang paling sukar dilakukan oleh manusia adalah untuk mengubah fikiran manusia sendiri. Katanya, membangunkan rakyat di Pahang dari segi nilai dan sistem adalah lebih rumit daripada membangunkan muka bumi.

Rahim telah mengambil langkah drastik bagi mengubah cara hidup di kampung kepada cara hidup di bandar yang lebih dinamik, kompetitif dan maju. Meletakkan masyarakat Melayu di bandar dan menjadikan mereka orang bandar, inilah yang menimbulkan beberapa masalah yang mesti diselesaikan oleh pihak pentadbir.

Menyedari hakikat ini, Rahim meletakkan satu matlamat yang realistik iaitu hanya sebahagian tertentu sahaja daripada seluruh masyarakat sanggup menerima perubahan dalam jangka masa tertentu.

Bagi Rahim kumpulan yang dinamik ialah kumpulan yang sanggup berpindah dari kampung ke bandar. Sementara mereka yang akan ketinggalan ialah mereka yang tidak sanggup menempuh hidup baru iaitu mereka yang mahu menetap di kampung.

Untuk itu kerajaan perlu membina bandar baharu yang memenuhi syarat perancangan baik dari segi letak bangunan dan jalan hinggalah penduduknya mencerminkan kehendak Dasar Ekonomi Baru.

Beliau tidak yakin orang Melayu dapat bersaing di bandar lama di mana bukan Melayu telah lama bertapak kerana kehadiran mereka yang terkemudian akan membuat mereka terumbang-ambing.

Keadaan ini wujud kerana tempat yang strategik dan mengandungi kuasa beli yang teramai telah diduduki oleh pihak lain dan jika ada pun tempat berniaga diberikan kepada mereka, tempat itu lebih merupakan lebihan dari tempat yang telah diduduki.

Di sinilah letaknya kepentingan bandar-bandar baharu dalam melahirkan masyarakat peniaga yang boleh bergerak lebih jauh dan luas lagi.

Rosnah membuat kesimpulan daripada wawancara itu bahawa dengan menggunakan kekuatan mental dan fizikal, manusia telah berjaya membuat pelbagai perubahan di dunia ini; hutan rimba ditukar menjadi bandar, laut ditimbus menjadi darat dan darat dikorek menjadi terusan.

Tetapi di sebalik perubahan itu terselit satu hakikat bahawa perubahan yang paling sukar dilakukan oleh manusia ialah mengubah fikiran manusia sendiri.

Dalam hal ini beliau meletakkan harapan yang sangat besar kepada pegawai-pegawai kerajaan kerana sebagai bekas pegawai kerajaan beliau lebih tahu tentang sikap sesetengah pegawai kerajaan. 

“Masalah saya dengan pegawai-pegawai kerajaan ialah saya mahu mereka bekerja kuat. Mana yang rajin, mereka suka bekerja, tetapi yang agak curi tulang, mereka inilah yang tidak sukakan saya,” katanya.

Saya telah menyimpan hampir 30 tahun wawancara Rosnah dengan Rahim yang tidak dapat disiarkan semasa saya menjadi Pengarang Utusan Malaysia dan Tan Sri Mazlan Nordin sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan.

Kembalinya Abdul Rahim ke rahmatullah telah memberikan nilai yang sangat tinggi kepada wawancara ini untuk disiarkan sekarang bagi dibaca, dihayati, dan dikongsi bersama sebagai panduan kepada penerusan perjuangan berani oleh generasi baharu untuk menghapuskan gejala penyalahgunaan kuasa demi kepentingan rakyat terbanyak.

Rahim telah melakukan sedapat mungkin untuk berbakti kepada rakyat sehingga tidak membenarkan rakan-rakan bekerja di bawahnya kerana katanya, “Sudah menjadi tabiat saya, dalam bekerja saya tidak mengenal kawan. Ini berbeza semasa saya bersukan.”

Di akhir wawancara dengan Rosnah itu Rahim berkata, “Kadang-kadang saya terfikir yang saya menuntut terlalu banyak daripada pegawai-pegawai supaya mereka bekerja kuat, tetapi sebenarnya bukan saya yang meminta terlalu banyak, tetapi rakyat yang meminta para pegawai bekerja kuat.

“Kerana tuntutan begini, kadang-kadang saya hilang kawan. Saya berasa sedih, tetapi saya sedar saya tidak boleh melayan selamanya melayan perasaan kecewa begitu. Sebagai menteri besar, saya perlu memenuhi tanggungjawab yang diletakkan di bahu saya,” tegasnya.

Sumber: Zainuddin Maidin, Hari Itu Sudah Berlalu, 2011.

Ulasan:

Saya tidak mengenal nama Datuk Abu Bakar Rahim – Seorang Menteri Besar Pahang yang sehinggalah saya membaca buku (Allahyarham) Zainuddin Maidin ini. Menteri besar ini penuh kontroversi apabila menjalankan tugasnya dengan penuh amanah yakni melanggar nilai-nilai norma politik masyarakat Melayu. Apabila disebut dengan politik Melayu, sudah tentu ianya tidak dapat lari daripada kronisme atau nepotisme yang mementingkan suku-sakat atau kepentingan pemimpin-pemimpin parti politik. Sememangnya orang yang jujur melaksanakan amanah tugas mereka, kebiasaannya akan memegang jawatan mereka sekejap sahaja di dunia ini. Begitu juga dengan Datuk Abu Bakar Rahim yang hanya berkesempatan memegang jawatan Menteri Besar Pahang selama 3 tahun sahaja. Idea beliau untuk melaksanakan proses pembandaran masyarakat Melayu ketika itu dengan menggunakan kuasa politik yang ada sudah tentu tiada tolok bandingnya untuk dilaksanakan ketika itu apatah lagi pada akhir tahun 1970-an tempoh ini boleh dianggap negara baru sahaja mencapai kemerdekaan di samping untuk mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru. Sudah tentu pemimpin yang tegas sebegini sukar dicari ganti di kalangan pemimpin politik Melayu pada hari ini kerana masing-masing ingin menjaga kepentingan kroni ataupun parti yang mendokong mereka menjadi pemimpin. 

Friday, January 31, 2020

Tip Penulisan: Perbezaan Tulisan Serif dan San Serif

Perhatikan huruf yang ada ekor (serif) dan tiada ekor (san serif).

Sebenarnya dalam memilih font penulisan, ianya mempunyai tip yang sendiri. Kita tidak boleh memilih font penulisan secara semberono sahaja untuk menarik perhatian pembaca khususnya untuk membaca buku.

Baiklah, dalam font penulisan ianya terbahagi 2 jenis font yang Utama iaitu Serif (berekor) dan San Serif (tiada ekor). Untuk tulisan font Serif, ianya sesuai untuk buku-buku yang tebal seperti novel, majalah, ilmiah, dan sebagainya. Ini sebenarnya untuk menarik perhatian mata pembaca supaya tidak mudah bosan ataupun letih. Manakala tulisan font Serif, ianya sesuai untuk buku-buku teknikal ataupun kejuruteraan yang ditulis dengan ayat-ayat pendek.

Tuesday, January 28, 2020

Baik Buruk Pelaksanaan Semula PPSMI

Setelah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad mengumumkan semula untuk melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), ianya mengundang reaksi spontan di kalangan rakyat Malaysia – ada yang menyokongnya dan ada yang bersikap sebaliknya. 

Seperti biasa, Tun Dr. Mahathir memberikan alasan bahawa ilmu sains dan matematik merupakan ilmu yang berkembang dari semasa ke semasa. Serentak dengan itu juga negara ini juga negara kita juga mengalami kekurangan tenaga sumber manusia untuk menterjemahkan buku-buku bahasa Inggeris ini ke dalam bahasa Melayu. 

Kita harus ingat bahawa walaupun negara Jepun merupakan antara negara maju di dunia ini, akan tetapi apabila rakyatnya membuat pembentangan kertas kerja di peringkat antarabangsa, rakyat ini gagal menjawab soalan oleh para peserta apabila soalan yang dilontarkan adalah dalam bahasa Inggeris. Adakah hasil produk ini kita mahukan? Mahir dalam sains dan matematik tetapi gagal menguasai bahasa Inggeris yang sekarang ini merupakan bahasa dunia. 

Saya pernah bertanyakan kepada kenalan saya yang pernah belajar di Terengganu Advanced Technical Institute (TATI) tetapi beliau tidak berjaya menghabiskan pembelajarannya di institusi ini. Apabila saya bertanya semula kepada beliau mengapa tidak habis belajar, beliau secara spontan menjawab, “Tak tahan belajar dalam bahasa Inggeris.” Daripada cerita ini juga boleh kita fahami bahawa inilah risiko apabila para pelajar tidak diberikan pendedahan bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah lagi. Akhirnya, mereka sendiri yang tercicir belajar di menara gading. 

Ironinya, inilah harga apabila kita ingin mempertaruhkan sistem pendidikan kita supaya generasi muda ini ingin mahir dalam bahasa Inggeris. Hakikatnya, kerajaan sebenarnya ingin memfokuskan kepada orang-orang Melayu supaya mereka mahir dan fasih berbahasa Inggeris di universiti apabila mereka dilatih menggunakan bahasa ini sejak di awal bangku sekolah lagi. 

Apabila kerajaan melaksanakan dasar PPSMI suatu ketika dahulu di sekolah kebangsaan, ia sebenarnya menarik perhatian ibu bapa pelajar bukan Melayu untuk menghantar anak mereka untuk belajar belajar di sekolah kebangsaan kerana PPSMI hanya dilaksanakan di sekolah kebangsaan sahaja dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan diberikan pengecualian. Malangnya, pelaksanaan PPSMI hanya dilaksanakan sekejap sahaja setelah ianya dibantah oleh ramai pihak. Jika tidak, inilah untuk peluang untuk kerajaan untuk mewujudkan sekolah sistem satu aliran sahaja di negara ini. 

Perlu kita fahami bahawa bahasa Inggeris adalah ilmu bahasa. Apabila disebut ilmu bahasa, ianya perlu diamalkan dari semasa ke semasa dan bukannya ilmu yang perlu dipelajari dalam satu-satu tempoh sahaja seperti ilmu matematik ataupun ilmu sejarah. Dan kita perlu fahami bahawa orang Melayu ini perlu disuap oleh kerajaan dengan melaksanakan sesuatu dasar untuk meningkatkan kemahiran mereka untuk pembangunan kaum ini seperti keusahawanan, pendidikan, dan sebagainya. Pelaksanaan PPSMI ini juga merupakan salah satu cara untuk membangunkan orang Melayu supaya mereka mahir dalam bahasa Inggeris. Adalah amat sukar untuk mengharapkan mereka sendiri untuk mempelajari bahasa Inggeris sama ada untuk diamalkan di rumah dan sebagainya. 

Harus diingat bahawa akan menjadi kejutan budaya apabila pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris ini dipaksakan ke atas pelajar-pelajar di luar bandar. Keadaan mungkin berbeza jika proses pengajaran dan pembelajaran dipaksakan ke atas pelajar-pelajar bandar. Keadaan mungkin berbeza bagi golongan pelajar yang mempunyai latar belakang yang berlainan. Pelaksanaan PPSMI mungkin mempunyai dua kaedah yang berbeza jika ianya ingin dihidupkan semula. 

Mungkin kita terlepas pandang. Dalam kita sibuk berdebat dan membahaskan pelaksanaan PPSMI, kita terlepas pandang bahawa UiTM sebenarnya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajarannya dalam bahasa Inggeris secara seratus-peratus. Mengapa kita tidak mempertikaikan apa yang dilakukan oleh UiTM ini. Jika UiTM merupakan hak keistimewaan orang Melayu/ Bumiputera sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Perkara 153, mengapa para pejuang bahasa tidak mempertikaikan hak UiTM yang membuat pengajaran dan pembelajarannya dalam bahasa Inggeris kerana ianya bercanggah dengan Perkara 152 dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu?

Hakikatnya pada hari ini, tiada negara-negara maju di dunia pada hari ini menggunakan bahasa asing dalam sistem pendidikan mereka. Kajian UNESCO pada tahun 1958 menyatakan pendidikan dalam bahasa ibunda adalah lebih berkesan, dan penguasaan bahasa kedua boleh didapati sekiranya sekolah bermula dengan bahasa ibunda sebagai perantaraan pengajaran dan kemudian memperkenalkan bahasa kedua sebagai subjek dipelajari.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa dasar pendidikan negara sebenarnya ditentukan oleh pemikiran siapakah yang memimpin negara ini dan bagaimana latar belakang pendidikan seseorang pemimpin mencorakkan pemikiran pemimpin tersebut. Tun Dr. Mahathir merupakan lulusan ijazah perubatan yang mendapat pendidikan ketika Tanah Melayu berada di bawah penjajahan British. Oleh itu, tidak mustahil beliau bertindak untuk mengagungkan bahasa penjajah dalam sistem pendidikan negara ini.

Wallhua’lam.

Friday, January 10, 2020

Mampukah Keegoan Amerika Syarikat Dapat Ditundukkan oleh Iran?

Kalau namanya Amerika Syarikat, sudah tentu hidupnya adalah untuk mengganggu negara-negara lain khususnya negara umat Islam di Timur Tengah. Sejak dari tahun 2001, satu persatu negara umat Islam jatuh ke tangan Amerika Syarikat. Bermula dengan Afghanistan, Iraq, dan sasaran terbaru Amerika Syarikat sekarang ialah Iran. Sebuah negara umat Islam yang berfahaman syiah dan bukannya sunnah wa jamaah seperti negara kita Malaysia.

Pada 3 Januari 2020 yang lepas, dron milik Amerika Syarikat telah membunuh Ketua Jeneral Iran, Qasem Soleimani berhampiran dengan Lapangan Terbang Baghdad. Dalam pada itu, pemimpin tertinggi Iran iaitu Ayatollah Ali Khamenei dan Presidennya Hassan Rouhani telah bersumpah untuk membalas dendam terhadap Amerika Syarikat di atas kematian Qasem Soleimani. Hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$80 juta atau RM327 juta ditawarkan kepada pihak yang berjaya mendapatkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump susulan kematian Ketua Jeneral mereka. Dalam perkembangan lain Donald Trump memberi amaran untuk menyerang 52 lokasi kepentingan Iran jika negara ini bertindak balas bagi menuntut bela di atas kematian Qasem Soleimani. 

Pada 8 Januari 2020, Iran telah bertindak balas dengan melancarkan 22 roket ke atas penempatan tentera Amerika Syarikat di Iraq iaitu di pangkalan udara al-Asad di barat Iraq dan Irbil di sebelah utara. Menurut Pentagon, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku akibat serangan Iran ini. Jake Tapper dalam ulasan Twitternya antara lain menulis, “Pentagon official tells me that many US military leaders think Iran deliberately chose targets that would not result in loss of life especially US life: “Deliberate targets, minimum damage, maximum warning/effect.”

Manakala Tehran pula mendakwa pihak mereka telah membunuh sekurang-kurangnya 80 tentera Amerika Syarikat melalui serangan balas ini. Mehr News melaporkan perkara ini yang antara lain pula menulis, “An informed source at the Islamic Revolution Guards Corps said over 80 American troops were killed and some wounded in the IRGC’s missile strikes on the US airbase of Ain al-Assad in Anbar province in western Iraq.”

Siapakah yang betul dan siapakah yang tidak betul dalam melaporkan berita tindakbalas serangan Iran ini. Adakah pihak Pentagon ingin menjaga keegoan negara mereka dengan mendakwa tiada kematian yang berlaku. Adakah pihak Tehran yang benar kerana berjaya membalas dendam mereka ke atas Amerika Syarikat? 

Jika kita melihat kekuatan tentera Iran, kekuatan ketenteraan Iran dilihat amat bergantung kepada kekuatan peluru berpandu balistiknya kerana ketenteraannya adalah kurang. Antara peluru berpandu balistik yang dimiliki oleh Iran ialah Shahab 1 (boleh dilancarkan sejauh 300km), Shahab 2 (500km), Qiam-1 (750km), Fateh-110 (300-500km), Zolfaghar (700km), dan Shahab 3 (2,000km). Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Iran mempunyai kekuatan peluru berpandu (missile) yang paling besar di Timur Tengah. Manakala Iran mempunyai askar seramai 350,000 orang dan sekurang-kurangnya 150,000 orang berkhidmat dalam Islamic Revolutionary Guards Corp (IRGC).

Dalam serangan terbaru ke atas pangkalan tentera udara Amerika Syarikat, media Iran melaporkan peluru berpandu yang digunakan ialah Fateh dan Qiam. Qiam-1 yang boleh dilancarkan sejauh 750km boleh membawa muatan letupan sebanyak 750kg dan muatan letupan yang boleh dibawa oleh peluru berpandu Fateh pula lebih rendah daripada Qiam. Peluru berpandu Shahab 3 pula boleh membawa muatan letupan lebih daripada 750kg. 

Di Timur Tengah, Amerika Syarikat telah menempatkan tenteranya sebelum ini bagi menjaga kepentingannya di rantau ini. Di Afghanistan terdapat 12,000 orang tentera, Turki, (1,700 orang), Syria (500 – 1,000 orang), Jordan (3,000 orang), Iraq (5,000 orang), Kuwait (13,000 orang), Arab Saudi (3,000 orang), Qatar (10,000 orang), Bahrain (7,000 orang), dan UAE (5,000 orang) yang menjadikannya keseluruhan tentera Amerika Syarikha di Timur Tengah lebih daripada 60,000 orang.

Kita sudah tentu seboleh-bolehnya ingin mengelakkan peperangan berlaku di mana-mana negara di dunia ini apatah lagi sekiranya ianya ingin berlaku di negara kita. Akan tetapi, kita jangan lupa kepada firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang berbunyi, “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahui.” al-Baqarah, 216.

Sejak dari tahun 2001, Afghanistan dan Iraq telah jatuh ke tangan Amerika Syarikat dengan menggunakan alasan yang direka-rekanya sendiri. Adakah Iran akan jatuh ke tangan Amerika Syarikat pula selepas ini?

Wallhua’lam.

Saturday, January 4, 2020

Apabila Negara Jordan Dibaculkan oleh Israel

“Ya hukkam al-‘Arab, iftahoo al-Sujoon!” Syeikh Hammam Said dengan suaranya yang padu menyampaikan khutbah Jumaat.

“Wahai pemerintah-pemerintah Arab, bukakan pintu penjara!” Itulah seruannya dalam khutbah tengah hari itu. Syeikh Hammam membantah tindakan Raja Hussein memenjarakan ramai aktivis Jabhah al-‘Amal al-Islami di Jordan.

Saya yang mendengar khutbah itu terasa seperti mahu terloncat bangun. Memang ramai ahli jemaah di masjid yang berdiri. Kepanasan dan mendidih akibat menerima tiupan semangat khutbah Syeikh Hammam Said, seorang pakar ‘illah dalam ilmu Hadis, pensyarah University of Jordan, pemimpin Jabhah al-‘Amal al-Islami, ahli parlimen dan imam di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, masjid yang diasaskan oleh al-Syahid Abdullah ‘Azzam lebih sedekad yang lalu. 

1994...

Begitulah suasana khutbah Jumaat di Sweileh. Bukan sahaja di Sweileh malah di kebanyakan masjid di Jordan.

Oleh kerana Jumaat adalah cuti umum, maka telah menjadi kebiasaan pada masa itu orang bermusafir ke sana sini dari Utara ke Selatan, mencari lokasi khutbah yang sedap-sedap. Khutbah juga begitu optimum kerana tiada had masa. Hanya maqlubah sahaja yang menggamit di rumah. Selain dari itu, kebanyakan orang selesa meluangkan masa hingga satu jam mendengar khutbah mingguan yang sangat membangunkan jiwa.

Oleh kerana hampir setiap minggu saya akan keluar dari Mu’tah pergi ke Amman atau ke Irbid, maka khutbah Jumaat yang panas dan menyuntik semangat, adalah amat dinanti-nantikan.

Di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, dua orang khatib yang paling saya nantikan ialah Syeikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi dan Syeikh Hammam Said. Syeikh Solah sering mengingatkan saya kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana bahasanya yang tenang tetapi tajam. Manakala Syeikh Hammam Said pula adalah seorang pemidato cili padi yang khutbahnya boleh menyebabkan saya dan kebanyakan orang di masjid bulat biji mata, malah pernah hingga berdiri kerana terangsang akibat letusan emosi di dalam dada dan minda.

MEMUNCAK

Namun dalam sederetan memori saya terhadap khutbah Jumaat, kuliah Subuh, dan kelas-kelas pengajian bersama ilmuwan ini, kemuncaknya adalah pada Oktober 1994.

Ketika itu Jordan sedang panas dengan kedatangan Bill Clinton untuk mempengerusikan ‘Perjanjian Damai’ di antara Jordan dan Regim Yahudi Israel pada 26 Oktober 1994. Perjanjian damai itu diadakan di Wadi Arabah berhampiran sempada Eilat (Israel) dan Aqabah (Jordan) dan saya menyaksikannya dengan penuh kehancuran jiwa melalui siaran langsung di kaca televisyen.

Ia bukan perjanjian damai tetapi lebih kepada penyerahan diri kerana kesan Perjanjian Damai itu, Jordan, telah mengalami perubahan yang tidak dapat dipadamkan lagi.

Ia berlangsung pada hari Rabu.

Petang itu juga saya bertolak ke Amman, seperti biasa. Tetapi kali ini dengan harapan untuk mendengar ulasan terkini ulama dan pejuang Islam di Masjid Abdul Rahman bin Auf di Sweileh, tentang peristiwa besar itu.

Pelbagai desas-desus yang telah kami dengar. Dijangkakan pada hari Jumaat nanti akan berlaku kekecohan di sekitar Sweileh iaitu antara kawasan yang dianggap kubu kuat golongan penyokong Ikhwan dan perjuangan mujahidin di Palestin. Pelbagai peristiwa hitam pernah berlaku di Sweileh, di sepanjang dekad pemerintahan Raja Hussein bin Talal.

JUMAAT, 28 OKTOBER 1994

Semenjak pagi Jumaat itu, saya dan rakan-rakan melihat kawasan sekitar rumah kami sudah dipenuhi dengan trak tentera dan kereta perisai. Terasa sedikit gerun, tetapi tiada tempat untuk kami pergi kerana memang di situ kediaman ramai pelajar Malaysia zaman-berzaman. Rumah kami juga hanya kira-kira 100 meter dari Masjid Abdul Rahman bin Auf, dan ia sentiasa dianggap sebagai masjid terpenting tempat berkumpulnya semua pemimpin Ikhwan yang kebetulan juga merupakan barisan ulama dan ahli akademik utama di negara Jordan.

Maka jika Perjanjian Damai Wadi Arabah Rabu lalu dianggap sebagai suatu pengkhianatan di kaca mata Islamis, maka di Masjid Abdul Rahman bin Auf itulah tempat bantahan dijangka keluar. 

Dengan lafaz Bismillah, saya dan rakan-rakan menuju ke masjid untuk solat Jumaat. Mata kami menjeling kereta perisai dan trak tentera di tepi-tepi jalan. Teringat pula kepada pelbagai peristiwa di tanah air sendiri. Tidak lupa juga kepada Masjidil Aqsa yang kurang 100 kilometer dari kami.

Semasa masuk ke dalam masjid, saya dan rakan-rakan sudah dapat melihat kelibat tokoh-tokoh penting seperti Dr. Hammam Said dan Syeikh Solah sendiri, Dr. Abdul Qadir Abu Faris, malah Dr. Ishaq Farhan juga ada sama.

Khutbah bermula...

Dr. Hammam Said mencela Perjanjian Damai tersebut kerana ia adalah pengkhianatan Jordan kepada saudara seagama mereka yang menderita di seberang sempadan. Syeikh Hammam juga mengutuk perbuatan Qari yang membacakan ayat al-Quran dari surah al-Mumtahanah untuk menjustifikasikan.

Sepanjang khutbah berlangsung, saya mendengar bunyi helikopter di atas masjid. Masjid juga jauh lebih sesak daripada biasa.

HIBA

Syeikh Hammam Said menyampaikan khutbahnya dengan penuh mantap. Khutbah panas, mengkritik satu demi satu isi kandungan perjanjian dari sudut pertimbangan Islam, dan tanpa sedar hampir 40 minit masa berlalu.

Lalu Syeikh Hammam menundingkan jarinya ke langit dari atas mimbar, meminta kepada Allah agar membersihkan bumi Israk dan Mikraj ini daripada tercemar oleh pendirian-pendirian pemerintah Arab yang berlutut di kaki Amerika. Masjid ‘pecah’ dengan tangisan!

Semasa mengimamkan solat Jumaat, Syeikh Hammam mengisi rakaat yang pertama dengan bacaan surah al-Buruj. Setiap patah yang dibaca, bagai ungkapan daripada Allah tentang nasib perjuangan Islam di bumi Syam ini.

“Sesungguhnya orang-orang yang menyeksa dan memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).” al-Buruj, 10.

Ketika sampai di ayat ini, Syeikh Hammam mengulangnya berkali-kali. Beliau menangis. Dan kami semua menangis. Seluruh masjid berolat dalam keadaan yang sebak kerana masing-masing tahu bahawa selepas Perjanjian Damai ini, sebarang suara yang mempertikai Regim Israel akan dianggap jenayah dan bakal dikenakan tindakan.

Segala-galanya akan berubah di bumi Israk ini... buat selama-lamanya. 

Lemah lutut saya semasa mendengar ayat-ayat cinta daripada Allah s.w.t. yang dibacakan oleh Syeikh Hammam:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.” al-Buruj, 11.

ELAK PROVOKASI

Selesai solat Jumaat, Syeikh Hammam telah segera bangun dan memberi peringatan kepada jemaah supaya keluar dari masjid dengan tenang.

“Jangan layan sebarang provokasi yang mengajak kepada perbalahan!” katanya.

Kami keluar perlahan demi perlahan.

Subhanallah... alangkah terkejutnya saya melihat suasana di luar masjid. Hampir setiap penjuru Masjid Abdul Rahman bin Auf dikelilingi oleh anggota tentera yang lengkap bersenjata. Saya melihat di atas majid terdapat dua buah helikopter hitam mengawal suasana.

Seluruh barisan ulama yang hadir berada di hadapan masjid, terus meminta orang ramai keluar dengan tenang dan kami bergerak perlahan di celah banjiran orang ramai yang lebih jauh dari biasa.

Terdengar juga sedikit pertengkaran di tepi-tepi pagar masjid, tetapi tiada sebarang insiden buruk berlaku.

Alhamdulillah, khutbah dan solat Jumaat berakhir dengan tenang. Kami tiba di rumah sambil mengurut dada tanda lega.

MASJID ABU HURAIRAH BERMANDI DARAH

Tetapi, tidak lama selepas itu sampai berita bahawa pertempuran tidak berlaku di Sweileh, sebaliknya di tempat lain. Masjid Abu Hurairah di kawasan Nazal bermandi darah!

Syeikh Abdul Mun’im Abu Dzanat, iaitu seorang lagi ahli parlimen Jabhah al-‘Amal al-Islami telah cedera teruk dipukul. Ketika beliau mahu menaiki mimbar menyampaikan khutbah, pihak polis telah menyekatnya dan mengarahkan seorang khatib dari Pejabat Ugama (Wizarah al-Auqaf) menggantikan tempat Syeikh Abu Dzanat. 

Syeikh Abu Dzanat tidak mengizinkannya kerana masjid itu adalah masjidnya. Malah orang ramai di dalam masjid juga membantah.

“Kami mahu mendengar khutbah Syeikh Abu Dzanat, bukannya khutbah kami.” antara ayat yang dilaporkan kemudiannya di dalam akhbar al-Sabeel.

Syeikh Abdul Mun’im Abu Dzanat naik ke mimbar dan memulakan khutbahnya. 

“Wahai anggota polis, jadilah kamu semua hamba kepada Allah . . . dan janganlah kamu menjadi hamba kepada Clinton dan pemerintah Arab itu!” Begitu lantang Syeikh Abu Dzanat bersuara.

Selepas solat Jumaat dan ketika Syeikh Abu Dzanat keluar dari pintu masjid, sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu baton yang lazimnya digunakan oleh pihak polis telah memukul kepala Syeikh Abu Dzanat hingga berdarah. Syeikh Abu Dzanat rebah dan kemudiannya diangkut oleh polis ke dalam lori mereka. Beberapa orang jemaah masjid juga cedera sama.

Beliau tidak dibawa ke hospital, sebaliknya diheret ke balai polis untuk soal siasat! Apabila Syeikh Abu Dzanat pitam akibat pendarahan yang teruk, barulah beliau dibawa ke hospital untuk rawatan. Nasib seoran ahi palimen yang mempertahankan Islam dan Muslim.

Namun saya kagum dengan Syeikh Abu Dzanat kerana hanya seminggu selepas kejadian itu, beliau sudah pun berdiri di parlimen dengan kepala yang masih berbalut, untuk meneruskan tugasannya yang diamanahkan rakyat. Lantang dan bernas seperti biasa.

BERUBAH SELAMA-LAMANYA

Semenjak kejadian itu, suasana Jordan berubah. Ramai ulama ditangkap dan mereka diharamkan daripada memberikan khutbah atau ceramah di masjid-masjid. Khutbah Jumaat yang dahulunya begitu segar, sedikit demi sedikit mula terhakis. Seakan-akan tiada apa yang berlaku di seberang sempadan, khutbah Jumaat diisi dengan tajuk-tajuk semangat kejiranan, sabar, ikhlas, yang diulas jauh daripada realiti yang sedang menuju kehancuran. 

Perjanjian Damai itu juga membuka pintu Jordan kepada kemasukan unsur-unsur yang merosakkan rakyat. Televisyen Israel yang penuh seks dilepaskan penyiarannya ke Jordan. Kelakuan rakyat Jordan jelas berubah sebelum dan selepas Perjanjian Damai itu. Moral rakyatnya berubah sama sekali.

Silibus pengajian kami di Fakulti Syariah juga dirombak hingga mata pelajaran Dakwah dimansuhkan jam kredit praktikanya, beberapa subjek dibatalkan, pelajar Sastera Arab diwajibkan mempelajari Bahasa Hebrew dan paling utama . . . institusi khutbah Jumaat terus beku dan layu . . .

Perjalanan itu berlanjutan ke hari ini sehingga ke hari ini sehingga kepada kepulangan saya ke Malaysia pada akhir 2004, khutbah Jumaat adalah hukuman mingguan ke atas saya lantaran mandulnya ia dari fungsi yang telah diwariskan oleh Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya mimbar itu adalah mimbar Rasulullah s.a.w. Setiap khatib mewarisinya dari baginda . . . maka sampai bilakah kita harus mengkhianatinya?

Sumber: Hasrizal Abdul Jamil, Rindu Bau Pohon Tin, 2012.


Ulasan

Daripada kisah ini dapat kita fahami bahawa betapa negara Jordan ini telah dibaculkan oleh rejim Israel apabila pemimpin mereka sendiri iaitu Raja Hussein telah membuat perjanjian damai yang menyerahkan maruah umat Islam kepada Israel. Tidak kurang itu juga negara Jordan juga terpaksa menggubal semula sukatan silibus pembelajaran di universiti kerana tunduk kepada Israel. Di samping itu juga umat Islam di Jordan dihidangkan dengan siaran-siaran seks yang sudah tentu melemahkan akal fikiran umat Islam.

Sebelum perjanjian damai ini ditemeterai, kita dapati bahawa khutbah-khutbah di masjid negara Jordan ini penuh dengan suntikan-suntikan semangat jihad oleh khatib mereka. Realiti di Malaysia pula ialah para khatib membaca khutbah-khutbah yang mana hadirin yang sudah maklum dengan sesuatu perkara iaitu seperti makan sayur-sayuran, kepentingan menjaga masa, kepentingan menuntut ilmu, dan sebagainya. Sepatutnya, medah khutbah digunakan untuk menegur kesilapan para pemimpin, ahli masyarakat yang sering membuat maksiat, dan sebagainya.

Wallahua’lam. 

Monday, December 23, 2019

Apabila Parti Politik Mengharapkan Kelemahan Pihak Lawan Untuk Menguasai Pentadbiran Negara

Sebelum PRU-14, boleh dikatakan bahawa semua rakyat Malaysia berharap agar Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak. Dengan tertubuhnya kerajaan baharu di bawah pimpinan PH, ramai berharap agar kerajaan baharu ini adalah lebih baik daripada kerajaan BN yang telah dianggap sebagai kerajaan kleptokrasi. 

Namun, harapan tinggal harapan dan janji tinggal janji. Rakyat Malaysia yang mengharapkan agar kerajaan PH yang menggantikan kerajaan BN sebelum ini dapat memperbaiki taraf kehidupan mereka agar lebih baik rupa-rupanya menjadi sebaliknya. Ekonomi sekarang terus merudum dan kos sara hidup terus naik dari semasa ke semasa. Orang miskin pula dihina oleh Perdana Menteri dengan menyatakan bahawa orang miskin adalah malas berusaha dan mereka sebenarnya mempunyai banyak masa untuk berusaha. 

Lagak pemimpin-pemimpin PH terutamanya yang telah menjadi menteri dilihat kuat bermain wayang politik daripada membuat kerja-kerja mereka untuk menjaga kesejahteraan rakyat. Kenyataan-kenyataan para menteri PH terutamanya di media sosial pula menunjukkan tahap daya intelek mereka yang masih rendah yang seolah-olah mereka ini masih pembangkang. Ditambah pula mereka membuat perkara-perkara yang sepatutnya yang dilihat sebagai isu remeh-temeh seperti membuat perasmian lif dan yang terbaru ialah merasmikan lampu isyarat baharu yang belum pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin BN sebelum ini.

Bagi saya, ianya boleh dimaafkan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu untuk menunaikan janji-janji mereka dalam manifesto pilihanraya. Akan tetapi, pemimpin-pemimpin bukan Islam terutamanya kerap memainkan isu-isu perkauman yang kadang-kala menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu. Sentimen agama dan kaum dimain-mainkan setelah orang-orang bukan Melayu ini memegang tampuk kuasa. Sentimen yang kononnya orang-orang DAP ini bukan anti-Melayu atau anti-Islam sebenarnya hanyalah sekadar topeng untuk memancing undi orang-orang Melayu sebelum PRU. Akan tetapi, setelah mereka berkuasa, habis kepala orang-orang Melayu dipijak oleh mereka. Nah, inilah keparat orang DAP!

Hari ini rakyat Malaysia pun masih dalam ketidakketahuan yakni siapakah sebenarnya yang membuat keputusan hala tuju ekonomi negara? Adakah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan, Pejabat Perdana Menteri, ataupun bekas ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)? 

Sebelum PRU-14 atau sebelum tahun 2018, sekiranya ada mana-mana PRK diadakan di mana-mana kawasan parlimen sama ada disebabkan kematian seseorang penyandang atau sebab-sebab lain, maka sudah tentu kemenangan ini akan berpihak kepada pembangkang ketika BN masih berkuasa ketika ini. Fikiran masyarakat ketika ini ialah BN adalah parti rasuah dan pemimpin-pemimpin mereka pun makan rasuah dan oleh itu mereka mesti ditumbangkan walaupun dalam PRK. 

Ketika ini, para pemimpin pembangkang mendapat laba yang besar hasil daripada kelemahan para pemimpin BN sendiri yang kuat makan rasuah. Trend ini berterusan sehinggalah menjelang PRU-14 apabila kerajaan BN yang didominasi oleh orang-orang Melayu tersungkur jatuh setelah mandatnya ditarik oleh rakyat melalui peti undi pada 9 Mei 2018. 

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, harapan hanyalah tinggal harapan kepada kerajaan baharu ini yang kononnya dapat memperbaiki taraf hidup rakyat. Kelemahan kepimpinan kerajaan PH pula memberi laba yang besar pula kepada parti politik BN dalam empat PRK terakhir ini di mana BN telah memenangi bagi PRK Rantau, Cameron Highlands, Semenyih, dan terbaru sekali ialah Tanjung Piai di mana BN memenangi majoriti 15,086 undi. 

Jika kita melihat trend empat PRK terakhir ini, ianya bukan disebabkan oleh kekuatan BN sendiri yang mana rata-rata pemimpinnya sendiri masih terpalit dengan perbicaraan isu-isu rasuah yang masih berlangsung di mahkamah. Hakikat yang perlu kita terima ialah kemenangan BN ini sebenarnya ialah kemarahan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan yang gagal menjaga kebajikan dan kesejateraan mereka ke arah yang lebih. Dan yang pasti ialah bukannya BN sebenarnya yang kuat!

Jika keadaan atau trend ini terus berlaku, apakah yang kita masih harapkan kepada pemimpin-pemimpin parti politik pada hari ini baik di pihak pembangkang ataupun pihak kerajaan? Andaikata BN boleh memenangi PRU-15 akan datang sekalipun, mungkinkah para pemimpin BN ini boleh menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat lebih baik daripada hari ini? Dan yang lebih penting lagi, adakah para pemimpin BN ini terjamin daripada amalan makan rasuah selepas PRU-15 andaikata mereka berkuasa semula setelah tersungkur dalam PRU-14 yang lalu? Jika BN memenangi semula pilihanraya akan datang dan gagal menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, adakah kita sebagai rakyat Malaysia akan menyokong Pakatan Harapan semula untuk PRU-16 pula? Sekiranya keadaan ini terus berlaku, hala tuju masyarakat ataupun negara kita tidak ke mana kerana sering dimomok dengan politik yang tidak berkesudahan.

Bak kata Saidina Ali Abi Talib, “Sekiranya hari ini lebih baik dari hari semalam, maka berbahagialah orang itu. Sekiranya hari ini adalah sama dengan hari semalam, maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk dari semalam, maka celakah orang itu.”

Di manakah hala tuju dan kedudukan kita sebagai rakyat Malaysia sebenarnya?

Wallhua’lam.