Tuesday, January 28, 2020

Baik Buruk Pelaksanaan Semula PPSMI

Setelah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad mengumumkan semula untuk melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), ianya mengundang reaksi spontan di kalangan rakyat Malaysia – ada yang menyokongnya dan ada yang bersikap sebaliknya. 

Seperti biasa, Tun Dr. Mahathir memberikan alasan bahawa ilmu sains dan matematik merupakan ilmu yang berkembang dari semasa ke semasa. Serentak dengan itu juga negara ini juga negara kita juga mengalami kekurangan tenaga sumber manusia untuk menterjemahkan buku-buku bahasa Inggeris ini ke dalam bahasa Melayu. 

Kita harus ingat bahawa walaupun negara Jepun merupakan antara negara maju di dunia ini, akan tetapi apabila rakyatnya membuat pembentangan kertas kerja di peringkat antarabangsa, rakyat ini gagal menjawab soalan oleh para peserta apabila soalan yang dilontarkan adalah dalam bahasa Inggeris. Adakah hasil produk ini kita mahukan? Mahir dalam sains dan matematik tetapi gagal menguasai bahasa Inggeris yang sekarang ini merupakan bahasa dunia. 

Saya pernah bertanyakan kepada kenalan saya yang pernah belajar di Terengganu Advanced Technical Institute (TATI) tetapi beliau tidak berjaya menghabiskan pembelajarannya di institusi ini. Apabila saya bertanya semula kepada beliau mengapa tidak habis belajar, beliau secara spontan menjawab, “Tak tahan belajar dalam bahasa Inggeris.” Daripada cerita ini juga boleh kita fahami bahawa inilah risiko apabila para pelajar tidak diberikan pendedahan bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah lagi. Akhirnya, mereka sendiri yang tercicir belajar di menara gading. 

Ironinya, inilah harga apabila kita ingin mempertaruhkan sistem pendidikan kita supaya generasi muda ini ingin mahir dalam bahasa Inggeris. Hakikatnya, kerajaan sebenarnya ingin memfokuskan kepada orang-orang Melayu supaya mereka mahir dan fasih berbahasa Inggeris di universiti apabila mereka dilatih menggunakan bahasa ini sejak di awal bangku sekolah lagi. 

Apabila kerajaan melaksanakan dasar PPSMI suatu ketika dahulu di sekolah kebangsaan, ia sebenarnya menarik perhatian ibu bapa pelajar bukan Melayu untuk menghantar anak mereka untuk belajar belajar di sekolah kebangsaan kerana PPSMI hanya dilaksanakan di sekolah kebangsaan sahaja dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan diberikan pengecualian. Malangnya, pelaksanaan PPSMI hanya dilaksanakan sekejap sahaja setelah ianya dibantah oleh ramai pihak. Jika tidak, inilah untuk peluang untuk kerajaan untuk mewujudkan sekolah sistem satu aliran sahaja di negara ini. 

Perlu kita fahami bahawa bahasa Inggeris adalah ilmu bahasa. Apabila disebut ilmu bahasa, ianya perlu diamalkan dari semasa ke semasa dan bukannya ilmu yang perlu dipelajari dalam satu-satu tempoh sahaja seperti ilmu matematik ataupun ilmu sejarah. Dan kita perlu fahami bahawa orang Melayu ini perlu disuap oleh kerajaan dengan melaksanakan sesuatu dasar untuk meningkatkan kemahiran mereka untuk pembangunan kaum ini seperti keusahawanan, pendidikan, dan sebagainya. Pelaksanaan PPSMI ini juga merupakan salah satu cara untuk membangunkan orang Melayu supaya mereka mahir dalam bahasa Inggeris. Adalah amat sukar untuk mengharapkan mereka sendiri untuk mempelajari bahasa Inggeris sama ada untuk diamalkan di rumah dan sebagainya. 

Harus diingat bahawa akan menjadi kejutan budaya apabila pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris ini dipaksakan ke atas pelajar-pelajar di luar bandar. Keadaan mungkin berbeza jika proses pengajaran dan pembelajaran dipaksakan ke atas pelajar-pelajar bandar. Keadaan mungkin berbeza bagi golongan pelajar yang mempunyai latar belakang yang berlainan. Pelaksanaan PPSMI mungkin mempunyai dua kaedah yang berbeza jika ianya ingin dihidupkan semula. 

Mungkin kita terlepas pandang. Dalam kita sibuk berdebat dan membahaskan pelaksanaan PPSMI, kita terlepas pandang bahawa UiTM sebenarnya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajarannya dalam bahasa Inggeris secara seratus-peratus. Mengapa kita tidak mempertikaikan apa yang dilakukan oleh UiTM ini. Jika UiTM merupakan hak keistimewaan orang Melayu/ Bumiputera sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan Perkara 153, mengapa para pejuang bahasa tidak mempertikaikan hak UiTM yang membuat pengajaran dan pembelajarannya dalam bahasa Inggeris kerana ianya bercanggah dengan Perkara 152 dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu?

Hakikatnya pada hari ini, tiada negara-negara maju di dunia pada hari ini menggunakan bahasa asing dalam sistem pendidikan mereka. Kajian UNESCO pada tahun 1958 menyatakan pendidikan dalam bahasa ibunda adalah lebih berkesan, dan penguasaan bahasa kedua boleh didapati sekiranya sekolah bermula dengan bahasa ibunda sebagai perantaraan pengajaran dan kemudian memperkenalkan bahasa kedua sebagai subjek dipelajari.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa dasar pendidikan negara sebenarnya ditentukan oleh pemikiran siapakah yang memimpin negara ini dan bagaimana latar belakang pendidikan seseorang pemimpin mencorakkan pemikiran pemimpin tersebut. Tun Dr. Mahathir merupakan lulusan ijazah perubatan yang mendapat pendidikan ketika Tanah Melayu berada di bawah penjajahan British. Oleh itu, tidak mustahil beliau bertindak untuk mengagungkan bahasa penjajah dalam sistem pendidikan negara ini.

Wallhua’lam.

No comments: