Sunday, November 22, 2015

Ilmu Sejarah adalah Ilmu yang Berkembang.


Dogma masyarakat hari ini ialah hanya sains dan matematik sahaja adalah ilmu yang berkembang. Manakala ilmu sejarah adalah ilmu statik aka ilmu yang tidak berkembang. Sebenarnya, ilmu sejarah adalah ilmu yang berkembang. Perbezaannya ialah ilmu sains dan matematik adalah bersifat mutlak manakala ilmu sejarah adalah bersifat relatif atau subjektif bergantung kepada sejarawan atau penyelidiknya sendiri.

Ilmu sejarah adalah ilmu yang tiada sempadan tempat dan waktu. Ruang kajiannya adalah mencakupi dunia Barat dan Timur. Ruang waktunya ialah dari zaman awal tamadun dunia sehingga zaman moden dunia hari ini. Adalah tidak bijak jika ada dakwaan yang menyatakan bahawa ilmu sejarah itu statik dan apa lebih teruk lagi ialah sejarah itu adalah sesuatu yang membosankan dan pembacaannya cukup sekadar menjadi ubat tidur.

Contohnya satu campur satu adalah dua. Manakala penafsiran sesuatu ilmu sejarah adalah bergantung kepada budaya, sosial, ataupun agama penyelidiknya. Contohnya ialah dalam kejadian pembukaan Kota Konstantinople. Jika kita lihat seseorang sejarawan yang berada di atas pentas Islam, maka beliau akan menganggap pembukaan Kota Konstantinople adalah dibuat secara seadil-adilnya menurut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Islam sehinggalah jihad merupakan jalan sebenar untuk membuka kota tersebut.

Berlainan pula dengan sejarawan Barat yang melihat pembukaan Kota Konstantinople itu daripada sudut negatif. Lebih buruk daripada itu, ilmu yang ditulis oleh pihak mereka menjauhi daripada hakikat sebenar yang dibajai dengan sentimen kebencian terhadap Islam itu sendiri.

Pembuktian ini dapat dilihat menerusi tulisan sejarawan Barat iaitu Steven Runciman melalui bukunya iaitu The Fall of Constantinople yang melihat pembukaan kota ini melalui sudut negatif. Beliau tidak memanggil Kota Istanbul dalam penulisannya tetapi terus mengekalkan nama kota tersebut dengan nama Kota Konstantinople. Begitu juga dengan orientalis Barat iaitu John Frely dalam bukunya iaitu The Grand Turk yang mendakwa Sultan Muhammad al-Fatih membunuh adiknya sendiri demi kelangsungan politiknya.

Ini menyebabkan ilmu sejarah itu adalah ilmu yang menarik untuk dikaji. Walaupun sesuatu penemuan sejarah itu adalah objek yang perlu dikaji. Namun tafsiran yang dibuat oleh pengkajinya dalam penghasilan itu menjadi subjektif dan ini menyebabkan ilmu sejarah itu adalah menarik untuk dikaji dan sentiasa berkembang. Ia akan membentuk perspektif pro dan kontra bergantung kepada pengkajinya.

Sememangnya sejarah agung Uthmaniyah ini masih banyak tersimpan dan masih belum diterokai. Di Republic of Turkey Prime Ministry General Directorate of State Archives menjelaskan bahawa masih terdapat 150 juta keping dokumen berupa manuskrip dan surat-surat rasmi sepanjang pemerintahan kerajaan Uthmaniyah yang masih belum disentuh untuk dikaji.

Sesungguhnya ilmu sejarah itu membentuk fikrah individu dan secara tidak langsung membentuk akhlaknya. Apabila masyarat mempunyai fikrah yang tinggi, maka ia juga sekaligus akan membentuk suatu tamadun yang agung di mana kajian ilmu-ilmu lain seperti sains dan matematik dapat dilaksanakan dengan sempurna. Dari itu, ia akan melahirkan suatu tamadun yang agung sepanjang zaman yang kemudiannya pula akan menjadi sejarah untuk ditatapi oleh generasi akan datang.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Friday, November 13, 2015

Apabila Badan Agama Menjadi Lubuk Duit, Tunggulah Saat Kehancuran

Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dilantik Perdana Menteri atas nasihat Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengarah Pusat Pemantauan dan pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir berkata, ia berdasarkan surat yang dihantar Jamil kepada Pengerusi dan Presiden Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Abd Malek Awang Kechil. Surat itu memaklumkan persetujuan Perdana Menteri melantik Abd Malek ke jawatan itu bagi tempoh 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2016.

Jamil turut melampirkan suratnya kepada Perdana Menteri mengenai senarai penuh cadangannya bagi jawatan Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM termasuk timbalan pengerusinya, Datuk Hajah Siti Zaleha Hussin.

Semalam, Akmal mendedahkan Abd Malek bersama Siti Zaleha dan keluarganya memperolehi pendapatan RM2 juta setahun menerusi 26 jawatan yang disandang mereka dalam YaPEIM. Justeru, Akmal mempersoalkan sama ada Jamil selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyedari kemungkinan pecah amanah dan salahgunakuasa dalam yayasan itu.

 “Adakah Datuk Seri Jamil Khir Baharom sedia mengaku kemungkinan berlakunya pecah amanah, ketirisan dan salah guna kedudukan di agensi YaPEIM sedangkan beliau merupakan Menteri yang bertanggungjawab dan keseluruhan Lembaga Pemegang Amanah dilantik atas nasihat beliau?

 “Adakah beliau berani mendesak Datuk Seri Najib Razak memecat kedua-kedua individu tersebut dan ahli keluarga mereka daripada semua jawatan di YaPEIM termasuk kedudukan mereka dalam Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM untuk menghentikan ketirisan yang berlaku di agensi berkenaan?

 “Atau adakah beliau turut menerima manfaat daripada YaPEIM sedangkan sepatutnya sumbangan derma orang ramai kepada YaPEIM melalui potongan gaji bulanan diuruskan untuk tujuan amal jariah dan membantu orang yang dalam kesusahan?,” soalnya dalam kenyataan media.

Akmal dalam sidang media semalam mendakwa Abd Malek meraih pendapatan sehingga RM73,000 sebulan dengan memegang 11 jawatan. Manakala timbalannya, Siti Zaleha pula meraih RM45,000 sebulan dan mendapat 7 elaun dari jawatan yang disandangnya. Jawatan-jawatan itu disandang menerusi 6 institusi milik penuh YaPEIM beserta 2 anak syarikat dan 6 institusi di bawah kawalannya beserta 3 anak syarikat.

Akmal juga mendedahkan keluarga Zaleha mendapat manfaat paling besar apabila suami dan anaknya turut mendapat gaji dan elaun dari 26 jawatan yang disandang mereka lapor Keadilan Daily
.

Tuesday, November 3, 2015

Al-Quran pun Menganjurkan Kita Menggembara


“Barangsiapa yang Allah s.w.t. inginkan kebaikan ke atas dirinya, maka Allah s.w.t. akan limpahkan ilmu agama ke atas dirinya.” Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sejauh manakah diri kita ini dipenuhi dengan ilmu-ilmu agama? Adakah sekadar mengucap 2 kalimah syahadah atau hanya tahu menunaikan solat 5 waktu sehari semalam? Memang Allah s.w.t. melimpahkan ilmu agama ke atas diri seseorang yang dikehendakiNya, tetapi adakah diri kita ini hanya berserah kepada takdir semata-mata supaya ilmu itu akan datang sendiri kepada kita?

Al-quran dan hadis itu adalah cahaya, dan ia tidak akan berada dalam hati-hati yang dicemari maksiat. Apabila merujuk kepada maksiat, ia bukanlah hanya tertakluk kepada dosa-dosa besar seperti minum arak, membunuh orang, dan sebagainya. Membuat maksiat adalah melakukan larangan-larangan Allah s.w.t. Akibatnya, titik-titik hitam akan datang kepada hati kita setiap kali maksiat dilakukan. Oleh itu, marilah kita sentiasa beristighfar supaya hati-hati kita menjadi laksana piala yang terang-menderang yang selalu terbuka untuk menerima ilmu-ilmu agama supaya kita termasuk orang-orang yang mendapat kurniaan daripada Allah s.w.t.

Baiklah, hari ini saya sebenarnya terpandang dan mula terfikir mengenai ayat Surah al-Mulk yang berbunyi :

“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepadaNyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” Surah al-Mulk : 15

Melalui ayat ini, al-Quran juga sebenarnya menganjurkan kepada kita untuk menggembara atau dengan kata lain-lain melancong ke tempat-tempat lain ke seluruh dunia. Mengapa? Tidak lain dan tidak bukan adalah hanya untuk menambahkan lagi rasa kehambaan kita kepadaNya dengan melihat ciptaan-ciptaanNya di seluruh dunia.

Apabila kita menggembara, sudah tentu kita akan melihat betapa takjubnya alam ini dengan melihat ciptaan-ciptaan serta kehidupan-kehidupan bangsa lain di tempat lain. Mungkin ianya amat berlainan dengan diri kita. Sudah tentu ia merupakan pengalaman yang baik sepanjang hayat kita. Bayangkan jika kita sudah berumur 60 tahun, namun tidak pernah ke mana-mana. Apakah pengalaman yang ingin kita ceritakan kepada anak-cucu kita nanti?

Sememangnya, menggembara itu memerlukan modal yang besar. Tetapi, jangan hanya menulis dan menyimpan pengalaman anda dalam diari sahaja. Komersialkan pengalaman-pengalaman dan catatan perjalanan anda dalam bentuk buku. Nescaya buku anda akan menjadi harta intelek yang tinggi yang boleh menggamit ramai pembaca untuk membeli buku hasil kembara anda. Sudah tentu pengalaman penggembaraan anda menjadi pelaburan anda juga.

Saya juga ada terbaca buku-buku pengurusan kewangan yang tidak menganjurkan kita melancong ke luar negara. Sudah semestinya, idea ini kolot dan kita tidak perlu mengikut idea ini yang sudah tentu bertentangan dengan ayat al-Quran di atas. Apa yang penting ialah carilah kepuasan untuk diri kita sendiri dan jangan mengikut idea yang kosong semata-mata.

Wallua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, October 27, 2015

Motivasi Untuk Perbanyakkan Bersedekah


Dipetik daripada buku Mudahnya Menjemput Rezeki :

“Amalan ini dikongsikan oleh salah seorang pembaca buku MMR. Kemudian amalan yang sama saya uji kepada salah seorang penjual buku MMR. Beliau mengamalkan selama 4 minggu. Hasilnya…? Subhanallah, Masya-Allah, Allhuakbar!

Rezeki (Duit) yang sebelumnya diperoleh dalam tempoh sebulan (gaji) dapat diraih dalam masa sehari sahaja. Yakni melalui sebuah perniagaan kecil-kecilan.

Apakah amalannya?

Pada setiap hari Jumaat, beliau bersedekah duit. Dimulai dengan RM100. Jumaat berikutnya RM200 dan ia terus ditambah sehingga minggu ke-4 menjadi RM400.

Hasilnya? Perniagaan kecil-kecilan yang beliau usahakan pernah mencapai keuntungan RM4,000 sehari.

Sekarang saya ingin bertanya, jika amalan ini diteruskan selama setahun, berapakah agaknya sedekah beliau setiap hari Jumaat?

Beranikah saudara mencuba amalan ini?

Baiklah, sebagai motivasi, suka saya beritahu bahawa pembaca yang berkongsi amalan ini sudah berjaya meningkatkan keyakinan sehingga mampu bersedekah RM10,000 setiap minggu dengan senang hati.”

Wallahua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Tuesday, October 20, 2015

Hatta dengan Sampah pun Orang Boleh Buat Duit

Jika baca blog mengenai pelaburan emas, bloggernya akan sibuk menceritakan sepak terajang mengenai hartanah.

Jika anda membaca blog mengenai hartanah, bloggernya akan sibuk menceritakan kawasan-kawasan atau projek-projek baru hartanah.

Jika anda membaca mengenai pelaburan emas, bloggernya akan sibuk menceritakan naik turun harga emas.

Tetapi di sebalik semua ini, kita masih boleh melihat ada orang masih boleh buat duit dengan sampah dengan menghantarnya ke pusat kitar semula.

Anda tetap anda. Anda jangan biarkan diri anda menjadi menjadi mangsa trend pelaburan. Apa lebih teruk lagi anda terlibat dalam skim cepat kaya. Oleh itu, elakkan diri anda daripada terlibat dalam pelaburan-pelaburan di mana bagaimana wang boleh dijana daripada pelaburan tersebut.

Apa yang ingin kaitkan di sini ialah mengenai genre-genre penulisan buku. Di pasaran, lambakan dan pelbagai jenis buku yang boleh kita lihat seperti fiksyen dan bukan fiksyen. Buku fiksyen ini ialah buku-buku khayalan dan berdasarkan kepada imaginasi penulis semata-mata seperti novel, cerita hantu, cerita kanak-kanak dan sebagainya. Manakala buku bukan fiksyen adalah seperti kewangan, agama, motivasi, bisnes, dan sebagainya.

Memang tidak dinafikan genre novel merupakan penulisan yang paling laris di pasaran. Tetapi jika kita garapkan penulisan buku-buku non-fiksyen dan kena caranya, maka kita boleh jadikannya buku tersebut terlaris di pasaran. Jika dengan sampah pun orang boleh buat duit, apatah lagi dengan buku.

Nikmat mana lagi yang kita ingin dustakan?

Saya sedang berfikir bagaimana ingin menjadikan penulisan saya ini setaraf dengan orang berusia dengan 40-an atau orang yang mempunyai title Prof (Bukan Prof kang kung). Lihat sahaja penulis-penulis jutawan di Malaysia ini, mereka semuanya boleh dikatakan sudah berusia 40-an  ke atas. Dengan kata lain, mereka menulis berdasarkan kepada pengalaman mereka.

Lihat sahaja Chef Li, beliau menjadikan pengalaman kegagalan perniagaannya sebagai modal penulisan bukunya. Tidak kurang daripada itu, ramai orang menjadikan buku-buku bersirinya sebagai koleksi peribadi. Secara tidak langsung, keadaan ini menjadikan fix deposit datang daripada jualan buku-bukunya yang panas. Tetapi tempoh pengalaman ini hanya diperolehi oleh orang-orang yang berpengalaman sahaja. Jika tiada pengalaman, tiada gunanya menulis buku bisnes yang dicedok atau dipetik daripada Google. Hendak hasilkan royalti yang tinggi pun sukar.

Salah satu cara untuk menjadikan penulisan kita berkualiti ialah dengan menjadikan buku-buku rujukan yang berkualiti sebagai penulisan kita. Buku-buku yang berkualiti perlu dibeli dengan yang mahal. Sememangnya aktiviti menulis memerlukan modal yang mahal. Jika tidak mampu sekalipun, kita boleh meminjam daripada perpustakaan IPTA-IPTA awam yang banyak di Malaysia ini.

Jika dengan sampah pun orang boleh buat duit, maka dengan penulisan buku lagilah boleh buat duit dengan syarat ia adalah sebuah buku yang berkualiti atau lebih baik lagi adalah buku yang evergreen yang menjadi bacaan sepanjang zaman walaupun kita telah meninggal dunia.

Wallhua’lam.


Thursday, October 8, 2015

Di Sebalik Filem 3 Abdul P. Ramlee


Jika anda perasan dalam penulisan saya sebelum-sebelum ini, saya ada mengatakan bahawa filem-filem P. Ramlee sebenarnya mengambil idea daripada sastera-sastera lama arab. Pada kali ini, saya ingin berkongsikan dengan anda mengenai filem 3 Abdul arahan P. Ramlee.

Umum mengetahui bahawa filem 3 Abdul sebenarnya memaparkan sikap orang-orang melayu yang suka mengampu atau membodek bossnya. Umpamanya, penasihat bapa Saddeq Segaraga iaitu Kassim Patola yang sentiasa membodek bossnya kononnya bossnya boleh merampas harta pusaka anak-anak Ismet Ulam Raja dengan mengahwinkan anak-anak perempuannya.

Tahukah anda sebenarnya filem ini adalah berlatarbelakangkan Kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Istanbul. Tetapi dalam filem ini tempat ini tidak dipanggil sebagai Istanbul tetapi dipanggil sebagai Isketambola. Filem ini adalah cuba untuk mengetengahkan bahawa nilai-nilai Islam di Turki yang diamalkan dalam kehidupan sudah mula luntur dan digantikan dengan nilai-nilai Barat iaitu peralihan daripada Kerajaan Uthmaniyah yang mengamalkan nilai-nilai Islam kepada negara Turki sekular.

Ini dapat dilihat melalui pemakaian yang dipakai oleh watak-watak utama dalam cerita ini iaitu Abdul Wahab, Abdul Wahid, Abdul Wahub serta Saddeq Segaraga dan Kassim Patola yang mengenakan pakaian berkot bertali leher serta memakai fez. Sebenarnya pakaian ini adalah berasal daripada Barat dan Mustafa Kamal Attaturk memaksa rakyat Turki memakai pakaian ini dalam usahanya untuk membaratkan Turki.  

Filem ini juga menggambarkan masyarakat Turki telah meninggalkan amalan pembahagian harta pusaka mengikut sistem faraid. Dua orang abang Abdul Wahub menindasnya dengan membahagikan harta pusaka tanpa mengikut sistem faraid. Agak janggal juga jalan cerita ini apabila pengakhirannya menyaksikan Abdul Wahub memperolehi semua harta dan separuh hartanya itu dibahagi-bahagikan antara dua orang abang dan bapa mentuanya.

Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dalam majlis keramaian dalam filem 3 Abdul ini juga menggambarkan bahawa di Turki majlis tari-menari antara lelaki dan perempuan sudah menjadi amalan biasa bagi masyarakat Turki. Sifat malu sudah tidak sebati lagi jiwa individu. Inilah gambaran sebenar apa yang berlaku di Turki apabila Mustafa Kamal secara terang-terangan menari bersama wanita di khayalak ramai yang cuba ditonjolkan dalam filem ini.

Sememangnya walau apapun genre sesuatu filem, ia sebenarnya tidak dapat lari daripada menyampaikan mesej moral atau akhlak kepada para penontonnya walaupun ingin mengejar keuntungan daripada filem yang diterbitkan. Filem 3 Abdul ini sarat dengan nilai-nilai seperti dalam kekeluargaan, sifat atau budaya amalan bangsa melayu yang sudah sebati turun-termurun yang perlu dibuang, dan lain-lain lagi. Apa yang penting latar belakang cerita ini adalah berpaksikan detik-detik peralihan masyarakat Turki Uthmaniyah yang mengamalkan Islam secara syumul masyarakat sekular yang cuba memisahkan agama Islam daripada nilai-nilai kehidupan.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogpot.my