Ini adalah buku-buku Pak Latip yang menguasai rak buku di mana-mana kedai buku. Apabila Pak Latip sekali ‘bersin’, maka satu-satu judul akan diulang cetak sebanyak tiga kali. Beliau merupakan salah seorang penulis jutawan di Malaysia. Saya sengaja post gambar ini untuk memberi motivasi kepada saya dan saudara-saudara semua agar kita menumpukan satu-satu genre sahaja untuk menulis. Wallahua’lam.
Saturday, August 17, 2019
Saturday, August 10, 2019
Dasar Dwikerakyatan yang Terbuka di United Kingdom
United Kingdom menerima dan mengiktiraf
dwikerakyatan sepenuhnya tanpa pengehadan. Rakyat United Kindom bebas untuk
memohon kerakyatan kedua atau ketiga tanpa perlu mendapatkan kebenaran
Kementerian Dalam Negeri. Orang asing yang memohon untuk kerakyatan United
Kingdom juga tidak perlu melepaskan kerakyatan asal mereka. Kerajaan United
Kingdom tidak memaklumkan kepada negara lain jika rakyat asing memohon
kerakyatan United Kingdom dan tidak membantu negara lain dalam menghalang
fenomena dwikerakyatan. Statistik rakyat yang memiliki dwikerakyatan tidak
direkodkan oleh kerajaan.
Menurut Hansen, polisi dwikerakyatan United
Kingdom adalah sangat liberal kerana dwikerakyatan tidak mendatangkan sebarang
masalah kepadanya. Dalam hal perlindungan politik, United Kingdom bersedia
memberikan perlindungan diplomatik kepada semua rakyatnya kecuali apabila
rakyat tersebut berada di dalam negara yang mana dia juga memiliki
kerakyatannya. Konflik perkhidmatan tentera tidak lagi menjadi isu bagi United
Kingdom kerana perkhidmatan tenteranya telah pun ditamatkan pada akhir tahun
1950-an. Selain itu, kerajaan United Kingdom melihat dwikerakyatan sebagai
salah satu langkah integrasi bagi masyarakatnya yang berbilang kaum.
Pemerolehan kerakyatan United Kingdom menggalakkan imigran-imigran
mengidentifikasikan diri mereka dengan United Kingdom. Ini memudahkan integrasi
imigran dalam masyarakat United Kingdom, yang seterusnya memperbaiki hubungan
perkauman.
Walaupun United Kingdom mempraktikkan
dwikerakyatan yang luas, kelebihan yang sebenarnya dinikmati oleh pemegang
kerakyatan itu tidak ketara. Status kerakyatan sebenar perlulah memberikan hak
memasuki, menetap, dan meninggalkan negara tersebut kepada pemegang kerakyatan
tersebut. Kerakyatan United Kingdom tidak lagi merupakan satu kerakyatan yang
tulen mulai tahun 1962.
Hak semua rakyat British (termasuk rakyat
negara Komanwel dan Citizens of United Kingdom and Colonies (CUKC)) untuk
memasuki United Kingdom secara bebas telah ditamatkan secara rasmi dengan Akta
Imigresen Komanwel (Commonwealth Immigration Act, CIA) 1962. Menurut
undang-undang yang baru, hanya rakyat British yang dilahirkan di United Kingdom,
rakyat British yang memegang pasport United Kingdom, dan CUKC yang memegang
pasport United Kingdom mempunyai hak untuk memasuki dan menetap di United
Kingdom. Kategori rakyat British yang lain seperti rakyat negara-negara
Komanwel adalah tertakluk kepada kawalan imigresen. Pada tahun 1968, hak
memasuki dan menetap di United Kingdom diperketatkan lagi bagi kategori “rakyat
CUKC yang memegang pasport British” apabila Akta Imigresen Komanwel (pindaan)
1968 diluluskan. Pindaan Akta ini bertujuan mengehadkan lagi bilangan CUKC yang
layak kepada mereka yang dilahirkan, dianakangkatkan, dinaturalisasikan, atau
didaftarkan di United Kingdom ataupun mereka yang mempunyai ibu, bapa, nenek,
atau datuk yang sedemikian.
Akta Imigresen Komanwel 1962 dan 1968 telah
digantikan dengan Akta Imigresen 1971. Akta ini memperkenalkan status
patriality untuk kategori rakyat British yang mempunyai hak menetap di United
Kingdom. Status ini hanya diberikan kepada CUKC dan rakyat negara-negara
Komanwel yang mempunyai hubungan pertalian yang rapat dengan United Kingdom.
Rakyat Komanwel boleh memperoleh status tersebut (1) jika salah seorang ibu
bapanya adalah CUKC yang dilahirkan di United Kingdom ataupun (2) melalui
perkahwinan dengan seseorang partial.
Rakyat Komanwel yang lain tidak mempunyai
hak sedemikian. Status rakyat Komanwel yang lain kekal tidak berubah apabila
United Kingdom meluluskan British Nationality Act (BNA) 1981. BNA 1981 telah mewujudkan
tiga kategori warganegara British: (1) rakyat United Kingdom, (2) British
Dependent Territories Citizenship (untuk CUKC di tempat yang masih merupakan koloni
British), dan (3) British Oversea Citizenship (untuk CUKC di negara Komanwel
yang mengekalkan kerakyatan tersebut selepas koloni itu mencapai kemerdekaan)
dan Rakyat Seberang Laut British (BOC) tidak mempunyai hak menetap di United
Kingdom.
Hanya kategori ketiga berkaitan dengan
rakyat Malaysia. Apabila BNA 1981 berkuatkuasa pada 1 Januari 1983, terdapat
1.5 juta CUKC menjadi BOC dan 1.3 juta daripadanya memiliki dwikerakyatan.
Majoriti BOC dengan dwikerakyatan memegang kerakyatan Malaysia. Pada tahun
1981, terdapat 1,300,000 CUKC di Malaysia dengan kerakyatan Malaysia dan
130,000 CUKC di Malaysia tanpa kerakyatan lain. CUKC di Persekutuan Tanah
Melayu yang mengekalkan status mereka pada Hari Merdeka akan menjadi BOC pada 1
Januari 1983. Tetapi seseorang BOC yang mengiktiraf kerakyatan itu pada masa
kini dengan mendapatkan pasport British tidak lagi menjadi rakyat Malaysia.
CUKC di Sabah dan Sarawak yang memilih menjadi rakyat Malaysia hilang status
kerakyatan British mereka pada Hari Malaysia. Mereka yang tidak menjadi rakyat
Malaysia pada tahun 1963 akan kekal sebagai CUKC dan akan menjadi BOC sehingga
hari ini.
Sumber : Low Choo Chin, 2013, Isu Dwikerakyatan Dalam Pembentukan
Kewarganegaraan Malaysia, 1900-1965.
Wednesday, July 31, 2019
Teknik Pemasaran Berkesan: Kuasai Rak Buku
Hohoho.. Gambar ini saya rakamkan di sebuah kedai buku ketika pergi berjalan-jalan semalam. Rak ini hanya memuatkan buku-buku Ramlee Awang Murshid. Inilah sebenarnya teknik yang berkesan dalam pemasaran buku kita iaitu kuasai rak buku! Buku genre beliau ialah novel thriller. Beliau telah menulis sebanyak 35 buah buku sejak dari tahun 1995. Banyak tuh... Sebenarnya, jika kita ingin melibatkan diri dalam penulisan buku, kita hendaklah menumpukan satu genre buku sahaja dan tidak perlu melompat-lompat menulis genre buku. Inilah sebenarnya kaedah pemasaran yang berkesan.
Wallhua’lam.
Thursday, July 25, 2019
Rumah Sakit Otak Di Persekutuan Tanah Melayu
“PENDERITAAN ORANG-ORANG YANG SAKIT OTAK Dr
Haji Megat Khas (Kuala Kangsar): Dato' Yang di-Pertua, dan Ahli-Ahili Yang
Berhormat, saya mengambil peluang di sini di dalam ruangan Ucapan Penangguhan
iaitu menyentuh satu perkara yang barangkali juga penting pada satu bahagian,
penduduk-penduduk kita di dalam negara ini, iaitu orang-orang yang terkena
serang penyakit otak. Semalam saya telah berdiri di sini, Dato' Yang di-Pertua,
mendapat teguran, daripada Tuan Yang di-Pertua dan petang ini saya tidaklah
hendak memanjangkan perkataan saya-saya terus pergi kepada butir-butir yang
hendak saya sebutkan, kerana kalau sekiranya panjang sangat, Dato' Yang
diPertua, akan menegur lagi sekali.
Jadi, dengan sebab itu, saya sukalah
menyatakan di sini, iaitu sungguhpun Kerajaan Perikatan setelah memegang teraju
pemerintahan dalam negeri ini semenjak beberapa lamanya dan telah menjalankan
beberapa rancangan yang menjadi keuntungan dan manfaat kapada rakyat jelata dalam
semua lapisan penduduk di sini, tetapi saya tidaklah tahu, apakah juga
langkah-langkah yang telah diambil, atau pun yang akan diambil pada memperbaiki
untung nasib orang-orang yang kena sakit otak orang-orang gila.
Jadi, di sini sampailah masanya saya
menerangkan kapada Rumah yang bertuah ini, iaitu di dalam Malaya, ataupun
Persekutuan Tanah Melayu-ketepikan-lah Singapura, kita ada mempunyai hanya dua
buah rumah sakit otak. Orang-orang yang kena sakit gila yang mana mereka itu boleh
dirawat, maka isi-isi yang saya hendak sebutkan di sini ialah, saya pun tidak
tahu, bila masanya hospital, ataupun rumah sakit otak yang ada di Tanjung
Rambutan telah didirikan.
Lebih kurang rasa saya 60 tahun dahulu, dan
juga bila masanya rumah sakit otak yang ada di Tampoi di Johor Bahru itu
didirikan, saya pun tidak tahu, tetapi yang saya tahu adalah Rumah Sakit Otak
di Tanjung Rambutan itu hanya boleh dirawati di situ seramai 3,000 orang sakit,
tetapi keadaannya pada masa sekarang ia-lah 4,300 orang yang kena penyakit otak
ada ditempatkan di situ dengan mempunyai hanya enam orang doktor yang menjaga
kepada orang-orang yang sakit di situ.
Di Tampoi sungguhpun tempatnya ada
diperuntukkan 1,200 orang, tetapi 2,000 orang di-masukkan di situ dan doktor-doktornya
lebih sedikit lagi dari di Tanjung Rambutan. Jadi, dengan sebab itu, saya rasa
dan saya perhatikan di dalam beberapa waktu yang lalu ini ialah untung nasib
orang-orang yang kena penyakit otak itu sangat teraniaya apabila masuk ke dalam
rumah sakit otak; tinggallah dia di situ sementara dia hendak berjalan ke
tempat perkuburan. Jadi, dengan sebab itulah saya berharap kapada Menteri yang
berkenaan dan juga daripada pegawai-pegawai yang berkenaan, perkara ini dapat
dielokkan, diperbaiki, kerana kita adalah sedang menghadapi perbelanjawan dan
saya harap, saya akan bercakap lebih lagi di dalam perkara ini apabila perbelanjaan
di dalam Kementerian Kesihatan akan dibincangkan kelak. Demikianlah sahaja,
Tuan Yang diPertua, terima kasih banyak.”
Sumber: Sidang Parlimen Dewan Rakyat pada 9
Disember 1964.
Sunday, July 21, 2019
Mutiara Kata
“Setiap pagi, si rusa akan bangun segera
lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya
dia akan mengundang bencana. Dia akan dibaham singa jika lengah dan tidak peduli
kepada datangnya pagi.
Setiap pagi juga, si singa akan bangun
segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu
alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan kehilangan rusa dan mati
kelaparan, jika lengah dan tidak pedulu kepada datangnya pagi.
Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak
penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih
pantas daripada singamu ... untuk mencipta kejayaan. Itulah falsafah saya,
dalam membangunkan Dubai...”
Sheikh Mohammad bin Rashid al-Maktoum
Saturday, June 29, 2019
Pada Yang Kecil Itu Ada Barakah
Pengajaran daripada Serbuk Kulit Roti
Ayam sudah terhidang.
Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara
yang mengimbau ingatan saya sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih, dan
rakan-rakan yang lain sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir
semester. Saya sudah selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua
minggu lalu. Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu
kawan-kawan saya ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya
bantu seadanya.
“Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah
makan!” Saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja bacaan
masing-masing.
Setiap kali makan, kami akan membentangkan
dua keping surat khabar lama. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa
makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut
kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali
beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi.
Seandainya masih ada serbuk-serbuk kulit roti itu bertaburan di atas lapik,
Islam akan mengumpulkannya untuk di makan. Tida ada langsung sisa makan yang terbuang.
“Islam, saya suka tengok cara awak makan.
Tidak ada yang tersisa langsung. Berkat, berkat...!” Saya memuji Islam.
“Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan.
Walaupun macam-macam kita makan, kita tidak tahu pada bahagian mana makanan
kita yang Allah pilih sebagai asbab untuk-Nya untuk menurunkan barakah.” Kata Islam.
Ya, apa yang Islam katakan itu memang
benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadis Nabi SAW :
“Daripada Jabir, beliau mendengar Nabi SAW
bersabda: “Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari
tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah
dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah
dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat
(jari-jarinya). Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah
makanannya yang diberkati Allah.”
Islam telah mengingatkan saya kepada pengajaran
yang amat berharga. Pak Cik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu
yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan
kebaikan. Penilainya adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah
iman. Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang
amal yang besar.
Itu di Turki.
Tertiba Mak Anjang di London
Hal ini juga mengingatkan saya kepada
peristiwa semasa saya berjamu makan di rumah Pak Anjang saya di Baker Street,
London. Pagi tiu, kebetulan Pak Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami
semua berkumpul di rumah Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang
belikan untuk anaknya, Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang
jalan.
Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang
memasak di dapur. Lebihan nasi malam tadi dikumpulkannya. Kemudia kerak nasi
itu pula direndam dalam air panas dan kemudia ditos. Semua bahagian nasi yang
berlebihan malam tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak
ada bahagian makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap
Mak Anjang sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang
berjaya. Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga
masih mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.
Marilah kita bersama-sama menghitung dan
mengambil kira benda-benda kecil yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada
yang kecil halus itulah Allah menyentuh kehidupan kita dengan barakah.
Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin
menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang
kita anggap kecil. Ia menjadi punca Allah murka. Dalam setahun, mungkin seorang
dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati
kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh,
yang besar yang disangka segala-galanya.
Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari
habiskan makanan, mari pelihara adab dalam iman. Murahkan senyuman, banyakkanlah
membuat kebaikan yang mudah dan kecil, tapi berpanjangan. Mengubah ranting dari
jalan agar jangan ada yang kesakitan, memandang wajah saudah dengan air muka
manis penuh senyuman. Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang
mana bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan.
Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu
didermakan kepada musadh’afeen (yang memerlukan) di Palestin! Sikit-skit, lama-lama
jadi bukit.
Wallhua’lam.
Sumber : Hasrizal Abdul Jamil, Secangkir Teh Pengubat Letih. Galeri Ilmu, 2010.
Thursday, June 13, 2019
Ketegasan Sikap Dr. Maszlee Menunjukkan Konsep Ketuanan Melayu Masih Terus Relevan
Salah satu risiko menukar kerajaan baru
ialah menteri-menteri kabinetnya adalah terdiri daripada orang-orang yang tidak
terlatih dalam mentadbir sebuah kerajaan. Apa yang lebih teruk lagi ialah
seseorang yang menang dalam PRU di sesebuah parlimen terus memegang jawatan
menteri dan salah satu yang tidak terkecuali ialah Dr. Maszlee bin Malek. Ramai
yang teruja dengan perlantikan Dr. Maszlee pada awalnya yang dilihat sebagai
tokoh cendekiawan yang mampu merencana hala tuju yang baru dalam hal ehwal
pendidikan negara.
Namun apa yang berlaku ialah Mat Maslan
sebenarnya lebih bijak dilihat apabila Dr. Maszlee menjadi menteri pendidikan.
Kadang-kadang cadangan yang dikemukakan oleh Dr. Maszlee mengundang pandangan
sinis daripada segenap masyarakat Malaysia khususnya mengenai pemakaian kasut
hitam dan stokin bagi pelajar-pelajar sekolah. Sepatutnya Dr. Maszlee
meletakkan satu asas yang besar ataupun blue print hala tuju dalam sistem
pendidikan Malaysia untuk masa akan datang. Contoh yang mudah ialah ketika Dr.
Mahathir menjadi menteri pendidikan apabila beliau memperkenalkan konsep 3M
iaitu ‘Membaca, Menulis, Mengira’.
Namun, apabila isu kuota matrikulasi
bumiputera dibangkitkan baru-baru ini, Dr. Maszlee mempertahankan kuota
bumiputera sebanyak 90% untuk kemasukan matrikulasi dan 10% untuk kuota bukan
bumiputera. Isu perkauman timbul apabila beliau menyatakan bahawa kuota
bumiputera ini perlu disebabkan banyak majikan pada hari ini mensyaratkan
graduan perlu fasih berbahasa Mandarin sekiranya untuk memohon pekerjaan yang
ditawarkan oleh pihak mereka. Dengan bahasa yang mudah, para majikan ini
sebenarnya ingin mengambil graduan berbangsa Cina sahaja untuk bekerja dengan
mereka.
Sebenarnya, isu pengambilan graduan yang
fasih berbahasa Mandarin oleh sesetengah majikan sudah lama berlaku dan isu ini
tidak menjadi panas kerana kurang diberi perhatian sehinggalah Dr. Maszlee
menyebut isu ini. Dengan kata lain, matrikulasi adalah hak bumiputera untuk
memasuki universiti dan peluang pekerjaan pula banyak dibuka kepada kaum bukan
Bumiputera. Walaupun bilangan pelajar bukan Bumiputera ditambah daripada 2,500
orang kepada 4,000 orang tetapi kuota 10% masih dikekalkan. Secara tidak
langsung, ini memberi peluang kepada pelajar bukan Bumiputera untuk mengikuti
program matrikulasi.
Sememangnya kuota 90% perlu disediakan
untuk bumiputera kerana kaum Bumiputera merupakan tuan kepada tanah air ini.
Pada pandangan saya, bukan masalah B40 ataupun tidak supaya kuota 90% perlu
diberi kepada Bumiputera, isunya ialah kaum Bumiputera merupakan tuan kepada
tanah air ini. Oleh itu, peluang pendidikan seharusnya dibuka seluas-luasnya
perlu dibuka kepada kaum Bumiputera supaya mereka mempunyai peluang yang cerah
untuk memasuki IPTA bagi kursus-kursus yang kritikal.
Jika mengikut logik akal sekalipun, adakah
tiada golongan Bumiputera yang berpendapatan T20 daripada kuota 90% ini yang
tidak dapat memasuki program matrikulasi ini?
Kaum bukan Bumiputera ataupun Cina boleh
memasuki kolej-kolej swasta yang diusahakan oleh kaum mereka sendiri. Bukankah
kolej-kolej swasta ini juga mendapat pengiktirafan daripada JPA atau MQA? Jika
mereka boleh memperjuangkan peperiksaan UEC supaya boleh dilaksanakan di
Malaysia, apa salahnya jika orang Melayu ataupun kaum Bumiputera sendiri ingin memperjuangkan
hak mereka sendiri?
Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri
Kewangan dari Lim Guan Eng amat mengguris hati dan perasaan orang Melayu kerana
buat pertama kalinya dalam sejarah tanah air ini sejak merdeka, sekolah
persendirian Cina diberikan bantuan oleh kerajaan dan perkara ini dibentangkan
dalam Dewan Rakyat. Sudah tentu kelakuan menteri DAP ini amat mencabar perasaan
orang Melayu.
Sememangnya kaum-kaum pendatang ini sudah
tentu tidak boleh dipercayai lagi walapun mereka dipilih atas prinsip integriti
untuk memerangi gejala rasuah yang menjadi amalan kerajaan terdahulu. Ironinya,
hak orang Melayu dalam bidang pendidikan dirobek sedikit demi sedikit setelah
kaum pendatang ini mendapat kuasa politik.
Wallhua’lam.
Subscribe to:
Posts (Atom)


