Saturday, August 10, 2019

Dasar Dwikerakyatan yang Terbuka di United Kingdom

United Kingdom menerima dan mengiktiraf dwikerakyatan sepenuhnya tanpa pengehadan. Rakyat United Kindom bebas untuk memohon kerakyatan kedua atau ketiga tanpa perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Dalam Negeri. Orang asing yang memohon untuk kerakyatan United Kingdom juga tidak perlu melepaskan kerakyatan asal mereka. Kerajaan United Kingdom tidak memaklumkan kepada negara lain jika rakyat asing memohon kerakyatan United Kingdom dan tidak membantu negara lain dalam menghalang fenomena dwikerakyatan. Statistik rakyat yang memiliki dwikerakyatan tidak direkodkan oleh kerajaan.

Menurut Hansen, polisi dwikerakyatan United Kingdom adalah sangat liberal kerana dwikerakyatan tidak mendatangkan sebarang masalah kepadanya. Dalam hal perlindungan politik, United Kingdom bersedia memberikan perlindungan diplomatik kepada semua rakyatnya kecuali apabila rakyat tersebut berada di dalam negara yang mana dia juga memiliki kerakyatannya. Konflik perkhidmatan tentera tidak lagi menjadi isu bagi United Kingdom kerana perkhidmatan tenteranya telah pun ditamatkan pada akhir tahun 1950-an. Selain itu, kerajaan United Kingdom melihat dwikerakyatan sebagai salah satu langkah integrasi bagi masyarakatnya yang berbilang kaum. Pemerolehan kerakyatan United Kingdom menggalakkan imigran-imigran mengidentifikasikan diri mereka dengan United Kingdom. Ini memudahkan integrasi imigran dalam masyarakat United Kingdom, yang seterusnya memperbaiki hubungan perkauman.
Walaupun United Kingdom mempraktikkan dwikerakyatan yang luas, kelebihan yang sebenarnya dinikmati oleh pemegang kerakyatan itu tidak ketara. Status kerakyatan sebenar perlulah memberikan hak memasuki, menetap, dan meninggalkan negara tersebut kepada pemegang kerakyatan tersebut. Kerakyatan United Kingdom tidak lagi merupakan satu kerakyatan yang tulen mulai tahun 1962.
Hak semua rakyat British (termasuk rakyat negara Komanwel dan Citizens of United Kingdom and Colonies (CUKC)) untuk memasuki United Kingdom secara bebas telah ditamatkan secara rasmi dengan Akta Imigresen Komanwel (Commonwealth Immigration Act, CIA) 1962. Menurut undang-undang yang baru, hanya rakyat British yang dilahirkan di United Kingdom, rakyat British yang memegang pasport United Kingdom, dan CUKC yang memegang pasport United Kingdom mempunyai hak untuk memasuki dan menetap di United Kingdom. Kategori rakyat British yang lain seperti rakyat negara-negara Komanwel adalah tertakluk kepada kawalan imigresen. Pada tahun 1968, hak memasuki dan menetap di United Kingdom diperketatkan lagi bagi kategori “rakyat CUKC yang memegang pasport British” apabila Akta Imigresen Komanwel (pindaan) 1968 diluluskan. Pindaan Akta ini bertujuan mengehadkan lagi bilangan CUKC yang layak kepada mereka yang dilahirkan, dianakangkatkan, dinaturalisasikan, atau didaftarkan di United Kingdom ataupun mereka yang mempunyai ibu, bapa, nenek, atau datuk yang sedemikian.
Akta Imigresen Komanwel 1962 dan 1968 telah digantikan dengan Akta Imigresen 1971. Akta ini memperkenalkan status patriality untuk kategori rakyat British yang mempunyai hak menetap di United Kingdom. Status ini hanya diberikan kepada CUKC dan rakyat negara-negara Komanwel yang mempunyai hubungan pertalian yang rapat dengan United Kingdom. Rakyat Komanwel boleh memperoleh status tersebut (1) jika salah seorang ibu bapanya adalah CUKC yang dilahirkan di United Kingdom ataupun (2) melalui perkahwinan dengan seseorang partial.
Rakyat Komanwel yang lain tidak mempunyai hak sedemikian. Status rakyat Komanwel yang lain kekal tidak berubah apabila United Kingdom meluluskan British Nationality Act (BNA) 1981. BNA 1981 telah mewujudkan tiga kategori warganegara British: (1) rakyat United Kingdom, (2) British Dependent Territories Citizenship (untuk CUKC di tempat yang masih merupakan koloni British), dan (3) British Oversea Citizenship (untuk CUKC di negara Komanwel yang mengekalkan kerakyatan tersebut selepas koloni itu mencapai kemerdekaan) dan Rakyat Seberang Laut British (BOC) tidak mempunyai hak menetap di United Kingdom.
Hanya kategori ketiga berkaitan dengan rakyat Malaysia. Apabila BNA 1981 berkuatkuasa pada 1 Januari 1983, terdapat 1.5 juta CUKC menjadi BOC dan 1.3 juta daripadanya memiliki dwikerakyatan. Majoriti BOC dengan dwikerakyatan memegang kerakyatan Malaysia. Pada tahun 1981, terdapat 1,300,000 CUKC di Malaysia dengan kerakyatan Malaysia dan 130,000 CUKC di Malaysia tanpa kerakyatan lain. CUKC di Persekutuan Tanah Melayu yang mengekalkan status mereka pada Hari Merdeka akan menjadi BOC pada 1 Januari 1983. Tetapi seseorang BOC yang mengiktiraf kerakyatan itu pada masa kini dengan mendapatkan pasport British tidak lagi menjadi rakyat Malaysia. CUKC di Sabah dan Sarawak yang memilih menjadi rakyat Malaysia hilang status kerakyatan British mereka pada Hari Malaysia. Mereka yang tidak menjadi rakyat Malaysia pada tahun 1963 akan kekal sebagai CUKC dan akan menjadi BOC sehingga hari ini.
Sumber : Low Choo Chin, 2013, Isu Dwikerakyatan Dalam Pembentukan Kewarganegaraan Malaysia, 1900-1965.

No comments: