Pengajaran daripada Serbuk Kulit Roti
Ayam sudah terhidang.
Lama pula saya mengelamun. Pelbagai perkara
yang mengimbau ingatan saya sambil memasak di dapur. Kebetulan Fatih, dan
rakan-rakan yang lain sedang sibuk menelaah pelajaran untuk peperiksaan akhir
semester. Saya sudah selesai menjalani peperiksaan yang sama di Jordan dua
minggu lalu. Kehadiran saya ke Turki sekurang-kurangnya dapat membantu
kawan-kawan saya ini belajar dengan lebih baik. Biar soal makan minum, saya
bantu seadanya.
“Fatih, Islam, Hasan, Faruk, Osman, marilah
makan!” Saya menjerit memanggil mereka yang khusyuk di meja bacaan
masing-masing.
Setiap kali makan, kami akan membentangkan
dua keping surat khabar lama. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan sisa
makanan tidak jatuh ke karpet. Akan tetapi, malam itu perhatian saya terpaut
kepada tindak-tanduk rakan saya ketika makan, terutamanya Islam. Setiap kali
beliau mematahkan roti, beliau akan melakukannya di atas mangkuk nasi.
Seandainya masih ada serbuk-serbuk kulit roti itu bertaburan di atas lapik,
Islam akan mengumpulkannya untuk di makan. Tida ada langsung sisa makan yang terbuang.
“Islam, saya suka tengok cara awak makan.
Tidak ada yang tersisa langsung. Berkat, berkat...!” Saya memuji Islam.
“Betul Hasrizal. Ia soal keberkatan.
Walaupun macam-macam kita makan, kita tidak tahu pada bahagian mana makanan
kita yang Allah pilih sebagai asbab untuk-Nya untuk menurunkan barakah.” Kata Islam.
Ya, apa yang Islam katakan itu memang
benar. Ia mengingatkan saya kepada sepotong hadis Nabi SAW :
“Daripada Jabir, beliau mendengar Nabi SAW
bersabda: “Apabila sesiapa dari kalangan kamu makan, dan jatuh sejemput dari
tangan, maka bersihkanlah habuk yang terlekat pada makanan itu dan hendaklah
dia memakannya. Jangan tinggalkan bahagian itu untuk syaitan. Dan janganlah
dibersihkan tanganmu dengan kain pengelap sehingga dia telah menjilat
(jari-jarinya). Sesungguhnya seseorang itu tidak tahu pada bahagian manakah
makanannya yang diberkati Allah.”
Islam telah mengingatkan saya kepada pengajaran
yang amat berharga. Pak Cik Mehmet juga telah mengingatkan saya tentang ilmu
yang berguna. Jangan pandang kecil, selagi ia berupa satu kebajikan dan
kebaikan. Penilainya adalah Tuhan, Allah yang menilai amal pada harga sebuah
iman. Jangan tangguhkan kebaikan yang kecil semata-mata mahu menunggu peluang
amal yang besar.
Itu di Turki.
Tertiba Mak Anjang di London
Hal ini juga mengingatkan saya kepada
peristiwa semasa saya berjamu makan di rumah Pak Anjang saya di Baker Street,
London. Pagi tiu, kebetulan Pak Ngah sekeluarga datang dari Malaysia. Maka kami
semua berkumpul di rumah Pak Anjang. Rumah di Baker Street ini Pak Anjang
belikan untuk anaknya, Ziad yang belajar di Westminster University, di seberang
jalan.
Saya amat kagum semasa melihat Mak Anjang
memasak di dapur. Lebihan nasi malam tadi dikumpulkannya. Kemudia kerak nasi
itu pula direndam dalam air panas dan kemudia ditos. Semua bahagian nasi yang
berlebihan malam tadi, Mak Anjang gunakan untuk memasak nasi gorengnya. Tidak
ada bahagian makanan mana yang tersisa. Mungkin ini sebahagian daripada sikap
Mak Anjang sekeluarga yang menjadi tangga mereka membina kehidupan yang
berjaya. Walaupun sudah bertaraf jutawan, Mak Anjang dan Pak Anjang sekeluarga
masih mengambil kira soal-soal kecil seperti kerak nasi di dapur.
Marilah kita bersama-sama menghitung dan
mengambil kira benda-benda kecil yang kita abaikan selama ini. Mungkin pada
yang kecil halus itulah Allah menyentuh kehidupan kita dengan barakah.
Sebagaimana kebaikan yang kecil mungkin
menjadi punca keberkatan Allah, maka berhati-hati jugalah dengan dosa-dosa yang
kita anggap kecil. Ia menjadi punca Allah murka. Dalam setahun, mungkin seorang
dua sahaja warga negara kita yang mati dibaham harimau. Namun, jumlah yang mati
kerana gigitan seekor nyamuk, jauh berganda. Yang kecil jangan dipandang remeh,
yang besar yang disangka segala-galanya.
Mari luruskan saf, mari kemaskan saf, mari
habiskan makanan, mari pelihara adab dalam iman. Murahkan senyuman, banyakkanlah
membuat kebaikan yang mudah dan kecil, tapi berpanjangan. Mengubah ranting dari
jalan agar jangan ada yang kesakitan, memandang wajah saudah dengan air muka
manis penuh senyuman. Banyak-banyakkan berbuat kebaikan, tidak diketahui yang
mana bakal dipilih Tuhan, jadi pemboleh ke syurga yang berkekalan.
Jangan pandang kecil pada RM1 yang mahu
didermakan kepada musadh’afeen (yang memerlukan) di Palestin! Sikit-skit, lama-lama
jadi bukit.
Wallhua’lam.
Sumber : Hasrizal Abdul Jamil, Secangkir Teh Pengubat Letih. Galeri Ilmu, 2010.
No comments:
Post a Comment