Wednesday, November 16, 2016

Otak Kiri dan Otak Kanan

Otak kiri dan otak kanan sebenarnya memainkan peranan penting dalam kita membuat keputusan.

Saya cuba ringkaskan di sini bahawa otak kiri lebih kepada matematik dan otak kanan lebih kepada sastera. Atau dengan bahasa lebih mudah otak kiri berfungsi ‘true’ dan ‘false’ manakala otak kanan penting dalam membuat pertimbangan.

Saya bagi contoh macam ini. Seorang Pengarah GLC dihukum penjara lima tahun kerana didakwa atas kesalahan rasuah. Tetapi, akan pertimbangan pihak hakim, hukuman penjara selama lima tahun ini dikurangkan kepada tiga tahun atas sebab kesihatan.

Jika kita melihat dalam contoh ini, pengarah ini adalah benar melakukan kesalahan. Melalui undang-undang, ia dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara. Ketika ini, konsep ‘true’ dan ‘false’ adalah sedang berjalan. Akan tetapi, pertimbangan atas faktor kesihatan menyebabkan hukuman 5 tahun dikurangkan kepada 3 tahun. Dapatkah anda lihat peranan otak kiri dan otak kanan di sini?

Konteks ini adalah amat berguna bagi dalam menjalani dalam kehidupan seharian khususnya di tempat kerja. Contohnya, ada seorang si A yang datang meminta anda membuat sesuatu. Kemudian, datang pula si B yang meminta anda membuat kerja lain tetapi harus diselesaikan dengan segera. Jika anda ikut giliran, sudah tentu kerja yang diminta oleh si A ini perlu disiapkan terlebih dahulu. Oleh kerana si B yang datang lewat tetapi hendak segera tugasan tersebut, maka atas faktor pertimbangan, tugasan si B perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Pokoknya, jika anda terlalu mengikut otak kiri anda dalam melakukan urusan kerja, anda tidak akan disukai ramai dan mungkin anda tidak popular di tempat kerja anda kerana terlalu mengikut peraturan. Dengan pertimbangan, anda akan mudah memberi kerjasama dengan semua pihak dan semua pihak akan menghormati anda.

Wallhua’lam.

Thursday, November 10, 2016

Mutiara Kara

 
"Sekiranya orang-orang cina dihantar balik ke China, adakah orang-orang melayu mampu mengambil alih rangkaian perniagaan orang cina yang kompleks dan sofistikated?"
 
Dr. Mahathir ketika ditanya pendapat apabila orang-orang cina dihantar balik ke China. 

Tuesday, November 8, 2016

Kos Pengiklanan TV Al-Hijrah

 
 

Semalam saya berkesempatan untuk menemubual bagi peminjam-peminjam daripada organisasi saya yang telah Berjaya. Saya tertarik dengan seorang peminjam ini yang pernah membuat pengiklanan di TV Al-Hijrah. Menurut beliau, kos pengiklanan di sini adalah berjumlah RM15,000 bagi 2 slot di mana setiap slot adalah 6 minit. Lebih mengujakan lagi bahawa kos untuk pengiklanan Wanita Hari Ini adalah berjumlah RM30,000. Impaknya kepada jualan adalah amat memberangsangkan. Anda bagaimana? Mahu mencuba pengiklanan produk-produk di televisyen?

Sunday, October 23, 2016

Buku Syok Sendiri



Betul dalam bisnes perbukuan buku bahawa istilah Don’t Judge The Book From Its Cover tidak boleh digunapakai. Pada mulanya, apabila melihat cover buku ini saya pun berasa terpana melihatnya. Saya fikir jika melihat tajuknya sahaja pun ‘Tun M Inilah  Perjuangan Temu Bual Eksklusif Sabaruddin Bersama Tun Dr. Mahathir” menjanjikan sesuatu yang baru kepada pembaca-pembacanya.

Malangnya, tiada sesuatu yang baru melainkan apa yang disebut oleh Tun Dr. Mahathir dalam bukunya “Doktor Umum : Memoir Tun Dr. Mahathir” turut disebut dalam buku ini. Apatah lagi interview ini sudah dibuat pada tahun 2007 dan diterbitkan pula pada tahun ini (2016).

Isu-isu yang diperbincangkan pula ialah isu-isu basi seperti masalah melayu, cina, dan india. Kepimpinan melayu yang lemah dan sebagainya. Maklumlah isu sekarang merupakan isu 1MDB dan bukannya isu Pak Lah selalu tidur dalam majlis rasmi negara. Bab-bab buku ini pula penuh dengan simpulan bahasa.

Lebih malang lagi buku ini merupakan pengalaman penulis menginterview Dr. Mahathir untuk dimuatkan ke dalam bukunya sebelum ini yang bertajuk “Selagi Hayat Dikandung Badan : Lembaran Perjuangan”. Dengan kata lain, pengalamannya membuat buku dibuku pula dalam buku ini. Saya pun tidak faham yang penulis telah ada syarikat penerbitan sendiri terbit pula buku ini dengan PTS.

Buku ini pun kelihatan tebal disebabkan oleh dua perkara. Pertamanya barisnya agak jarak antara satu sama-lain dan kemudian banyak gambar-gambar Dr. Mahathir.

Ia tidak lebih seperti pengalaman penulis Sabarudin yang syok sendiri yang kononnya dapat berpeluk dengan Dr. Mahathir di depan orang ramai selepas menunaikan solat Jumaat.

Selepas itu, penulis menceritakan yang kononnya bermimpi bertemu Dr. Mahathir Mohammad daripada sudut yang sama sebelum bertemu dengan beliau. Puncanya ialah kerana penulis tertinggal laktop dalam kereta dan kemudia masuk lewat ke dalam bilik dan duduk di sudut yang sama melihat Dr. Mahathir dalam mimpinya.

Penulis juga menceritakan pengalamannya kerana berjaya mengekjas Dr. Mahathir untuk datang merasmikan program rasmi sekolah isterinya tetapi tidak dapat datang kerana menghadiri majlis solat hajat anaknya.

Tak kurang daripada itu penulis menceritakan isteri Dr. Mahathir mengatakan namanya seperti mee Jepun kerana dipanggil ‘soba’. Penulis juga menceritakan hadirin yang sedikit ketika perasmian bukunya “Selagi Hayat Dikandung Badan : Lembaran Perjuangan” oleh Dr. Mahathir di dewan Universiti Malaya.

Pendek kata, buku ini seolah-olah ingin menipu pembaca dan tiada apa-apa yang baru dan sesuai dijadikan tajuk lain. Saya lebih suka dengan buku-buku lain di pasaran yang khusus menemu-bual Dr. Mahathir yang sesuai dengan tajuknya.

Meluat juga baca buku ini.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Wednesday, October 12, 2016

Berakhirnya Kesultanan Acheh


Berakhirnya Kesultanan Acheh : Gambar menunjukkan Sultan Muhammad Daud mengangkat sumpah di hadapan Ratu Belanda iaitu Queen Wilhemina pada Februari 1903 selepas Acheh menyerah kalah kepada pihak Belanda setelah berperang selama 30 tahun.

Thursday, September 29, 2016

Tip Menerbitkan Buku yang Banyak dalam Masa Singkat


Banyak penulis menulis banyak buku dalam banyak bidang dan subbidang. Sebagai contoh, dia menulis buku motivasi, buku pengurusan, buku isu-isu semasa, buku biografi tokoh dan seterusnya.
Lazimnya penulis jenis ini tidak berhasil menjana pendapatan tinggi daripada royalti setiap buku itu. Dia mendapat sedikit royalti daripada tiap-tiap judulnya. Setiap kali dia memerlukan wang, dia terpaksa menulis buku baru.
Cara yang betul bagi menjana pendapatan tinggi adalah dengan menulis banyak buku di bawah bidang yang sama. Sebagai contoh, katakanlah saudara menulis dalam bidang komunikasi interpersonal, tulislah buku-buku yang isi kandungannya bertindan antara satu sama lain. Lihat contoh-contoh di bawah:
    1. Panduan Komunikasi di Tempat Kerja
    2. Panduan Komunikasi untuk Pemimpin dan Ketua
    3. Panduan Komunikasi Kekeluargaan
    4. Panduan Komunikasi Bisnes
    5. Panduan Komunikasi Lelaki-Perempuan
    6. Panduan Komunikasi untuk Guru
    7. Panduan Komunikasi untuk Pendakwah
    8. Panduan Komunikasi untuk Perkhidmatan Kaunter
    9. Panduan Komunikasi untuk Perkhidmatan Pelanggan
    10. Panduan Komunikasi dalam Organisasi
    11. Panduan Komunikasi untuk Pekerja Sosial
    12. Belajar Berkomunikasi
    13. Teori-Teori Komunikasi
    14. Panduan Komunikasi Efektif, dan banyak lagi.
Apabila saudara menulis siri buku dalam bidang dan sub-bidang yang sama, banyak bahan-bahan dalam buku itu yang dapat saudara gunakan berkali-kali, bagi menghasilkan beberapa buku. Bahagian teori dan prinsip-prinsipnya adalah bahan yang dapat digunakan dalam beberapa buku. Hanya contoh-contoh aplikasinya yang disesuaikan dengan tajuk yang berlainan.
Inilah cara yang betul bagi menghasilkan banyak buku dalam masa singkat. Jangan menulis buku dalam pelbagai bidang di mana setiap bahagian buku itu harus ditulis baru.
Jika saudara melakukan cara yang tidak betul itu, saudara tidak dapat menghasilkan banyak buku dalam masa setahun. Isi kandungan dan analisis yang saudara kemukakan dalam buku-buku itu juga tidak mendalam, oleh itu tidak meningkatkan kredibiliti saudara.
Dari sudut mencari penerbit pula, saudara terpaksa mencari beberapa penerbit yang berlainan bagi setiap buku saudara. Apabila diterbitkan, buku-buku saudara itu akan diletakkan di rak-rak yang berbeza dalam kedai-kedai buku, mengikut topik tiap-tiap buku. Disebabkan saudara menerbitkan buku dengan banyak penerbit, saudara tidak akan diberi layanan istimewa oleh mana-mana penerbit saudara.
Apabila buku-buku saudara itu semuanya berkenaan satu topik utama, buku-buku itu dapat dipromosi dan dijual sebagai satu set oleh penerbit. Cuba lihat buku-buku dalam kedai-kedai buku. Lihat bagaimana penerbit-penerbit buku berlumba-lumba mempamerkan set-set buku mereka.
Sumber : universitipts.com