Thursday, September 29, 2016

Survival bagi Seorang Penulis


Dari sudut teorinya, setiap buku adalah 'harta intelek'. Namun dalam alam realiti, buku yang tidak menghasilkan wang tidak dapat disebut sebagai 'harta' dalam erti kata yang sebenar.

Sebagai penulis, antara skill yang perlu mereka miliki adalah skill survival sebagai penulis.
Aktiviti berkarya memerlukan modal yang banyak kerana kos modal penulisan sememangnya tinggi.
Penulis perlu membeli buku-buku yang baik dan mahal untuk perpustakaan peribadi mereka. Ini adalah keperluan asas dalam bidang penulisan.
Mereka perlu berjalan dan mengembara kel luar negara supaya input-input dalam karya mereka menjadi lebih menarik dan sedap dibaca.
Penulis perlu menghadiri banyak seminar dan persidangan supaya ilmu mereka semakin banyak, network bertambah luas dan idea-idea mereka diketahui ramai.
Mereka memerlukan bilik bacaan di rumah sendiri yang berhawa dingin kerana iklim negara ini panas dan lembap yang menyebabkan tidak selesa jika mahu membaca dan menulis pada waktu siang. 
Sebelum menghasilkan karya yang berkualiti tinggi, para penulis perlu melepaskan diri daripada masalah tidak cukup wang untuk perbelanjaan harian anak isteri. Semuanya memerlukan wang yang banyak. Mereka memerlukan taraf hidup dan gaya hidup yang respectable.
Banyak penulis berjaya menulis dan menerbitkan banyak buku mereka, termasuklah buku yang diterbitkan oleh penerbit gergasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun buku-buku itu tidak menjadi harta intelek dalam erti kata buku-buku itu tidak terjual dengan banyaknya dan menghasilkan pendapatan yang tinggi.
Banyak juga penulis yang berjaya menerbitkan berpuluh-puluh judul. Namun mereka tidak menikmati bayaran royalti yang tinggi hasil daripada jualan buku-buku mereka, oleh hal yang demikian mereka terpaksa hidup dengan memiliki pekerjaan lain sepenuh masa. Akibatnya, mereka tidak dapat menghasilkan karya dengan lebih konsisten.
Di satu pihak lain, sudah ada penulis-penulis di negara kita yang berjaya menghasilkan banyak buku yang bagus-bagus kualitinya, dan apabila diterbitkan terbukti buku-buku mereka itu menjadi harta intelek yang menghasilkan royalti yang banyak. Dengan wang royalti yang diterima mereka mampu hidup selesa sebagai penulis sepenuh masa.
Sumber : universitipts.com

Tuesday, August 23, 2016

Baik Untuk Orang Lain, Belum Tentu Baik Untuk Kita.

Di dalam al-Quran ada Allah s.w.t. menyebut mengenai perintah makanlah makanan yang halal lagi baik. Jika kita hayati balik perintah ini, banyak makanan yang halal lagi baik yang terdapat di sekeliling kita yang boleh dimakan.

Namun, dari satu sudut jika kita melihat orang-orang yang sakit sudah tentu ada makanan yang perlu mereka elakkan. Sekiranya seseorang itu berpenyakit kencing manis, sudah tentu dianya perlu mengelak daripada makan makanan yang manis. Di satu sudut lain pula, orang yang sihat pula boleh makan makanan yang bergula selagi mana yang sihat. Ini yang dikatakan baik untuk orang lain belum tentu baik untuk kita.

Dalam pengurusan kewangan peribadi, hal yang sama kita boleh terapkan dalam apa yang telah disebutkan di dalam al-Quran. Jika orang lain telah membeli rumah, tidak semestinya kita perlu membeli rumah. Mungkin orang lain tiada matlamat lain seperti kita yang membolehkan mereka membeli rumah terlebih dahulu. Mungkin kita ingin menggunakan wang kita untuk matlamat lain seperti membuat perniagaan, ingin memfokuskan membayar hutang-hutang lain terlebih dahulu, dan sebagainya.

Begitu juga dengan kereta, apabila keluarnya model kereta baru, ramai pula yang sibuk menukar kereta lain walhal kereta sedia ada masih boleh dipakai kerana ingin mengikut rakan-rakan sepejabat yang menukar kereta lain. Akibatnya, diri sendiri yang rugi kerana terpaksa menanggung rugi membayar kadar faedah kepada pihak bank.

Di dalam buku saya iaitu Biar Sedikit, Asal Diberkati (BSAD), saya ada menyebut bahawa kita usah terikut-ikut dengan trend masyarakat. Sebagai contohnya tahun 2011 dahulu (saya masih ingat sehingga hari ini) kononnya ramai orang yang berbondong-bondong yang membeli emas kerana kononnya ketika itu harga emas naik secara menggila. Tetapi, ramai yang silap ketika itu kerana ketika harga emas naik, ketika inilah emas perlu dijual kerana keuntungan boleh dibuat ketika ini dan bukannya dibeli. Natijahnya, ramai yang menggaru kepala selepas harga emas jatuh tidak beberapa lama ketika selepas itu.

Malangnya, kita sibuk menggunakan duit kita untuk berlumba-lumba untuk menunjukkan kekayaan masing-masing. Akibatnya, kita kadang-kadang terperangkap dalam perlumbaan ini yang kadang-kala membuatkan duit kita bocor tanpa disedari. Ada pembaca buku BSAD yang mengatakan hutang mereka tidak berkurang selepas membaca buku ini. Tetapi, apabila mereka ditanya adakah mereka mengikut Rukun ke-4 iaitu jangan membuat hutang lagi, ramai yang terdiam 1,001 bahasa.

Baik untuk orang lain, belum tentu baik untuk kita boleh kita terjemahkan dalam aplikasi untuk menjana kekayaan kita. Sesetengah orang percaya bahawa kita perlu berhutang untuk menjana kekayaan kita. Sesetengah orang juga percaya kita tidak perlu hutang untuk menjana kekayaan kita. Bagi saya ada baiknya kita tidak perlu berhutang untuk menjana kekayaan kerana inilah jalan paling selamat dan mudah untuk menjana wang kita.

Ironinya, pengurusan kewangan adalah bergantung dengan strategi kewangan kita sendiri. Wang yang banyak tidak menjamin kejayaan kita dalam usaha menguruskan wang kita. Dengan iltizam, keazaman, dan matlamat kewangan untuk mencapai sesuatu, ianya menghasilkan sesuatu yang baik untuk kita.

Adakah anda sudah memiliki buku BSAD? Jika belum (klik di sini).

Wallhua’lam.

 
http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, August 18, 2016

Buku Kontroversi ‘Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki’

Apabila saya membeli dan membaca sepintas lalu buku ‘Malayonesia’ yang merupakan keseinambungan buku ‘Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki’ tulisan Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, tidak sangka sekali buku beliau iaitu ‘Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki’ ini mendapat sambutan hangat dan menimbulkan kontroversi. Apa yang lebih membanggakan sebanyak 30 seminar dan forum dalam masa setahun dianjurkan bagi membedah buku ini.
 
 
Mat Rofa Ismail berjaya menyanggah sejarah rasmi negara iaitu sejarah kemerdekaan Malaysia. Dengan kajian-kajian yang dibuat oleh beliau dengan manuskrip-manuskrip melayu lama, beliau mendakwa Jepun sebenarnya bekerjasama dengan pihak Khilafah Uthmaniyah bagi menghalau British dari Tanah Melayu. Apa yang kita fahami selama ini ialah Jepun sebenarnya adalah penjajah di Tanah Melayu. Namun, beliau tidak nafikan bahawa Jepun dan British sebenarnya juga adalah penjajah di Tanah Melayu.

Kita seringkali biasa mendengar nama-nama tokoh Umno yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Onn Jaafar, dan sebagainya. Namun, masih ada ulama-ulama sebelum itu yang bekerjasama dengan pihak Khilafah Uthmaniyah bagi mendapatkan kemerdekaan di negara ini. Antaranya ialah Sheikh Ahmad Daud Fattani yang merupakan Duta Uthmaniyah di Tanah Melayu yang bekerjasama dengan Sultan Abdul Hameed II untuk menghalau British dari Tanah Melayu.
 
 
Sultan Abdul Hameed II juga menghantar kapal perang ke Tanah Melayu namun kapal ini berjaya ditenggelamkan oleh British. Walaubagaimanapun, berita ini ditutup rapat oleh British dan tidak kepada pengetahuan penduduk Tanah Melayu.

Pengarang yang juga merupakan lulusan PhD. dalam bidang falsafah matematik turut menyelitkan mengenai perkembangan ilmu-ilmu sains di dalam Islam. Sumbangan cendekiawan-cendekiawan Islam dalam ilmu sains dan matematik tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Jika tiada ilmu algoritma yang diasaskan oleh al-Khwarizmi maka komputer tidak akan tercipta sehingga ke hari ini oleh Amerika Syarikat.

Kekuatan buku ‘Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki’ ialah pengarang sendiri membuat kajian berdasarkan sumber-sumber primer dengan berkelana ke negara-negara lain. Oleh itu, ia memberi sesuatu yang baru kepada masyarakat umum.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, August 4, 2016

3 Amalan Murah Rezeki

 
Nasihat Nabi Muhammad s.w.t. kepada Abu Hurairah r.a. supaya dimurah rezeki :
 
Pertama : Amalkan solat dhuha setiap hari.
 
Kedua : Amalkan solat witir setiap hari.
 
Ketiga : Berpuasa setiap 13, 14, dan 15 haribulan Islam.
 
Wallhua'lam.

Lima Jenis Hukuman Penzina kepada Imam Shafie

 
Harun ar-Rasyid telah bertanyakan kepada Imam as-Shafie mengenai lima jenis lelaki penzina yang dikenakan lima hukuman yang berbeza.
 
Penzina Pertama : Dijatuhkan hukuman bunuh.
 
Penzina Kedua : Dijatuhkan hukuman rejam sampai mati.
 
Penzina Ketiga : Dikenakan hukuman sebat 100 kali.
 
Penzina Keempat : Dikenakan hukuman sebat 50 kali.
 
Penzina kelima : Tidak dikenakan apa-apa hukuman.
 
Imam as-Shafie menjawab :
 
Penzina pertama : Dia telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Dengan kata lain dia telah murtad. Maka, dia dijatuhkan hukuman bunuh.
 
Penzina kedua : Penzina ini merupakan orang yang telah berkahwin. Maka, dia dijatuhkan hukuman rejam sampai mati.
 
Penzina ketiga : Penzina ini merupakan penzina yang belum berkahwin.
 
Penzina keempat : Adapun penzina ini sebenarnya ialah penzina yang belum baligh. Oleh itu, dia dikenakan separuh sahaja hukuman sebat iaitu hanya dikenakan 50 kali sebatan.
 
Penzina kelima : Ini adalah orang gila di mana dia dikecualikan daripada mana-mana hukuman hudud.
 
Wallhua'lam.
 

Tuesday, August 2, 2016

Entrepreneur vs Intrapreneur


Baru-baru ini kita diumumkan bahawa Wahid Omar dilantik untuk menjadi Pengerusi Pemodalan Nasional Berhad (PNB) yang baru. Kita dapat melihat sekarang Wahid Omar sekarang menjadi bintang yang sedang naik dalam menerajui sektor-sektor korporat Malaysia. Begitu juga dengan Bakke Salleh yang dapat menerajui Bank Islam dan Felda dengan baik dan dapat membawa kedua-dua institusi ini ke tempat lebih baik.
 
Namun, dari satu sudut ini sebenarnya adalah kelebihan orang-orang melayu. Orang melayu mampu menerajui syarikat-syarikat besar atau konglomerat kerajaan kerana orang-orang melayu mempunyai sifat 'intrapreneurship'. Dari satu sudut, orang-orang melayu masih kurang dalam sudut lapangan perniagaan yakni menjalankan perniagaan sendiri kerana orang melayu kurang mempunyai sifat 'entrepreneurship'.

Tuesday, July 26, 2016

Apabila Satu Badan Terpaksa Disamak


Jika anda fikir Rosyam Nor adalah bintang selebriti popular yang diturunkan dari langit, anda juga berfikir seperti saya juga sebenarnya sehingga saya membaca buku pengalaman beliau yang bertajuk ‘Rosyam Nor – Impian Jutawan Budak Setinggan’.

Rupa-rupanya Rosyam Nor telah membayar harga yang tinggi sebelum beliau berjaya menjadi selebriti terkenal dengan melalui pahit getir sebagai budak setinggan.

Kegetiran, kepayahan, kesukaran, dan halangan kehidupan beliau melalui pengalaman hidup sebagai budak setinggan bukanlah alasan beliau untuk tidak mahu berusaha sehingga berjaya sehinggakan nama Rosyam Nor meniti di setiap bibir rakyat Malaysia.

Melalui kehidupan di setinggan memanglah sesuatu yang menyeksakan sewaktu era 60-70-an. Bayangkan rumah beratapkan rumbia ataupun beratap nipah dengan lantainya adalah beralaskan tanah sahaja. Rosyam Nor dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga setinggan yang berhijrah beramai-ramai ke Kampung Kerinchi di atas tanah kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Bayangkan dalam berpuluh-puluh keluarga setinggan di Kampung Kerinchi ketika itu, hanya ada sebuah perigi sahaja yang terpaksa digunakan oleh semua orang ketika itu. Mahu tidak mahu semua keluarga terpaksa berkongsi air perigi ini sebagai keperluan harian. Golongan wanita pula terpaksa mandi berkemban di khayalak ramai menggunakan perigi yang satu ini. Bekalan elektrik tiada dan hanya bergantung kepada lampu gasolin sahaja pada waktu malam.

Buku ini juga sarat dengan motivasi kepada kita semua untuk berusaha dan berjaya dalam kehidupan. Tidak dapat dinafikan kecemerlangan dalam bidang akademik merupakan penanda aras atau benchmark kejayaan seseorang. Namun, lain pula dengan Rosyam Nor walaupun hanya mendapat pangkat 3 di dalam SPM, dengan penuh  keagungan keazaman beliau, beliau mengambil keputusan untuk menceburi lakonan untuk mencipta kejayaan dalam hidupnya.

Jika anda tiada kelulusan akademik yang tinggi, jangan fikir anda tidak boleh berjaya dalam hidup anda.

Episod Rosyam Nor dalam bidang lakonan bermula dalam filem Gila-Gila Remaja apabila waris sebelah ibunya iaitu Hussein Mat Hassan mengambilnya berlakon ketika menunggu keputusan SPM. Anak Hussein Mat Hassan atau dikenali sebagai Harimau Berantai iaitu Faizal Hussein sebenarnya yang membawa Rosyam Nor dalam dunia lakonan walaupun angan-angan Rosyam Nor untuk menjadi terkenal sudah dibajai sejak dari kecil lagi.

Berkat kesabaran beliau dalam membina jenama ‘Rosyam Nor’ memang tidak dapat dinafikan dalam usaha beliau untuk berjaya dalam dunia lakonan. Beliau merupakan pelakon lelaki yang paling banyak menerima anugerah di Malaysia.

Antara poin-poin yang menarik dalam buku ini ialah :

a. Nama sebenar Rosyam Nor ialah Mohd Nor bin Shamsuddin. Nama ‘Rosyam Nor’ merupakan nama komersial beliau dalam dunia seni. ‘Ro’ itu adalah singkatan daripada perkataan nama ibunya iaitu ‘Rubiah’ manakala ‘Syam’ itu adalah singkatan nama daripada ayahnya iaitu ‘Shamsuddin’. Beliau ingin membawa nama ibubapanya seiring untuk berjaya dalam dunia lakonan.

b. Pernah satu ketika sewaktu kanak-kanak, satu keluarga Rosyam Nor tidak makan sehari suntuk. Oleh itu, satu keluarga ini terpaksa menyembelih ayam yang merupakan ayam akan dijual apabila penggal persekolahan baru dibuka. Malangnya, apabila lauk ayam merah tersebut sudah siap sedia untuk dimakan, tiba-tiba ada dua ekor cicak yang jatuh dari siling rumah  ke dalam lauk tersebut. Mahu tidak mahu, ibu Rosyam Nur membasuh semula ayam ini dan kemudian direbus untuk dimakan semula. Perkara ini menjadi ingatan Rosyam Nor buat selama-lamanya.

c. Di waktu muda, Rosyam Nor pernah bekerja di pasar raya dengan mengangkat barang. Pada suatu hari, entah bagaimana barang yang tidak diketahuinya di dalam kotakyang diangkat selama ini terjatuh dan hancur berkecai. Rupa-rupanya beliau selama ini mengangkut makanan babi di dalam tin. Natijahnya, habis seluruh badannya disamak.

d. Pernah Rosyam Nor mengepos gambarnya ke alamat-alamat dalam buku Telekom Malaysia untuk mempromosi dirinya.

d. Suhan Movies yang merupakan milik Rosyam Nor pada hari ini asalnya merupakan milik majikannya iaitu Saudara Pansha. Ia dianugerahkan kepada Rosyam Nor sebagai tanda penghargaan kepada beliau yang setia kepadanya.

e. Dalam menghasilkan filem Castello, Rosyam Nor pada mulanya hanya mempunyai wang sebanyak RM400,000 yang dipinjam daripada FINAS. Tetapi beliau masih kekurangan sebanyak RM800,000 untuk mencukupkan modal sebanyak RM1.2 juta. Rezeki Tuhan siapa yang tahu. Akhirnya, beliau menjumpai orang yang ke-42 yang sanggup membiayai modal untuk filemnya ini. Lebih ajaib bahawa pemodal ini hanya mengambil keuntungan RM1 sahaja daripada keuntungan filem ini.

f. Rosyam Nor pernah mengalami kerugian sebanyak RM280,000 dalam perusahaan tuisyen yang ingin dibangunkannya. Ini tidak termasuk bidang perniagaan lain yang gagal sehingga hangus RM500,000.

g. Rosyam Nor mempunyai ladang buah durian belanda dan nangka madu seluas 175 ekar di Lanchang, Pahang.

Cukup sahaja saya menulis bait-bait buku Rosyam Nor yang bertajuk ‘Rosyam Nor Legenda Budak Setinggan’. Adalah lebih elok untuk anda memiliki dan membeli sendiri buku ini sendiri supaya anda lebih hadam untuk menghayati buku ini.

Bagaimana aku membawa tiga nama dalam kehidupan harian aku? Mudah saja, kalau ada orang panggil aku dengan panggilan Legau, itu bermakna orang kampung atau keluarga aku. Jika panggilannya Mohamed Noor, sah-sah itu mesti panggilan kawan-kawan zaman persekolahan dulu. Jika Rosyam Nor, kau orang lah tu!

p.s : Saya harap Rosyam Nor membaca tulisan saya ini.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my