Jika
anda fikir Rosyam Nor adalah bintang selebriti popular yang diturunkan dari
langit, anda juga berfikir seperti saya juga sebenarnya sehingga saya membaca
buku pengalaman beliau yang bertajuk ‘Rosyam Nor – Impian Jutawan Budak
Setinggan’.
Rupa-rupanya
Rosyam Nor telah membayar harga yang tinggi sebelum beliau berjaya menjadi
selebriti terkenal dengan melalui pahit getir sebagai budak setinggan.
Kegetiran,
kepayahan, kesukaran, dan halangan kehidupan beliau melalui pengalaman hidup
sebagai budak setinggan bukanlah alasan beliau untuk tidak mahu berusaha
sehingga berjaya sehinggakan nama Rosyam Nor meniti di setiap bibir rakyat
Malaysia.
Melalui
kehidupan di setinggan memanglah sesuatu yang menyeksakan sewaktu era 60-70-an.
Bayangkan rumah beratapkan rumbia ataupun beratap nipah dengan lantainya adalah
beralaskan tanah sahaja. Rosyam Nor dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga
setinggan yang berhijrah beramai-ramai ke Kampung Kerinchi di atas tanah
kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Bayangkan
dalam berpuluh-puluh keluarga setinggan di Kampung Kerinchi ketika itu, hanya
ada sebuah perigi sahaja yang terpaksa digunakan oleh semua orang ketika itu.
Mahu tidak mahu semua keluarga terpaksa berkongsi air perigi ini sebagai
keperluan harian. Golongan wanita pula terpaksa mandi berkemban di khayalak
ramai menggunakan perigi yang satu ini. Bekalan elektrik tiada dan hanya
bergantung kepada lampu gasolin sahaja pada waktu malam.
Buku
ini juga sarat dengan motivasi kepada kita semua untuk berusaha dan berjaya
dalam kehidupan. Tidak dapat dinafikan kecemerlangan dalam bidang akademik
merupakan penanda aras atau benchmark kejayaan seseorang. Namun, lain pula
dengan Rosyam Nor walaupun hanya mendapat pangkat 3 di dalam SPM, dengan
penuh keagungan keazaman beliau, beliau
mengambil keputusan untuk menceburi lakonan untuk mencipta kejayaan dalam
hidupnya.
Jika
anda tiada kelulusan akademik yang tinggi, jangan fikir anda tidak boleh
berjaya dalam hidup anda.
Episod
Rosyam Nor dalam bidang lakonan bermula dalam filem Gila-Gila Remaja apabila
waris sebelah ibunya iaitu Hussein Mat Hassan mengambilnya berlakon ketika
menunggu keputusan SPM. Anak Hussein Mat Hassan atau dikenali sebagai Harimau
Berantai iaitu Faizal Hussein sebenarnya yang membawa Rosyam Nor dalam dunia
lakonan walaupun angan-angan Rosyam Nor untuk menjadi terkenal sudah dibajai
sejak dari kecil lagi.
Berkat
kesabaran beliau dalam membina jenama ‘Rosyam Nor’ memang tidak dapat dinafikan
dalam usaha beliau untuk berjaya dalam dunia lakonan. Beliau merupakan pelakon
lelaki yang paling banyak menerima anugerah di Malaysia.
Antara
poin-poin yang menarik dalam buku ini ialah :
a. Nama
sebenar Rosyam Nor ialah Mohd Nor bin Shamsuddin. Nama ‘Rosyam Nor’ merupakan
nama komersial beliau dalam dunia seni. ‘Ro’ itu adalah singkatan daripada
perkataan nama ibunya iaitu ‘Rubiah’ manakala ‘Syam’ itu adalah singkatan nama
daripada ayahnya iaitu ‘Shamsuddin’. Beliau ingin membawa nama ibubapanya
seiring untuk berjaya dalam dunia lakonan.
b.
Pernah satu ketika sewaktu kanak-kanak, satu keluarga Rosyam Nor tidak makan
sehari suntuk. Oleh itu, satu keluarga ini terpaksa menyembelih ayam yang
merupakan ayam akan dijual apabila penggal persekolahan baru dibuka. Malangnya,
apabila lauk ayam merah tersebut sudah siap sedia untuk dimakan, tiba-tiba ada
dua ekor cicak yang jatuh dari siling rumah
ke dalam lauk tersebut. Mahu tidak mahu, ibu Rosyam Nur membasuh semula
ayam ini dan kemudian direbus untuk dimakan semula. Perkara ini menjadi ingatan
Rosyam Nor buat selama-lamanya.
c. Di
waktu muda, Rosyam Nor pernah bekerja di pasar raya dengan mengangkat barang.
Pada suatu hari, entah bagaimana barang yang tidak diketahuinya di dalam kotakyang
diangkat selama ini terjatuh dan hancur berkecai. Rupa-rupanya beliau selama
ini mengangkut makanan babi di dalam tin. Natijahnya, habis seluruh badannya
disamak.
d.
Pernah Rosyam Nor mengepos gambarnya ke alamat-alamat dalam buku Telekom
Malaysia untuk mempromosi dirinya.
d.
Suhan Movies yang merupakan milik Rosyam Nor pada hari ini asalnya merupakan
milik majikannya iaitu Saudara Pansha. Ia dianugerahkan kepada Rosyam Nor
sebagai tanda penghargaan kepada beliau yang setia kepadanya.
e.
Dalam menghasilkan filem Castello, Rosyam Nor pada mulanya hanya mempunyai wang
sebanyak RM400,000 yang dipinjam daripada FINAS. Tetapi beliau masih kekurangan
sebanyak RM800,000 untuk mencukupkan modal sebanyak RM1.2 juta. Rezeki Tuhan
siapa yang tahu. Akhirnya, beliau menjumpai orang yang ke-42 yang sanggup
membiayai modal untuk filemnya ini. Lebih ajaib bahawa pemodal ini hanya
mengambil keuntungan RM1 sahaja daripada keuntungan filem ini.
f.
Rosyam Nor pernah mengalami kerugian sebanyak RM280,000 dalam perusahaan
tuisyen yang ingin dibangunkannya. Ini tidak termasuk bidang perniagaan lain
yang gagal sehingga hangus RM500,000.
g.
Rosyam Nor mempunyai ladang buah durian belanda dan nangka madu seluas 175 ekar
di Lanchang, Pahang.
Cukup
sahaja saya menulis bait-bait buku Rosyam Nor yang bertajuk ‘Rosyam Nor Legenda
Budak Setinggan’. Adalah lebih elok untuk anda memiliki dan membeli sendiri
buku ini sendiri supaya anda lebih hadam untuk menghayati buku ini.
“Bagaimana aku membawa tiga nama dalam
kehidupan harian aku? Mudah saja, kalau ada orang panggil aku dengan panggilan
Legau, itu bermakna orang kampung atau keluarga aku. Jika panggilannya Mohamed
Noor, sah-sah itu mesti panggilan kawan-kawan zaman persekolahan dulu. Jika
Rosyam Nor, kau orang lah tu!”
Wallhua’lam.
http://wankamarul701.blogspot.my
No comments:
Post a Comment