Thursday, September 29, 2016

Survival bagi Seorang Penulis


Dari sudut teorinya, setiap buku adalah 'harta intelek'. Namun dalam alam realiti, buku yang tidak menghasilkan wang tidak dapat disebut sebagai 'harta' dalam erti kata yang sebenar.

Sebagai penulis, antara skill yang perlu mereka miliki adalah skill survival sebagai penulis.
Aktiviti berkarya memerlukan modal yang banyak kerana kos modal penulisan sememangnya tinggi.
Penulis perlu membeli buku-buku yang baik dan mahal untuk perpustakaan peribadi mereka. Ini adalah keperluan asas dalam bidang penulisan.
Mereka perlu berjalan dan mengembara kel luar negara supaya input-input dalam karya mereka menjadi lebih menarik dan sedap dibaca.
Penulis perlu menghadiri banyak seminar dan persidangan supaya ilmu mereka semakin banyak, network bertambah luas dan idea-idea mereka diketahui ramai.
Mereka memerlukan bilik bacaan di rumah sendiri yang berhawa dingin kerana iklim negara ini panas dan lembap yang menyebabkan tidak selesa jika mahu membaca dan menulis pada waktu siang. 
Sebelum menghasilkan karya yang berkualiti tinggi, para penulis perlu melepaskan diri daripada masalah tidak cukup wang untuk perbelanjaan harian anak isteri. Semuanya memerlukan wang yang banyak. Mereka memerlukan taraf hidup dan gaya hidup yang respectable.
Banyak penulis berjaya menulis dan menerbitkan banyak buku mereka, termasuklah buku yang diterbitkan oleh penerbit gergasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun buku-buku itu tidak menjadi harta intelek dalam erti kata buku-buku itu tidak terjual dengan banyaknya dan menghasilkan pendapatan yang tinggi.
Banyak juga penulis yang berjaya menerbitkan berpuluh-puluh judul. Namun mereka tidak menikmati bayaran royalti yang tinggi hasil daripada jualan buku-buku mereka, oleh hal yang demikian mereka terpaksa hidup dengan memiliki pekerjaan lain sepenuh masa. Akibatnya, mereka tidak dapat menghasilkan karya dengan lebih konsisten.
Di satu pihak lain, sudah ada penulis-penulis di negara kita yang berjaya menghasilkan banyak buku yang bagus-bagus kualitinya, dan apabila diterbitkan terbukti buku-buku mereka itu menjadi harta intelek yang menghasilkan royalti yang banyak. Dengan wang royalti yang diterima mereka mampu hidup selesa sebagai penulis sepenuh masa.
Sumber : universitipts.com

No comments: