Tuesday, January 25, 2011

Corat-coret: KWSP

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Penulis berasa duit gaji yang diterima pada 22 Jan ( gaji syarikat penulis adalah lebih awal dari kerajaan) adalah lebih sedikit berbanding sebelumnya. Apabila diselidiki rupa-rupanya caruman kwsp adalah naik dari 8% kepada 11% iaitu sebanyak 3% untuk tahun 2011. Semoga pertambahan caruman ini dapat meningkatkan jumlah simpanan untuk hari persaraan nanti. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Monday, January 24, 2011

Hutang oh Hutang...

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Tan Sri Halim Saad, bekas Pengerusi Renong suatu ketika dahulu perlu meminta bantuan daripada Perdana Menteri untuk mengelak daripada gangguan bank-bank semasa krisis ekonomi melanda Asia pada tahun 1997/98. Hutang beliau ketika itu amat tinggi iaitu RM60 billion iaitu sama dengan rezab Bank Negara ketika itu. Beliau memerlukan belanja yang besar untuk pelbagai komitmen setiap bulan. ( S. Jayasankaran)

2. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda sentiasa menghadapi gangguan daripada bank-bank yang sentiasa menuntut hutang atau ansuran anda setiap bulan kerana anda masih tidak membayarnya atau memang tidak akan membayarnya? Adakah bank menelefon anda di pejabat kerana anda tidak mengangkatnya semasa menghubungi telefon bimbit anda? Bolehkah anda meminta bantuan 'orang kuat' supaya menasihati pihak bank supaya jangan menganggu anda? Syabas jika anda boleh berbuat demikian.

3. Itulah hutang atau ansuran yang perlu kita bayar setiap bulan. Persoalannya, mengapa kita berhutang? Adakah hanya ingin memenuhi tuntutan nafsu kita? Ingin membeli aksesori kereta ataupun perhiasan untuk rumah? Amat merugikan sekiranya ada antara kita yang tergolong dalam golongan sedemikian.

4. Memang tidak dinafikan bahawa hutang adalah penting untuk memenuhi keperluan asas kita kereta, rumah dan pendidikan sama ada melalui pinjaman peribadi dan sebagainya. Namun begitu, apakah yang perlu kita pertimbangkan sebelum kita mengambil hutang? Sudah tentu jumlah bersih pendapatan kita setelah semua hutang ditolak daripada pendapatan kita setelah pinjaman diambil serta tempoh yang diambil bagi menghadapi 'musim gerhana' membayar hutang ini.

5. Saya tidak faham mengapa sesetengah orang sanggup membuat 'maksimum loan' dalam membuat pinjaman. Setelah pinjaman diambil dan potongan dibuat, mereka menggunakan kad kredit sebagai talian hayat mereka untuk membeli keperluan asas. Akibatnya, mereka terus menanggung hutang sampai bila-bila. Itulah punca mengapa hutang tidak pernah habis dibayar.

6. Begitu juga dengan kereta. Kereta belum habis dibayar lagi, tetapi terus membeli kereta baru dengan membuat 'refinance' dengan pihak bank. Alangkah malangnya... pihak bank tersenyum riang kerana anda membuat pinjaman dengan mereka. Anda pula terpaksa bekerja keras bagi membayar hutang mereka. Malang bagi anda kerana masih membayar hutang semata-mata untuk memiliki kereta baru. Itu juga punca mengapa hutang belum habis dibayar.



7. Oleh itu, mulai hari ini jangan membuat hutang lagi. Pendapatan akan naik dari tahun ke tahun sama ada 10-20% setahun tetapi kekalkan gaya hidup lama anda. Gunakan lebihan atau surplus pendapatan anda ini untuk membayar hutang-hutang anda sekiranya anda sudah sesak nafas sekarang. Nasi sudah menjadi bubur. Tetapi bubur masih boleh dimakan walaupun ia bubur lambuk. Janganlah kita berputus asa daripada rahmat Allah. Wallahua'lam.

Sekian, terima kasih.

Saturday, January 22, 2011

Corat-coret: Broadband

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,




Pada hari ini saya telah menukar pelan broadband Celcom saya dari RM48 (1G) kepada RM68 (3G). Pada mulanya saya tertarik dengan syarikat Celcom ini yang mengenakan pakej RM48 sebulan dengan pembayaran 3 bulan pertama adalah RM38 semasa menyambut Hari Raya pada tahun lepas (2010). Akan tetapi ia terlalu perlahan sehinggakan terpaksa menukar pelan lain setelah 4 bulan menggunakannya. Saya fikir ini taktik halus Celcom bagi menarik pelanggan menggunakan perkhidmatan mereka termasuk syarikat-syarikat lain seperti Maxis, Digi dan sebagainya. Mereka tahu pelanggan mereka akan menukar ke pelan lain suatu ketika nanti. Sungguh halus taktik syarikat komunikasi ini.

Sekian, terima kasih.

Kita Tidak Perlu Malu untuk Berniaga

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini, saya akan membincangkan perihal mengenai masalah malu untuk berniaga. Sememangnya dalam menjalankan perniagaan seseorang perlu 'muka tebal' dan 'ayat manis' apabila menjual sesuatu barang. 2 perkara ini jarang ada pada orang melayu yang menyebabkan mereka gagal berjaya dalam perniagaan walaupun barangan mereka adalah berkualiti.

2. 'Muka tebal' pula ialah kita tidak perlu malu untuk menjual barangan kita. Tidak kira di mana kita menjual sama ada di kaki lima, pasar malam, kedai makan dan lain-lain lagi. Malu menjual menyebabkan banyak perniagaan itu gagal. 'Ayat manis' pula menuntut kita supaya pandai berkomunikasi dengan baik dengan pelanggan. Sememangnya dalam perhubungan awam, seseorang perlu mempunyai gaya komunikasi yang baik untuk menarik perhatian pelanggan dan bukannya menipu pelanggan!

3. FAMA telah ditubuhkan bagi memasarkan hasil pertanian yang diusahakan oleh orang-orang melayu kerana orang melayu tidak boleh memasarkan hasil pertanian mereka sendiri. Orang melayu hanya mengeluarkan hasil barangan pertanian dan tidak terlibat dalam penjualan barangan mereka sendiri secara langsung.

4. Sewaktu saya mengikuti kursus organisasi saya, penceramah menceritakan sebahagian pasar raya besar yang dimiliki kaum cina di Malaysia diberi tanggungjawab bagi memasarkan produk-produk yang diusahakan oleh orang melayu. Akan tetapi, mereka menggunakan 'taktik halus' dalam memasarkan barangan ini.

5. Bagaimana caranya? Ketinggian rak meletak barang jualan di pasar raya adalah 7 kaki. Kebiasaan psikologi manusia sewaktu membeli-belah adalah melihat barangan di rak dalam lingkungan atau range 3-5 kaki sahaja dan tidak melihat barang jualan yang diletak di bawah sekali dan di atas sekali. Ini menyebabkan produk atau barangan orang melayu gagal dijual di pasar raya. Anda mesti perasan situasi ini ketika anda membeli-belah di pasar raya bukan? Ini menyebabkan perniagaan orang melayu pun tidak dapat berkembang.



6. Oleh itu, sikap malu tidak bertempat ini perlu dikikis daripada orang melayu itu sendiri untuk maju ke hadapan. Usah mengharapkan orang lain untuk maju ke hadapan. Sikap malu itu merupakan perkara normal dalam diri seseorang apabila menjual. Kelak ia akan terhakis jua.

Sekian, terima kasih.

illah (sebab) Pengharaman Riba

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,
.
1. Pada kali ini, saya ingin membincangkan mengenai illah (sebab) dalam pengharaman riba. Illah ini adalah penting dalam menetapkan sesuatu hukum dalam ilmu usul fiqh. Contohnya, dalam pengharaman air tuak, ulama' menqiaskan (menyamakan) air tuak ini dengan arak dengan illah nya ialah mabuk. Dengan ini, hukum air minum air tuak ini adalah haram kerana ia adalah memabukkan.
.
2. Begitu, juga dengan riba. Ulama' menetapkan bahawa illah riba adalah 'lebih' iaitu lebihan ke atas pinjaman yang diberikan kepada seseorang. Contohnya, seseorang yang meminjam RM1,000 tetapi dikehendaki membayar RM1,200. Dengan ini, seseorang itu telah terlibat dalam urusan riba.
.
3. Ulama' tidak menetapkan bahawa illah riba itu zalim. Contohnya, kadar faedah 10% pinjaman ke atas pinjaman RM1,000 adalah berjumlah RM100. Maka, sesetengah orang menganggapnya tidak mengapa kerana ia tidak zalim kerana interestnya adalah rendah dan ia bukannya riba. Namun, pandangan ini silap kerana lebihan atau kadar pinjaman tetap dikenakan ke atas pinjaman tersebut walaupun sedikit. Maka, hukumnya tetap riba.
.
4. Kita perlu sentiasa ingat perkara ini. Elakkan diri kita daripada mengambil riba kerana ia merupakan dosa kedua terbesar selepas syirik. Amalkan cara kehidupan islam dalam pengurusan kewangan kita supaya rezeki kita sentiasa diberkati. InsyaAllah.
Sekian, terima kasih.
.
Sumber:
1. Isu dan Masalah Kewangan Semasa, Zaharudin Abd. Rahman.

Friday, January 21, 2011

Rumah: Sewa atau Beli?

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

1. Pada kali ini saya akan membincangkan mengenai Rumah. Terdapat 2 jenis orang di atas bumi ini iaitu memiliki harta yang sudah habis dibayar ataupun mempunyai harta yang belum habis dibayar iaitu harta yang dibeli secara hutang. Begitu juga dengan rumah, adakah anda sudah memiliki rumah? Adakah ia sudah habis dibayar ataupun belum habis dibayar? Tepuk dada tanya diri sendiri.

2. Sekiranya kita menyewa di sesuatu rumah, rumah itu tidak akan menjadi milik kita walaupun kita telah menyewa rumah tersebut selama 10 tahun. Ini kerana wang sewa yang dibayar setiap bulan akan dibayar kepada Tuan Rumah anda. Tuan rumah tersebut menggunakan duit sewa yang dibayar untuk membayar ansuran bank. Lebihan bayaran sewa itu akan menjadi keuntungan Tuan Rumah tersebut. Alangkah bahagianya Tuan Rumah tersebut!



3. Saya berkesempatan bersembang dengan jiran saya yang baru tinggal di Sungai Buloh. Beliau menyatakan beliau sudah mempunyai 3 buah rumah. 2 buah rumah lagi beliau sewakan kepada orang lain. Lebihan wang sewa yang diterima setiap bulan, beliau gunakan untuk membayar ansuran rumah sekarang. Ini bermakna beliau menggunakan duit atas angin untuk membayaran ansuran rumah tersebut. Alangkah bahagianya!

4. Itu baru 3 buah rumah. Saya pernah terbaca buku Tuan SK, di mana beliau menceritakan ada seorang kontraktor mempunyai 120 buah rumah. Andaikan purata bayaran sewa rumah adalah RM500 sebulan. Ini bermakna kontraktor tersebut memperolehi RM60,000 sebulan!


5. Bagaimanakah sekiranya kita ingin membeli rumah? Wajarkah kita membeli rumah dengan harga RM200,000 - RM300,000 dengan ansuran bank selama 20-30 tahun? Jawapannya adalah tidak wajar. Ini adalah kerana kita dikira menghadiahkan sebuah bank kepada pihak bank yang memberi pinjaman kepada kita jika kita mengira jumlah kadar faedah ataupun jumlah keuntungan yang dikenakan bagi pinjaman selama 20 - 30 tahun.

6. Sebaik-baik pinjaman rumah adalah sehingga 15 tahun sahaja. Rumah tersebut biarlah sepadan dengan kemampuan kita. Ada seorang kenalan saya yang membeli rumah hanya berharga RM80,000 sahaja dengan ansuran bank selama 15 tahun. Ada juga kenalan saya yang telah habis membayar ansuran bank dengan menggunakan simpanan KWSP mereka dan mereka tidak lagi berhutang.

7. Setakat ini sahaja dulu penulisan saya mengenai rumah. Hebahkan kepada rakan-taulan anda mengenai blog ini bagi berkongsi ilmu pengetahuan mengenai pengurusan kewangan.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Buat Duit Dengan rumah, Shamsuddin Abdul Kadir.
2. Kaya Dengan Rumah, Shamsuddin Abdul Kadir.

Thursday, January 20, 2011

Kereta 2

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

1. Penulis baru tiba di Dungun, Terengganu malam semalam (19 Januari) dari Kuala Lumpur untuk urusan keluarga. Nampaknya perjalanan minggu ini mungkin perjalanan yang menyeronokkan atau juga mungkin meletihkan kerana penulis perlu berulang-alik Kuala-Lumpur - Terengganu sebanyak 2 kali dalam masa 1 minggu. Hari Ahad ini (23 Januari) penulis perlu pulang ke Kuala Lumpur pula kerana telah habis bercuti!



2. Sepanjang perjalanan sepanjang di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), saya dapat melihat pelbagai jenis kereta sama ada kereta Malaysia atau kereta import menyelusuri lebuh raya. Persoalannya, duit apakah yang digunakan bagi membiayai pembelian kereta ini? Adakah duit wang pokok gaji yang diterima setiap bulan ataupun duit hasil dari pelaburan kita?

3. Saya lebih suka sekiranya duit pembayaran ansuran kereta ini setiap bulan menggunakan duit hasil daripada pelaburan. Ini adalah kerana kereta merupakan 'besi ' yang mana harganya akan menyusut daripada semasa ke semasa. Oleh itu, kita akan mengalami 'kerugian' sekiranya kita terpaksa menggunakan duit gaji kita setiap bulan untuk membayar ansuran kereta setiap bulan. Harga kereta pada hari ini tidak akan sama dengan harga kereta 5 tahun akan datang. Alangkah ruginya sekiranya kita masih membayar ansuran kepada bank dengan mengenakan kadar faedah tertentu sedangkan harganya jauh sudah jatuh menjunam.



4. Adakah kita mampu membeli dan mampu menggunakan kereta? Saya bimbang sekiranya kita hanya sekadar mampu membeli kereta dan tidak mampu menggunakan kereta. Ini adalah kerana kita perlu menanggung kos-kos yang lain selepas membeli kereta setiap bulan. Antaranya ialah cukai jalan, minyak, tol, parking berbayar, servis dan lain-lain lagi. Ada penulis tempatan yang menyatakan kita perlu menambah sekali ganda lagi perbelanjaan untuk kos-kos sampingan bagi kereta ini. Contohnya, ansuran bulanan kereta ialah RM650 sebulan. Maka, kita perlu menyediakan RM650 lagi untuk bayaran kos-kos lain. Ini bermakna kita perlu menyediakan RM1,300 untuk belanja kereta sahaja. Itu untuk kereta Malaysia sahaja.

5. Saya ada kenalan di mana warisnya merupakan seorang kontraktor menggunakan kereta BMW 7-series yang dibeli dari Langkawi ( kawasan bebas cukai). Beliau menyatakan warisnya perlu membayar RM4,500 ansuran bulanan kereta manakala cukai jalan pula adalah RM8,000 setahun. Ini adalah untuk perbelanjaan bagi kereta mewah. Sesuai untuk ahli perniagaan sahaja untuk menjaga imej mereka dalam menjalankan urusan perniagaan. Kalau sekadar bekerja kerajaan, memakai kereta Proton Saga sahaja sudah memadai.

6. Setakat ini dulu penulisan saya pada kali ini. Semoga kita dapat berkongsi bersama mengenai kereta pada kali ini. Kita jumpa kembali untuk tajuk-tajuk baru di blog ini pada masa akan datang. Teruskan pembacaan anda di blog ini. Jangan lupa untuk hebahkan blog ini kepada rakan-taulan anda bagi berkongsi ilmu pengetahuan.
Sekian,terima kasih.