Tuesday, April 18, 2023

Ustaz Azhar Idrus yang Memperbetulkan Persepsi Masyarakat Melayu Mengenai Agama

Bismillah.

Fenomena Ustaz Azhar Idrus seingat saya pada tahun 2010 di mana ketika itu saya baru sahaja berpindah dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Ketika itu, smart phone masih tiada untuk menonton Youtube. Yang ada ketika itu ialah broadband atau line internet sahaja untuk menonton Youtube. Ketika ini, Ustaz Azhar Idrus yang berasal dari Terengganu mula popular di tanah air sehingga sekarang ini. Walaupun Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah untuk mengajar agama, namun ilmu-ilmu yang disampaikan oleh beliau mempunyai kredibilitinya sendiri sehingga jarang disanggah oleh mana-mana pihak melainkan beberapa isu tertentu.

Kehadiran beliau dalam menyampaikan kuliah dan ilmu banyak memperbetulkan kepercayaan masyarakat Melayu mengenai agama dan banyak menyelesaikan banyak masalah feqah yang sentiasa dihadapi oleh masyarakat Melayu.

Pertama sekali ialah apabila disebut mengenai duda ataupun janda seringkali masyarakat Melayu memandang invididu-individu golongan ini ialah individu yang mempunyai masalah seperti berkelakuan buruk dan sebagainya sehinggakan berlakunya perceraian di kalangan pasangan mereka. Sedangkan apabila merujuk kepada sudut syariah istilah duda ataupun janda tidak pun menyatakan bahawa golongan ini adalah berperangai buruk ataupun mempunyai perangai yang tidak baik. Oleh itu, masyarakat Melayu usahlah memandang serong terhadap golongan ini.

Kita juga biasa mendengar bahawa adalah buruk siku sekiranya kita meminta barang daripada seseorang yang telah menerima barang yang telah diberikan oleh kita. Akan tetapi, seseorang ayah boleh meminta balik barang yang diberikan olehnya kepada anak-anaknya. Begitu juga banyak salah laku dalam amalan perkahwinan atau pertunangan dalam adat masyarakat Melayu di mana pihak lelaki tidak boleh meminta balik barang hantaran daripada pihak perempuan sekiranya pertunangan atau perkahwinan dibubarkan.

Karamah Allah s.w.t. yang diberikan kepada seseorang hamba-Nya adalah tidak semestinya boleh berjalan di atas air sahaja. Karamah Allah s.w.t. juga diberikan kepada hamba-hambaNya seperti boleh menghafal beratus-ratus ribu hadis khususnya zaman Sahabat-Sahabat , tabi’-tabiin dan sebagainya. Lihat sahaja Imam Bukhari dan Imam Muslim yang boleh menghafal beratus-ratus ribu hadis di mana hadis-hadis yang diriwayatkannya masih kekal sehingga ke hari ini.

Menurut Ustaz Azhar Idrus juga solat Jumaat dan Asar sebenarnya boleh dijamakkan dengan syaratnya ialah ianya perlu dibuat secara jamak takdim iaitu semasa solat Jumaat. Caranya ialah niat solat jamak takdim Jumaat dengan solat Asar ketika solat Jumaat. Setelah solat Jumaat, kita hendaklah bangun untuk menunaikan solat Asar pula.

Bacaan surah selepas surah al-Fatihah di dalam solat untuk rakaat pertama dan rakat kedua juga dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus. Pada mulanya, saya menyangka surah yang hendak dibaca selepas al-Fatihah dalam rakaat pertama mestilah surah terlebih dahulu dalam al-Quran berbanding surah yang ingin dibaca pada rakaat kedua. Menurut Ustaz Azhar Idrus, rakaat pertama dan kedua selepas membaca surah al-Fatihah boleh membaca surah yang sama kerana perkara ini pernah dilakukan oleh Sahabat di zaman nabi yang membaca surah al-Ikhlas setiap kali solat selepas membaca al-Fatihah. Apabila ditanya kepada nabi, nabi menjawab bahawa surah al-Ikhlas ini akan membawanya ke syurga.

Nazar cukup kepala sebenarnya tiada dalam ajaran Islam sepertimana kepercayaan masyarakat Melayu apabila berjaya mencapai sesuatu hajat. Menurut Ustaz Azhar Idrus, apabila kita ingin bernazar apabila mencapai sesuatu hajat, kita sebenarnya hendaklah membuat kebajikan seperti memberi orang makan dan sebagainya. Apabila kita membotakkan kepala untuk menunaikan nazar, itu bangang namanya menurut Ustaz Azhar Idrus.

Kucing kadang-kadang membawa masalah kepada kehidupan kita apabila hidup berjiran dengan orang lain kerana sifat kucing ini adalah berak di merata-rata tempat termasuklah di rumah jiran. Menurut ajaran Islam itu sendiri, sekiranya kucing itu berak di rumah jiran, maka tuan kucing tersebut perlu membasuh najis kucing tersebut yang berak di rumah orang.

Apabila kita buang air besar, terdapat air kekuningan yang keluar dari zakar kita. Sebenarnya, air yang keluar itu ialah air wadi dan bukan air mani. Air wadi ini merupakan air yang berasal dari tulang belakang kita. Ianya adalah najis dan kita tidak perlu untuk mengangkat hadas besar.

Tahi cicak juga merupakan najis yang membawa masalah kepada kita untuk menunaikan solat tidak kira sama ada di rumah ataupun di masjid. Akan tetapi, jika sejadah kita adalah di atas najis tersebut, maka solat kita adalah masih sah kerana salah satu syarat sah solat ialah tempat menunaikan solat kita adalah suci daripada najis.

Setakat ini sahaja dahulu apa yang boleh saya kongsikan apa yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam memperbetulkan masyarakat Melayu dalam pemasalahan feqah dan hukum-hakam agama.

Wallhua’lam.


https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: