Saturday, September 10, 2022

Mungkinkah Tok Mat Mengintai Kerusi Perdana Menteri?

Mungkinkah Tok Mat mengintai kerusi untuk menjadi Perdana Menteri?

Kadang-kadang timbul juga persoalan ini apabila Tok Mat meminta KJ untuk mengosongkan kerusi parlimen Rembau untuk memberi laluan kepadanya untuk bertanding di parlimen ini pada PRU-15 akan datang.

Dalam hierarki UMNO sekarang, Tok Mat merupakan Timbalan Presiden. Namun, nasib atau tuah menyebelahi Ismail Sabri apabila dia dilantik menjadi Perdana Menteri walaupun menjadi Naib Presiden selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana tidak lagi mempunyai sokongan parlimen di Dewan Rakyat.

Kerana ketika pemilihan calon Perdana Menteri, Presiden UMNO iaitu Zahid Hamidi sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah manakala Tok Mat walaupun suci daripada apa-apa tuduhan rasuah dan menjawat Timbalan Presiden UMNO tetapi tidak menduduki mana-mana kerusi parlimen sekaligus tidak melayakkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri. Oleh itu, Ismail Sabri perlu dipilih dan dilantik untuk menjadi Perdana Menteri mewakili kerajaan pakatan Perikatan Nasional (PN).

Dalam temubual dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke beliau berpandangan bahawa KJ akan bertanding di kerusi Kuala Pilah ataupun Tampin dalam PRU-15 akan datang selepas Tok Mat menyatakan hasratnya untuk bertanding di parlimen Rembau kerana parlimen Kuala Pilah dan Rembau merupakan kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama dan hanya terlepas kepada Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14.

Oleh itu, BN sudah tentu mengintai peluang untuk menawan kerusi parlimen ini semula dalam PRU akan datang. Meletak KJ untuk bertanding menentang Anwar Ibrahim merupakan langkah berisiko tinggi untuk membunuh karier KJ dalam politik dan ini tidak mungkin akan berlaku.

Umno dalam kenyataan semasa mengumumkan bahawa parti ini akan bertanding secara solo tanpa bergabung dengan mana-mana parti untuk membentuk pakatan baru. Ramai berpendapat bahawa tiada pakatan akan dapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pasca PRU-15 nanti.

Jika hal ini berlaku, sudah tentu Umno secara tunggal masih mempunyai kerusi parlimen terbanyak selain Parti DAP jika parti ini boleh menang dalam PRU nanti. Apatah lagi parti ini sebenarnya masih mempunyai sokongan daripada masyarakat Melayu yang tinggal di luar bandar. Jika ingin membentuk kerajaan, sudah tentu ada mana-mana parti terpaksa bergabung dengan Umno untuk membentuk kerajaan.

Tetapi dalam masa yang sama saya percaya Umno masih mempunyai majoriti lebih daripada separuh bilangan kerusi parlimen jika ingin membentuk kerajaan baru pasca PRU-15 nanti. Sudah tentu jika keadaan ini berlaku Tok Mat sebagai Timbalan Presiden mempunyai peluang yang cerah untuk menjadi Perdana Menteri apatah lagi pemilihan Umno akan diadakan selepas PRU-15 diadakan.

Namun, jika ingin berlaku adakah Ismail Sabri ingin memberi laluan mudah kepada Tok Mat untuk menjadi Perdana Menteri? Tambahan lagi Umno sekarang terbahagi kepada dua golongan iaitu kluster mahkamah dan kluster menteri yang menyebabkan persaingan untuk merebut jawatan Perdana Menteri boleh berlaku.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: