Tuesday, September 13, 2022

Ketika PKR Menguatkan Barisan Kepimpinan Masing-Masing, UMNO-PAS-BERSATU Masih Dibuai Mimpi Berada di Tampuk Kekuasaan

Jika kita perasan, PH khususnya Parti PKR sedang sibuk berkempen untuk menghadapi PRU-15 dan kempen-kempen ini boleh dilihat secara langsung di laman-laman atas talian khususnya di Youtube. Setiap malam jika saya membuka Youtube, banyak pemimpin-pemimpin pembangkang yang membuat rapat umum dengan masyarakat di samping individu-individu penyokong PH membuat ucapan secara langsung atas talian. Lebih menarik lagi ucapan-ucapan ini masih dibuat di tengah-tengah malam secara langsung atas talian.

Nampak di sini bahawa para pemimpin dan penyokong sedang bekerja kuat siang dan malam dalam usaha membina kekuatan untuk mendapatkan kembali sokongan daripada rakyat. Kelemahan dan kegagalan mereka mentadbir Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan suatu ketika dahulu bukanlah menjadi noktah kepada mereka untuk meneruskan perjuangan menawan Putrajaya sekali lagi.

Kembalinya Rafizi Ramli ke dalam arena politik semula sedikit sebanyak membantu PH membina kekuatannya semula bagi mengimbangi pengaruh “Bossku” yang banyak mempengaruhi pendapat umum. Kemenangan Rafizi Ramli memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dapat memberi nafas baru kepada parti ini berbanding dengan gaya Saifuddin Nasution yang lebih membawa gaya old school.

Sekurang-kurangnya bagi mereka, mana-mana pengkhianat  dalam parti telah keluar daripada khemah mereka dan mereka boleh berada dalam kedudukan yang bersatu-padu bersama-sama ahli-ahli parti masing-masing untuk menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Isu-isu yang diucapkan oleh para pemimpin dan penyokong PH ini merupakan isu-isu semasa yang menghimpit permasalahan rakyat. Kadar pengangguran yang meningkat, kadar faedah pinjaman bank yang meningkat dari masa ke semasa terus menghimpit kedudukan rakyat. Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir kini kelihatan lesu dan seolah-olah tidak mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah yang menimpa rakyat ini. Tidak mustahil isu-isu semasa yang dimainkan oleh PH ini boleh membuatkan rakyat melupakan kegagalan mereka mentadbir Persekutuan selama 22 bulan dahulu.

Umno khususnya usahlah berada dalam kedudukan yang selesa sekarang walaupun meraih kejayaan yang besar dalam PRN Johor, Melaka, dan Sarawak. Mungkin jika bukan kerana Najib Abdul Razak dengan tagline ‘Bossku’ yang membawa flagship Umno dalam siri-siri PRN ini, Umno mungkin tidak dapat meraih kemenangan sebesar ini. Selepas pemenjaraan Najib, tiada lagi watak-watak atau ikon-ikon daripada Umno yang muncul untuk menggantikan Najib. Apakah Umno pula ingin menjadi sayur kepada PH selepas ini?

Bersatu kini tidak ubah seperti parti peminta sedekah kerana sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang menghulurkan tangan kepada mereka. Malangnya, tiada mana-mana gabungan jauh sekali PH ingin bekerjasama dengan Bersatu ini melainkan Parti PAS buat masa ini.

Jika parti-parti kerajaan pada ini khususnya Parti Umno masih leka dan tidak membuat apa-apa persediaan, maka tidak mustahil PH dapat menawan semula Putrajaya. PRU-15 pada kali ini menguji keupayaan Anwar Ibrahim memimpin pakatan pembangkang bagi menawan Putrajaya. Jika Anwar Ibrahim gagal menawan Putrajaya pada PRU akan datang, maka persepsi orang akan mengatakan bahawa pengaruh Tun M merupakan pengaruh paling dominan dalam usaha untuk menawan Putrajaya pada PRU-14 yang lalu.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: