Saturday, September 24, 2022

Implikasi Perlepasan dan Pembebasan Zahid Hamidi daripada Tuduhan Rasuah

Kalau dah nama Umno tak sah kalau tak dikaitkan dengan rasuah. Kalau orang-orang Umno dapat dibebaskan daripada tuduhan rasuah di mahkamah bermakna dunia sekarang sudah hendak kiamat. 

Semalam memang menggemparkan apabila Zahid Hamidi dilepaskan dan dibebaskan daripada 40 tuduhan merima rasuah sebanyak RM3 juta daripada Syarikat UKSB berhubung pemberian kontrak sewaktu menjadi Menteri Dalam Negeri. Pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes ini. 

Sebenarnya, 3 saksi utama yang dipanggil dalam kes ini gagal membuktikan mereka memberi secara tunai sebanyak RM3 juta kepada Zahid Hamidi walaupun terdapat wang RM3 juta yang dikeluarkan daripada akaun mereka. Jika saksi-saksi utama ini dapat membuktikan memang mereka memberi wang secara tunai kepada Zahid Hamidi, peluang untuk beliau lepas daripada tuduhan rasuah ini adalah amat tipis. 

Apa yang melucukan lagi ialah pindahan wang tunai beberapa kali kepada Zahid Hamidi ini hanya direkodkan melalui Microsoft Excel. Itupun dengan menggunakan kod nama dan bukan nama sebenar Zahid Hamidi. Lainlah Microsoft Excel ini dapat dilinkkan dengan akaun bank dan pindahan duit yang berlaku dapat dibuktikan. 

Akibatnya, pasukan pembelaan dapat membuktikan saksi-saksi ini tidak mempunyai kredibiliti dan akhirnya tuduhan ke atas Zahid Hamidi tidak dapat disabitkan. Zahid Hamidi tentu bangga kerana dapat dibebaskan daripada tuduhan rasuah. 

Jika mengikut realiti sebenar, rasuah secara tunai adalah sukar untuk dibuktikan di mahkamah kerana tiada bukti untuk menunjukkan ada pihak yang memberi dan menerima rasuah. Berlainan pula dengan rasuah melalui pindahan akaun bank, perkara ini dapat dibuktikan melalui penyata aliran keluar masuk tunai akaun bank seseorang individu. Inilah yang berlaku kepada Najib Razak kerana memang terang lagi bersuluh memang terdapat wang tunai yang masuk akaun beliau. Akhirnya, beliau berjaya dibuktikan bersalah di mahkamah. 

Jika kes Rosmah Mansor pula, walaupun rasuah berlaku secara tunai, namun saksi-saksi Rosmah ini mempunyai gambar sebagai bukti bahawa mereka memang memberi wang tunai kepada Rosmah Mansor. 

Sedikit sebanyak kemenangan kes Zahid Hamidi ini dapat meningkatkan kredibiliti Tuan Haji Hisyam Teh Poh Teik yang sebelum ini gagal untuk membela kes Najib Razak dalam kes SRC International sebagai peguam terkemuka. 

Pembebasan dan perlepasan Zahid Hamidi juga dapat memulihkan imej Umno di mana Zahid merupakan presiden parti ini. Barisan pembangkang yang mempunyai hero seperti Rafizi Ramli tentu berduka kerana presiden parti lawan tidak disabitkan tuduhan rasuah. Peluru Umno merupakan parti rasuah mungkin tidak dapat dijadikan isu untuk menghadapi PRU-15 nanti. 

Namun, Zahid masih belum dapat tidur lena lagi kerana terdapat kes rasuah lain yang masih belum dibicarakan iaitu rasuah Yayasan Akalbudi di mana wang tunai masuk melalui akaun. Walau apapun, kita tunggu siri perbicaraan buat Zahid Hamidi untuk pusingan seterusnya. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: