Wednesday, June 9, 2021

Bahasa Inggeris – Kuasai Semasa Berada di Peringkat Menengah Rendah

Tidak dinafikan pada hari ini bahawa penguasaan Bahasa Inggeris keperluan pasaran utama pada hari ini. Dan yang paling penting ialah keputusan Bahasa Inggeris mestilah cemerlang untuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat untuk memasuki universiti-universiti yang terkemuka sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Tiada maknanya jika mendapat keputusan yang cemerlang subjek-subjek sains seperti biologi, kimia, dan fizik tetapi keputusan Bahasa Inggeris adalah tercorot dalam keputusan SPM. Silap-silap haribulan tidak mendapat tawaran mana-mana universiti sekiranya Bahasa Inggeris tidak kredit.

Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah Bahasa Inggeris perlu diberikan penekanan oleh seseorang pelajar sewaktu berada di peringkat menengah rendah lagi iaitu sewaktu berada di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Ini adalah kerana sewaktu kita berada di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kita sibuk untuk menelaah pelajaran subjek-subjek elektif tidak kira sama ada kita berada di aliran sains ataupun akaun.

Ini pengalaman saya sendiri. Memang saya lemah dalam Bahasa Inggeris. Sewaktu berada di Tingkatan 5 saya sibuk untuk belajar Bahasa Inggeris dan perlu membuat esei Bahasa Inggeris pada setiap hari. Bahasa Inggeris perlu diamalkan dan bukannya perlu dipelajari sepertimana subjek sains atau pun matematik. Berbanding dengan rakan-rakan lain yang sudah mantap penguasaannya dalam Bahasa Inggeris, mereka hanya memfokuskan kepada subjek-subjek sains sahaja.

Pendek kata, saya ketinggalan dalam perkara ini untuk menghadapi perjuangan sebenar iaitu peperiksaan SPM pada tahun 2002.

Bagi anda yang masih berada di bangku sekolah khususnya sekolah menengah, cuba amalkan penggunaan Bahasa Inggeris pada setiap hari. Cara yang mudah ialah membaca buku bahasa Inggeris tidak kira sama ada buku novel, majalah , dan sebagainya. Pada masa inilah anda boleh memantapkan vocabulary anda khususnya dan grammar amnya. Dengan ini, anda boleh menghadapi ujian ataupun peperiksaan Bahasa Inggeris dengan penuh yakin.

Insya Allah.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (9/6/2021)

No comments: