Sunday, July 2, 2017

Politik Cara Muawiyah dan Realiti Politik Malaysia


Dalam sejarah politik pemerintahan Islam, berlakunya perubahan bentuk pemilihan Ketua Agama Islam daripada pemilihan secara syura kepada bentuk pemilihan secara monarki.

Perkara ini berlaku ketika pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan setelah kematian Ali bin Abi Talib. Tidak kurang daripada itu, Muawiyah berjaya meletakkan sistem pewarisan takhta Ketua Agama Islam ini kepada keturunannya melalui kerajaan apa yang dikenali sebagai Kerajaan Bani Umaiyah yang bertahan selama lebih kurang 600 tahun.

Muawiyah seorang ahli politik yang bijak dan pandai mengambil peluang daripada suasana politik yang sedang berlaku. Beliau memahami situasi politik umat Islam ketika pemerintahan Usman dan Ali bin Abi Talib di Madinah di mana ketika ini kekacauan sedang berlaku ketika pemerintahan kedua-dua sahabat nabi ini. Ketika kekacauan sedang mula berlaku ini, beliau mula mempengaruhi orang ramai supaya mengikutinya.

Muawiyah mula naik menjadi Khalifah Islam setelah berakhirnya Perang Siffin.

Keunikan cara politik Muawiyah Abu Sufyan ialah beliau tidak segan silu untuk menabur wang kepada orang ramai supaya menyokongnya. Tambahan pula keturunan Muawiyah ini adalah keturunan saudagar arab yang kaya-raya. Oleh itu, beliau tidak segan-silu memohon jawatan khalifah ketika sahabat-sahabat nabi yang lebih layak untuk menjawat jawatan ini seperti Ali Abi Talib yang masih hidup, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan lain-lain.

Pengikut-pengikut Muawiyah pula tidak kurang hebatnya dalam bersiasah. Antaranya ialah Amru bin al-Ash, Abdullah bin Suraih, Dhahhak bin Qais dan lain-lain lagi sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk mencapai maksud tujuan politik mereka.

Selain itu, Muawiyah juga mengangkat Ziyad Abu Sufyan yang merupakan anak luar nikah ayahnya sendiri sebelum memeluk agama Islam menjadi pembantunya sehinggakan Ziyad menjadi ahli politik yang terkenal.

Berlainan dengan Saidina Ali Abi Talib yang amat berhati-hati dengan penggunaan wang sehinggakan teman-teman rapat dengannya sekali pun melarikan diri daripadanya. Muawiyah pula sentiasa menabur wang supaya orang mengikutinya.

Saidina Ali terlalu keras dalam membuat sesuatu keputusan sehinggakan pengikut-pengikutnya yang tidak bersetuju dengannya bangkit memberontak menentangnya sendiri bahkan kadang-kadang Saidina Ali terpaksa mengikutnya pula lantaran mereka memberontak.

Berlainan pula dengan cara Muawiyah Abu Sufyan untuk menanangani dan berdepan dengan masalah yang timbul oleh orang-orang yang boleh mencabarnya. Apa yang dilakukan oleh beliau ialah menabur duit dengan sebanyak-banyaknya bahkan sanggup memberi negeri kepada sesiapa yang boleh mencabarnya kelak!

Pendekatan ini tidak digunakan oleh Saidina Ali Abi Talib dengan menggunakan harta umat Islam semata-mata untuk mengukuhkan kekuasaannya.

Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh pemimpin politik Malaysia pada hari ini ialah menabur duit kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka tidak ditentang untuk terus berkuasa walhal sehingga terpaksa menggunakan harta rakyat sekali pun. Pendekatan ini sebenarnya yang meranapkan sistem pemerintahan politik Malaysia sehinggakan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi dengan kenaikan kos dari semasa ke semasa lantaran pemimpin mereka sendiri merompak harta mereka untuk terus berkuasa.

http://wankamarul701.blogspot.my

No comments: