Monday, January 16, 2017

Nasib Malang Tengku Mahmud Muhyidin




Tengku Mahmud Muhyidin merupakan pewaris takhta Kerajaan Patani. Ayahnya iaiu Tengku Abdul Kadir Kamarudin merupakan raja Patani terakhir setelah jawatan tersebut dimansuhkan oleh Siam.

Tengku Mahmud berjuang untuk membebaskan Patani daripada penguasaan Siam. Beliau bersama dengan ulama Patani yang terkenal iaitu Haji Sulung Haji Abdul Kadir yang menubuhkan Hai’ah al-Tanfiziyyah li Ahka al-Syariah (Lembaga Pelaksanaan Hukum Syariah) bagi membebaskan wilayah Patani dari cengkaman Siam.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus, Siam bersama dengan Jepun untuk menentang British. Siam membenarkan tentera Jepun mendarat di pantainya untuk masuk ke Tanah Melayu untuk memerangi British.

Kesempatan ini diambil oleh Tengku Muhyidin untuk bekerjasama dengan British bagi memerangi Jepun. Rancangan Tengku Muhyidin ialah apabila Jepun menyerah kalah, maka Patani akan mendapat kemerdekaan dari Siam. Beliau juga berharap agar tentera British membantu beliau bagi mengalahkan Siam untuk memerdekakan Patani.

Oleh itu, Tengku Mahmud berjuang dengan tentera British sebagai sayap Force-136 yang berpangkalan di India dan beliau dilantik sebagai mejar.Pasukan ini disediakan untuk menggempur tentera Jepun di pantai timur Tanah Melayu.

Dalam pada itu, Tengku Muhyidin tidak sedar pihak Siam sebenarnya bekerjasama juga dengan British bagi memerangi Jepun walhal British jua berjanji kepada Tengku Muhyidin untuk melantiknya menjadi Raja Patani sekiranya berjaya mengalahkan Jepun. Dalam pada itu, Siam turut membekalkan 1.5 juta tan beras secara percuma kepada British.

Malangnya, setelah Jepun dikalahkan dalam Perang Dunia Kedua dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, pihak British telah melupakan khidmat Tengku Muhyidin dan hasratnya untuk menjadi Raja Patani dilupakan begitu sahaja oleh British.

Ikhtibar dari peristiwa ini, mengapa kita terlalu mudah percaya dengan penjajah British itu sendiri?

No comments: